Rabu, 25 April 2007

Secebis Kisah Poligami

( i )
"Mak Limah tahukah Pak Mat bernikah satu lagi?" tanya saya.
"Pada mulanya tidak tahu. Tetapi kemudian dia tahu," jawab Pak Mat, sambil tersenyum simpul.
"Macam mana rahsia terbongkar?" tanya saya.
"Saya yang beritahu Mak Limah," jawab Pak Mat ringkas.
"Bagaimana Pak Mat beritahu? Bawa bersemuka atau tunjuk gambar?" tanya saya, ingin tahu teknik-teknik beliau.
"Mak Limah memang akan periksa poket-poket saya sebelum membasuh pakaian. Saya fotostat surat nikah saya dan isteri kedua dan 'buat pura-pura tertinggal' salinan surat nikah itu," jawab Pak Mat. "Beliau periksa poket baju saya dan terjumpa salinan surat nikah itu."
"Bila Mak Limah jumpa salinan surat nikah itu, tidakkah meletus perang dunia, Pak Mat?"
"Tidak. Tiada perang, malah angin 'kus-kus' pun tidak ada," jawab Pak Mat.

( ii )
"Tidak bertengkar? Hairan juga saya. Apa reaksi Mak Limah?" tanya saya.
"Beliau bergegas ke bilik air. Ambil wudhu dan terus solat," jawab Pak Mat.
"Mak Limah tidak menangis?" tanya saya.
"Beliau solat lepas itu datang bersalam dengan saya. Lepas cium tangan dia berkata tenang: "Selamat pengantin baru, bang." Saya pun terdiam dengan reaksi dan tindakan beliau," kata Pak Mat, masih lagi tersenyum simpul.
"Subhanallah! Beruntung Pak Mat dapat isteri seperti Mak Limah. Tidak marah. Tidak menangis. Tidak baling pinggan mangkuk atau periuk belanga. Apa perasaan Pak Mat ketika itu?" tanya saya.
"Bercampur-campur sebenarnya perasaan saya ketika itu," jawab Pak Mat.
"Maksud Pak Mat?"
"Terkejut campur gembira. Menyesal pun ada. Kasihan juga," jawab Pak Mat.
"Kenapa begitu, Pak Mat?"
"Terkejut kerana tidak sangka reaksi dia begitu. Menyesal sebab walau pun perasaan dia terluka tetapi dia masih tenang dan sempat mengucapkan 'selamat pengantin baru' kepada saya. Saya menyesal saya kahwin satu lagi, tetapi tak kan lah saya nak ceraikan isteri muda. Kasihan kepada beliau kerana walau pun di dalam keadaan sedih, dia sanggup menelan kepahitan dan menahan perasaannya. Bukan senang hendak hadapi semua itu," terang Pak Mat.

( iii )
"Boleh saya tahu rahsia hati Pak Mat?" tanya saya.
"Rahsia apa?"
"Antara dua isteri Pak Mat, siapa yang Pak Mat lebih sayang?" tanya saya.
"Pandai kamu mencungkil rahsia saya, ya?"
"Hati manusia, Pak Mat."
"Isteri kedua cantik dan muda. Kerja sebagai guru sekolah menengah. Saya sayang beliau," terang Pak Mat.
"Pak Mat lebih sayangkan dia daripada Mak Limah?" desak saya.
"Mak Limah sudah berumur. Tetapi ketika dia muda dulu, dia cantik rupawan juga. Kami sudah lalui masa susah semasa saya baru mula bertapak. Dia sabar dan tabah menempuhnya dan setia bersama saya," jawab Pak Mat.
"Mak Limah lebih dekat di hati Pak Mat daripada isteri kedua Pak Mat?" tanya saya.
"Ya, benar sekali. Mak Limah wanita pertama di hati saya. Dia masih setia dan menerima hakikat saya bernikah lagi. Itu yang membuat hati saya sayang lebih sedikit daripada isteri muda saya," terang Pak Mat.
Saya dan Pak Mat terus berbual-bual sambil makan mee ladna di warung tom yam seafood itu.

3 ulasan:

ummi berkata...

macam nak bagi semangat kepada para isteri pertama aja..nice try alang ;-)

ummi berkata...

macam nak bagi semangat kepada isteri pertama ;-). Good try, bro..

Imran Yusof berkata...

Sdr Ummi,

Bila berlaku poligami, sebenarnya kedua-dua isteri menanggung "sakit di hati":- jikalau tidak banyak pun, tentu ada sedikit, tetapi tetap rasa tidak puas hati.

Isteri pertama cemburu kepada isteri pertama, isteri 'muda' cemburu isteri 'tua'.

Si suami yang berpoligami juga akan merasa 'tertekan' akibat karenah kedua-dua isterinya. Apabila berada di rumah isteri tua, teringat akan kemanisan dan kemanjaan isteri muda; sebaliknya apabila berada di rumah isteri muda, teringat akan kesetiaan isteri tua dan rindukan suara 'bising' tangisan dan ketawa anak-anak bersama isteri tua.

Analogi yang sesuai mungkin seperti menunggang dua ekor kuda yang kadang-kadang berlari seiring, kadangkala berlari berlainan arah.

Penuh dilema dan serba-salah. Apabila ditambah pula dengan kurangnya pengetahuan (dan amalan) dan pertunjuk Allah, maka bertambah lagilah dilema dan serba-salah itu.

"Kiri padang kanan pun padang
di tengah-tengah pohon mengkudu
kiri sayang kanan pun sayang
di tengah-tengah suami terkedu...!"