Ahad, 18 Mei 2008

Pilot di pelabuhan

Pernah saya bertanya seorang pelaut yang berjawatan Master Mariner mengenai pilot di pelabuhan, "Kapten, bagaimana saya hendak saya terangkan dengan bahasa mudah mengenai pilot di pelabuhan?"

Beliau tersenyum mendengar soalan saya.

"Senang sahaja Encik Imran," jawabnya. "Semua kapal, sama ada yang besar atau yang kecil perlu dikendali dengan teliti apabila mendekati jeti. Bagi sampan, pendayung sampan harus pandai mendekatkan sampan ke tepi jeti. Bagi bot nelayan pula, jurumudi mesti cekap mengendalikan bot mendekati jeti."

"Bagi kapal besar seperti kepal dagang, kerja itu lebih rumit, ya kapten?"

"Benar kata Encik Imran. Malah jika sampan atau bot nelayan terlanggar jeti, kerosakannya tidak sampai menyebabkan kos yang tinggi. Berbeza sekali dengan kapal dagang yang besar. Ada dua masalah utama bagi kita mengendalikan kapal dagang. Pertama kita mesti elak kapal daripada terkandas di perairan cetek di kawasan pelabuhan. Kedua kita tidak mahu kapal berlanggar dengan kapal-kapal, bot-bot kecil, sampan, boya, rumah api yang begitu banyak di dalam kawasan pelabuhan, termasuklah dermaga. Maka sebab itulah khidmat pilot diperlukan bagi membawa kapal ke kawasan pelabuhan sehingga kapal berjaya dirapatkan ke dermaga dengan selamat."

"Apa pra-syarat untuk menjadi pilot pelabuhan, kapten?"

"Lazimnya seseorang pilot pelabuhan bekas kapten kapal."

"Wah, kalau begitu senanglah nakhoda kapal berkomunikasi dengan pilot. Sama-sama pelaut."

"Begitulah keadaaannya. Nakhoda ialah pelaut yang masih berkhidmat di laut, manakala pilot pula bekas pelaut yang berkhidmat dari darat."

Dari penerangan rakan saya itu, saya sudah nampak peluang nakhoda kapal yang mahu 'bersara dari menjadi pelaut' tetapi masih mahu kekal berkhidmat dalam sektor maritim, terbuka luas.

Bukan senang bagi para pelaut meninggalkan dan melupakan profesion yang mendarah daging serta telah sebati dengan jiwa mereka itu.

0 ulasan: