Sabtu, 17 Mei 2008

Flag of Convenience

Mengikut undang-undang maritim antarabangsa, setiap kapal dagang yang beroperasi di laut mesti didaftarkan, dan akan memasang bendera negara mana kapal itu didaftarkan, yakni membawa bendera negara itu.

Pada peringkat awal era kapal dagang, lazimnya kapal dagang akan didaftarkan di negara tuan punya kapal itu. Namun, pada sekitar tahun 1920'an, pemilik kapal dagang mula mendaftarkan kapal-kapal dagang mereka di negara ketiga. Maka kapal-kapal dagang ini dikatakan membawa bendera negara ketiga atau Flag of Convenience (FOC).

Objektif utama langkah ini diambil ialah untuk mengurangkan kos operasi dan mengelakkan dari peraturan yang dikenakan oleh negara tuan punya kapal.

Setakat tahun 2000, majalah The Economist terbitan bulan Mei mendedahkan 50 peratus daripada kesemua kapal dagang seluruh dunia adalah pembawa Flag of Convenience. Pemilik kapal pembawa FOC dilaporkan dapat mengurangkan pembayaran cukai yang tinggi yang dikenakan oleh negara asal kapal itu sekiranya didaftarkan di negara asal. Di samping itu pemilik kapal pembawa FOC juga dapat mengambil pekerja kapal dari negara yang ditawarkan gaji yang lebih rendah.

Bagaimana pun, ada pihak yang menentang pendaftaran kapal dagang Flag of Convenience kerana langkah ini akan mengurangkan pendapatan negara pendaftar kapal yang mengenakan peraturan perkapalan dagang yang lebih ketat; dan akan menurunkan tahap keselamatan dan kebajikan pekerja kapal dagang yang membawa Flag of Convenience.

Hari ini, dua negara yang mendaftarkan paling banyak kapal dagang melalui skim Flag of Convenience ialah Panama dengan lebih daripada 4,900 buah kapal dan Liberia dengan lebih daripada 1,900 buah kapal.

0 ulasan: