Selasa, 15 November 2011

Puan Ainon Mohd berjuang memandaikan bangsa (2)



Puan Ainon Mohd adalah nama yang tidak asing lagi dalam industri penerbitan tanah air. Puan Ainon ialah anak kelahiran Kampung Jenjarom, Banting, Selangor.

Saya sudah menulis entri mengenai beliau dalam blog ini tidak lama dahulu DI SINI, namun kali ini saya mahu menulis lebih lanjut lagi tentang beliau.

Sebelum PTS ditubuhkan, Puan Ainon Mohd bertugas sebagai kakitangan awam di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Beliau meletakkan jawatan untuk menumpukan perhatian kepada perniagaan. Beliau memberikan latihan 'Lateral Thinking' yakni gagasan yang pernah dipopularkan oleh Tuan Edward de Bono. Pernah beliau berkata, "Edward de Bono bukan berbangsa Jawa, cuma ada peminatnya yang berbangsa Jawa...!"

Syarikat PTS Consultants Sdn. Bhd. ditubuhkan pada tahun 1988 bagi tujuan tersebut. PTS adalah singkatan bagi Professional Training Service. Selain menyediakan khidmat latihan, syarikat ini juga menawarkan khidmat konsultansi penerbitan, latihan suntingan teks dan susun atur huruf.

Selepas 12 tahun berkecimpung dalam industri latihan, Puan Ainon menubuhkan syarikat penerbitan, PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. bagi menerbitkan buku-buku dalam Bahasa Melayu untuk bacaan umum.

Pada waktu itu industri buku Melayu masih pada peringkat permulaan. Pengedar buku elit di bandar-bandar besar masih 'malu-malu' untuk menjual buku Melayu. Ramai juga penulis yang beranggapan menulis buku dalam

Bahasa Melayu 'tidak boleh cari makan.'

Dengan misi memandaikan bangsa sebagai kata-kata hikmatnya, PTS mempelopori penerbitan buku Melayu sehingga

PTS menjadi sebagai salah satu penerbit benchmark bagi syarikat-syarikat penerbitan lain di tanah air.

Kini, sebagai Chairman PTS, beliau masih memikul tugas melatih para penulis yang ingin menyerahkan karya untuk diterbitkan oleh PTS.

Puan Ainon Mohd dan suami serta rakan karib beliau, Prof. Emeritus Abdullah Hassan, menjadi antara penggerak aktiviti sosial dan kebajikan yang paling aktif di Lembah Kelang. Kediaman mereka di Kampung Janda Baik sentiasa menjadi pusat kegiatan kebajikan untuk semua lapisan masyarakat.

Buat masa ini antara projek kebajikan yang beliau kendalikan ialah untuk kebajikan Orang Asal sekitar Bentong dan umat Islam di Kemboja. Terbaru, yakni semasa entri ini ditulis, ialah projek sedekah beras untuk Hari Raya Korban bagi umat Islam Kemboja.

Projek melibatkan industri training pula ialah Projek Kajian Hadith Psikologi, yang mana dibuat bagi menyediakan buku manual training bagi modul "Mengubah Tingkah Laku Cara Nabi Muhammad".

Perspektif falsafah serta pemikiran Puan Ainon Mohd dalam industri penerbitan boleh diikuti dalam blog UNIKA DI SINI; manakala mengenai bisnes pula DI SINI.

0 ulasan: