Selasa, 26 Ogos 2008

Lanun zaman dahulu




Kegiatan lanun bukanlah perkara baru. Mengikut sejarah, catatan terawal kegiatan lanun yang pernah ditemui ialah pada kurun ke-13 Sebelum Masehi lagi, yang mengisahkan kegiatan kumpulan lanun yang dikenali sebagai Orang Laut yang bermaharajalela di perairan Laut Aegean dan Laut Mediterranean. Pada tahun 75 Sebelum Masehi Julius Ceaser (yang kemudiannya menjadi salah seorang Maharaja Rom yang terkenal) diculik oleh lanun dari Pulau Sicily di Laut Aegean. Beliau dibebaskan setelah wang tebusan dibayar.

Pada zaman pertengahan telah direkodkan benua Eropah senantiasa menghadapi kerosakan akibat diserang puak Viking yang dianggap sebagai lanun yang berasal dari Scandinavia. Sentiasa sahaja ada kawasan kampung, penempatan dan bandar-bandar di pesisiran pantai dan tepi sungai Eropah Barat yang menjadi sasaran serangan puak Viking. Malah pada tahun 844 Masehi bandar Seville diserang Viking.

Pada tahun 1241, dikatakan bahawa seorang warga Inggeris yang bernama William Maurice didapati bersalah melibatkan diri dalam kegiatan lanun dan dia menjadi orang yang pertama dihukum gantung dan mayatnya dikerat empat. Itulah hukuman yang paling keras yang pernah dijatuhkan oleh pihak berkuasa Inggeris kerana kesalahan melanun.

Era klasik kegiatan lanun direkodkan dalam sejarah Kepulauan Carribean ialah dari tahun 1560 sehingga pertengahan tahun 1720’an. Zaman itu dikatakan ‘kerjaya sebagai lanun’ memberi pulangan yang lumayan berikutan penaklukan Amerika Selatan oleh Sepanyol. Kapal-kapal Sepanyol yang belayar berulang-alik dari Amerika Selatan ke Sepanyol sentiasa sarat dengan muatan dagang serta emas dan perak. Beberapa ketua atau ‘tokoh’ lanun yang terkenal dalam lipatan sejarah ialah Edward Teach dan Henry Morgan. Kedua-dua mereka ialah warga Inggeris.

(Akan datang: Lanun masa kini)

0 ulasan: