Memaparkan catatan dengan label N. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label N. Papar semua catatan

Sabtu, 18 Oktober 2008

Normah Md Sir penulis dan penterjemah




Seorang lagi penulis PTS yang menjadi mentee Puan Ainon Sifu PTS yang terawal ialah Puan Normah Md Sir.

Dengan karya beliau Nabi Ibrahim Mencari Tuhan, terbukalah suatu denai baru dalam teknik penulisan mengikut Teori Surah Yusof yang dipelopori oleh Puan Sifu PTS.

Untuk mengetahui tentang 'denai' itu sila baca DI SINI.

Beliau bukan sahaja penulis, tetapi juga penterjemah yang menjadi salah seorang penterjemah koleksi cerita Sherlock Holmes 2: Detektif Yang Penuh Kejutan.

Jumaat, 17 Oktober 2008

Norlela Zubir kaya dengan ilmu bisnes keluarga






Puan Norlela Zubir sudah berkecimpung dalam bisnes selama lebih 15 tahun. Sebagai usahawan yang sudah merasai pahit maung dan saat manis dalam dunia perniagaan, tentunya ilmu beliau wajar dikongsi oleh para usahawan lain yang mahu meningkat maju.

Antara buku beliau yang mendapat sambutan ialah 50 Kisah Usahawan Wanita Malaysia dan Bagaimana Bisnes Keluarga Berjaya dan buku yang ini sudah dilesenkan di Jakarta.

Blog beliau boleh dikunjungi DI SINI.

Khamis, 16 Oktober 2008

Nazhatulshima penulis yang sedang mengejar ijazah kedoktoran

TIADA LAGI

Pabila tiada lagi
kata antara kita
usah kaulintas
walau di dalam hati
walau di dalam fikiran
bukan kumembawa diri
atau membenci
atau tak sudi
atau patah hati
kusedari semuanya
takdir Ilahi

kita harungi jalan panjang
hanyutkan semua kenangan
Usah menoleh ke belakang
pandanglah ke hadapan

Pabila tiada lagi
suara antara kita
usah kau menyusup
walau di cuping telinga
walau di sekitarnya
kuciptakan garisan
kubinakan sempadan
kusyukuri nikmat Tuhan
memberiku kekuatan

hapuskan semua nada kita
telah sumbang rentak iramanya
kudoakan kau berbahagia
izinku mencarinya jua

Nzshima - 18.12.2007
Hakcipta Terpelihara - (ilham lirik untuk seorang penyanyi)

Begitulah antara puisi nukilan Puan Nazhatulshima Nolan, pensyarah UiTM di selatan tanah air. Beliau ialah antara mentee bimbingan Puan Ainon, Sifu PTS.

Pada ketika ini beliau sedang mengejar ijazah PhD beliau. Buku beliau sedang ditulis dan dijangka terbit tidak lama lagi. Pensyarah yang senantiasa sibuk ini masih mampu mencari masa lapang di antara tugas sebagai pensyarah, ibu, isteri dan penulis.

Antara blog yang beliau sering kunjungi ialah blog Prof Muhd Kamil, penulis buku best seller Travelog Haji.

Blog Puan Nazhatulshima ialah DARI KERANA MATA.

Isnin, 13 Oktober 2008

Nur Raina Afsana mencari Ninja di Perak







Ninja menjadi tajuk kesukaan Nur Raina Afsana apabila menghasilkan karya novel remaja.

Nama beliau tidak asing lagi di kalangan warga Karna Dya. Nama pena beliau yang lain ialah Oshun Muhammad, tentunya diselaraskan dengan nama dari negara matahari terbit, iaitu tempat asal para pahlawan ninja.

Beliau juga mempunyai nama pena seperti Opah De dan EM Muhammad.

Reputasi ninja lebih kepada kegiatan gelap para penguasa feudal Jepun di era Meiji, tetapi Puan Nur Raina Afsana mengubah suai watak ninja sebagai pembantu orang kampung di sebuah daerah di Perak.

Walau pun penulis ini menetap di Perth, Australia namun lokasi kisah novel beliau adalah melibatkan para remaja kampung di Malaysia.

Beliau mempunyai beberapa buah blog, tetapi blog utama beliau ialah EM Muhammad.

Ahad, 12 Oktober 2008

Nisah Haron tokoh peguam sasterawan





Dalam arena sastera dan penulisan tanah air, Puan Nisah Haron tidak memerlukan kepada pengenalan diri lagi.

Dalam dunia perundangan beliau mungkin lebih dikenali sebagai writer/lawyer.

Mungkin beliau sudah menyatakan beliau sudah bersara dari dunia perundangan dan menjadi penulis sepenuh masa, tetapi saya menganggap beliau sebagai salah seorang pembela kepada semua penulis "Advocates of All Writers". Ini terbukti apabila beliau mengarang buku Karya Kita Hak Kita.

Apabila beliau menulis, sama ada mengenai poligami, lemang hari raya, Adat Pepatih atau hak penulis dari segi undang-undang, sasterawan muda anak kelahiran Negri Sembilan ini akan mengemukakan hujah muktamad yang jarang dapat disangkal lagi.

Sesungguhnya saya tidak terperanjat sekiranya beliau antara seorang penulis yang bakal menjadi model penulis bagi setiap anak muda di tanah air.

Puan Nisah boleh disantuni di blog beliau, NISAH HARON ONLINE.

Neena Umi sarjana falsafah




Dalam novel sulung Neena Umi atau Umi Kalthum Ngah yang berjudul Daffodil Untuk Insyirah yang diterbitkan oleh PTS pada tahun 2006, terserlah bakat beliau dalam bidang penulisan novel yang menyentuh hati setiap pembaca yang halus perasaannya.

Insyirah ialah nama cucu beliau. Ya! Buku beliau terbit setelah beliau bergelar nenek. Biar pun beliau sudah memenangi perjuangan akademik dengan mencapai tahap sarjana falsafah, namun beliau berupaya menjadi penulis dengan bermula dari tahap asas. "Tiada yang mustahil selagi kita sanggup bermula dari peringkat permulaan."

Apabila meneliti karya beliau yang berjudulkan nama bunga, nescaya kita tidak terlepas dari mempelajari sesuatu keindahan dari hasil nukilan beliau.

Ingin mengetahui secara lebih mendalam mengenai falsafah Profesor Madya Dr. Umi Kalthum Ngah, anak kelahiran Sungai Nibong, Pulau Pinang ini? Persilakan kunjungi blog beliau, BIASAN EMBUN, atau blog berbahasa Inggeris iaitu OPALINE DEW.