Selasa, 13 Januari 2009

Lanun lemas bersama wang tebusan



Selepas menerima wang tebusan hasil rampasan kapal M.T. Sirius Star milik Arab Saudi, kumpulan lanun yang merampas kapal itu dua bulan yang lalu itu pun mengagihkan duit tebusan itu di kalangan ahli mereka.

Kemudian mereka melarikan diri meninggalkan kapal itu. Sembilan atau lapan orang daripada mereka telah melarikan diri dengan sebuah bot untuk ke pantai di Haradhere, di wilayah Mudug, Somalia.

Dalam pelayaran ke pantai itu mereka dilanda ribut dan ombak besar, mengakibatkan bot yang mereka naiki itu karam. Daripada tiga atau empat orang yang terselamat, dikatakan hanya seorang sahaja yang berjaya berenang ke darat bersama bahagian wang tebusannya, sementara yang lain hanya setakat boleh bergembira kerana nyawa masih di badan.

Empat atau lima orang dikatakan hilang dan dikhuatiri mati lemas. Mayat salah seorang daripada mereka yang mati lemas itu ditemui terdampar di tepi pantai bersama wang tebusan bahagiannya.

Dia tidak kehilangan wang, tetapi sayangnya dia tidak sempat meraikan kejayaan gerombolan mereka dengan wang tebusan itu.

0 ulasan: