Sabtu, 4 Mac 2006

Harga Akan Minyak Naik Lagi?

Beberapa orang kawan dan kenalan telah mempersoalkan tulisan saya yang seolah-olah menyalahkan Petronas di dalam kenaikan harga minyak baru-baru ini.

Terlebih dahulu saya nyatakan saya tidak salahkan Petronas di dalam hal ini. Tetapi kerajaanlah membuat keputusan menaikkan harga minyak. Jadi kita pertanggung-jawabkan hal ini ke atas kerajaan. Namun adalah mustahil kerajaan tidak mangambil kira pandangan dan pendapat dari pegawai-pegawai kanan Petronas di dalam hal ini.

Sekiranya saya salah seorang pegawai kanan Petronas pun sudah tentu saya tidak ada pilihan tetapi menyokong kenaikan itu. Kalau tak sokong alamat tak lama lah berkhidmat dengan Petronas.

Memang ada pegawai kanan Petronas yang tidak setuju dengan beberapa keputusan kerajaan tetapi mereka tidak mampu melawannya. Sebagai contoh, adalah diberitakan Allahyarham Tan Sri Azizan (Pengerusi Petronas yang meninggal dunia tak lama dulu), amat tidak bersetuju cara kerajaan pimpinan Dr Mahathir bertindak ke atas bekas TPM Anwar Ibrahim dulu itu, tetapi beliau tidak mampu bersuara. Begitu juga lah agaknya di dalam kes kenaikan harga minyak ini.

Tetapi yang kita pertikaikan ialah cara keuntungan dari hasil petroleum negara dinikmati oleh segelintir rakyat (Petronas dan kakitangan) sedangkan rakyat kebanyakan terpaksa menghadapi keperitan dari akibat kenaikan itu. Memanglah kalau kita bercakap begini kepada orang yang tidak merasa keperitan ini, yang memang hidup selesa, tentulah tidak merasai sangat keperitan ini. Maka tidaklah mereka akan memahami keperitan itu.

Malah kalau kita kaji secara terperinci, maka rakyat juga bersalah di dalam soal pemilihan kerajaan. Oleh kerana apa jua keputusan kerajaan, walaupun menyusahkan rakyat, tetapi setiap kali pilihanraya, rakyat memilih BN bagi menerajui kerajaan. Maka dengan berbuat demikian, rakyat seolah-olah bersetuju dengan segala keputusan kerajaan. Oleh yang demikian selagi itulah kerajaan akan bertindak sebegitu.

Namun walau apa pun, terpulanglah kepada rakyat yang membuat pilihan, namun bagi mereka yang sedar, mereka bertanggung jawab memberitahu kawan-kawan dan kaum keluarga mengenai perkara ini.

Dan kita percaya walau pun kerajaan telah berjanji tidak akan menaikkan lagi harga minyak tahun ini, belum tentu lagi janji ini akan ditepati.(alang bidara - 4/3/2006).

0 ulasan: