Jumaat, 2 Mei 2008

Maklumat, ilmu maritim dan pelayaran dalam novel

Kisah pengembaraan yang paling terkenal ialah yang diceritakan oleh Ibnu Battuta dan Marco Polo.

Ibnu Battuta ialah warga Tangier, Morocco, dan travelog beliau meliputi pengamalannya hampir 30 tahun mengembara di Afrika dan Asia, bermula pada tahun 1325. Manakala Marco Polo pula ialah warga Itali yang mengembara di Eropah dan Asia, bermula pada tahun 1252.

Selain travelog Ibn Battuta dan Marco Polo, ada empat cerita yang begitu meninggalkan kesan dalam pengalaman saya sebagai penggemar buku.

Yang pertama ialah kisah karangan warga Perancis, Jules Verne yang berjudul “20,000 Leagues Under The Sea," yang diterbitkan pada tahun 1870, yang menceritakan pengalaman Professor Pierre Aronnax yang tertawan di atas sebuah kapal selam yang diberi nama Nautilus, yang diketuai oleh Kapten Nemo. Cerita berakhir dengan professor dapat melepaskan diri, tetapi tidak diberitahu apakah nasib Nemo dan Nautilus.

Kisah yang kedua ialah kisah pemberontakan beberapa orang pegawai dan anak kapal yang diketuai oleh Fletcher Christian terhadap Kapten William Bligh di atas kapal yang bernama Bounty yang berlaku pada 28 April, 1789. Mereka ditugaskan oleh kerajaan Inggeris menjalankan eksperimen penanaman pokok sukun (breadfruit) dengan mengutip benih pokok sukun di pulau Tahiti dan kemudian memindahkan anak pokok sukun tersebut ke kepulauan West Indies. Pemberotakan itu berlaku berhampiran Pulau Tonga semasa Bounty dalam pelayaran dari Tahiti ke West Indies. Kisah benar ini dijadikan plot dalam beberapa novel yang ditulis menjadikan ceritanya sungguh menarik. Dengan membaca novel mengenai pemberontakan anak kapal Bounty, pembaca akan mendapat gambaran mengenai keadaan kehidupan pelaut di waktu itu selain dapat memahami sedikit sebanyak tentang undang-undang maritim.

Cerita yang ketiga ialah mengenai tragedi kapal penumpang “Titanic” yang tenggelam dalam pelayaran yang pertama lagi, dari England menuju ke Amerika, pada tahun 1912. Daripada 2,203 penumpang dan anak kapal, hanya 706 orang yang terselamat. Dari pembacaan kisah ini kita akan dapat mendapat gambaran mengenai kemudahan yang disediakan dalam pelayaran sesebuah kapal penumpang, selain dapat mendapat maklumat tentang keselamatan yang perlu diwujudkan dalam pelayaran.

Cerita yang keempat mengisahkan bagaimana seorang lelaki Minangkabau, ditolak lamarannya oleh keluarga Hayati kerana dikatakan dia tidak setaraf dengan keluarga Hayati. Novel ini ditulis oleh Pak Hamka dan diterbitkan pada tahun 1973.

Para pembaca yang pernah membaca keempat-empat kisah ini, akan mendapat maklumat yang banyak mengenai perkapalan ilmu maritim sezaman dengan buku-buku itu diterbitkan.

0 ulasan: