Khamis, 15 Mei 2008

Istimewanya bidang maritim!

Sekitar tahun 2002-2003, sebuah syarikat perkapalan di Malaysia
menawarkan para pekerja eksekutif dan pengurus syarikat itu untuk
berhenti kerja di bawah "skim pemberhentian sukarela" (VSS).

Objektif VSS itu diberikan ialah kerana syarikat sudah diambil alih
oleh sebuah syarikat lain. Maka pihak syarikat di bawah pengurusan
yang baru berpendapat untuk menyerapkan budaya kerja yang baru maka
majoriti para pekerja yang sedia ada perlu ditukar ganti dengan
muka-muka baru. Sebab lain pula mungkin pekerja dari syarikat yang
mengambil-alih itu hendak diserapkan ke dalam syarikat perkapalan itu.

Saya bertanya kepada beberapa orang rakan sekerja yang telah menerima
tawaran VSS itu untuk mengetahui apa yang mereka akan buat selepas
'bersara.'

"Kapten, apa nak ke mana selepas ini?"

"Saya nak rehat dulu. Bagi saya, kalau saya nak dapatkan kerja di
mana-mana syarikat perkapalan, emm…, tak jadi masalah besar."

"Saudara nak buat apa lepas ini?"

"Saya akan ke RTM."

"RTM? Saudara akan bertugas di Angkasapuri?" Saya agak kehairanan
kerana memikirkan apa pula kena-mengena bidang maritim dengan
penyiaran.

"Relaks, Tidur, Makan.!" Dia menjawab sambil tersenyum. Saya tergelak.

Akhirnya, lebih separuh daripada para eksekutif dan pengurus yang
menerima tawaran VSS.

Tidak berapa lama selepas itu, saya bertemu beberapa orang daripada
mereka. Saya dimaklumkan, mereka semua telah bekerja, kecuali seorang
dua saja terus bersara dari alam pekerjaan.

Komen mereka apabila saya katakan, "Senangnya dapat kerja baru..,"
ialah, "Itulah istimewanya bidang maritim!"

0 ulasan: