Rabu, 1 April 2009

Menawan jenahak




Setiap pengail sudah pasti tidak akan melupakan jenahak pertama yang ditawannya, sebagaimana setiap penggemar ikan tidak akan melupakan jenahak pertama yang dimakannya.

Bagi saya, kali pertama ialah ketika saya mula berjinak-jinak dengan hobi memancing. Ketika itu saya bersama beberapa orang rakan pengail telah mengail di perairan Selat Melaka. Perjalanan ke lokasi memancing dengan bot kotak dari jeti Sungai Besar, Selangor memakan masa lebih kurang tiga jam.

Saya bukanlah orang yang pertama menaikkan jenahak pada malam itu, tetapi Bakar yang membuka tirai dengan seekor jenahak seberat lebih kurang lima kilogram. Tidak lama selepas itu, kail saya ditarik ikan...

Pegang! Jaga! Kriikk.... dan TARIK!

Sudah terkena. Pada ketika itulah baru saya merasakan keseronokan menarik kail yang ada ikan jenahak di hujungnya. Memang tidak dapat dilupakan perasaan serta segala otot tangan dan perut seperti kejang rasanya. Nafas pun semakin kencang.

Selepas bertarung hampit 10 minit lamanya, kelihatan seekor jenahak terdampar di tepi bot. Setelah tekong menaikkan ikan itu dengan menggunakan sauk, baru tahu berat ikan itu sekitar enam kilogram.

Mulai dari saat itu saya suka mengail jenahak. Boleh dikatakan setiap bulan saya mengikut rakan-rakan seperti Talib, Bakar, Ismail dan lain-lain rakan untuk memancing jenahak.

Malah bukan setakat memancing jenahak, menikmati isi jenahak pun menjadi suatu kemestian. Kalau tidak dapat yang pancing sendiri, yang dipancing orang lain (baca - beli di pasar...!!!) pula menjadi hidangan masakan.

Semuanya sedap: masak kari, lemak cili api, kukus, bakar dalam daun pisang, kukus, masam manis, malah goreng begitu sahaja pun sedap juga.

Ikan jenahak memang lazat.

1 ulasan:

sebi_2569 berkata...

very interesant blog; bravo