Selasa, 6 Mei 2008

Nyaris dilanggar feri !

Beberapa tahun yang lalu, saya dan rakan pengail karib saya, Talib, bersama beberapa orang rakan telah menyewa sebuah bot untuk memancing di sekitar kawasan Pelabuhan Kelang.

Hari sudah hampir senja semasa kami menaiki bot itu dari jeti Pelabuhan Selatan. Apabila bot itu berlepas meninggalkan jeti, barulah kami sedar bot itu tidak dapat bergerak laju dan tidak mempunyai lampu yang sesuai untuk memancing di waktu malam. Tetapi oleh kerana tidak mahu waktu hujung minggu yang sudah kami sediakan untuk aktiviti memancing terbuang begitu sahaja, maka kami teruskan juga mengikuti bot itu.

Bot itu dibawa oleh seorang jurumudi dari sebuah kampung berdekatan (Teluk Gong, jika tidak silap) dan seorang pembantu. Kawasan kami memancing ialah di sekitar Pelabuhan Selatan sehingga ke jambatan yang merentasi Selat Kelang dan menyambungkan tanah besar dengan Pulau Lumut (sekarang dipanggil Pulau Indah).

Setelah memancing selepas senja sehingga pukul 9.00 malam, kami mendapat ikan gelama, ikan duri dan ada juga beberapa ekor ikan pari. Seseorang mencadangkan kami bergerak ke arah tepi kerana air sudah pasang, kerana apabila air pasang kalau memancing di tepian pun boleh dapat ikan.

Semasa bot sedang bergerak ke tepian, kami melintasi suatu kawasan laluan feri yang mendarat dan berlepas di jeti Pelabuhan Selatan. Oleh kerana bot kami bergerak perlahan dan dalam kegelapan malam, sebuah feri laju hampir-hampir melanggar kami.

Kejadian itu berlaku terlalu pantas. Kami hanya tersedar apabila feri melintas pantas di depan bot kami dan bot kami terumbang-ambing dipukul ombak kesan kipas enjin feri tersebut.

“Astaghfirullah!” tercetus ucapan dari mulut Talib. “Bahaya sungguh laluan ini.”

Kami semua menarik nafas panjang setelah menyedari kami baru terlepas dari suatu mala petaka yang hampir-hampir menyusahkan kami.

Sesungguhnya malang tidak berbau.

Selepas peristiwa cemas itu saya dan Talib menjadi lebih ‘memilih’ apabila mahu mencari bot sewa untuk memancing.

Keselamatan diri perlu diutamakan walau pun di saat kita mahu berseronok memancing!

0 ulasan: