Ahad, 23 November 2008

Perkembangan terkini di Teluk Aden: cabaran, kebimbangan dan harapan



Selepas peristiwa Tentera Laut India menembak dan menenggelamkan sebuah kapal yang dipercayai menjadi kapal induk lanun, Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) sebulat suara meluluskan usul mengenakan sekatan terhadap lanun, penyeludup senjata dan pihak yang menyebabkan keadaan tidak stabil di negara Horn of Africa, Somalia.

Antara sekatan yang dikenakan ialah sekatan perjalanan (kembara keluar negera) dan pembekuan aset individu serta pihak yang terlibat. [Nota Imran Yusuf: Kita berpendapat, pihak barat khususnya Amerika Syarikat ialah antara mereka yang bertanggung jawab yang menyebabkan keadaan politik yang tidak stabil apabila mereka menggerakkan proksi mereka, Ethiopia, supaya masuk ke Somalia dan menyerang pihak kerajaan yang didirikan oleh Union of Islamic Courts (UIC). Jadi kenapa pihak UNSC mengenakan sekatan kepada pihak di Somalia sahaja?]

Sebelum peristiwa kapal induk lanun ditembak dan diteggelamkan itu, pihak komando Tentera Laut Di Raja Inggeris dari kapal perang HMS Cumberland mengejar sebuah bot nelayan milik Yemen di luar pantai Yemen dan menembak mati dua orang warga Somalia dan mencederakan seorang warga Yemen (yang kemudiannya mati). Bot nelayan itu dipercayai terlibat dalam percubaan merampas kapal kargo milik Denmark, MV Powerful.

Pihak Kesatuan Eropah (EU) telah melancarkan khidmat kapal pengiring bagi mengiringi kapal-kapal yang melalui perairan Somalia dan Teluk Aden. Khidmat itu akan dimulakan dengan khidmat Tentera Laut Perancis.

Selepas lanun merampas kapal pengangkut minyak gergasi(supertanker) Sirius Star milik Arab Saudi, pihak pejuang Somalia yang dikenali sebagai Al-Shabaab, yang diketuai oleh salah seorang pemimpin mereka, Mukhtar Robow atau Abu Mansour telah memasuki Haradheere dan Hoboyo, Jumaat lepas. Kedua-dua bandar itu dikenali sebagai bandar persinggahan gerombolan lanun. Pihak pejuang diarahkan menyerang gerombolan lanun di kedua-dua bandar tersebut.

Senada dengan tindakan pejuang Al-Shabaab itu, pemangku ketua pegawai eksekutif Frontline Limited, sebuah syarikat perunding keselamatan maritim yang beribu pejabat di Oslo, Norway bersetuju dengan tindakan Al-Shabaab itu.

Walau pun gerombolan lanun itu tidak mempunyai kekuatan setanding dengan kekuatan tentera laut negara-negara maju, kita hairan dan tertanya-tanya mengapa pihak berkuasa negara-negara pimilik kapal dagang dan pihak tentera laut mereka seolah-olah tidak berdaya melawan puak lanun itu?

Pelbagai alasan diberikan seperti keluasan pantai Somalia melebihi 3,000 kilometer, lanun mempunyai bot laju, nyawa tebusan dalam bahaya, dan pelbagai lagi alasan.

Jika kita renungkan dan meneliti fakta bahawa pantai Amerika lebih berlipat-kali ganda lebih panjang dari pantai Somalia, mengapakah pihak pengawal pantai Amerika berjaya menjaga keselamatan pantainya dari ancaman lanun? Pantai negara-negara Eropah juga berkali ganda lebih panjang daripada pantai Somalia, tetapi mengapa mereka mampu mengawal pantai mereka dari ancaman lanun?

Mengapa tidak pantai Somalia? Kenapa begitu? Kerana Somalia tidak stabil politiknya? Tetapi lihatlah, apabila pihak UIC baru berkuasa selama enam bulan di Somalia, pihak barat sudah mampu menggerakkan Ethiopia, proksi mereka menyerang Somalia supaya menjatuhkan kerajaan UIC?

Apabila kita halusi hakikat ini, kita tentu merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Kalau kita pinjam ungkapan Inggeris "something just does not add up here" atau "something fishy" bolehlah digunakan untuk menyelami situasi ini.

Pihak blog 'Meredah Samudera' berpendapat situasi 'ancaman lanun' ini sebenarnya menguntungkan pihak atau negara yang mempunyai angkatan laut yang kuat serta pihak yang mempunyai pasukan laut yang bersenjata yang mempunyai kekuatan tentera. Dengan adanya ancaman lanun ini, dengan sendirinya kerajaan dan syarikat yang memberikan khidmat 'keselamatan' seperti kapal pengiring untuk kapal dagang, khidmat perunding keselamatan maritim, dan seumpamanya akan beroleh peluang perniagaan yang sangat lumayan pendapatannya.

Ya! Semuanya ada kepentingan bisnes. Tidak syak lagi. Sudah terang lagi bersuluh. Benarlah seperti maksud sebuah hadis Nabi (S.A.W) yang menyebutkan bahawa di akhir zaman nanti, "Semua urusan adalah dinar dan dirham" iaitu semua urusan ialah bermatlamat kepada wang, duit dan keuntungan kebendaan.

Tidak syak lagi semasa waktu singkat Somalia diperintah oleh kerajaan pimpinan UIC, mereka berjaya mengurangkan serangan lanun kerana sebenarnya puak Somalia yang paling banyak terlibat dengan kegiatan melanun ialah gerombolan warlord dan militia yang mendapat sokongan moral dan kebendaan dari pihak barat, khusunya Amerika.

Akibat campur tangan pihak barat khususnya Amerika juga maka negara Somalia mengalami kemusnahan dan kehancuran dari segi infrastruktur, sosial dan ekonomi.

Mungkin pihak barat, khususnya Amerika tidak menyedari bahawa mereka mempunyai peluang dan kekuatan untuk mengatasi ancaman lanun di perairan Somalia dan Teluk Aden itu.

Pihak barat khususnya Amerika perlu mengkaji semula sokongan mereka terhadap Ethiopia dan pihak warlord dan militia Somalia. Gerombolan lanun dan pengkhianat ini sebenarnya yang menjadi ancaman kepada kegiatan kapal dagang dunia. Merekalah petualang yang mesti dihapuskan.

Manakala pihak UIC, Al-Shabaab dan lain-lain pihak yang bersekutu menentang kerajaan TFG sebenarnya yang akan menjadi benteng pertahanan dan menjadi pembantu kepada memajukan aktiviti kapal dagang dunia. Merekalah pembantu utama kepada masyarakat antarabangsa bagi menjadikan koridor laluan perairan Somalia, Teluk Aden dan Horn of Africa sebagai laluan strategik dunia yang aman, bebas dan berkecuali.

Pihak barat, Amerika, EU, NAM, OIC dan UN sepatutya berani bertindak dan berani mengenepikan sikap dengki khianat dan sikap sombong bongkak dan membantu rakyat Somalia bagi mengatasi masalah lanun di Perairan Somalia dan Teluk Aden.

Semoga dengan perubahan suasana dan kepimpinan politik yang berlaku di Amerika Syarikat dan dengan terpilihnya Tuan Barack Obama menjadi pemimpin tertinggi negara itu, dunia akan mengalami perubahan ke arah persaudaraan umat manusia dan pengurangan semangat persengketaan di dunia.

0 ulasan: