Sabtu, 21 Jun 2008

Penulis sci-fi terkenal Arthur Clarke meninggal dunia



Arthur C. Clarke, penulis novel fiksyen sains (sci-fi), peramal masa depan dan jaguh penyair tidak rasmi zaman angkasalepas, telah meninggal dunia pada 18 Mac, 2008 di rumahnya di Colombo Sri Lanka. Beliau berumur 90 tahun.

Clarke pernah menulis skrip filem 2001: A Space Odyssey (2001: Pengembaraan Angkasalepas) bersama Stanley Kubrick. Ramai orang menganggap filem ini di antara filem sci-fi yang paling penting yang pernah dibuat. Clarke merupakan penulis yang produktif yang berjaya menghasilkan lebih 100 buah buku, dan disanjung kerana beliau mampu meramal inovasi manusia dan menerangkan konsep itu kepada pembaca bukan saintifik. Pada tahun 1945 beliau mencadangkan idea satelit komunikasi yang berpangkalan di orbit geostationary, iaitu satelit yang berada di lokasi relatif yang tetap atas permukaan bumi.

Ada orang yang mengejeknya, tetapi idea itu terbukti berguna apabila terciptanya Early Bird, iaitu satelit komersil yang terawal menawarkan rangkaian komunikasi global bagi telefon, tv dan komunikasi digital pantas. Orbit itu kini dikenali sebagai Orbit Clarke oleh pihak International Astronomical Union (Kesatuan Astronomi Antarabangsa).

“Beliau mempengaruhi dunia dengan cara yang paling baik,” kata penulis Ray Bradbury dalam bukunya yang berjudul Arthur C. Clarke: The Authorized Biography yang diterbitkan pada tahun 1992 oleh Neil McAleer. “Buah fikiran Arthur C. Clarke berjaya menghasilkan jentera angkasalepas yang tidak bersuara tetapi mampu bercakap berbagai bahasa. Satelit komunikasi yang menakjubkan itu terlebih dahulu berlegar-legar dalam fikiran beliau, sebelum meluncur di alam nyata merentasi pergunungan dan padang di atas permukaan bumi.”

Selain daripada buku, beliau telah menulis lebih daripada 1,000 buah cerpen dan esei. Antara yang terkenal ialah cerpen yang berjudul Dial F for Frankenstein (1964), yang memberikan ispirasi kepada saintis komputer Inggeris, Tim Berners-Lee, mencipta rangkaian web World Wide Web pada tahun 1989. Clarke juga mempopularkan idea lif angkasalepas sebagai alternatif kepada roket. Idea itu mulanya dicetuskan oleh seorang jurutera Russia pada tahun 1960 dan direkacipta semula sebanyak empat kali dalam beberapa dekad berikutnya. Setelah Clarke mempopularkan idea itu dalam novel beliau yang diterbitkan pada tahun 1979 idea berjaya mencetuskan suatu bidang kajian baru. Semasa diwawancara oleh majalah New Scientist pada tahun 2007, beliau berkata alat itu hanya akan dibina “50 tahun selepas semua orang berhenti mentertawakannya.”

Apa pun, kerjasama beliau dengan Kubrik bagi menghasilkan filem pada tahun 1968 telah menjadikan beliau terkenal di seluruh dunia. Skrip filem 2001: A Space Odyssey (2001: Pengembaraan Angkasalepas) itu berdasarkan sebuah cerpen Clarke berjudul The Sentinel (Pengawal) yang diterbitkan pada tahun 1951. Pada masa itu juga Clarke telah menulis novel mengiringi filem itu dan diterbitkan tiga bulan selepas filem mula ditayangkan. Ramai yang menganggap novel itu ialah keterangan lanjut idea filem itu. Hasil penulisan Clarke mencetuskan inspirasi bagi nama kapal angkasa, asteroid dan satu spesis dinosaur. Beliau juga pernah menjadi juruacara pendaratan Apollo di bulan pada tahun 1960’an bersama wartawan Walter Cronkite. Melalui dua siri tv pada tahun 1980’an idea beliau tersebar keseluruh pelusuk dunia. Beliau menerima anugerah Ratu England pada tahun 1998, dan pernah dicalonkan bagi menerima Hadiah Nobel pada tahun 1994. Beliau juga menerima anugerah pingat emas Franklin Institute, anugerah Pendidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan anugerah Pertubuhan Saitifik dan Kebudayaan-Kalinga.

Clarke tinggal di Sri Lanka sejak tahun 1956 lagi dan bekerja bersama Jacques Cousteau dan rakan-rakannya bagi memperelok peralatan penyelam (diving). Beliau berhijrah semasa negara itu masih dikenali sebagai Ceylon, serta membuka kedai menjual alat penyelam sambil menjelajah dasar laut. Beliau mengalami cacat anggota akibat diserang sakit polio pada tahun 1959. Beliau pernah berkata dengan menyelam di dasar laut sahajalah beliau dapat mengalami rasa ‘tiada graviti’ seperti yang dirasai oleh sesiapa sahaja ketika berada di angkasalepas. “Saya memang dapat bergerak bebas sepenuhnya ketika berada di bawah permukaan air,” kata beliau. Kedai menjual peralatan penyelam itu musnah ketika dilanda tsunami pada tahun 2004.

Clarke dilahirkan pada 17 Disember 1917 di Minehead, Somerset, England. Bapanya bekerja sebagai jurutera perkhidmatan pos yang menjadi peladang dan juru telegraf pejabat pos. Clarke menggemari fiksyen sains ketika berumur 11 tahun lagi. Beliau mengaggotai Tentera Udara DiRaja Britain pada tahun 1941 dan menjadi jurulatih radar dan membangunkan sistem pendaratan kapal terbang dengan kawalan dari bumi pada jarak penglihatan sifar (zero-visibility).

0 ulasan: