Sabtu, 14 April 2007

BILA AKAL MENGATASI WAHYU

Apabila kerajaan Perlis mengisytiharkan kelonggaran terhadap suami-suami yang ingin berpoligami dengan tidak perlu memohon kebenaran dari isteri tua, bagaikan gegak gempita puak-puak yang bergerak di atas nama pembelaaan terhadap kaum wanita. Timbul semula persoalan tentang keadilan Islam. Malah terlalu ramai pula yang rasanya sudah terkeliru dengan pelbagai fakta yang tidak jelas sehingga mengeluarkan kenyataan yang tersasar dari keadilan dan tatasusila seorang muslim yang beriman.

Sesiapa yang masih belum lupa dan belum mudah untuk lupa, tentu akan mengingati bagaimana isu poligami cuba dipolemikkan dengan hebat oleh media massa apabila Dewan Undangan Negeri Terengganu dihujani dengan satu soalan oleh wakil pembangkang (UMNO-BN) tentang poligami. Sebagaimana biasa, setiap soalan yang diutarakan pasti memerlukan jawapan. DUN Terengganu tentunya tidak sama dengan Parlimen yang kebanyakan menteri-menteri yang bertanggungjawab untuk menjawab soalan ponteng dari sidang dan menyerahkan tanggungjawab kepada orang bawahan. Namun sebagaimana biasa, media massa terus memanipulasikan isu ini sehingga seolah-olah gambaran yang ingin diberikan ialah DUN Terenganu hanya tahu membicarakan soal poligami sahaja dengan mengenepikan agenda-agenda pembangunan yang dianggap lebih penting. Inilah lumrah media massa. Malah seandainya media massa dilihat berlaku adil dengan pembangkang, cuba-cubalah lihat ke atas, manalah tahu kalau-kalau matahari sudah terbalik!

Selang beberapa lama kemudian, sekali lagi isu ini tercetus dan dibahaskan namun pertempuran kali ini ialah di antara UMNO vs UMNO. Kali ini perlawanan nampaknya lebih rancak dan sengit apabila kedua-dua pihak mempunyai bala tenteranya masing-masing. Satu pihak bersenjatakan barisan NGO dan pembela-pembela wanita manakala satu pihak lagi berperisaikan mufti dan enakmen. Sayangnya, di dalam pertempuran yang tidak seharusnya berlaku ini, kita mendengar suara-suara sumbang yang kadang kala boleh ditafsirkan sebagai melanggar tatasusila seorang muslim. Keadilan Islam bagaikan dipertikaikan dengan hebatnya apabila Islam tidak meletakkan syarat bahawa berpoligami memerlukan keizinan isteri pertama.

Untuk melihat persoalan ini dari konteks seorang yang belum pernah lagi berkahwin tentunya agak sukar. Bak kata pepatah, bagaikan jauhari yang mengenal manikam. Hanya yang pernah menjadi suami sahaja yang tentunya dapat merasai bagaimana berhajatnya hati untuk berpoligami. Begitu juga hanya seorang isteri sahaja yang mempu merasai peritnya hati seandainya kasih dibahagi. Namun saya cuba untuk membawa persoalan dari sudut akhlak seorang muslim. Adalah menjadi satu perkara yang amat menyedihkan apabila seorang yang bernama muslim atau muslimah cuba mempertikaikan keadilan Allah SWT. Islam bukanlah diukur keadilannya dengan menggunakan akal manusia. Bahkan kalaulah keadilan Islam mengikut logik akal manusia, maka Islam pasti tidak akan sampai kepada kita. Seorang muslim yang sebenar semestinya beriman bahawa setiap ketentuan yang terdapat di dalam Islam pastinya mempunyai pelbagai hikmah dan pengajarannya yang tersendiri.

Sejarah pernah menyaksikan bagaimana perjanjian Hudaibiah yang ditandatangani di antara Rasulullah SAW dan kaum kafir Quraisy adalah satu perjanjian yang berat sebelah yang terlalu tidak adil kepada Islam jika dilihat dari kaca mata zahir. Bahkan kebanyakan sahabat Rasulullah SAW seolah-olah tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka tidak dibenarkan untuk memasuki kota Makkah bahkan terpaksa menerima satu perjanjian yang nampaknya terlalu menyebelahi kaum kuffar Quraisy. Namun, sebagaimana yang dipaparkan oleh sejarah, perjanjian Hudaibiah memberika keuntungan yang ketara kepada umat Islam di zaman itu. Keamanan yang tercipta hasil perjanjian tersebut memberikan peluang kepada Rasulullah SAW untuk menumpukan perhatian kepada penyebaran dakwah ke luar dari Semenanjung Tanah Arab.

Itu hanyalah beberapa rentetan dari permata-permata sejarah yang menjadi bukti kepada kita umat yang terkebelakang bahawa setiap apa yang diperintahkan oleh Allah SWT mempunyai hikmah-hikmahnya yang tersendiri. Begitu juga dalam isu poligami, sepatutnya tidak ada sesiapa yang memperseoalkan keadilan Islam kerana mempertikaikan keadilan Islam secara terbuka seperti ini menampakkan kedangkalan seseorang. Apatah lagi, tokoh-tokoh yang kononnya merupakan pembela wanita seperti ini tidakpun menutup penuh rambut mereka sebagaimana yang diperintahkan Islam!! Dalam hal ini, apakah komen orang-orang seperti Astora Jabat?

Walau bagaimanapun, kita menyedari bahawa kadangkala komentar yang datang daripada kaum wanita adalah disebabkan amalan poligami yang dilakukan oleh kebanyakan para suami tidak bertepatan dengan kehendak Islam. Terlalu ramai yang beristeri lebih daripada satu namun tidak dapat berlaku adil sebagaimana yang diperintahkan Islam. Di sinilah kesilapan kaum lelaki yang pada zahirnya seolah-olah ingin mengikuti amalan sunnah namun sebenarnya lebih menuju untuk menjadi punah!

Walau apapun, isu poligami dianggap hampir selesai dengan persetujuan untuk menyeragamkan sistem mahkamah syariah di seluruh negara. Namun, kepada pihak-pihak yang telah mengeluarkan kenyataan yang melampaui batas, mereka haruslah bertaubat. Dan kepada lelaki-lelaki khususnya yang ingin berpoligami nanti, cuba-cubalah tilik sendiri, bolehkah anda berlaku adil…? Kalau tidak, janganlah cuba-cuba untuk mengambil risiko kalau anda tidak bersedia untuk tidur di tangga!!

Dipetik dari Blog:

Annuarbakri's Weblog.

1 ulasan:

Anonymous berkata...

miz made this comment,
Seorang ahli keluarga saya menjadi isteri kedua seorang lelaki awal tahun ini. Ahli keluarga saya ini mempunyai seorang anak. Isteri pertama lelaki itu pada awalnya tidak beri izin tetapi kemudiannya ia berubah fikiran. Namun dia masih tidak dapat menerima ada orang lain dalam hidup suaminya. Saya tidak boleh bercakap tentang perasaan mereka yang dimadu, tapi apa yang saya prihatin ialah apabila ada majlis tertentu yang diadakan terutama di rumah keluarga si lelaki. Dia pergi bersama isteri pertama pada sebelah pagi kemudian terpaksa pergi lagi pada sebelah petang dengan isteri kedua. Bukankah elok kalau semuanya dapat pergi bersama-sama? Satu lagi, anak isteri kedua itu tidak pernah berjumpa dengan anak keluarga pertama. Bukankah elok jika mereka dapat berkenalan dan sama-sama bermain di tempat yang sama pada bila-bila masa?
comment added :: {ts '2006-12-12 17:49:35'} GMT+08