Rabu, 23 November 2011

Oh Sudan Ayahku Hero



Petikan dari novel kembara yang diolah dengan gaya penceritaan yang indah dan bermaklumat:

Pada ketika itu kedengaran pengumuman bahawa penerbangan Emirate EK733 ke Khartoum akan mengalami kelewatan lebih daripada satu jam. Katanya sebab kelewatan ialah kerana penerbangan sejak dari malam tadi yang lewat kerana gangguan hujan air batu serta banjir yang melanda Dubai.

Sambil mengambil sebuah buku dari beg, Encik Mustafa berkata, “Lebih eloklah kita membaca sementara menunggu penerbangan kita.”

Zaid juga mengambil sebuah buku lalu berkata, “Mujurlah saya membawa novel remaja kegemaran saya ini. Dapatlah mengisi masa menunggu ini dengan bermanfaat.”

Dalam masa lebih sejam mereka membaca semakin ramai penumpang yang tiba di bala berlepas itu. Tidak lama kemudian para penumbang dibenarkan menaiki menaiki bas lapangan terbang yang membawa mereka ke pesawat jenis Airbus A-340 milik syarikat penerbangan Emirate yang sedia menunggu.

Semasa menaiki bas itu Zaid berkata, “Ayah, besar sekali bas ini. Kalaulah digunakan di Kuala Lumpur, tentu tidak muat jalan raya.”

Ayahnya berkata, “Wahai anakku, bas ini memang dibuat khusus untuk digunakan di lapangan terbang sahaja. Jadi kalau digunakan di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA memang sesuai. Tambahan pula tempat duduk pemandunya di sebelah kiri.”

Bas yang mereka naiki sampai ke tangga pesawat. Sambil menaiki tangga pesawat Zaid memandang sekeliling untuk melihat suasan lapangan terbang. Landasan kapal terbang kelihatan sudah kering dan matahari sudah mula memancarkan cahayanya dan bahang panas sudah terasa. Kedinginan kabin Kelas Bisnes terasa mengalu-ngalukan para penumpang yang tadinya menunggu begitu lama di balai pelepasan.

Sebaik sahaja semua penumpang selesai mengambil tempat duduk masing-masing, penerbangan EK733 yang pada mulanya berlepas pada pukul 7.30 itu akhirnya berlepas pada pukul 9.00 pagi waktu tempatan.

Zaid dan ayahnya duduk di kerusi mereka, Zaid di tepi tingkap manakala ayahnya di sebelahnya. Krew kabin penerbangan Emirate, sama ada lelaki atau wanita, semuanya memberi layanan yang cekap dan profesional.

Zaid berkata, “Saya nampak krew kabin Emirate begitu pantas bertugas, malah mungkin lebih cekap daripada krew kabin penerbangan pesawat yang kita naiki dari Kuala Lumpur ke Dubai.”

Encik Mustafa berkata, “Persaingan dalam khidmat krew kabin memang sengit demi memenangi hati penumpang. Tambahan pula pesawat milik syarikat penerbangan milik Emirate terbang hampir ke semua destinasi utama di dunia. Mereka mampu memberikan khidmat yang memuaskan dengan bilangan krew kabin yang jauh lebih rendah daripada syarikat penerbangan lain.”

Pesawat yang mereka naiki bergerak mendaki ke paras 35,000 kaki dari permukaan bumi, sebelum lampu isyarat ‘pakai tali pinggang keledar’ dipadamkan.

Zaid melihat jam tangannya seraya berkata, “Pukul berapa kita akan sampai di Khartoum, ayah?”
Ayahnya menjawab, “Penerbangan ke Khartoum memakan masa empat jam 25 minit. Jadi kita dijangka sampai pukul 1.25 petang waktu Dubai, atau 12.25 tengah hari waktu tempatan.”

Zaid menanggalkan jam tangannya seraya berkata, “Berapa jam pula bezanya waktu Dubai dengan Sudan, ayah?”

Ayahnya menanggalkan jam tangannya seraya mengubah masa. Dia berkata, “Kita undurkan jarum jam selama satu jam, kerana Khartoum lima jam di belakang Kuala Lumpur, sedangkan Dubai empat jam di belakang Kuala Lumpur.”

Sambil mengubah waktu jam tangannya Zaid berkata, “Adakah Sudan mempunyai zon waktu yang lebih daripada satu? Setahu saya Sudan merupakan negara yang luas wilayahnya.”

Encik Mustafa berkata, “Sudan sebuah negara yang luas. Dalam benua Afrika, Sudan adalah negara yang paling besar sekali dari segi keluasan wilayahnya. Wilayah Darfur yang di sebelah barat Sudan itu pun lebih luas daripada negara Perancis dan hampir sama luas dengan Sepanyol. Walau bagaimana pun seluruh Sudan dikelaskan ke dalam satu zon waktu sahaja iaitu tiga jam selepas Waktu Greenwich Mean Time (GMT).”

Para krew kabin mengedarkan menu makanan untuk makan tengah hari kepada para penumpang Kelas Bisnes membuat pilihan makanan. Zaid memilih salad dan nasi serta kari ayam, manakala ayahnya memilih salad dan sup daging.

Tidak lama kemudian makanan tengah hari dihidangkan. Zaid dan ayahnya makan dengan berselera. Setelah selesai makan, mereka minum kopi dan salad buah-buahan.

Setelah tray makanan diangkut oleh krew kabin, Encik Mustafa melihat jam seraya berkata, “Sudah pukul 11.40 pagi dan sekarang sudah masuk waktu Zuhur bagi kawasan Khartoum dan kawasan yang sewaktu dengannya.”

Zaid berkata, “Awalnya waktu Zuhur! Pukul berapa pula waktu Asar?

Ayahnya menjawab, “Waktu Asar ialah pada pukul 2.51 petang.”

Ayah Zaid pergi ke bilik air untuk mengambil air sembahyang. Setelah dia selesai dia kembali ke tempat duduknya giliran Zaid pula untuk mengambil air sembahyang.

Encik Mustafa berkata, “Hati-hati apabila mengambil air sembahyang di tandas pesawat. Jangan biarkan air mercik dan membasahi lantai. Jangan sampai jatuh apabila membasuh kaki.”

Setelah Zaid kembali ke tempat duduk, ayah Zaid berkata, “Kita sembahyang di ruang kosong berhampiran pintu. Mujur juga kita menaiki kapal terbang di Kelas Bisnes, jadi ada sedikit ruang. Kita solat bergilir-gilir.”

Ayahnya membentangkan sejadah di ruang itu, lalu beliau sembahyang dahulu dan selepas itu Zaid pula yang bersembahyang. Solat Zuhur dan Asar secara jamak (kumpul) dan qasar (ringkas, iaitu dua rakaat Zuhur diikuti dengan dua rakaat Asar) dilakukan dengan teliti tetapi ringkas.

Selepas bersolat Zaid dan ayahnya duduk sambil memandang keluar tingkap. Tiba-tiba dengan tidak semena-mena kapal terbang terasa menjunam. Lampu isyarat ‘pakai tali pinggang keledar’ dinyalakan.

Kedengaran pengumuman dibuat melalui corong sistem pembesar suara pesawat, “Tuan-tuan dan puan-puan, harap maklum kita sedang melalui kawasan udara yang mengalami tekanan rendah dan angin kencang. Sila duduk di tempat duduk masing-masing dan pakai tali pinggang keledar...”

Sekali lagi kapal terbang bergegar dan menjunam seolah-olah merempuh awan yang keras. Wajah Zaid berubah dan ayahnya melihat muka anaknya yang pucat itu. Mulut Zaid kelihatan kumat-kamit menyebut sesuatu.

Ayah Zaid menepuk perlahan bahu Zaid seraya berkata, “Zaid jangan takut kerana suasana begini memang lumrah dalam penerbangan. Ayah telah beberapa kali mengalaminya.”

Zaid berkata, “Saya takut sebab itulah saya mengucap. Saya mahu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.”

Ayahnya tersenyum setelah mendengar kata-kata anaknya itu. Dia berkata, “Insya Allah, tiada apa yang akan terjadi. Selagi belum tiba masanya, berpantang maut sebelum ajal. Tuhan akan melindungi kita. Lagi pun doa orang yang sedang bermusafir (mengembara) akan dimakbulkan Tuhan.”

Tiba-tiba kapal terbang menjunam dengan pantas sekali sehingga ramai penumpang-penumpang wanita yang menjerit ketakutan. Pada ketika itu juga topeng oksigen jatuh berjuntaian dari kompartmen atas kepala para penumpang.

0 ulasan: