KAWAN saya baru berkahwin dua di Thailand, tanpa meminta persetujuan dari keluarga isteri kedua, malah tidak diketahui isteri pertama.
Perkahwinan itu belum didaftarkan di negara ini, tetapi apabila isteri pertama mengetahui perkara itu, dia memberitahu keluarga isteri kedua.
Keluarga isteri kedua yang marah dengan perkara itu mengarahkan si suami menghantarkan isteri keduanya ke rumah ibu bapa dan tidak membenarkan isterinya itu pulang kepada suami, malah dihalang terus daripada berjumpa atau berhubung melalui telefon.
Si suami bertemu ibu bapa mertuanya dan meminta maaf atas kesalahan itu kerana tidak meminta izin. Dia juga meminta secara baik supaya membenarkan isteri keduanya itu pulang kepadanya tetapi mereka berkeras. Apakah suami itu harus lakukan?
JAWAPAN
PERTAMA, perkahwinan di luar negara hendaklah didaftarkan semula di Malaysia dengan mengemukakan surat perakuan nikah atau apa-apa keterangan. Tempohnya ialah enam bulan selepas tarikh perkahwinan itu.
Dengan berbuat demikian perkahwinan itu dikira berdaftar di Malaysia. Dengan berbuat demikian keluarga pihak isteri mungkin berpuas hati.
Kedua, perkahwinan poligami biasanya mendapat tentangan daripada isteri pertama dan keluarga isteri kedua. Sahabat anda harus menunjukkan bukti kemampuan untuk berlaku adil dan memberi nafkah.
Memandangkan negara kita ada peruntukan mengenai poligami, adalah lebih baik berkahwin secara sah di Malaysia dengan memenuhi syarat yang ada. Semua dibuat untuk kebaikan bersama suami isteri.
Memandangkan sahabat anda sudah mencuba untuk memujuk dan sebagainya, dia hendaklah bersabar seketika. Mungkin masa akan merubah keadaan. Selain itu jangan diabaikan keluarga dan isteri pertama. (Jawapan diberi oleh Penolong Profesor Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Abdul Salam Muhammad Shukri - dari sumber Harian Metro, 11 Oktober, 2006)
1 ulasan:
Puan Ainon Mohd made this comment,
Perkahwinan yang dilakukan dengan cara menyakiti hati ibu bapa (anak derhaka-lah tu) tidak akan membawa ketenteraman jiwa dan fikiran.
Jangan derhaka kepada ibu bapa.
Kepada lelaki, kalau seseorang perempuan tergamak menyakiti ibu bapanya sendiri, apakah jaminan dia tidak akan menyakiti hati orang-orang lain - hati madunya, hati anak-anak tirinya, hati mertua dan ipar-duainya, waima hati suaminya?
comment added :: {ts '2006-10-11 08:58:35'} GMT+08
Catat Ulasan