Isnin, 10 November 2008

Bertemu seorang sahabat lama



Boleh dikatakan perjalanan hidup saya dari alam sekolah ke alam kerjaya lurus dan saya seolah-olah telah disediakan lorong khas.

Setelah selesai sekolah kebangsaan saya dan beliau adalah di antara ramai murid yang dipilih memasuki sekolah menengah yang agak terkenal di Kelantan pada waktu itu. Kami bertukar bahasa pengantar dari Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris. Bermula dari situlah persahabat kami terjalin.

Selepas mendapat keputusan peperiksaan tingkatan tiga (pada waktu itu dipanggil Lower Certificate of Education, LCE atau SRP sekarang) kami terpisah. Saya belajar di Sekolah Menengah Sains untuk beberapa bulan sebelum ditawarkan belajar di Maktab Tentera Di Raja (RMC), Kuala Lumpur.

Seterusnya dari RMC saya melanjutkan pelajaran ke United Kingdom melalui pengajian 'A' Level dan seterusnya ke peringkat sarjana B.Sc.(Hons) yang memakan masa lima tahun lamanya.

Sekembalinya saya dari UK saya bertugas. Diringkaskan waktu, pada bulan Ramadhan yang baru lalu saya mendapat emel dari beliau bertanya khabar. Entah berapa lama agaknya beliau mencari-cari punca untuk menghubungi saya.

Kemi bercadang untuk bertemu beberapa hari selepas Hari Raya Idilfitri yang baru lalu semasa saya menghantar anak saya Hanisah ke asrama UiTM di Permatang Pauh. Akan tetapi rancangan itu tidak terlaksana.

Malam tadi kami bertemu di Kuala Lumpur. Beliau dan keluarga datang dari Perlis untuk menghantar anak beliau ke asrama matrikulasi UIA.

Kesempatan pertemuan kali ini sungguh-sungguh telah mengembalikan nostalgia kami semasa tinggal di asrama Sekolah Menengah Kamil, Pasir Puteh.

Pelbagai peristiwa diingat kembali yang membuat kami ketawa. Namun tidak kurang juga yang menyedarkan kami betapa cepatnya masa berlalu, terutama apabila mengenang beberapa orang kawan seangkatan yang telah kembali menyambut panggilan Allah.

Apabila saya menyebut tentang PTS, Puan Ainon Mohd SifuPTS dan Prof Abdullah Hassan, rupa-rupanya sahabat saya ini merupakan salah seorang pelajar Prof Abdullah Hassan. Antara yang beliau paling ingat ialah beliau belajar mengenai politik melalui pembacaan buku-buku Prof Abdullah Hassan.

Perjalanan hidup kawan saya ini lebih menarik daripada yang telah saya lalui. Beliau tidak mendapat tawaran ke sekolah asrama penuh atau mana-mana sekolah yang ternama. Beliau mendapat tawaran kerja sebagai kakitangan kerajaan di Jabatan Kastam dan Eksais Di Raja.

Akan tetapi beliau seorang yang mempunyai visi dan kemahuan untuk memajukan diri. Maka dengan semangat yang kental beliau telah berusaha gigih untuk mencapai tahap pembangunan diri yang lebih tinggi.

Beliau belajar selepas waktu pejabat mengikuti kursus diploma sehingga berjaya. Kemudian beliau mendapat tawaran mengikuti skim 'Pensyarah Muda' anjuran UiTM sehingga ke peringkat ijazah dan master.

Saya berpeluang belajar di UK selama 5 tahun, manakala beliau pula belajar 5 tahun di Amerika Syarikat.

Saya tertarik apabila beliau menceritakan bagaimana kawan-kawan sekerja yang menyindir beliau semasa beliau melintasi padang bola di mana mereka bermain bola selepas waktu pejabat. Beliau menggalas beg untuk pergi ke kelas kursus diploma sedangkan rakan-rakan bermain bola.

Mereka berteriak dan memanggil beliau, "Tuan Profesor,...!!"

Mendengar kisah itu saya berkata, "Awak sepatutnya mengucapkan terima kasih kepada mereka, kerana doa mereka ("masin mulut mereka") telah termakbul sekarang ini."

Ya! Selain nama beliau juga sama dengan nama saya, satu perkara lagi yang menarik tentang beliau ialah, setelah tujuh tahun bertungkus lumus berusaha, beliau kini dikenali sebagai "Prof Madya Dr."

Sesungguhnya doa rakan-rakan sekerja dahulu itu telah dimakbulkan. Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kebaikan kepada hamba-hambaNya!

4 ulasan:

kakchik of maribaca berkata...

Kiranya Tn Imran ni super super super senior kakchik di Sek Men Sains ya.

Imran Yusof berkata...

Ya, Kakchik,

Ambo masuk di SMS, Pengkalan Chepa awal tahun 1975 (sekejap saja - dalam 3 bulan..) lepas itu dapat tawaran ke RMC, jadi tak sempat menjadi murid setia SMS.

Puan Ainon Mohd. berkata...

Kisah sahabat tuan itu bags dijadikan jibunsyi.

Imran Yusof berkata...

Puan Sifu,

Insya Allah saya akan tulis jibunsyi kawan saya ini.