Isnin, 12 Mei 2008

Pernah terfikir hendak jadi penulis sepenuh masa?

Pernahkah anda terfikir menjadi penulis sepenuh masa?

Saya pernah. Tetapi hasrat saya itu diberi komen menarik oleh isteri saya.

"Buku abang belum mencapai sejuta pembaca lagi. Penulis best seller Inggeris dan Amerika mendapat royalti berjuta pound dan berjuta dolar. Apabila royalti abang mencecah sejuta ringgit, memang abang tak pandang dah duit gaji kerja abang tu.."

Saya renungi pendapat itu dan saya merasa setuju dengan pandangan beliau.

Saya pernah membayangkan diri saya sebagai penulis best seller yang mendapat royalti yang lumayan. Selalu sahaja saya menjelajah seluruh negara, malah seluruh dunia. Sebaik sahaja check-in ke hotel, saya masuk ke bilik dan membuka komputer lap-top saya dan idea menulis pun datang mencurah-curah. Saya menulis sehingga larut malam. Dalam sehari sudah boleh siap 100 ms lebih. Dalam masa seminggu di hotel itu saya sudah siapkan sebuah novel dan saya singgah di pejabat pos untuk menghantar manuskrip kepada penerbit melalui pos laju!

Sesudah itu saya pun meronda bandar itu bagi merihatkan minda dan pada masa yang sama saya sudah mendapat idea baru untuk novel yang seterusnya! Indah sungguh fantasi itu!

Saya tersentak sambil melihat senarai kerja penulisan yang menanti saya: travelog, jibunsyi, novel remaja, proposal buku pengurusan dan buku Menjadi Pujaan Suami -- semuanya menuntut disiapkan segera.

Aduhai! Sesungguhnya aku rentung di muara penulisan.

"Cepat! Siapkan!!!"

0 ulasan: