Jumaat, 25 November 2005

Berlaku 'Adil itu dekat dengan Ketaqwaan

Sejak manusia belajar bermasyarakat, sejak itulah ada pemerintahan. Bila ada pemerintahan maknanya ada ketua dan ada rakyat. Sejak itulah juga ada pemerintah yang adil dan ada pemerintah yang zalim.

Oleh kerana manusia yang berkuasa dikelilingi oleh ramai penasihat-penasihat, maka selalunya banyak keputusan yang dibuat oleh pemimpin amat dipengaruhi oleh nasihat dari mereka. Banyak berlaku di dalam sejarah di mana penasihat-penasihat di sekeliling pemimpin inilah yang merosakan pemimpin.

Amalan membodek serta memberi maklumat yang salah juga menjadi amalan penasihat-penasihat tersebut. Perkara-perkara yang difikirkan tidak disukai pemimpin disembunyikan oleh penasihat dari pemimpin. Oleh kerana ingin membodek dan mencari keuntungan dari pemimpin, penasihat memberitahu perkara-perkara yang baik sahaja.

Inilah punca utama pemerintahan menzalimi rakyat, kerana terlalu terpengaruh dengan penasihat-penasihat mereka.

Inilah agaknya sebab utama Khalifah Umar al-Khattab menyamar sebagai rakyat biasa dengan hanya ditemani oleh penolong kepercayaannya, bagi meninjau kehidupan rakyat di bawah pemerintahannya. Sudah tentu sebagai seorang Khalifah Islam yang dididik sendiri oleh Nabi Muhammad (S.A.W.) memahami hakikat kelakuan membodek oleh penasihat-penasihat, sehingga beliau sendiri perlu keluar bagi meninjau kehidupan rakyat jelata dengan mata kepalanya sendiri.

Dengan berbuat begitu, beliau dapat mengetahui apa sebenarnya yang berlaku di negara yang diperintahnya. Dan juga beliau akan dapat mengetahui siapa di antara penasihat-penasihat beliau yang memberi bercakap benar dan siapa di antara mereka yang membodek.

Masih adakah di zaman moden ini, pemimpin yang melakukan 'tinjauan' seperti yang dibuat Sayyidina Umar (r.a.) ini?

(alang bidara - 25/11/2005).

0 ulasan: