Ahad, 15 Jun 2008

Kenali Pelabuhan: Tanjung Pelepas Pelabuhan Kontena Masa Depan Malaysia

Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) yang terletak berhampiran muara Sungai Pulai di Johor merupakan pelabuhan yang telah dirasmikan semasa Tun Dr Mahathir menjadi PM Malaysia, iaitu pada tahun 1999.

Pelabuhan ini dibina sebagai pelabuhan terbesar di Malaysia dan dijangka akan memberikan saingan yang sengit kepada Pelabuhan Singapura.

Pelabuhan ini mempunyai potensi untuk berkembang sehingga akan dapat mempunyai 75 dermaga, yang dijangka akan meliputi sepanjang tepi laut barat daya Johor, bermula dari muara Sungai Pulai hingga ke Laluan Kedua Johor-Singapura.

Potensi Pelabuhan Tanjung Pelepas semakin menyerlah apabila memenangi "Container Terminal of The Year 2006" yang dianugerahkan oleh Llyod’s List.

Perkembangan terbaru menyaksikan PTP menandatangani perjanjian dengan syarikat perkapalan negara, MISC Berhad usaha-sama (J.V.) dengan MISC memiliki 30 peratus daripada saham PTP dan 70 peratus lagi dimiliki oleh PTP.

MISC menjadi syarikat perkapalan gergasi yang ketiga memilih PTP sebagai pelabuhan persinggahan utama di Timur Jauh selepas syarikat Maersk dan Evergreen.


Sekeping gambar lebih bermakna daripada seribu perkataan!

Sabtu, 14 Jun 2008

Kapal latihan

Kapal latihan (training ship) ialah kapal yang digunakan untuk melatih kadet yang bakal menjadi pegawai dalam angkatan tentera laut atau angkatan kapal perdagangan.

Biasanya kapal latihan ini berupa kapal lama yang sudah dikeluarkan daripada perkhimatan (decomissioned) pelayaran dagang, lalu dijadikan seperti kelas terapung tempat kadet laut belajar. Ada juga kapal latihan yang merupakan kapal yang masih dalam pelayaran perdagangan tetapi diistilahkan sebagai kapal latihan kerana sekurang-kurangnya 50 peratus daripada anak kapal (crew) adalah kadet laut, manakala 50 peratus lagi ialah jurulatih dan anak kapal.

Beberapa negara di dunia memang sudah lama menyediakan kapal latihan untuk melatih bakal pegawai tentera laut dan pegawai kapal dagang. Antara nama kapal yang terkenal di dunia ialah Bristol dan Northampton bagi Royal Navy Inggeris, Nautilus bagi Navy Sepanyol, Eagle bagi Coast Guard Amerika Syarikat, Gajabahu bagi Navy Sri Lanka dan Kaliakra bagi Navy Bulgaria.

Manakala bagi angkatan laut dagang pula kapal yang terkenal ialah Mir yang didaftarkan di St Petersburg, Russia; T.S. Chanakya, 1994 Navi Mumbai, India; S.S. John W. Brown, New York, New York Board of Education (Liberty Ship) dan S.S Twin Falls, New York, New York Board of Education (Victory Ship).

Tidak ketinggalan juga di Malaysia, Akademi Laut Malaysia menyediakan kapal yang sudah demissioned dan dilabuhkan di luar pantai Tanjung Dahan, Kuala Sungai Baru, Melaka; manakala syarikat perkapalan negara, MISC Berhad menyediakan beberapa buah kapal sebagai kapal latihan. Yang terbaru sekali MISC menyediakan kapal pengangkut gas asli cairan LNG iaitu Puteri Nilam Satu sebagai kapal latihan yang lengkap dengan kemudahan latihan. Langkah ini sejajar dengan hasrat syarikat itu menjadi sebuah syarikat perkapalan yang terkemuka dan juara bertaraf global.

Gambar Puteri Nilam Satu:

BMC, 'buka jalan' dan turunkan harga minyak?

Telah sebegitu lama penduduk Bandar Mahkota Cheras (BMC) merana kerana dipaksa membayar tol yang sepatutnya mereka tidak perlu bayar. Akibat karenah pihak syarikat konsesi lebuhraya Grand Saga menutup jalan alternatif yang membolehkan penduduk BMC mengelak daripada membayar tol, penduduk BMC terpaksa membayar tol yang sepatutnya boleh dielakkan.

Telah pelbagai cara penduduk BMC lakukan untuk mengatasi masalah ini. Mereka sudah buat tunjuk perasaan, dan telah membantah serta merayu kepada kerajaan supaya jalan yang ditutup itu dibuka semula, namun tidak dipedulikan oleh pihak konsesi lebuhraya. Pihak kerajaan juga tidak ambil endah.

Akhirnya rakyat Selangor tolak BN dalam Pilihan Raya Umum 2008 pada 8 Mac lalu. Para penduduk BMC pun lantas mengambil initiatif sendiri membuka jalan dengan meruntuhkan sendiri halangan konkrit yang dibina pihak GS yang selama ini memaksa penduduk BMC membayar tol. Namun pihak GS masih tidak berputus asa dan membina semula halangan itu. Sekali lagi penduduk BMC runtuhkan, tetapi kemudian GS bina halangan itu lagi. Dalam peristiwa itu ada penduduk BMC yang cedera akibat diserang oleh sekumpulan orang yang tidak dikenali. Yang peliknya, pihak berkuasa terutama pihak 'keselamatan' membiarkannya sahaja dengan berbagai alasan.

Tetapi apabila MB Selangor 'turun padang' sebagai tanda sokongan kepada rakyat dan penduduk BMC khasnya, pihak kerajaan pusat telah memerintahkan halangan itu tidak dibina semula. Begitulah berkesannya tindakan penduduk BMC.

Saya tidak pernah tinggal di BMC dan mungkin tidak akan tinggal di BMC di masa hadapan. Saya juga tidak punya saudara-mara, sahabat handai atau rakan taulan yang tinggal di BMC. Akan tetapi saya menyokong penuh tindakan penduduk BMC serta bersimpati terhadap nasib mereka dalam menghadapi kes 'tutup jalan/buka jalan' ini.

Kerana kegigihan mereka memperjuangkan nasib mereka sendiri, dan kerana mereka bertindak sedikit 'kurang-ajar' maka baharulah pihak berkuasa mengambil endah.

Jadi mungkinkah pendekatan yang telah diambil oleh penduduk BMC dalam kes 'batu penghalang' ini boleh ditiru oleh rakyat negara ini bagi memperjuangkan kes rakyat untuk menurunkan harga minyak?

Saya percaya jawapan kepada persoalan ini sangat menarik untuk dibincangkan!

Jumaat, 13 Jun 2008

Persidangan dan Pameran Maritim dan Logistiks Asia Ke-5

Persidangan dan Pameran ini yang bertemakan "MENERUSKAN PERKEMBANGAN SEMASA SUASANA YANG TIDAH MENENTU" akan diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre, Kuala Lumpur, dari 24 hingga 26 Jun 2008, menjanjikan sebanyak 100 gerai pameran, serta pembentangan sebanyak 16 kertas kerja dalam berbagai aspek maritim dan logistiks.

Antara topik hangat yang akan dibincangkan ialah suasana perkapalan dagang dunia masakini, perkembangan teknikal dan perubahan peraturan perkapalan, pembinaan dan teknologi kapal, perkapalan dan perdagangan, logistiks dan bisnes luar pantai yang berkaitan eksplorasi minyak dan gas, serta keselamatan (safety & security) dan piawaian perkapalan.

Program anjuran MASA membariskan beberapa tokoh terkemuka dalam dunia korporat perkapalan seperti Presiden Kehormat Yayasan Kempimpinan Perdana, Tun Dr Mahathir, Pengerusi MASA, Ir Nordin Mat Yusoff, Presiden/CEO AET, Encik Amir Hamzah Azizan, CMD/CEO Petronas Maritime Services Sdn Bhd, Capt Samsudin M.Yassin, Pengerusi Bahtera Warisan Logistics Group Sdn Bhd, Tuan Hj Abdul Aziz Meor Ngah, Penasihat Maritim Khas Kementerian Pengankutan, Dato' Capt Haji Abdul Rahim Abdul Aziz, dan Direktor General Jabatan Laut, Dato' Capt. Ahmad bin Othman.

Pihak penganjur program ini telah membuka laman web rasmi DI SINI

Rabu, 11 Jun 2008

Mersing jadi transit pemancing



Warga Malaysia sudah biasa mendengar ungkapan Mersing menjadi pekan transit bagi para pelancung yang ingin bercuti ke beberapa pulau, seperti Pulau Tioman, Pulau Aur, Pulau Pemanggil, Pulau Rawa dan Pulau Sibu.

Pendek kata kesibukan R & R yang terletak berhampiran jeti bot di setiap hujung minggu dan cuti umum sudah tidak asing lagi para pengunjung serta penduduk tempatan Mersing.

Para pelancung bukan sahaja terdiri dari warga tempatan, malah warga asing, termasuklah orang Eropah dan Timur Tengah.

Namun tidak ramai yang tahu, Mersing juga merupakan transit bagi para pemancing, atau mungkin dikenali sebagai 'nelayan hobi.'

Sesungguhnya perairan sekitar pulau-pulau yang berdekatan Pulau Tioman, Pulau Pemanggil dan Pulau Aur merupakan kawasan pemancing yang popular serta jarang mengecewakan para pemancing.

Selasa, 10 Jun 2008

Mahkamah luluskan permohonan lelaki beristeri empat

Seorang lelaki berumur 49 tahun dibenarkan oleh mahkamah di Terengganu untuk mengambil isteri keempat.

Sebelum ini beliau sudah dikurniakan dengan 25 orang anak dari tiga orang isteri beliau.

Difahamkan beliau mempunyai pendapatan bulanan sebanyak RM20 ribu, dan beliau melayan ketiga-tiga orang isteri beliau dengan adil.

Berita lanjut boleh dibaca DI SINI

Rumah Api One Fathom Bank





Rumah api biasanya dibina untuk digunakan sebagai panduan kepada kapal-kapal yang belayar di lautan supaya mengelakkan kapal itu daripada terkandas di kawasan air cetek atau batu karang.

Tidak terkecuali, Rumah Api Permatang Sedepa, atau lebih dikenali sebagai One Fathom Bank, yang terletak lebih kurang 10 batu nautika dari luar pantai Pelabuhan Kelang, dibina untuk panduan kepada kapal-kapal yang belayar di Selat Melaka.

Perjalanan dari jeti Pelabuhan Kelang memakan masa selama satu jam dengan bot laju atau lebih 3 jam dengan bot nelayan.

One Fathom Bank ini dikawal oleh anggota Jabatan Laut Malaysia mengikut giliran syif selama 10 hari setiap satu syif.

Biasanya rumah api terletak di atas bukit, atau di hujung tanjung atau di tepi pantai, tetapi One Fathom Bank dibina di atas benteng pasir di tengah-tengah perairan Selat Melaka. Benteng pasir itu dikatakan akan timbul apabila air surut.

Selain menjadi panduan kapal di Selat Melaka, One Fathom Bank juga terkenal di kalangan pemancing tegar sekitar Pelabuhan Kelang dan Kuala Lumpur, kerana dikatakan hasil tangkapan ikan dari situ sentiasa tidak mengecewakan para pengail.

Khamis, 5 Jun 2008

Serangan lanun terhadap kapal dagang meningkat

Setiap hari akan ada sahaja kapal dagang yang diserang oleh lanun.

Begitulah menurut statistik yang didedahkan oleh sebuah agensi keselamatan global. Dianggarkan serangan lanun meningkat sebanyak 75 peratus (!) dalam masa 10 tahun kebelakangan ini.

Apakah punca yang menyebabkan peningkatan yang begitu ketara?

Antara sebab utama ialah kerana meningkatnya trafik perdagangan di kesemua laluan kapal dagang di seluruh dunia, di samping bertambahnya pelabuhan serta terminal kapal dagang yang baru sejak sedekad yang lalu. Selain itu kerana tahap keselamatan yang rendah di sekitar pantai yang berhampiran laluan kapal dagang, dan juga mudahnya mendapatkan senjata api di seluruh dunia.

Sesungguhnya semua pihak perlu memberi perhatian kepada dan mengambil langkah yang berkesan bagi menangani ancaman terhadap kapal dagang itu, serta bertindak secara bersepadu bagi menghadapinya.

Rabu, 4 Jun 2008

Pelaut dan aktiviti memancing

Aktiviti memancing memang menjadi kegemaran majoriti daripada para pelaut.

Amat jarang sekali seseorang menahan diri melihat laut tenang apabila
kapalnya berlabuh di kawasan anchorage sementara menunggu kapal masuk
alongside. Tentu sahaja ada di kalangan rakan pelaut yang memancing,
dan menaikkan banyak ikan besar. Jadi jarang sekali ada pelaut yang
dapat melihat sahaja tanpa mencuba nasib memancing.

Bukan pelaut sahaja yang menjadikan aktiviti memancing sebagai hobi,
malah anggota Jabatan Laut dan Polis Marin pun ramai yang menjadi
pemancing tegar. Saya sendiri melihat joran dan kekili yang siap
terpasang di bot mereka apabila mereka melakukan tugas-tugas meronda.

Sesungguhnya aktiviti memancing sangat memikat sesiapa sahaja yang
dekat dengan laut.