Selasa, 13 Mei 2008

Kenapa guna kontena?



Tidak berapa lama dahulu barangan diangkut dengan kapal di dalam berbagai bentuk bekas seperti guni, kotak, kotak kayu, tong dram, ikatan dan sebagainya.

Lazimnya, kesemua barangan ini dimuat dari dermaga ke kapal dan dipunggah dari kapal ke dermaga dengan pengangkut yang berbentuk jaring. 'Jaring' itu dicangkuk dengan kren dan barangan pun dapat dimuat dan dipunggah. Cara ini telah menimbulkan banyak masalah seperti barangan mudah rosak, pecah atau hilang (baca dicuri!).

Cara begitu masih terus lagi digunakan sehingga sekarang, tetapi kini, lebih daripada 90% produk bukan-pukal yang diangkut dengan kapal diisi dalam kontena.

Sesungguhnya mengangkut barangan atau kargo dengan kontena ini ternyata lebih selamat dari ancaman pecah, rosak atau hilang dalam transit, dengan syarat barangan mesti melalui proses packing mengikut spesikasi, dan kontena tidak jatuh ke dalam laut atau pecah ketika kapal dilambung gelombang laut di waktu ribut.

Ukuran panjang kontena yang popular ialah 20 kaki (twenty equivalent unit, TEU) dan 40 kaki (forty equivalent unit, FEU).

Sistem nombor kontena biasanya berbentuk XXXU 123456-N, yang mana "XXX" ialah ringkasan syarikat perkapalan atau syarikat leasing, "U" bermaksud unit. "123456" pula ialah nombor nombor siri enam angka yang digunakan mengikut sistem kod syarikat yang membawa erti jenis kontena, ukuran panjang, lebar dan dalam kontena tersebut, manakala "N" adalah satu angka yang diistilahkan sebagai check digit, iaitu nombor yang didapati setelah dijalankan proses 'modulus 9' atau 'modulus 11' kepada enam angka nombor siri itu tadi.

Sebagai contoh, apabila melihat kontena yang bernombor CGMU 480475-2, seorang pakar kontena sudah dapat mengagak kontena itu kepunyaan kumpulan syarikat perkapalan Perancis, iaitu CMA-CGM, dan kontena itu berukuran 40 kaki panjang (satu unit FEU), 8 kaki lebar dan 8.5 kaki tinggi, dari jenis refrigerated (beku).

Oleh kerana kompleknya perbincangan mengenai kontena hari ini, ia sudah menjadi satu bidang kajian yang tersendiri!

0 ulasan: