Ahad, 2009 November 01

Blog Akademi Laut

Sudah begitu lama saya tidak mengemas-kini blog MEREDAH SAMUDERA ini.

Selepas bercuti sebulan lebih selepas Hari Raya Idilfitri, saya mengalami peristiwa yang menyedihkan, iaitu kamera digital saya diserang oleh sejenis virus yang diberi nama Nadia Saphira. Indah nama virus itu, tetapi kesan terhadap SD kad kemera digital tidaklah seindah namanya!

Walau bagaimana pun demi memulakan semula budaya mengemas-kini blog secara berkala dan lebih kerap, maka saya pun log masuk ke ruangan blogger dan membuat carian dalam enjin google.

Saya seronok apabila terjumpa blog baru yang boleh saya link di sisipan kanan blog ini.

Memang sesuai benar blog itu dengan tema blog MEREDAH SAMUDERA ini.

Syabas pemilik dan administrator blog AKADEMI LAUT MALAYSIA.

Selamat maju jaya.

Sabtu, 2009 September 19

Selamat Hari Raya

Saya ingin mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan:

SELAMAT HARI RAYA IDIL-FITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN
serta
BRHATI-HATI DI JALAN RAYA

kepada semua pembaca dan pengunjung blog ini.

Sabtu, 2009 September 12

"Menyerang kapal dagang"



Kapten Dolah mengeluarkan pistol automatik dari sarung di pinggangnya, sambil berkata kepada para pengikutnya, “Semua bersedia?”

Semua lanun memegang kemas senapang automatik masing-masing, seraya menjawab “Siap, kapten!”

Kapten Dolah mencuit bahu Jurumudi Ali dan berkata, “Jurumudi, kita gerak sekarang!”

Jurumudi Ali serta-merta menjawab, “Ai, ai, kapten!” Dia menekan butang starter bot laju mereka dan enjin mengaum sebaik sahaja dihidupkan.

Kapten Dolah menudingkan jarinya ke arah Hassan dan membentak, “Hassan, kamu akan tunggu dalam bot! Bantu jurumudi. Faham!”

Hassan terdiam. Tidak menjawab.

Kapten Dolah segera membentak, “Hassan! Kenapa diam? Kamu takut?”

Hassan menelan air liur dan menjawab, “Saya bimbang, tuan.”

“Hassan, awak jangan takut,” kata Jurumudi Ali, sambil memegang bahu Hassan. “Awak tunggu dalam bot dengan saya.”

Hassan mengangguk-anggukkan kepalanya dan menjawab, “Baik, tuan.”

Kapten Dolah tersenyum sambil mengangkat tangannya yang memegang pistol itu seraya berkata, “Ali! Gerak sekarang!”

“Baik, kapten!” jawab Jurumudi Ali sambil terus menggerakkan bot laju itu ke arah kapal dagang yang menghampiri hujung tanjung itu.

-------------------

Tiada seorang pun yang bercakap semasa bot itu meluncur laju membelah laut menuju ke arah kapal dagang. Semburan air laut terpercik ke muka Hassan. Dia memegang kemas railing di tepi bot itu.

Mentari rendah di ufuk barat. Suasana petang yang tenang dan nyaman itu seolah-olah tidak mempedulikan suatu peristiwa yang bakal berlaku di hujung tanjung itu.

Kapal dagang bergerak perlahan ketika menghampiri laluan sempit itu. Ketika itu juga bot lanun sampai dan menghampiri kapal dagang itu. Suasana damai petang yang damai itu juga seolah-olah membawa ketenangan juga di kalangan anak kapal itu.

Sebaik sahaja bot itu menghampiri kapal dagang, setiap orang lanun, termasuk Kapten Dolah menyarungkan topeng jenis pemain ski (skier mask). Deruman enjin kapal dagang itu menenggelamkan bunyi enjin bot laju lanun itu.

Kapten Dolah berkata, “Ingat! Kita ada masa sekitar lapan minit sahaja!”

“Baik, kapten!”

Kapten Dolah memberikan isyarat supaya tali dicampak ke bahagian tepi kapal. Sebuah sauh kecil yang terpasang di hujung tali yang panjang ditembak dengan sepucuk senapang harpoon. Dengan sekali tembak sahaja sauh yang terikat tali itu tersangkut di railing di bahagian starboard dan lanun yang pertama memanjat naik ke kapal dengan menggunakan tali itu. Sungguh handal, ibarat seekor monyet sahaja layaknya. Senjata automatik yang tersandang di belakang tidak menghalang ketangkasan dia memanjat tepi kapal sehingga naik ke atas.

Seorang lagi lanun memanjat, dan seorang lagi. Dan seorang lagi. Yang terakhir naik ialah Kapten Dolah. Kapten Dolah terus memanjat tangga menuju ke bridge (pusat kawalan kapal) dengan di iringi sembilan orang lanun.

Kapten Dolah memerintah kepada tiga orang anak buahnya, “Kamu, kamu dan kamu berkas pegawai di bridge, jangan biarkan mereka menggunakan sistem komunikasi! Lekas!”

Tiga orang lanun yang diarahkan terus menyerbu ke bridge. Kapten Dolah dan enam orang lagi menyerbu kabin kediaman nakhoda kapal.

Kapten mengarahkan tiga orang menyerbu ke kabin ketua steward (chief steward). Dia berkata, “Dalam kapal dagang chief steward dan master (nakhoda) yang simpan duit dalam peti besi.”

“Baik, tuan!” ketiga-tiga anak buahnya sambil menyerbu kabin chief steward.
Kapten Dolah menyergah nakhoda kapal, “Cepat! Buka peti besi!”

Sebaik sahaja terpandang ke arah Kapten Dolah dan tiga orang lanun yang memakai skier mask dan lengkap bersenjata itu, dengan muka yang pucat lesi dan tangan menggigil, nakhoda memutarkan kombinasi kunci peti besi sehingga terbuka.

Kapten Dolah mengeluarkan beg kain berwarna hitam dan menyerahkannya kepada salah seorang orangnya. Dia menuding jari ke arah peti besi yang sudah terbuka itu. Perompak itu dan dua orang lagi mengambil wang tunai dari peti besi. Dalam masa tidak sampai satu minit kesemua wang tunai dari peti besi nakhoda licin di sapu dan diisi ke dalam beg hitam itu.

Ketiga-tiga orang lanun yang merampas wang tunai dari kabin chief steward sudah selesai dengan tugas mereka lalu bergegas ke arah tali yang tersangkut sauh kecil itu. Mereka mula turun menggunakan tali itu.

Kapten Dolah dan tiga lagi lanun bergegas meninggalkan kabin nakhoda dan berlari ke arah tepi kapal untuk turun ke bot yang sedai menanti di bawah.

Tiga orang lagi lanun yang mengawal di bridge pun segera memutuskan kabel radio komunikasi kapal serta telefon satellite yang ada di bridge. Mereka juga bergegas meninggalkan bridge untuk turun ke bot laju yang dijaga oleh Jurumudi Ali dan Hassan.

Seorang lanun sudah turun ke dalam bot.

Tiba-tiba hon kapal berbunyi dengan nyaring. Apabila bunyi hon itu terhenti, kedengaran dari pembesar suara kapal, “Kami polis marin! Awak semua sudah dikepung! Baik awak menyerah!”

Belum sempat Kapten Dolah sampai ke tali di tepi kapal satu suara mengherdiknya supaya menyerah. Apabila dia menoleh dia nampak beberapa orang berpakaian komando PASKAL (Pasukan Khas Laut) dan bertopeng skier mask.

Kapten Dolah tidak menjawab, tetapi terus meniarap dan menembak pistol automatiknya ke arah anggota PAKSAL. Bang! Bang! Bang!

Seorang anggota PASKAL jatuh terbaring berlumuran darah.

Anak buah Kapten Dolah yang lain pun meniarap dan melepaskan tembakan ke arah anggota PASKAL. Bang! Bang! Bang!

Kesemua anggota PASKAL meniarap dan membalas tembakan. Tiga orang lanun yang menjadi korban di awal pertarungan terbujur kaku. Darah merah mengalir membasahi tepi dek kapal itu.

Anggota lanun yang sempat turun ke bot yang dijaga oleh Jurumudi Ali dan Hassan berkata, “Cepat kita lari dari sini! Jika tidak, kita pun kena.”

Sebelum Jurumudi Ali menggerakkan bot itu, dua buat bot kecil merapati bot mereka dan beberapa orang anggota PASKAL tangkas melompat ke atas bot mereka dengan senjata tempur jarak dekat automatik. Lanun itu mengacukan senjata automatiknya ke arah salah seorang anggota PASKAL, tetapi belum pun sempat dia memetik trigger salah seorang anggota PASKAL menembak tangannya. Senjata lanun itu terjatuh dari tangannya.

Ketua anggota PASKAL menjerit kepada Jurumudi Ali dan Hassan, “Angkat tangan! Atau kami tembak!”

Jurumudi Ali mengangkat kedua tangan dan berkata kepada Hassan, “Angkat tangan, Hassan. Jangan takut.”

Hassan mengangkat tangannya yang pucat dan mengigil itu.

“Jangan tembak dia, tuan,” Jurumudi Ali merayu kepada ketua anggota PASKAL. “Dia masih budak-budak.”

Ketua anggota PASKAL mengherdik mereka, “Diam! Semua jangan bercakap!”

Anggota PASKAL memberkas dan menggari Jurumudi Ali, Hassan dan lanun yang cedera di tangan itu.

Ketua anggota PASKAL itu memandang ke arah Hassan. Dia berkata, “Hairan betul saya. Umur awak ini muda lagi. Macam mana awak boleh terlibat dengan kumpulan lanun ini?”

Hassan diam tidak menjawab.

Di atas kapal dagang pasukan PASKAL dan pihak lanun berbalas tembakan beberapa minit. Bunyi tembakan yang bertubi-tubi dari senjata automatik memecah ketenangan di petang yang nyaman itu. Jeritan burung-burung camar laut di hujung tanjung dan unggas lain yang terbang bertempiaran dari hutan berhampiran seolah-olah meraikan suatu pesta penyembelihan yang menghasilkan darah yang berwarna merah, pekat yang mengalir membasahi atas dek kapal dagang itu.

Tiba-tiba bunyi tembakan senjata automatik terhenti. Yang masih kedengaran hanyalah desiran ombak yang memukul pantai di hujung tanjung itu serta nyanyian camar laut dan unggas yang kini menyambut ketibaan senjakala.

Sementara itu di atas bot lanun, walkie-talkie ketua anggota PASKAL yang memberkas Jurumudi Ali, Hassan dan anggota lanun yang cedera itu berbunyi, “Semua sudah selesai, tuan. Over.”

Ketua anggota PASKAL mencapai walkie-talkie dan menjawab, “Bagus, berapa orang anggota kita cedera? Over.”

“Seorang cedera teruk di tangan, tuan. Over.”

“Pihak musuh? Over.”

“Tiada yang selamat, tuan. Over.”

“Baiklah. Serahkah tugas segera.Over.”

“Baik, tuan. Over and out.”

Sebuah bot kuasa tinggi berlogo Agensi Penguakuasaan Maritim Malaysia (APM) menghampiri bot lanun. Ketua anggota PASKAL mengangkat tabik hormat ke arah salah seorang pegawai APM .

Ketua anggota PASKAL berkata, “Tugas kami sudah selesai, tuan.”

Pegawai APM menjawab, “Tahniah, tuan. Tidak sia-sia kerja kita berbulan-bulan.”

“Boleh kita mulakan serahan tugas, tuan?”

“Silakan.”

Proses serahan tugas singkat sahaja. Tidak lama lepas itu, sebuah bot laju tiba dan mengangkut bot-bot kecil PASKAL dan membawa kesemua anggota PASKAL meninggalkan tempat kejadian.

Salah seorang anggota APM bertanya pegawainya, “Kita tak dapat tenguk pun muka mereka. Mereka pun tidak tunggu lama, tuan?”

“Begitulah tugas pasukan PASKAL, Halim. Cekap, tangkas dan pantas. Kalau lanun biasa kita pun boleh selesaikan. Tetapi ini kumpulan hard-core. Ganas. Tidak takut mati. Sebab itulah kita minta bantuan PASKAL.”

Mentari sudah hampir tenggelam di ufuk barat. Bot laju pasukan PASKAL sudah lama hilang dari pandangan. Anggota pasukan APM mengangkat kesemua mayat lanun dan dimasukkan ke dalam plastik hitam yang tebal dan dikumpulkan untuk di bawa ke darat. Jurumudi Ali, Hassan dan lanun yang cedera di tangan itu di kurung di dalam lokap kapal APM.

Dalam kegelapan malam itu bot kuasa tinggi APM meluncur laju menuju ke pantai. Apabila bot menghampiri jeti APM , hujan turun dengan lebatnya.

Hassan teringat pesanan gurunya, Ustaz Solihin, waktu hujan turun adalah antara masa doa seseorang hambanya dimakbulkan. Hassan duduk di bangku dingin lokap dalam bot APM itu dan dalam hatinya dia berdoa, memohon perlindungan Allah.

[Petikan novel "Hujan Semalam" yang belum terbit]

Khamis, 2009 Ogos 20

Tragedi di Selat Melaka

Pada entri yang dibuat pada tahun lepas DI SINI, telah diceritakan bagaimana berlakunya tragedi yang disebabkan oleh serangan lanun.

Kini suatu tragedi lagi yang mengakibatkan kehilangan sembilan anak kapal warga China apabila kapal jenis tanker milik Taiwan dengan muatan kargo naphtha berlanggar dengan sebuah kapal kargo di luar pantai Port Dickson pada pukul 10.00 malam Selasa lalu.

Sumber berita AlJazeera memetik ucapan Direktor-General Jabatan Laut, Tuan Kapten Ahmed Othman, usaha mencari pelaut yang hilang itu masih diteruskan. Menurut beliau lagi, kedua-dua orang nakhoda dari kedua buah kapal sedang disoalsiasat bagi menentukan punca kemalangan itu.

Walau pun kebakaran di atas kapal milik Taiwan itu telah berjaya dipadamkan dan tiada kemungkinan pencemaran tumpahan minyak, namun tragedi itu sedikit sebanyak mengganggu perjalanan kapal lain kerana kejadian itu berlaku di laluan kapal di selat yang tersibuk di dunia itu.

Berita lanjut boleh didapati DI SINI.

Isnin, 2009 Ogos 17

Cheng Ho pelayar termasyhur




Sekiranya kita mengkaji sejarah meritim sejak dari abad ke 15 sehingga sekarang, tidak dapat tidak kita akan bertemu dengan seorang pelaut yang paling terkenal. Nama beliau ialah Cheng Ho atau Zheng He atau Ma He atau pun Ma San Bao.

Pada awal kurun ke-15 Masehi negara China di bawah pemerintahan Dinasti Ming, Cheng Ho membuat tujuh pelayaran yang bermula dari muara Sungai Yangtze sehingga ke benua Afrika.

Malah hasil kajian seorang ahli The Royal Geographic Society yang bernama Gavin Menzies, armada Cheng Ho belayar sehingga ke benua Amerika. Ini bererti armada China telah sampai ke benua itu 70 tahun sebelum daripada 'penemuan' dunia baru oleh pelayar Genoa, Christophorus Colombus.

Di antara pelabuhan penting yang menjadi tumpuan Laksamana Cheng Ho ialah Melaka. Melaka dijadikan sebagai salah satu daripada pos perdagangan yang penting, juga sebagai tempat simpanan bekalan untuk armada yang besar itu. Daripada tujuh pelayaran beliau singgah enam kali di Melaka.

Pada hari Sabtu yang baru lalu saya berkesempatan melawat muzium Cheng Ho di Melaka. Ternyata lawatan sambil belajar itu saya mendapat banyak maklumat mengenai sejarah Melaka, Dinasti Ming dan sejarah hidup Cheng Ho.

Selasa, 2009 Ogos 11

Bot tunda Itali dibebaskan setelah USD4 juta wang tebusan dibayar

Bot tunda milik Microperi, sebuah syarikat Itali, dibebaskan setelah wang tebusan sebanyak USD4 juta dibayar kepada gerombolan lanun.

Dengan itu berakhirlah penahanan 16 orang anak kapal serta bot tunda Buccaneer yang ditahan sejak 11 April lalu, semasa dalam pelayaran di Teluk Aden.

Selepas dibebaskan, bot tunda itu belayar ke Djibouti dengan diiringi oleh kapal tentera laut Itali.

Kisah lanjut boleh dibaca DI SINI.

Isnin, 2009 Ogos 10

Kegiatan lanun sejak zaman berzaman



Tidak syak lagi kegiatan merompak di lautan telah berleluasa sejak zaman berzaman.

Sekiranya zaman moden ini kita sering mendengar berita kapal-kapal yang dirampas lanun di perairan Somalia dan Teluk Aden, maka sebelum daripada itu kita dihidangkan dengan kegiatan lanun di Selat Melaka.

Zaman sebelum itu kita membaca kisah lanun di Kepulauan Carribeans.

Bermula dari tahun 1405, Dinasti Ming mengutuskan armada lautnya yang dipimpin oleh Laksamana Zheng He yang membuat tujuh pelayaran dari perairan China sehingga ke negara di Afrika.

Dalam pelayaran pertama Zheng He semasa perjalanan pulang ke China, Zheng He telah memerangi satu gerombolan lanun di kawasan perairan Melaka dan Sumatra. Gerombolan lanun itu berjaya ditumpaskan dan ketuanya dibawa pulang ke China untuk dihukum bunuh.

Pendek kata kegiatan lanun memang telah wujud sejak wujudnya kapal-kapal yang belayar di laut.

Apa yang penting ialah bagi pemilik kapal menyediakan prosedur serta teknik yang berkesan bagi melindungi kapal-kapal milik mereka.

Selasa, 2009 Julai 21

Perginya seorang patriot



Kapt Muhammad Yusof bin Hj Ahmad telah kembali kerahmatullah pada hari Ahad, 19 Julai 2009.

Beliau merupakan seorang pelaut yang pernah bertugas sebagai pilot superintendent di Lembaga Pelabuhan Kelang.

Antara jawatan penting yang beliau pegang ialah sebagai pengurus besar West Port yang pertama.

Selepas bersara dari dari West Port beliau bekerja sendiri sebagai perunding pelabuhan dan marin, dan penimbangtara maritim.

Lima hari sebelum beliau meninggal dunia, ibunya terlebih dahulu menyahut pangillan Ilahi.

Walau pun saya tidak mengenali atau bertemu dengan beliau, tetapi kami mempunyai pendapat yang sama dalam aspek keadilan sosial dan masyarakat.

Ucapah takziah kepada isteri, anak-anak serta ahli keluarga beliau, semoga mereka bersabar dan tabah menghadapi saat pilu ini.

Semoga Allah mencuri rahmat ke atas ruh beliau dan ibu beliau. Dari Allah kita datang, kepada Allah kita akan kembali.

Blog beliau masih boleh dibaca DI SINI.

Khamis, 2009 Julai 09

'Kalau tidak bayar kami akan seksa anak kapal!'

"Sekiranya wang tebusan tidak dibayar, kami akan memukul dan menyiksa anak kapal!"

Begitulah ugutan dari salah seorang ahli gerombolan lanun Somalia.

Dalam berkembangan terbaru yang dilaporkan oleh sumber Lloyd's List, ugutan tersebut adalah tektik rundingan terbaru yang digunakan oleh gerombolan lanun bagi menekan pihak syarikat kapal supaya membayar wang tebusan mengikut jumlah yang mereka tuntut.

Pihak Pertubuhan Maritim Antarabangsa(IMO), melalui ketua keselamatan maritim pertubuhan itu, apabila ditanya mengenai perkembangan terbaru ini berkata, "Amatlah tidak sesuai bagi pihak sekretariat IMO memberi komen berdasarkan cakap-cakap penjenayah. Apa yang penting ialah kerjasama pihak pemerintah Somalia (TFG) dengan para pemimpin puak bagi mengurangkan pengaruh gerombolan lanun dalam masyarakat Somalia bagi menghalang para pemuda Somalia menyertai gerombolan lanun."

Baca kisah ini di Llloyds List DI SINI.

Rabu, 2009 Julai 08

Pelatih Akademi Laut disahkan positif Influenza A ((H1N1)



Sekurang-kurangnya 50 pelatih Akademi Laut Malaysia (ALAM) di Melaka disyaki mengidap Influenza A ((H1N1).

Sumber BERNAMA itu menyebut sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia terdapat tanda-tanda Influenza A ((H1N1) pada 50 pelatih akademi laut tersebut.

Sejak pihak WHO mengisytiharkan wabak itu mencapai Fasa 6 (tahap wabak besar atau pandemik), jumlah kematian setakat ini ialah 96,624 kes dengan 433 kes kematian.

Sumber BERNAMA online boileh dibaca DI SINI.

Jumaat, 2009 Jun 26

Kenali Pelabuhan: Pelabuhan Kuantan pintu masuk ke pantai timur Semenanjung Malaysia


Pelabuhan Kuantan yang mulai dibina pada tahun 1974, di Tanjung Gelang yang terletak 25 km ke utara bandar Kuantan itu adalah merupakan pintu masuk bagi kawasan gerbang pertumbuhan ekonomi kawasan timur (ECER) Semenanjung Malaysia.

Pelabuhan yang telah diswastakan pada tahun 1998 ini mempunyai kemudahan dermaga sepanjang lebih 3,400 meter bagi pendaratan kargo kontena, minyak sawit, kimia cair dan produk petroleum.

Selain pelabuhan komersil, terdapat juga sebuah pangkalan Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) di Tanjung Gelang.

Selain berperanan sebagai sebuah pelabuhan, Kuantan juga terkenal sebagai sebuah bandar pelancungan di kalangan pelancung tempatan dan luar negara.

Sabtu, 2009 Jun 13

Kisah seorang pelaut



Hari ini saya berpeluang menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan rakan saya semasa di kolej dahulu yang kini menjadi rakan sekerja kerana kami bertugas di syarikat yang sama.

Semasa di majlis yang meriah itu, saya bertemu seorang rakan yang sudah lama tidak saya temui sejak beliau bersara setahun lalu. Beliau kelihatan sihat dan ceria, mungkin kerana beliau sudah tidak lagi dihambat tekanan serta bebanan tugas kerja yang sering mencuri keceriaan dari wajah beliau.

Beliau adalah antara orang lama dalam bidang maritim. Beliaulah antara pelaut di kalangan bumiputra yang boleh diberikan taraf pioneer dalam syarikat kapal pedagang tempat beliau bertugas.

Saya percaya sekiranya sejarah hidup serta kerjaya beliau dibukukan, novel itu sudah pasti menarik.

Sabtu, 2009 Jun 06

11 buah kapal dibekukan khidmat



Pada hari Isnin, 1 Jun lalu, syarikat perkapalan Malaysia, MISC Berhad dilaporkan akan menarik diri dari pakatan Grand Alliance yang memberikan khidmat perkapalan kontena bagi laluan dagangan Eropah, Atlantik, Pasifik serta Mediterranean mulai 1 Januari 2009, kerana sektor ini tidak lagi memberikan keuntungan bagi syarikat itu.

Tiga lagi ahli pakatan Grand Alliance itu ialah Hapag-Lloyd, Nippon Yussen Kaisha dan Orient Overseas Container Line Ltd. Pakatan ini menyediakan 140 buah kapal dagang, dengan keupayaan mengangkut 2,000 hingga 9,000 TEU (unit kontena berukuran 20 kaki)untuk mengangkut kargo yang dimuat dalam kontena.

Daripada jumlah itu pihak MISC menyediakan tujuh buah kapal dalam pakatan Grand Alliance.

Baca berita selanjutnya DI SINI.

[Gambar di atas ialah pemandangan dari Kampung Sungai Tuang, sebuah kampung pesisiran pantai berhampiran Akademi Laut Malaysia (ALAM) yang menunjukkan 11 buah kapal yang dibekukan khidmat dan di simpan di kawasan anchorage pantai Tanjung Dahan, Melaka]

Tajaan kadet Akademi Laut (ALAM) menurun



Tajaan kadet di Akademi Laut Malaysia(ALAM) merosot sebanyak 20 hingga 25 peratus pada tahun ini, ekoran kemerosotan ekonomi dunia yang juga menurunkan kegiatan perkapalan.

Kadar ini dianggap rendah berbanding dengan kadar menguncupnya aktiviti perkapalan komersil.

Ada laporan menyebut sejumlah 485 kapal jenis kontena yang bersamaan dengan 1.42 juta TEU (unit kontena berukuran 20 kaki) dari seluruh dunia, dibekukan khidmat.

Menurut Tuan M. Adthisaya Ganesen, ketua pegawai eksekutif ALAM, pihak syarikat perkapalan yang membiayai kadet yang dilatih untuk menjadi pegawai jabatan dek dan enjin telah mengambil sikap berjimat cermat.

Walau bagaimana pun, tetapi pihak syarikat perkapalan menyedari perlunya kesinambungan latihan untuk mengisi keperluan sumber manusia yang akan menyokong industri kapal dagang, sebab itulah kita mengalami kemerosotan hanya pada sekitar 20 hingga 25 peratus.

Berita selanjutnya boleh dibaca DI SINI.

Khamis, 2009 Mei 21

Lanun Somalia ingin diberkas?



Pada bulan Januari yang lalu lima orang warga Somalia diberkas atas tuduhan melakukan serangan ke atas MV Samanyulo, sebuah kapal dagang yang didaftar di Wilayah Dutch Antilles.

Dua orang daripada mereka kelihatan berpuas hati kerana ditahan di negara Eropah. Menurut akhbar The Telegraph salah seorang dari mereka mengatakan bahawa kehidupan dalam penjara Belanda lebih "baik" daripada kehidupan di negaranya Somalia.

Manakala peguam bela kepada seorang lagi warga Somalia itu diberitakan berkata anak guamnya merasa selamat berada di penjara negara Barat. Dia hidup dalam keadaan miskin melarat di kampungnya, sedangkan di penjara Belanda dia dibenarkan bermain bola sepak dan menonton TV. Malah dia berpendapat tandas di penjara itu 'bagus' jika dibandingkan dengan kemudahan di kampungnya di Somalia. Dia berhasrat apabila dia keluar penjara, dia akan meminta isteri dan anaknya datang ke Belanda.

Melihat perkembangan ini, Geert-Jan Knoop, seorang peguam perundangan jenayah antarabangsa, berpendapat bahawa ahli gerombolan lanun akan membiarkan diri mereka diberkas oleh pihak tentera laut dari negara barat, semata-mata dengan tujuan untuk memperoleh kehidupan yang lebih baik, walau pun dalam penjara di barat.

Baca lebih lanjut DI SINI.

Isnin, 2009 Mei 18

MISC tarik diri dari khidmat laluan Eropah



Antara tanda jelas betapa ekonomi dunia menguncup ialah kurangnya barang dagangan yang dibawa melalui khidmat kapal dagang.

Apabila berkurangnya barang dagangan diimpot dan ekspot maka pemilik kapal dagang akan terjejas teruk dalam sektor khidmat kontena laluan tetap.

Syarikat perkapalan kedua terbesar di Asia, MISC Berhad, telah mengumumkan bahawa syarikat itu akan menarik diri dari khidmat kapal kontena bagi laluan antara Timur Jauh dan Eropah mulai 1 Januari 2010, dan hanya akan menumpukan khidmat laluan antara negara Asia, terutama Timur Tengah, India dan Asia Tenggara.

Sehubungan dengan itu syarikat itu mengumumkan ia akan menarik diri dari pakatan konsortium Grand Alliance mulai pada tarikh tersebut.

Dalam perkembangan lain, MISC mengumumkan syarikat itu akan meluaskan khidmat penyelesaian LNG luar pantai dalam usaha sama dengan syarikat pemilik MISC, iaitu Petronas. Sati lagi rakan kongsi khidmat itu ialah Mustang Engineering.

Biarpun syarikat pemilik dan operator kapal LNG terbesar di dunia itu mengalami kemerosotan keuntungan sebanyak 76 peratus, namun syarikat itu berkeyakinan ia mampu mengharungi kemelut ekonomi dunia ini dengan menumpukan usahanya bagi mengukuhkan khidmat syarikat itu di sektor gas dan petroleum.

Baca selanjutnya DI SINI dan DI SINI.

Jumaat, 2009 Mei 15

Terima kasih para pengunjung...



Sudah setahun novel Meredah Samudera diterbitkan.

Hari ini saya menerima komen dari seorang pembaca novel dan blog ini yang telah membaca tidak kurang daripada lima kali (!).

Komen ini beliau tulis di chatbox saya. Saya telah meletakkan salinan komen itu sebagai gambar bagi entri ini.

Pembaca yang memperkenalkan diri dengan menggunakan nama samaran Takkayang mengatakan novel Meredah Samudera begitu menyentuh perasaan.

Saya amat menghargai dan berterima kasih kepada Sdr Tokkayang.

Beliau meminta ditambah lagi maklumat maritim di blog ini. Insya Allah, Sdr Tokkayang, saya akan menambah lagi dan saya berharap Sdr Tokkayang terus menyokong dan berkunjung ke blog Meredah Samudera ini.

Terima kasih juga kepada semua pengunjung serta pembaca novel Meredah Samudera.

Sokongan tuan-tuan dan puan-puan semua amat dihargai.

Terima kasih semua...

Sabtu, 2009 April 25

Pesta Buku PBAKL 2009



Pada hari Khamis, 23 April yang lalu saya berada di hadapan gerai PTS di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 (PBAKL 2009) dalam satu majlis mempromosi buku karangan saya, antaranya ialah Meredah Samudera.

Terima kasih kepada para pengunjung dan para pembaca yang sudi berkunjung ke sana dan kepada pembaca yang sudi membeli atau membaca buku 'Meredah Samudera.'

Jumaat, 2009 April 17

Bagaimana anak kapal Maersk Alabama melawan lanun



Anak kapal Maersk Alabama yang diberitakan berjaya menewaskan gerombolan lanun yang cuba menawan kapal itu.

Kemudian gerombolan lanun itu melarikan diri dengan bot penyelamat dari kapal itu serta menculik nakhoda sebagai tebusan.

Bebarapa hari kemudian pasukan khas dari tentera laut Amerika berjaya menyelamatkan nakhoda setelah rundingan gagal membuahkan hasil. Tiga lanun mati ditembak dan seorang lagi cedera dalam operasi itu.

Sebuah blog telah menyiarkan emel dari salah seorang anak kapal itu yang memberikan gambaran sebenar apa yang berlaku semasa lanun cuba merapas kapal itu.

Sila baca DI SINI.

Isnin, 2009 April 13

Lanun: pembela atau perompak



Selalunya kita mendengar dan membaca kisah kumpulan manusia yang menahan dan merampas serta menculik para pelaut dari sebelah pihak sahaja.

Suatu kisah menarik apabila kita membaca kisah sejarah lanun dari sudut pandangan yang berbeza.

Baca DI SINI.

Nakhoda Maersk Alabama selamat



Nakhoda kapal kontena Maersk Alabama, Kapten Richard Phillips, berjaya diselamatkan setelah penembak sniper tentera laut Amerika berjaya menumpaskan tiga daripada empat orang lanun yang menahan nakhoda itu. Tiga orang lanun ditembak mati, manakala seorang lagi diberkas.

Kejadian itu berlaku setelah pasukan laut khas Amerika, SEAL, melancarkan operasi menyerang kerana situasi semasa dalam 'keadaan sangat mengancam nyawa' ketika kedua pihak berunding mengenai pembebasan nakhoda itu.

Berita lanjut boleh di baca DI SINI dan DI SINI.