Ahad, 31 Ogos 2008

Sebuah lagi kapal tanker MISC dirampas lanun





Dalam satu kenyataan akhbar pihak MISC pada hari Sabtu 30 Ogos 2008, sehari sebelum negara kita menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-51, memaklumkan sebuah lagi kapal tanker syarikat itu dirampas lanun semasa kapal itu merentasi perairan di luar pantai Yemen dalam pelayaran dari Yanbu, Arab Saudi ke Singapura, Jumaat lalu.


Tidak dipastikan sama ada kapal itu dirampas oleh puak lanun yang sama yang merampas Bunga Melati Dua baru-baru ini.

Difahamkan kapal Bunga Melati Lima cuba mengambil tindakan mengelak daripada serangan lanun itu, tetapi tindakan itu gagal kerana pihak lanun menewaskan cubaan anak kapal itu.


Pihak MISC berkata pasukan tentera bersekutu (dibawah pimpinan Amerika) berada di kawasan tersebut setelah serangan itu berlaku, tetapi tidak dapat menghalang serangan itu, demi mengambil kira nyawa anak kapal Bunga Melati Lima.


Walau pun kita menyambut ulangtahun kemerdekaan negara kita yang ke-51, namun hati kita merasa sedih dan bersimpati dengan apa yang dialami oleh para anak kapal kedua-dua kapal MISC ini khasnya, dan anak kapal yangberada di kapal lain yang jug amasih dalam tahanan lanun.


Sama-sama lah kita berdoa kepada Allah agar mereka akan selamat kembali ke pangkuan keluarga mereka.


Link-link sumber Kosmo, Berita Harian, Bernama, The Star, NST, Malaysian Insider, Yahoo News

Sumber foto: shipspotting.com


1 ulasan:

Imran Azmi berkata...

TLDM hantar pasukan khas lindungi anak kapal MISC

KUALA LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) semalam menghantar pasukan khas ke Teluk Aden di Yaman dan Somalia bagi melindungi empat kapal MISC Bhd yang sedang berlayar di perairan teluk itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pasukan itu akan mengiringi kapal berkenaan bagi mengelak serangan lanun.

"Keutamaan kita ialah menjaga keselamatan kelasi dan kapal kita," katanya selepas melancarkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Eastar keluaran Chery Automobile Sdn Bhd di sini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan mengulas perkembangan terkini kes rampasan dua kapal MISC di Teluk Aden dan kini masih ditahan lanun di perairan itu.

MT Bunga Melati Lima bersama 41 anak kapal, termasuk 36 rakyat Malaysia dan lima lagi Filipina ditawan lanun pada Jumaat lalu di luar pantai Yaman.

Sepuluh hari sebelum itu, MT Bunga Melati Dua yang membawa 39 anak kapal termasuk 29 rakyat Malaysia ditawan lanun di luar pantai Somalia.

Najib berkata, MT Bunga Melati Dua kini berlabuh di bandar Garacad, Somalia, kira-kira 4.5 batu nautika dari pantai, manakala MT Bunga Melati Lima di bandar Eyl, Somalia, kira-kira enam batu nautika dari pantai.

Beliau berkata, kedua-dua kapal berkenaan berada pada jarak 40 batu nautika antara satu sama lain.

"Setakat ini rundingan sedang berjalan dengan pihak perampas dan belum ada sebarang penyelesaian dicapai. Kita yakin komunikasi dengan kapal MT Bunga Melati Lima akan dapat dibuat lewat petang ini (semalam)," katanya.

Najib bagaimanapun berkata, kerajaan tidak akan terbabit dengan rundingan membayar wang tebusan, sebaliknya ia dilakukan MISC.

"Kita akan mengikut peraturan dan lunas undang-undang antarabangsa," katanya.

Najib juga berkata, MISC wajar mempertimbangkan untuk mengubah laluan kapalnya berikutan Teluk Aden terlalu bahaya kerana dipenuhi lanun hinggakan kapal milik negara lain turut dirampas.

Sementara itu, MISC dalam satu kenyataannya menjelaskan syarikat itu menghentikan serta merta pelayaran semua kapalnya ke Teluk Aden sehingga langkah keselamatan tambahan dilaksanakan bagi meningkatkan tahap keselamatan semua kapal dan anak kapalnya.

http://www.bharian.com.my/Wednesday/BeritaUtama/20080903070740/Article/index_html