Selasa, 18 November 2008

Industri maritim dunia kekurangan 34,000 orang pelaut




Industri perkapalan dagang dunia masih kekurangan seramai 34,000 orang pelaut bagi menampung jumlah keseluruhan 498,000 ribu orang yang diperlukan oleh industri itu, demikian yang dilaporkan oleh penganalisis industri maritim, Drewry Shipping Consultants.

Berdasarkan unjuran kadar pertambahan jumlah tonnage kapal sedunia, Drewry meramalkan menjelang tahun 2012, angka itu akan meningkat kepada 83,900 orang.

Setiausaha Agung IMO, Tuan Efthimios E. Mitropoulos menyatakan, “Seperti yang telah dimaklumi oleh semua pihak dalam industri maritim, kekurangan pelaut di seluruh dunia sudah sampai ke tahap yang amat membimbangkan.”

Sehubungan dengan itu, pihak International Maritime Organisation (Pertubuhan Maritim Antarabangsa) telah melancarkan kempen “Jom turun ke laut!” ("Go to sea!" ) bagi menarik lebih ramai pemuda untuk menjadi pelaut, terutama sekali bagi jawatan pegawai. Beberapa lagi badan dan pertubuhan industri maritim terlibat bagi menjayakan kempen iaitu International Labour Organization (ILO), BIMCO, ICS/ISF, INTERCARGO and INTERTANKO1 dan International Transport Workers' Federation(ITWF).

Antara langkah yang tercatat dalam dokumen kempen tersebut ialah industri maritim perlu mengambil inisiatif membuat promosi dalam media cetak dan elektronik bagi meningkat kesedaran dan kecenderungan para pelajar mengenai peluang kerjaya yang ditawarkan dalam industri perkapalan dagang. Kempen itu juga merayu pihak kerajaan bagi memainkan peranan yang lebih menonjol bagi menyokong industri maritim.

Pihak blog Meredah Samudera menyokong kempen ini dan berharap pelbagai pihak di negara ini, terutama pihak media dan kerajaan di peringkat federal dan negeri, pertubuhan belia, persatuan pelajar sekolah, ibu-bapa dan guru-guru supaya mengambil langkah positif bagi menjadikan negara ini antara penyumbang utama bagi menampung permintaan pelaut itu.

Tentunya pihak syarikat perkapalan seperti MISC Berhad, Akademi Laut Malaysia, dan lain-lain syarikat, serta persatuan pelaut dan pelbagai pihak lagi yang terlibat dengan industri maritim negara ini, akan bangkit dan mendepani cabaran ini.

Sumber: www.imo.org (17 Nov’08)
[Kempen jom ke laut oleh IMO untuk tarik lebih ramai pelaut]

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kekurangan pelaut tetapi tiada tindakan bijak yang diambil jabatan laut dalam menyumbang ke arah pertambahan pelaut...sebagai contoh hanya ALAM dan PUO menawarkan kursus seafarer dan graduan marine technology UTM pula tidak lagi diiktiraf untuk menjadi seafarer dan menduduki ujian stcw walaupun tahun awal 90 an dulu dibenarkan..alam dan puo hanya tawar level diploma..terbaru MEBP yg ditawarkan ALAM langsung tidak nampak kesungguhan dalam melaksanakanya..

Tanpa Nama berkata...

Saya pelajar lepasan Ijazah Kejuruteraan, baru call ALAM bertanya tentang kursus MEBP atau Engine Rating.mengecewakan kerana jawapan dari pihak ALAM bahawa tiada program yang di tawarkan sekarang kecuali MISC atau syarikat perkapalan lain yang sponsor. cukup pelik jika di lihat media menyatakan kekurangan pelaut tetapi bagi belia yang berminat di negara ini tidak mempunyai peluang yang luas.institusi yang menawarkan MEBP pula tiada di tempat lain.maka terpaksa akur sahaja.