Rabu, 30 April 2008

Akademi Laut – mengapa di Melaka?

Semasa pemerintahan sultan-sultan di abad ke-15 and ke-16, Melaka pesat berkembang dan menjadi pelabuhan yang terpenting di Nusantara. Melaka menjadi pintu masuk dagangan di kawasan itu, sehingga ada seorang peniaga dan penulis berbangsa Portugis yang pernah belayar dengan Ferdinand Magellan pernah berkata, “Sesiapa yang menguasai Melaka akan dapat menguasai perdangangan dunia.”

Pelabuhan Melaka terlindung dari taufan Monsun Barat Daya dan Monsun Timur Laut. Kapal-kapal pedagang dari Arab, India, China dan Jawa akan berlindung di Melaka apabila Selat Melaka dilanda ribut, sehinggalah keadaan laut selamat untuk kapal-kapal mereka. Melaka juga menjadi sebuah pusat pengambilan pelaut untuk bertugas di kapal dagang.

Maka dengan aspirasi membina kembali warga negara kita sebagai bangsa pelaut, maka sangat sesuailah Akademi Laut Malaysia (ALAM) didirikan di Melaka. Akademi yang mula dibina pada tahun 1977 di Tanjung Dahan, Kuala Sungai Baru, Melaka itu menawarkan berbagai kursus pegawai dan bukan pegawai bagi bakal pelaut yang akan diambil bertugas di kapal-kapal dagang.

Sejak dahulu lagi kerjaya pelaut memang memerlukan kecekalan, dan di zaman moden ini, kerjaya ini memerlukan kepakaran yang tinggi pula. Selain daripada tugas mengendalikan oeprasi pelayaran kapal dagang, pelaut juga berdepan dengan keadaan laut yang tenang dan damai di suatu saat, boleh berubah menjadi bergelora yang menguji ketahanan fizikal dan mental seseorang ke tahap yang benar-benar teruji.

Kita menaruh harapan Melaka akan sekali lagi menjadi salah sebuah pusat melatih anak bangsa menjadi pelaut yang terkenal, mahir dan teruji.

0 ulasan: