Jumaat, 22 Ogos 2008

Pihak MISC berkata ada anak kapal Bunga Melati Dua yang ‘cedera’








Sumber yang dipetik dari Bloomberg mengatakan pihak MISC Berhad, syarikat perkapalan Malaysia yang terbesar mengakui ada anak kapal yang ‘cedera’ di kapal kepunyaan syarikat itu yang dirampas di kawasan Teluk Aden tiga hari lalu. Walau bagaimana pun, pihak syarikat itu akan bertindak dengan berhati-hati dengan keselamatan anak kapal menjadi priority utama.

Bunga Melati Dua, kapal jenis tanker seberat 32,169 DWT yang dikendalikan oleh 29 orang anak kapal warga Malaysia dan 10 orang warga Filipina itu dalam jadual pelayaran membawa kargo minyak sawit sebanyak 32,000 tonne dari Dumai, Indonesia ke Rotterdam, Belanda apabila dirampas oleh lanun di kawasan perairan Teluk Aden, di luar pantai Somalia.

Sumber Bernama menyebut syarikat itu telah menubuhkan pasukan khas bagi menyelesaikan kes rampasan itu.

Satu kenyataan Wisma Putra menyebut bahawa pihak Kementerian Luar Negeri akan terus memantau perkembangan kes ini dengan bantuan pihak Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Kenya dan pihak Kedutaan Malaysia di Yamen, serta mengambil langkah yang perlu bagi mencari kapal dan membawa pulang kesemua anak kapal dengan selamat.

Difahamkan juga Bunga Melati Dua dibina pada tahun 1997 dan diklasikasi oleh Lloyds Register, serta diinsurankan melalui UK Mutual Steam Ship Assurance Association (Bermuda).

Perairan itu terkenal sebagai kawasan perairan yang sering berlaku serangan lanun. Pada 20 Ogos lalu sekumpulan lanun merampas kapal tanker milik Jepun dan sebuah kapal bulk carrier milik Iran, iaitu serangan yang kelima bulan ini.

Difahamkan pihak tentera laut dari beberapa negera yang beroperasi di perairan berhampiran sedang menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat kapal-kapal yang dirampas itu.

Biasanya pihak perampas (lanun) akan menuntut jumlah tebusan wang yang tinggi.

Untuk melihat kawasan perairan di seluruh dunia yang menjadi kawasan serangan lanun, sila kunjungi laman web yang disediakan oleh pihak Biro Maritim Antarabangsa (IMB) yang berpusat di Kuala Lumpur DI SINI.

Sumber: Bernama, Bloomberg, International Maritime Bureau(IMB) dan Lloyds List.
Sumber gambar:
www.jtashipphoto.dk, shipspotting.com, vesseltracker.com, bocahkecil.info, vigilenzmd.com


0 ulasan: