Isnin, 23 Jun 2008

Semalam di Sudan














SEMALAM DI SUDAN

Demikian jadinya pertemuan ini
Aku terdampar di pinggiran gurun Obaied
Menjadi tetamu satu petang di Wadi Benjadid
Hanya seketika mengecapi kemanisan mangga
Yang harum di dusunmu wahai Benjadid

Pada ketika yang lain pula
Aku menjadi musafir di lebuhraya
Menuju ke Khartoum menjalar di sepanjang
Padang pasir ini
Cuma sempat singgah di Kosti
Untuk menikmati keenakan ikan dari Sungai Nil
Dan memandang bunga-bunga yang indahmu
Walaupun sesekali aku terpaksa
Merempuh ribut pasir yang memedihkan mata

Bila tiba di plaza tol Jabal Auliya
Aku tahu aku akan tiba ke Khartoum
Bertemu dengan wargamu yang ramah mesra
Aku disambut dengan senyuman lebar
Walau aku tahu kau serba kekurangan

Pernah sekelumit waktu aku berhenti bermalam
Di pelabuhan Port Sudan
Dapat juga aku makan ikan dan lobstermu
Duhai Port Sudan
Aku gembira wahai Port Sudan

Walau aku terpaksa merasai
Kepanasan bahangmu wahai Sudan
Aku bahagia bersamamu
Biarpun buat seketika
Kini aku telah pergi meninggalkanmu

Namun aku tahu aku akan kembali lagi
Seperti kata-kata hikmat orang tua2 Sudan
“Sekali kau telah meminum air dari Sungai Nil,
Kau pasti akan datang kembali ke Sudan…”
Selamat tinggal Sudan, selamat tinggal
Di lain masa kita bertemu lagi.

Alang Bidara. 6 Jun 2006

Ahad, 22 Jun 2008

Sejarah sebuah kapal supertanker





Apa dia kapal supertanker?

Kapal supertanker ialah kapal tanker yang digunakan mengangkut minyak mentah, yang melebihi berat 250,00 DWT.

Knock Nevis ini pula ialah kapal supertanker yang terbesar di dunia, dengan mempunyai kapasiti untuk memuatkan sebanyak 4,240,865 tong minyak. Kapal ini bukan sekadar kapal supertanker terbesar di dunia, tetapi juga merupakan kapal terbesar di dunia.

Setelah siap dibina di limbungan kapal Sumitomo Heavy Industries di Jepun, kapal ini dilancarkan dengan nama Seawise Giant. Selepas dipunyai selama tiga tahun oleh seorang pimilik kapal Greek, kapal ini dijual kepada pemilik kapal lain bernama C.Y Tung Industries.

Semasa melalui perairan Selat Hormuz pada tahun 1986, kapal ini telah diserang tentera udara Iraq dengan peluru berpandu Exocet, mengakibat kerosakan teruk sehingga kapal ini tenggelam di perairan berhampiran Pulau Kharg.

Pada tahun 1989, Seawise Giant dijual kepada syarikat Norman International dari Norway dan dibaiki dilimbungan kapal Keppel, Singapura dengan kos yang mencecah USD35 Juta!

Syarikat Norman International tidak sempat menggunakan kapal ini, dan menjualnya pula kepada Jorden Jahre dengan harga USD39 Juta, namanya ditukar kepada Jahre Viking.

Jahre Viking kemudiannya dihantar ke Hongkong untuk dinaik-taraf oleh syarikat Wallem Ship-Management, sebelum memulakan operasi pengangkutan minyak dari Timur Tengah ke Amerika Syarikat.

Ukuran kapal ini ialah 1504 kaki panjang (lebih daripada 1/4 batu) dan 226 kaki lebar.

Pada tahun 2004, pemilik baru Jahre Viking, iaitu syarikat First Olsen Tankers ke limbungan kapal Dubai untuk diubah menjadi sebuah kapal FPSO (Floating, Production, Storage, and Offloading), iaitu sebuah kapal yang dilabuhkan di laut sebagai kapal terapung untuk menjadi tempat menyimpan minyak. Nama baru kapal ini ialah Knock Nevis.

Secara ringkas nama kapal telah bertukar beberapa kali, iaitu:

2004 - sekarang Knock Nevis
1991 - 2004 Jahre Viking
1989 - 1991 Happy Giant
1979 - 1989 Seawise Giant

Sabtu, 21 Jun 2008

Berjemaah di surau

"Kau tak datang solat Maghrib ke surau, Man?"
"Saya sibuk, Tuan Haji. Maklumlah kerja banyak. Sampai di rumah pun hari dah malam."
"Subuh pun kau tak datang?"
"Saya keluar pergi kerja awal, Tuan Haji. Saya solat di rumah saja."
"Sabtu dan Ahad pun tentu ada masa, Man."
"Itulah masalahnya, Tuan Haji. Bila hujung minggu saya rasa nak rehat saja di rumah."
"Kami di surau selalu sebut tentang kau, Man. Kami yakin kau boleh main peranan yang baik dalam AJK Surau."
"Em, bila saya dah dekat nak bersara nanti, saya akan selalu ke surau. Lagi pun bila sudah bersara, banyak masa terluang."
"Man, kalau tidak biasakan diri dengan surau mulai dari sekarang, kita bimbang kau terus jadi asing dengan surau."
Diam. Tunduk.
"Beginilah, Man. Hari Sabtu nanti kita ada sembelih lembu. Kenduri kesyukuran. Ramai yang datang. Kami pun tahu kau memang suka sup tulang. Elok kau datang."
Senyum. Tersengih. "Bagus juga tu. Haji Yaakob datang jugakah?"
"Insya Allah dia datang. Bagus kalau kau dapat datang, Man"
"Insya Allah, Tuan Haji."

Menulis atau menterjemah?

"Abang Haji nak menulis full-time selepas bersara?"
"Niat di hati memanglah nak tumpukan perhatian kepada aktiviti menulis. Tetapi belum tentu dapat full-time."
"Kenapa tidak dapat full-time, Tuan Haji. Tuan Haji nak sambung kontrak kerja?"
"Ah, tidak mungkin saya mahu terus bekerja di syarikat ini."
"Tuan Haji nak buka bisnes kecil-kecilan? Atau nak buat kolam Ikan Ketutu?"
"Bukan bisnes atau kolam ikan. Tetapi saya menjelajah Semenanjung nak ziarah anak-anak saya."
"Oh, ya. Anak Tuan Haji bukan di Lembah Kelang sahaja."
"Mungkin saya menulis sambilan. Dan juga penterjemah part-time."

Siapa yang nak pinjam?

"Ayah baru keluarkan wang KWSP, nak pinjam sikit boleh?"
"Kamu tentu tahu, ayah bukan ada pencen. Bukan macam pak long kau."
"Saya pinjam sekejap saja. Bila dapat bonus nanti saya bayarlah."
"Kalau kamu nak buat downpayment rumah bolehlah juga ayah ikhtiarkan. Ini..."
"Bukan ayah tak biasa dengan saya. Saya mesti bayar punya, ayah."
"Sebab ayah dah kenal kamulah ayah tidak yakin kau boleh bayar."
Diam. Tunduk. Masam. Terus keluar rumah.
"Susah saya dibuatnya. Serba salah jadinya..."
"Kita kena berjimat cermat, bang. Kita bukan ada simpanan yang banyak. Kalau sakit, kena bayar sendiri duit klinik."
[Pernah dengar dialog sebegini?].

Apa perasaan Tuan Haji?

"Apa perasaan Tuan Haji menjelang tarikh persaraan?"
"Parasaan saya menghadapi tarikh persaraan sebenarnya bercampur-campur atau cakap orang muda-muda ialah mixed feelings."
"Macam pasaran saham yang ditutup bercampur-campur juga, ya Tuan Haji?" (Tersengih seperti mahu buat lawak!)
"Ya, memang ada persamaan. Tetapi ini lebih mendebarkan daripada turun naik BSKL."
"Lebih seronok atau lebih membimbangkan, Tuan Haji?"
"Lebih mendebarkan sebenarnya!"
"Maksud Tuan Haji?"
"Mana tidaknya! Anak saya yang sulung sudah melahirkan anak. Anak kedua dan ketiga saya pun sedang menunggu hari menjadi bapa. Anak yang keempat saya pula sedang menunggu viva PhD di UPM. Anak perempuan kesayangan saya itu pun baru lulus dengan Anugerah Dekan."
"Wah, memang seronok sekali, Tuan Haji. Tapi apa pula perkara yang mendebarkan itu?"
"Ha, itu yang dialami dan difahami oleh orang yang mendekati hari persaraan sahaja."
"Sebagai contoh, Tuan Haji?"
"Secara tiba-tiba gaji bulanan jadi zero, tetapi duit KWSP boleh dikeluarkan, tetapi masa banyak terluang. Ehem, ehem."
"Tuan Haji hendak berniaga kecil-kecilan?"
"Hah, itu mungkin hasrat Mak Haji."
"Apa hasrat Tuan Haji?"
"Saya bercadang untuk menjadi penulis dan penterjemah part-time."
"Maksud Tuan Haji penulis full-time dan penterjemah part-time?"
"Bukan full-time, tetapi kedua-duanya part-time."
"Tuan Haji tak teringin buka cawangan barukah?"
Kedua mereka ketawa berdekah-dekah sambil meneruskan perbualan di warung kopi Pak Dolah itu.

Duit habis hati senang?

"Abang tak nak labur kat unit trust?"
"Abang rasa elok kita gunakan sedikit untuk ke Mekah. Yang lain tu kita laburkan."
"Labur bagus, bang. Cuma jangan sampai lebur."
"Abang sedar tu, Mah. KWSP pun ada sebut ramai pencarum yang habiskan duit apabila duit itu dikeluarkan."
"Duit, bang. Bila ada duit, ada-ada saja nak digunakan. Orang nak pinjam pun ramai juga."

Saya akan bersara dari syarikat ketika umur 55 tahun

Saya akan bersara?
Rasa macam susah hendak dipercayai.

Tetapi itulah hakikatnya.

Saya akan bersara dari syarikat dalam masa lima tahun lagi. Setelah 30 tahun "menabur bakti" (atau hidup makan gaji), apabila umur 55 tahun dicapai, mahu tidak mahu, suka tidak suka, syarikat akan mengucapkan selamat bersara.

Saya mesti bersedia menghadapinya.

Sudah cukup duit simpanan? Berapa banyak dikatakan cukup?

Sudah bersedia menjadi pesara? Apa persediaannya?

Sudah bersedia menumpukan lebih banyak masa di surau atau masjid atau membuat kerja-kerja sosial? Atau sudah bersedia hendak 'lepak' di kedai kopi, sembang-sembang dengan rakan seperjuangan?

Sudah buat plan mahu berkunjung ke rumah anak-anak? Atau sudah merancang mahu bermain dengan cucu?

Saya akan bersara. Mewujudkan blog ini pun salah satu daripada langkah bersedia untuk bersara.

Penulis sci-fi terkenal Arthur Clarke meninggal dunia



Arthur C. Clarke, penulis novel fiksyen sains (sci-fi), peramal masa depan dan jaguh penyair tidak rasmi zaman angkasalepas, telah meninggal dunia pada 18 Mac, 2008 di rumahnya di Colombo Sri Lanka. Beliau berumur 90 tahun.

Clarke pernah menulis skrip filem 2001: A Space Odyssey (2001: Pengembaraan Angkasalepas) bersama Stanley Kubrick. Ramai orang menganggap filem ini di antara filem sci-fi yang paling penting yang pernah dibuat. Clarke merupakan penulis yang produktif yang berjaya menghasilkan lebih 100 buah buku, dan disanjung kerana beliau mampu meramal inovasi manusia dan menerangkan konsep itu kepada pembaca bukan saintifik. Pada tahun 1945 beliau mencadangkan idea satelit komunikasi yang berpangkalan di orbit geostationary, iaitu satelit yang berada di lokasi relatif yang tetap atas permukaan bumi.

Ada orang yang mengejeknya, tetapi idea itu terbukti berguna apabila terciptanya Early Bird, iaitu satelit komersil yang terawal menawarkan rangkaian komunikasi global bagi telefon, tv dan komunikasi digital pantas. Orbit itu kini dikenali sebagai Orbit Clarke oleh pihak International Astronomical Union (Kesatuan Astronomi Antarabangsa).

“Beliau mempengaruhi dunia dengan cara yang paling baik,” kata penulis Ray Bradbury dalam bukunya yang berjudul Arthur C. Clarke: The Authorized Biography yang diterbitkan pada tahun 1992 oleh Neil McAleer. “Buah fikiran Arthur C. Clarke berjaya menghasilkan jentera angkasalepas yang tidak bersuara tetapi mampu bercakap berbagai bahasa. Satelit komunikasi yang menakjubkan itu terlebih dahulu berlegar-legar dalam fikiran beliau, sebelum meluncur di alam nyata merentasi pergunungan dan padang di atas permukaan bumi.”

Selain daripada buku, beliau telah menulis lebih daripada 1,000 buah cerpen dan esei. Antara yang terkenal ialah cerpen yang berjudul Dial F for Frankenstein (1964), yang memberikan ispirasi kepada saintis komputer Inggeris, Tim Berners-Lee, mencipta rangkaian web World Wide Web pada tahun 1989. Clarke juga mempopularkan idea lif angkasalepas sebagai alternatif kepada roket. Idea itu mulanya dicetuskan oleh seorang jurutera Russia pada tahun 1960 dan direkacipta semula sebanyak empat kali dalam beberapa dekad berikutnya. Setelah Clarke mempopularkan idea itu dalam novel beliau yang diterbitkan pada tahun 1979 idea berjaya mencetuskan suatu bidang kajian baru. Semasa diwawancara oleh majalah New Scientist pada tahun 2007, beliau berkata alat itu hanya akan dibina “50 tahun selepas semua orang berhenti mentertawakannya.”

Apa pun, kerjasama beliau dengan Kubrik bagi menghasilkan filem pada tahun 1968 telah menjadikan beliau terkenal di seluruh dunia. Skrip filem 2001: A Space Odyssey (2001: Pengembaraan Angkasalepas) itu berdasarkan sebuah cerpen Clarke berjudul The Sentinel (Pengawal) yang diterbitkan pada tahun 1951. Pada masa itu juga Clarke telah menulis novel mengiringi filem itu dan diterbitkan tiga bulan selepas filem mula ditayangkan. Ramai yang menganggap novel itu ialah keterangan lanjut idea filem itu. Hasil penulisan Clarke mencetuskan inspirasi bagi nama kapal angkasa, asteroid dan satu spesis dinosaur. Beliau juga pernah menjadi juruacara pendaratan Apollo di bulan pada tahun 1960’an bersama wartawan Walter Cronkite. Melalui dua siri tv pada tahun 1980’an idea beliau tersebar keseluruh pelusuk dunia. Beliau menerima anugerah Ratu England pada tahun 1998, dan pernah dicalonkan bagi menerima Hadiah Nobel pada tahun 1994. Beliau juga menerima anugerah pingat emas Franklin Institute, anugerah Pendidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan anugerah Pertubuhan Saitifik dan Kebudayaan-Kalinga.

Clarke tinggal di Sri Lanka sejak tahun 1956 lagi dan bekerja bersama Jacques Cousteau dan rakan-rakannya bagi memperelok peralatan penyelam (diving). Beliau berhijrah semasa negara itu masih dikenali sebagai Ceylon, serta membuka kedai menjual alat penyelam sambil menjelajah dasar laut. Beliau mengalami cacat anggota akibat diserang sakit polio pada tahun 1959. Beliau pernah berkata dengan menyelam di dasar laut sahajalah beliau dapat mengalami rasa ‘tiada graviti’ seperti yang dirasai oleh sesiapa sahaja ketika berada di angkasalepas. “Saya memang dapat bergerak bebas sepenuhnya ketika berada di bawah permukaan air,” kata beliau. Kedai menjual peralatan penyelam itu musnah ketika dilanda tsunami pada tahun 2004.

Clarke dilahirkan pada 17 Disember 1917 di Minehead, Somerset, England. Bapanya bekerja sebagai jurutera perkhidmatan pos yang menjadi peladang dan juru telegraf pejabat pos. Clarke menggemari fiksyen sains ketika berumur 11 tahun lagi. Beliau mengaggotai Tentera Udara DiRaja Britain pada tahun 1941 dan menjadi jurulatih radar dan membangunkan sistem pendaratan kapal terbang dengan kawalan dari bumi pada jarak penglihatan sifar (zero-visibility).

Bicara Buku: Meredah Samudera



Bermula di sebuah kampung persisiran pantai di Melaka, seorang remaja bertekad menjadi pelaut. Dibesarkan dalam keluarga nelayan pantai, Yaakob sangat mencintai laut, walau pun dia dan ayahnya nyaris maut dilanggar sebuah kapal dagang semasa memancing di perairan Selat Melaka.

Ikuti jejak langkah Yaakob setapak demi setapak, meredah samudera sehingga ke puncak jaya.

Bicara Buku: Tip-Tip Poligami



"...maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari wanita-wanita (lain) yang kamu senangi; dua, tiga ataupun empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang sahaja..."

Benarkah poligami itu sunnah? Sejauh mana poligami dapat membela nasib wanita?

Buku ini mendedahkan kebenaran menurut perspektif Islam dan realiti masyarakat semasa.

Ditulis dengan gaya bahasa yang santai dan mudah difahami. Buku ini merungkai kekeliruan yang dihadapi oleh masyarakat khusus buat pasangan suami isteri dan peminat poligami.

Jumaat, 20 Jun 2008

NVOCC tidak punya kapal tetapi menjalankan operasi perkapalan

Apabila kita bercakap tentang operasi kapal dagang, mungkin ramai yang
berpendapat, sesebuah syarikat itu perlu memiliki kapal dagang untuk
menyediakan khidmat kapal dagang.

Akan tetapi sebenarnya sesebuah syarikat, malah individu tidak
semestinya memiliki kapal untuk menjalankan bisnes kapal dagang.

Syarikat yang beroperasi secara Non-Vessel Owning Common Carrrier
atau NVOCC boleh menjalankan khidmat pengangkutan perkapalan dengan
menyewa ruang di kapal-kapal dagang kepunyaan orang atau syarikat
lain. Syarikat NVOCC ini adalah satu bentuk freight forwarder maritim.

Lazimnya syarikat yang kecil dan sederhana menggunakan khidmat NVOCC
kerana mereka NVOCC ada menyediakan khidmat pengangkutan barang atau
kargo yang sedikit jumlahnya. Sesebuah syarikat NVOCC akan mengumpul
barangan yang sedkit dari beberapa banyak pelanggan sehingga penuhlah
satu kontena yang digelar Less Container Load (LCL).

Hari ini antara syarikat NVOCC yang terbesar ialah IAL, VHF dan DHL Global Forwarding. Pos Malaysia juga boleh dianggap sebagai sebuah syarikat bertaraf NVOCC.

Sesungguhnya khidmat LCL yang disedikan oleh pihak NVOCC amat
bermanfaat serta berguna kepada para usahawan bertaraf industri kecil
dan sederhana (SMI).

Rabu, 18 Jun 2008

Sudan Hari Ini VS Malaysia 40 tahun lalu




Walaupun Sudan sebuah negara yang baru hendak membangun seperti Sudan dan kehidupan yang di dalam keadaan yang amat sederhana dari segi keselesaan dunia moden, namun kanak-kanak Sudan tetap riang dan gembira semasa bermain bersama-sama mereka.

Semasa melihat kanak-kanak Sudan bermain-main teringat saya ketika saya masih kecil di kampung tahun enam puluhan dulu.

Keadaan negara kita di sekitar 40 tahun yang lalu pun boleh dikatakan lebih baik jika dibandingkan dengan apa yang saya lihat di Sudan.

Sebelas Konvensyen Keselamatan Maritim

Dalam membicarakan keselamatan maritim (maritime safety) untuk kapal-kapal yang belayar di lautan, terdapat banyak peraturan dan undang antarabangsa yang telah digubal demi keselamatan anak kapal, pelaut, nelayan, kapal serta alam sekitar.

Jabatan Laut Malaysia mengiktiraf sekurang-kurangnya 11 daripada konvensyen tersebut:

1. SOLAS - International Convention on Safety of Life at Sea, 1974
2. LL - International Convention on Load Line, 1966
3. STP - Special Trade Passenger Ships Agreement, 1971
4. Protocol on Space Requirements for Special Trade Passenger Ships, 1973
5. COLREG - Convention on the International Regulations for Prenventing Collissions at Sea,1972
6. CSC - International Convention for Safe Containers,1972
7. INMARSAT - Convention on the International Maritime Satellite Organization,1976
8. SFV - The Torremolinos Internaitonal Convention for the Safety of fishing Vessels,1977
9. STCW - International Convention on Standards of Training, Certification & Watchkeeping for Seafares,1978
10. STCW-F - International Convention on Standards of Training, Certification and Watchkeeping for Fishing Vessel Personnel,1995
11. SAR - International Convention on Maritime Search and Rescue,1979

Insya Allah, setiap konvensyen ini akan dikupas secara ringkas, satu persatu nanti.

Secara ringkasnya, kita ingin menyebut bahawa terdapat begitu banyak konvensyen yang mesti dipelajari dan diamalkan oleh para pemilik kapal, pelaut serta pihak berkuasa yang terlibat dengan industri maritim, demi keselamatan dan kesejahteraan dilaut.

Kesimpulannya, terdapat begitu banyak peluang kerjaya dalam bidang maritim, bagi menjayakan penguatkuasaan, amalan serta pemantauan yang berkaitan dengan konvensyen industri maritim.

Isnin, 16 Jun 2008

Lebuhraya Khartoum-Obeid - lori lebih muatan?






Semasa dalam perjalanan dari Khartoum ke Obaied atau sebaliknya, kami berkali-kali melihat keadaan yang mencemaskan apabila kenderaan yang dimuat secara belebihan, nyaris-nyaris kemalangan.

Apa tidaknya dengan muatan yang begitu banyak, saat-saat cemas itu selalu saja dialami oleh sesiapa sahaja yang berdepan dengan situasi begini.

Ahad, 15 Jun 2008

Sungai Nil dan Sudan




Oleh kerana Sudan sebuah negera padang pasir, Sungai Nil merupakan sumber air yang terpenting bagi Sudan.

Khartoum di bahagian yang terletak tepi Sungai Nil menjadi menjadi subur menghijau bila air di gunakan secara bijak.

Malah ada pepatah orang tua-tua Sudan mengatakan: "Sekali anda meminum air Sungai Nil, nescaya suatu hari nanti akan kembali ke Sudan juga..."

Sudan - sebutir permata benua Afrika



Sudan adalah negara yang terbesar di benua Afrika dari segi keluasan mukabumi.

Ia juga kaya dengan hasil bumi yang dianugerahkan oleh Allah. Sumber terpenting ketika ini ialah petroleum. Simpanan emas hitam itu dipercayai berpotensi mengatasi simpanan Arab Saudi di dalam masa yang terdekat.

Sumber petroleum dikatakan banyak terkumpul di Selatan Sudan dan di Barat Sudan, yang lebih dikenali sebagai Darfur.

Pemberontakan puak-puak selatan Sudan (majoritinya kristian dan berfahaman animisme) hampir berakhir apabila berlaku perjanjian gencatan senjata dan pengkongisan hasil petroleum.

Namun masalah pemberontakan puak-puak kaum Afrika di Darfur masih belum berakhir, walaupun beberapa puak-puak ini telah menandatangani gencatan senjata dengan kerajaan Sudan. Sayugia dingati pemberontak di Darfur adalah terdiri dari kalangan puak yang beragama Islam.

Kita berbangga Khartoum menjadi tempat persidangan perbincangan damai antara pihak Union of Islamic Courts (UIC) Somalia dan kerajaan sementara TFG Somalia yang berpusat di Baidoa. Sesuatu yang baik kerana ia melibatkan inisiatif dua pihak yang bertelingkah di Somalia.

Namun kenapa pihak Khartoum masih belum berjaya mengajak puak-puak pemberontak Darfur ke meja rundingan?

Memanglah pihak barat yang diterajui oleh Amerika, melalui proksi-proksinya seperti UN dan AU akan sentiasa mencari ruang untuk masuk ke Darfur, kerana ingin menguasai sumber-sumber kekayaan di barat Sudan itu.

Memanglah susah untuk mencari formula damai yang boleh diterima oleh semua pihak, kerana sudah tentu ia akan melibatkan kompromi di kedua-dua pihak.

Namun usaha damai hampir mustahil dicapai di dalam keadaan peperangan yang berterusan. Pihak kerajaan Sudan harus memberhentikan serangan terhadap kaum Darfur, serta puak militia Janjaweed harus dikekang dari melakukan serangan terhadap orang awam di Darfur.

Selagi belum dijumpai formula damai yang berkekalan dan boleh diterima semua pihak, selagi itulah pihak barat akan senang memasukan jarum mereka dan politik adu-domba mereka akan terus dipergunakan untuk menguasai sumber kekayaan bumi bertuah Sudan ini.

Rindu semalam rentung di Sudan



Semalam merdu sekali
gemersik irama padang pasir
sayup-sayup memanggil ku
menggamit aku kembali
betapa indah

Begitu ku rindu kehangatanmu
aduhai Sudan bumi bertuah
permata bernilai benua Afrika
ribut pasirmu menyesakkan dada
namun warna senja Sahara mu
indah menawan

Sungguh aku akan kembali
nantikanlah kehadiranku
ingin ku teguk kembali
air Sungai Nil

Sungguh akan ku ziarahi
maqam Al-Mahdi
wahai Khartoum dan Omdurman
untuk semarakkan semangat Islam
demi menilai pengorbanan
dan harga darah para syuhadaa.

Kenali Pelabuhan: Tanjung Pelepas Pelabuhan Kontena Masa Depan Malaysia

Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) yang terletak berhampiran muara Sungai Pulai di Johor merupakan pelabuhan yang telah dirasmikan semasa Tun Dr Mahathir menjadi PM Malaysia, iaitu pada tahun 1999.

Pelabuhan ini dibina sebagai pelabuhan terbesar di Malaysia dan dijangka akan memberikan saingan yang sengit kepada Pelabuhan Singapura.

Pelabuhan ini mempunyai potensi untuk berkembang sehingga akan dapat mempunyai 75 dermaga, yang dijangka akan meliputi sepanjang tepi laut barat daya Johor, bermula dari muara Sungai Pulai hingga ke Laluan Kedua Johor-Singapura.

Potensi Pelabuhan Tanjung Pelepas semakin menyerlah apabila memenangi "Container Terminal of The Year 2006" yang dianugerahkan oleh Llyod’s List.

Perkembangan terbaru menyaksikan PTP menandatangani perjanjian dengan syarikat perkapalan negara, MISC Berhad usaha-sama (J.V.) dengan MISC memiliki 30 peratus daripada saham PTP dan 70 peratus lagi dimiliki oleh PTP.

MISC menjadi syarikat perkapalan gergasi yang ketiga memilih PTP sebagai pelabuhan persinggahan utama di Timur Jauh selepas syarikat Maersk dan Evergreen.


Sekeping gambar lebih bermakna daripada seribu perkataan!

Sabtu, 14 Jun 2008

Kapal latihan

Kapal latihan (training ship) ialah kapal yang digunakan untuk melatih kadet yang bakal menjadi pegawai dalam angkatan tentera laut atau angkatan kapal perdagangan.

Biasanya kapal latihan ini berupa kapal lama yang sudah dikeluarkan daripada perkhimatan (decomissioned) pelayaran dagang, lalu dijadikan seperti kelas terapung tempat kadet laut belajar. Ada juga kapal latihan yang merupakan kapal yang masih dalam pelayaran perdagangan tetapi diistilahkan sebagai kapal latihan kerana sekurang-kurangnya 50 peratus daripada anak kapal (crew) adalah kadet laut, manakala 50 peratus lagi ialah jurulatih dan anak kapal.

Beberapa negara di dunia memang sudah lama menyediakan kapal latihan untuk melatih bakal pegawai tentera laut dan pegawai kapal dagang. Antara nama kapal yang terkenal di dunia ialah Bristol dan Northampton bagi Royal Navy Inggeris, Nautilus bagi Navy Sepanyol, Eagle bagi Coast Guard Amerika Syarikat, Gajabahu bagi Navy Sri Lanka dan Kaliakra bagi Navy Bulgaria.

Manakala bagi angkatan laut dagang pula kapal yang terkenal ialah Mir yang didaftarkan di St Petersburg, Russia; T.S. Chanakya, 1994 Navi Mumbai, India; S.S. John W. Brown, New York, New York Board of Education (Liberty Ship) dan S.S Twin Falls, New York, New York Board of Education (Victory Ship).

Tidak ketinggalan juga di Malaysia, Akademi Laut Malaysia menyediakan kapal yang sudah demissioned dan dilabuhkan di luar pantai Tanjung Dahan, Kuala Sungai Baru, Melaka; manakala syarikat perkapalan negara, MISC Berhad menyediakan beberapa buah kapal sebagai kapal latihan. Yang terbaru sekali MISC menyediakan kapal pengangkut gas asli cairan LNG iaitu Puteri Nilam Satu sebagai kapal latihan yang lengkap dengan kemudahan latihan. Langkah ini sejajar dengan hasrat syarikat itu menjadi sebuah syarikat perkapalan yang terkemuka dan juara bertaraf global.

Gambar Puteri Nilam Satu:

BMC, 'buka jalan' dan turunkan harga minyak?

Telah sebegitu lama penduduk Bandar Mahkota Cheras (BMC) merana kerana dipaksa membayar tol yang sepatutnya mereka tidak perlu bayar. Akibat karenah pihak syarikat konsesi lebuhraya Grand Saga menutup jalan alternatif yang membolehkan penduduk BMC mengelak daripada membayar tol, penduduk BMC terpaksa membayar tol yang sepatutnya boleh dielakkan.

Telah pelbagai cara penduduk BMC lakukan untuk mengatasi masalah ini. Mereka sudah buat tunjuk perasaan, dan telah membantah serta merayu kepada kerajaan supaya jalan yang ditutup itu dibuka semula, namun tidak dipedulikan oleh pihak konsesi lebuhraya. Pihak kerajaan juga tidak ambil endah.

Akhirnya rakyat Selangor tolak BN dalam Pilihan Raya Umum 2008 pada 8 Mac lalu. Para penduduk BMC pun lantas mengambil initiatif sendiri membuka jalan dengan meruntuhkan sendiri halangan konkrit yang dibina pihak GS yang selama ini memaksa penduduk BMC membayar tol. Namun pihak GS masih tidak berputus asa dan membina semula halangan itu. Sekali lagi penduduk BMC runtuhkan, tetapi kemudian GS bina halangan itu lagi. Dalam peristiwa itu ada penduduk BMC yang cedera akibat diserang oleh sekumpulan orang yang tidak dikenali. Yang peliknya, pihak berkuasa terutama pihak 'keselamatan' membiarkannya sahaja dengan berbagai alasan.

Tetapi apabila MB Selangor 'turun padang' sebagai tanda sokongan kepada rakyat dan penduduk BMC khasnya, pihak kerajaan pusat telah memerintahkan halangan itu tidak dibina semula. Begitulah berkesannya tindakan penduduk BMC.

Saya tidak pernah tinggal di BMC dan mungkin tidak akan tinggal di BMC di masa hadapan. Saya juga tidak punya saudara-mara, sahabat handai atau rakan taulan yang tinggal di BMC. Akan tetapi saya menyokong penuh tindakan penduduk BMC serta bersimpati terhadap nasib mereka dalam menghadapi kes 'tutup jalan/buka jalan' ini.

Kerana kegigihan mereka memperjuangkan nasib mereka sendiri, dan kerana mereka bertindak sedikit 'kurang-ajar' maka baharulah pihak berkuasa mengambil endah.

Jadi mungkinkah pendekatan yang telah diambil oleh penduduk BMC dalam kes 'batu penghalang' ini boleh ditiru oleh rakyat negara ini bagi memperjuangkan kes rakyat untuk menurunkan harga minyak?

Saya percaya jawapan kepada persoalan ini sangat menarik untuk dibincangkan!

Jumaat, 13 Jun 2008

Persidangan dan Pameran Maritim dan Logistiks Asia Ke-5

Persidangan dan Pameran ini yang bertemakan "MENERUSKAN PERKEMBANGAN SEMASA SUASANA YANG TIDAH MENENTU" akan diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre, Kuala Lumpur, dari 24 hingga 26 Jun 2008, menjanjikan sebanyak 100 gerai pameran, serta pembentangan sebanyak 16 kertas kerja dalam berbagai aspek maritim dan logistiks.

Antara topik hangat yang akan dibincangkan ialah suasana perkapalan dagang dunia masakini, perkembangan teknikal dan perubahan peraturan perkapalan, pembinaan dan teknologi kapal, perkapalan dan perdagangan, logistiks dan bisnes luar pantai yang berkaitan eksplorasi minyak dan gas, serta keselamatan (safety & security) dan piawaian perkapalan.

Program anjuran MASA membariskan beberapa tokoh terkemuka dalam dunia korporat perkapalan seperti Presiden Kehormat Yayasan Kempimpinan Perdana, Tun Dr Mahathir, Pengerusi MASA, Ir Nordin Mat Yusoff, Presiden/CEO AET, Encik Amir Hamzah Azizan, CMD/CEO Petronas Maritime Services Sdn Bhd, Capt Samsudin M.Yassin, Pengerusi Bahtera Warisan Logistics Group Sdn Bhd, Tuan Hj Abdul Aziz Meor Ngah, Penasihat Maritim Khas Kementerian Pengankutan, Dato' Capt Haji Abdul Rahim Abdul Aziz, dan Direktor General Jabatan Laut, Dato' Capt. Ahmad bin Othman.

Pihak penganjur program ini telah membuka laman web rasmi DI SINI

Rabu, 11 Jun 2008

Mersing jadi transit pemancing



Warga Malaysia sudah biasa mendengar ungkapan Mersing menjadi pekan transit bagi para pelancung yang ingin bercuti ke beberapa pulau, seperti Pulau Tioman, Pulau Aur, Pulau Pemanggil, Pulau Rawa dan Pulau Sibu.

