Jumaat, 20 Oktober 2006

Kisah Kekasaran Seorang Polis Bantuan KTM di Stesyen Keretapi Kajang

Pada hari Khamis, 26 Ramadan (bersamaan19 Oktober 2006) saya bersama dengan 2 orang anak lelaki saya telah pergi ke Stesyen Keretapi (KTM) Kajang, Selangor untuk menghantar ayah saya menaiki keretapi malam untuk pulang ke Kelantan.

Kami menaiki keretapi KTM komuter untuk tiba lebih awal di stesyen KTM itu untuk mengelakkan ketinggalan keretapi untuk ayah saya pulang.

Lebih kurang pukul 8.55 malam, datang seorang wanita dari anggota polis bantuan KTM menyoal anak saya yang berumur 14 tahun hendak pergi ke mana dan meminta untuk melihat tiket keretapi. Anak saya ini seorang anak istimewa dan ketika ditanya mengenai tiket itu beliau mengambil masa untuk menjawab.

Secara mendadak polis (bantuan KTM) ini telah menaikkan suaranya. Saya menjawab yang saya memegang tiket. Kemudian dengan nada yang kasar telah menuntut untuk memeriksa tiket saya dan ayah saya dan menyoal hendak ke mana.

Saya tidak nafikan hak seorang anggota polis (bantuan KTM) bertindak tegas(?) menjalankan tugasnya.

Tetapi saya merasa terkilan dan marah di atas sikap biadab dan kurang sopan anggota tersebut yang melayan kami seolah-olah kami orang salah.

Apakah dia ingat kami ini penjenayah berat atau dari banduan yang baru lari dari penjara, atau dari kalangan pendatang tanpa izin?

Saya kerap menggunakan perkhidmatan keretapi komuter dan sudah banyak wang yang saya bayar membeli tiket KTM komuter dan sesungguhnya gaji pekerja-pekerja KTM termasuk gaji anggota polis (bantuan KTM) tersebut dibayar menggunakan duit-duit tambang yang dibayar oleh penumpang-penumpang keretapi seperti saya.

Saya dapati anggota-anggota KTM sentiasa memberikan layanan mesra pengguna setiap kali saya perlukan bantuan dan dan ketika menjalankan tugas.

Tetapi saya rasa sikap kurang sopan seorang anggota polis (bantuan KTM) yang saya sebutkan tadi telah merosakkan imej KTM dan menimbulkan kemarahan saya sebagai seorang pengguna yang membayar tambang.

Maka saya menuntut agar KTM mengambil tindakan sewajarnya supaya jangan dilayan kami penumpang-penumpang keretapi yang membayar tambang seperti orang salah dan penjenayah. Ingatkanlah mereka anggota-anggota polis bantuan agar menjalankan tugas dengan tegas, cekap dan mesra pengguna dan bukan kasar dan tidak bersopan-santun.

Saya berharap insiden yang saya lalui di stesyen KTM Kajang itu suatu insiden yang terkecuali dan bukan menjadi kebiasaan, dan layanan kasar terhadap pengguna-pengguna perkhidmatan KTM bukan menjadi standard operating procedure (SOP) anggota-anggota polis (bantuan KTM).

[Saya ada mencatit nama dan nombor anggota polis bantuan KTM tersebut, tetapi hanya akan mendedahkannya jika diminta oleh pihak yang berkenaan]

4 ulasan:

Anonymous berkata...

menarik kisah ini untuk dijadikan sebahagian daripada jalan cerita novel. Boleh mengundang simpati remaja.

mba berkata...

adakah tuan telah report kpd KTM?. JIka belum saya nak forward entri ini kpd KTM.

Saya juga bakal pengguna KTM di stesen Kajang kerana akan berpindah rumah berhampiran dengan stesen kajang tahun hadapan, insyaallah.

Imran Yusuf berkata...

Sdr mba,
Saya belum lagi melapurkan kepada KTM.

Terima kasih

Anonymous berkata...

Tuan Alang,

Apa mungkin ritma biologi polis wanita itu punyai kesan sampingan terhadap emosinya pada ketika itu, dan Tuan kebetulan berada di lokasi itu bilamana rentak bilogi Hawanya mengatasi rasional? Siapa tau...wallahua'lam, hati hati ya ..