Isnin, 13 Oktober 2008

Nur Raina Afsana mencari Ninja di Perak







Ninja menjadi tajuk kesukaan Nur Raina Afsana apabila menghasilkan karya novel remaja.

Nama beliau tidak asing lagi di kalangan warga Karna Dya. Nama pena beliau yang lain ialah Oshun Muhammad, tentunya diselaraskan dengan nama dari negara matahari terbit, iaitu tempat asal para pahlawan ninja.

Beliau juga mempunyai nama pena seperti Opah De dan EM Muhammad.

Reputasi ninja lebih kepada kegiatan gelap para penguasa feudal Jepun di era Meiji, tetapi Puan Nur Raina Afsana mengubah suai watak ninja sebagai pembantu orang kampung di sebuah daerah di Perak.

Walau pun penulis ini menetap di Perth, Australia namun lokasi kisah novel beliau adalah melibatkan para remaja kampung di Malaysia.

Beliau mempunyai beberapa buah blog, tetapi blog utama beliau ialah EM Muhammad.

Ahad, 12 Oktober 2008

Shamsuddin Abdul Kadir kaya dengan ilmu beli rumah




Sebelum ini, tidak ada seorang pun penulis atau perunding yang menulis buku mengenai ilmu membeli rumah dan memiliki rumah lebih daripada sebuah.

Ketika berumur 25 tahun, Tuan Shamsuddin Abdul Kadir sudah memilik empat buah apartmen. Kini beliau tidak memberitahu berapa buah rumah dan apartmen yang beliau miliki. Akan tetapi beliau bermurah hati memberitahu tip-tip yang realistik bagi seseorang yang bekerja mampu membeli lebih daripada sebuah rumah.

"Kita sudah boleh bersara ketika kita berumur 40 tahun, sekiranya kita sudah memiliki bilangan rumah yang mencukupi jumlah sewa bulanan yang kita kutip setiap bulan," begitulah lebih kurang tag-line panduan Tuan Shamsuddin.

Buku popular beliau Kaya Dengan Rumah akan memikat setiap pembaca dan memberikan panduan step-by-step bagi mencapai cita-cita bakal pemilik rumah.

Beliau sudah bersara dari jawatan beliau sebagai akauntan dan menjadi perunding kewangan serta pemilikan rumah sepenuh masa. Tentunya pendapatan perunding jauh lebih lumayan dari yang diperolehi seorang akauntan.

Blog Tuan Shamsuddin Abdul Kadir boleh dikunjungi DI SINI.

Nisah Haron tokoh peguam sasterawan





Dalam arena sastera dan penulisan tanah air, Puan Nisah Haron tidak memerlukan kepada pengenalan diri lagi.

Dalam dunia perundangan beliau mungkin lebih dikenali sebagai writer/lawyer.

Mungkin beliau sudah menyatakan beliau sudah bersara dari dunia perundangan dan menjadi penulis sepenuh masa, tetapi saya menganggap beliau sebagai salah seorang pembela kepada semua penulis "Advocates of All Writers". Ini terbukti apabila beliau mengarang buku Karya Kita Hak Kita.

Apabila beliau menulis, sama ada mengenai poligami, lemang hari raya, Adat Pepatih atau hak penulis dari segi undang-undang, sasterawan muda anak kelahiran Negri Sembilan ini akan mengemukakan hujah muktamad yang jarang dapat disangkal lagi.

Sesungguhnya saya tidak terperanjat sekiranya beliau antara seorang penulis yang bakal menjadi model penulis bagi setiap anak muda di tanah air.

Puan Nisah boleh disantuni di blog beliau, NISAH HARON ONLINE.

Rastom hidangkan halwa tetapi pedas berapi





Antara penulis blog yang klasifikasi sebagai penganalisa politik yang paling tajam dan menusuk karyanya ialah Pak Rastom.

Perkembangan mutakhir, sama ada luar negara atau di tanah air tidak terlepas dari pemerhatian kritis dan kadang-kadang sinis beliau.

Tidak syak lagi sekiranya beliau menulis buku mengenai isu kontemporari, saya percaya buku itu akan menjadi best seller!

Blog beliau HALWA ROMANTIS sarat dengan komen yang menarik dan explosive.

Zalisa handal memikat minat dewasa dan remaja





Dalam karya terbaru beliau, Namun Kupunya Hati membuktikan Zalisa atau ZN Isa atau Zalimatunura Isa mampu memikat pembaca dewasa.

Manakala melalui karya beliau Dicakar Hantu dan Balqis dan Pendekar Cahayasukma, beliau mempamirkan kehandalan beliau menawan minta pembaca remaja.

Walau pun sibuk dengan urusan seharian rumahtangga sebagai sorang isteri dan ibu, namun beliau masih berjaya menjadi penulisan pujaan peminat.

Blog beliau boleh ditatapi di ZALIMATUNURA.

Tuan MBA karyawan berbisa





Tuan MBA atau nama penuh beliau Muhamad Bin Ali adalah seorang pegawai tinggi kerajaan yang pernah berkelana di Jepun sewaktu muda untuk menimba ilmu.

Hubungan beliau dengan negara matahari terbit masih berterusan hingga sekarang melalui platform persatuan myJICA.

Biar pun karya beliau Travelog Jepun masih belum diterbitkan, namun beliau terus juga aktiviti menulis beliau sehingga terhasilnya buku panduan Kerjaya Dalam Bidang ICT yang sempat melestari Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008.

Buku terbaru beliau berjudul Buat Duit Dengan Kamera akan diterbitkan tidak lama lagi oleh PTS Profesional Sdn Bhd.

Untuk menikmati santapan minda dari cetusan hati beliau, tataplah belog beliau, DI SINI.

Neena Umi sarjana falsafah




Dalam novel sulung Neena Umi atau Umi Kalthum Ngah yang berjudul Daffodil Untuk Insyirah yang diterbitkan oleh PTS pada tahun 2006, terserlah bakat beliau dalam bidang penulisan novel yang menyentuh hati setiap pembaca yang halus perasaannya.

Insyirah ialah nama cucu beliau. Ya! Buku beliau terbit setelah beliau bergelar nenek. Biar pun beliau sudah memenangi perjuangan akademik dengan mencapai tahap sarjana falsafah, namun beliau berupaya menjadi penulis dengan bermula dari tahap asas. "Tiada yang mustahil selagi kita sanggup bermula dari peringkat permulaan."

Apabila meneliti karya beliau yang berjudulkan nama bunga, nescaya kita tidak terlepas dari mempelajari sesuatu keindahan dari hasil nukilan beliau.

Ingin mengetahui secara lebih mendalam mengenai falsafah Profesor Madya Dr. Umi Kalthum Ngah, anak kelahiran Sungai Nibong, Pulau Pinang ini? Persilakan kunjungi blog beliau, BIASAN EMBUN, atau blog berbahasa Inggeris iaitu OPALINE DEW.

Sabtu, 11 Oktober 2008

Mya Marja menulis sambil mendidik





Dengan karya sulung beliau Guru Arkitek Bangsa, dengan jelas kita dapat menyelami idealisme beliau sebagai penulis yang prihatin tentang pendidikan. Ini tidak meghairankan kerana beliau ialah seorang guru.

Profesion guru amat berbeza dengan kerjaya yang lain. Bagi profesion lain, khususnya mereka yang bergelimang dengan rutin pejabat, mereka mungkin berhenti menjadi pekerja pejabat apabila mereka pulang ke rumah.

Tetapi apabila seseorang itu menjadi guru, maka seluruh hidupnya seolah-olah dikhaskan untuk mendidik anak bangsa.

Karya Saudara Mya Marja yang kedua terbitan PTS ialah Serangan Kulat yang cuba menyelami alam fantasi para remaja.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai aspirasi beliau, silalah berkunjung ke blog beliau, SAUJANA JIWA.

Jumaat, 10 Oktober 2008

Karya Hasreeyati menyentuh hati




Dari ramai penulis novel cinta terbitan Alaf21, saya merasa bertuah dapat berkenalan dengan Hasreeyati Ramli.

Novel beliau Atika dan Demi Kasih Ini amat menyentuh hati saya. Apabila ditanya sama ada peristiwa dalam karya beliau berdasarkan pengalaman hidupnya, beliau tersenyum dan berkata, "Ada juga tempiasnya.."

Walau pun sibuk dengan kerjaya di UiTM di sebuah negeri utara tanah air, anak kelahiran Perlis ini masih sempat mencari masa untuk menghasilkan novel yang dekat di hati.

Baca biodata beliau di laman Alaf21 DI SINI dan santuni beliau di blog beliau DI SINI.

Khamis, 9 Oktober 2008

Selepas Hari Raya

Selepas selesai waktu cuti perayaan, saya barulah menulis semula.

Namun oleh kerana telah sebegitu lama berehat, maka saya merasakan susah untuk memulakan langkah memulakan rutin menulis. Tambahan pula komputer saya hampir lumpuh terkena serangan virus kuman anai-anai cacing dan spyware yang sangat licik dan jahat.

Setelah kembali ke pejabat dan dengan bantuan seorang rakan sekerja berbangsa China barulah komputer saya berjaya dibersihkan dari anasir-anasir sub-kultur itu.

Oleh kerana saya penggemar poligami blog maka saya telah membuat sebuah blog, BICARA PENULIS pula.

Saya mendapat idea untuk mewujudkan blog ini khas untuk meraikan sahabat, kawan, rakan dan kenalan penulis dan penterjemah serta para karyawan yang saya kenali.

Semoga Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 akan menyaksikan beberapa buah buku hasil usaha saya diterbitkan dan melestari pesta gemilang itu.