Pendek kata kesibukan R & R yang terletak berhampiran jeti bot di setiap hujung minggu dan cuti umum sudah tidak asing lagi para pengunjung serta penduduk tempatan Mersing.

Para pelancung bukan sahaja terdiri dari warga tempatan, malah warga asing, termasuklah orang Eropah dan Timur Tengah.

Namun tidak ramai yang tahu, Mersing juga merupakan transit bagi para pemancing, atau mungkin dikenali sebagai 'nelayan hobi.'

Sesungguhnya perairan sekitar pulau-pulau yang berdekatan Pulau Tioman, Pulau Pemanggil dan Pulau Aur merupakan kawasan pemancing yang popular serta jarang mengecewakan para pemancing.

Selasa, 10 Jun 2008

Mahkamah luluskan permohonan lelaki beristeri empat

Seorang lelaki berumur 49 tahun dibenarkan oleh mahkamah di Terengganu untuk mengambil isteri keempat.

Sebelum ini beliau sudah dikurniakan dengan 25 orang anak dari tiga orang isteri beliau.

Difahamkan beliau mempunyai pendapatan bulanan sebanyak RM20 ribu, dan beliau melayan ketiga-tiga orang isteri beliau dengan adil.

Berita lanjut boleh dibaca DI SINI

Rumah Api One Fathom Bank





Rumah api biasanya dibina untuk digunakan sebagai panduan kepada kapal-kapal yang belayar di lautan supaya mengelakkan kapal itu daripada terkandas di kawasan air cetek atau batu karang.

Tidak terkecuali, Rumah Api Permatang Sedepa, atau lebih dikenali sebagai One Fathom Bank, yang terletak lebih kurang 10 batu nautika dari luar pantai Pelabuhan Kelang, dibina untuk panduan kepada kapal-kapal yang belayar di Selat Melaka.

Perjalanan dari jeti Pelabuhan Kelang memakan masa selama satu jam dengan bot laju atau lebih 3 jam dengan bot nelayan.

One Fathom Bank ini dikawal oleh anggota Jabatan Laut Malaysia mengikut giliran syif selama 10 hari setiap satu syif.

Biasanya rumah api terletak di atas bukit, atau di hujung tanjung atau di tepi pantai, tetapi One Fathom Bank dibina di atas benteng pasir di tengah-tengah perairan Selat Melaka. Benteng pasir itu dikatakan akan timbul apabila air surut.

Selain menjadi panduan kapal di Selat Melaka, One Fathom Bank juga terkenal di kalangan pemancing tegar sekitar Pelabuhan Kelang dan Kuala Lumpur, kerana dikatakan hasil tangkapan ikan dari situ sentiasa tidak mengecewakan para pengail.

Khamis, 5 Jun 2008

Serangan lanun terhadap kapal dagang meningkat

Setiap hari akan ada sahaja kapal dagang yang diserang oleh lanun.

Begitulah menurut statistik yang didedahkan oleh sebuah agensi keselamatan global. Dianggarkan serangan lanun meningkat sebanyak 75 peratus (!) dalam masa 10 tahun kebelakangan ini.

Apakah punca yang menyebabkan peningkatan yang begitu ketara?

Antara sebab utama ialah kerana meningkatnya trafik perdagangan di kesemua laluan kapal dagang di seluruh dunia, di samping bertambahnya pelabuhan serta terminal kapal dagang yang baru sejak sedekad yang lalu. Selain itu kerana tahap keselamatan yang rendah di sekitar pantai yang berhampiran laluan kapal dagang, dan juga mudahnya mendapatkan senjata api di seluruh dunia.

Sesungguhnya semua pihak perlu memberi perhatian kepada dan mengambil langkah yang berkesan bagi menangani ancaman terhadap kapal dagang itu, serta bertindak secara bersepadu bagi menghadapinya.

Rabu, 4 Jun 2008

Pelaut dan aktiviti memancing

Aktiviti memancing memang menjadi kegemaran majoriti daripada para pelaut.

Amat jarang sekali seseorang menahan diri melihat laut tenang apabila
kapalnya berlabuh di kawasan anchorage sementara menunggu kapal masuk
alongside. Tentu sahaja ada di kalangan rakan pelaut yang memancing,
dan menaikkan banyak ikan besar. Jadi jarang sekali ada pelaut yang
dapat melihat sahaja tanpa mencuba nasib memancing.

Bukan pelaut sahaja yang menjadikan aktiviti memancing sebagai hobi,
malah anggota Jabatan Laut dan Polis Marin pun ramai yang menjadi
pemancing tegar. Saya sendiri melihat joran dan kekili yang siap
terpasang di bot mereka apabila mereka melakukan tugas-tugas meronda.

Sesungguhnya aktiviti memancing sangat memikat sesiapa sahaja yang
dekat dengan laut.