Khamis, 18 September 2008
Mengapa lanun berleluasa di perairan Somalia?
Untuk menjawab soalan ini mari kita lihat sepintas lalu sejarah ringkas Somalia.
Menurut sejarah Somalia adalah negara Islam yang bernaung di bawah Khilafah Osmaniyah Turki sebelum dijajah oleh Itali dan Inggeris. Panggilan resmi mengikut Bahasa Arab ialah Jumhūriyyat aṣ-Ṣūmāl.
Bahagian utara Somalia, juga dikenali sebagai British Somaliland dijajah oleh Inggeris mulai tahun 1886, manakala bahagian selatan, yang dipanggil Italian Somaliland dijajah olehItali pada tahun 1889.
Berikutan Perang Dunia Kedua, Inggeris merampas seluruh Somalia pada tahun 1949. Rakyat Somali bangkit berjuang menentang penjajah Inggeris dan Itali dalam suatu pertarungan yang panjang sehingga British Somaliland mencapai merdeka pada tahun 1960 dan Italian Somaliland merdeka pada tahun 1965.
Kerajaan Somalia dipimpin oleh Presiden Abdirashid Ali Shermarke memerintah sehingga berlaku rampasan kuasa pada tahun 1969 yang diketuai oleh General Siad Barre and Ketua Polis Jama Korshel.
Pada tahun 1977 dan 1978 Somalia berperang dengan Ethiopia dalam apa dinamakan sebagai Perang Ogaden. Tentera hampir menang dalam perang itu, tetapi Soviet Union dan Cuba membantu Ethiopia dan Somalia tewas.
Masyarakat Somalia lebih mementingkan kuasa puak-puak masing-masing (clan-based) daripada kuasa kerajaan yang memerintah.
Pada tahun 1991 kerajaan Somalia pimpinan General Siad Barre digulingkan. Selepas daripada peristiwa itu, Somalia melalui peperangan saudara yang lama. Akibatnya rakyat Somalia menghadapi krisis kekurangan makanan, sehingga akhirnya pada tahun 1992, pihak PBB (UN) menghantar pasukan pengaman untuk menjalankan operasi United Nations Operation in Somalia I (UNOSOM I).
Namun kemasukan tentera pangaman UNOSOM itu tidak disenangi oleh puak-puak militia yang menguasai ibu negara Somalia, Mogadishu, lalu berlakulah pertempuran antara puak militia dan tentera pengaman. Antara yang terkorban ialah anggota tentera dari Pakistan. Kemuncak pertempuran ialah apabila sebuah helikopter tentera Amerika Syarikat ditembak jatuh pada bulan Oktober 1993, yang mengakibatkan 1,000 anggota militia Somalia dan 18 orang tentera Amerika terbunuh. Episod pertempuran ini digambarkan dalam filem Hollywood Black Hawk Down.
Akibat perang saudara yang berlarutan maka Puntland, wilayah sebelah timur laut Somalia mengisytiharkan kemerdekaan. Wilayah tenggara dipegang oleh kerajaan peralihan yang dipanggil Transitional Federal Government(TFG).
Pada awal tahun 2006 konflik berlaku lagi dan kali ini di antara pihak Islamic Courts Union (ICU) pimpinan Sheikh Sharif Ahmed dan pihak warlord Mogadishu yang dikenali sebagai the Alliance for the Restoration of Peace and Counter-Terrorism (ARPCT).
Pihak ICU telah beberapa kali mengatakan ARPCT diberi bantuan kewangan dan senjata oleh Amerika kononnya atas alasan memerangi keganasan sejagat (global terrorism).
Pada bulan Jun 2006, pihak ARPCT dikalahkan oleh pihak ICU. Mogadishu mengalami keamanan buat seketika berkat kebijaksanaan pentadbiran pihak ICU.
Walau bagaimana pun keamanan ini tidak dapat dikecapi lama oleh rakyat Somalia. Pada akhir bulan Disember 2006, tentera Ethiopia menyerang posisi ICU di Mogadishu dan sekitarnya. Pihak ICU berundur dari Mogadishu dan bandar yang di selatan Somalia, Kismayo dan selepas itu meneruskan perjuangan melalui taktik perang gerila sehingga sekarang.
Banyak pihak mengatakan anggota militia warlord (ARPCT) terlibat dalam kegiatan lanun yang menyerang dan merampas kapal dagang yang melalui perairan Somalia.
Semasa ICU berkuasa di kawasan yang dikuasainya, mereka berjaya mengawal kegiatan lanun kerana dikatakan puak warlord dapat dikawal. Pihak ICU telah dapat mentadbir dengan baik dan dilihat sebagai kerajaan.
Namun setelah kalahnya pihak ICU dalam percaturan politik dan ketenteraan Somalia, maka anggota pihak warlord bermaharaja semula. Kegiatan lanun meningkat.
Somalia mempunyai kawasan pantai yang panjang, iaitu jarak di antara bandar Berbera yang di utara Somalia dan Kismayo di sebelah selatan ialah lebih daripada 3,000 kilometer.
Somalia yang tiada kerajaan maka perairan di sepanjang pantai 3,000 kilometer telah menjadi seolah-olah kawasan bebas melanun.
(Akan datang: Apa penyelesaian jangka panjang bagi memerangi kegiatan lanun di perairan Somalia?)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan