Jumaat, 30 Mei 2008

Ayat-ayat Al-Qur'an mengenai ilmu maritim

Apabila diteliti terjemahan Al-Qur'an, kita akan menemui beberapa ayat
mengenai ilmu kelautan dan maritim yang digezetkan dengan terang dan
jelas.

Tiga di antara ayat-ayat itu ialah:

(1) Surah AnNahl 14: "Dan Dialah yang memudahkan laut, supaya kamu
dapat makan daripadanya daging yang lembut hidup-hidup dan dapat pula
mengeluarkan daripadanya benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya
dan (selain itu) engkau melihat pula kapal-kapal belayar padanya dan
lagi supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya dan supaya
kamu bersyukur."

(2) Surah Al-Isra' Ayat 70: "Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan
anak-anak Adam dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai
kenderaan di darat dan di laut dan Kami telah memberikan rezeki kepada
mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan
mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah
Kami ciptakan."

(3) Surah Yunus, Ayat 22: "Dialah yang menjalankan kamu di darat dan
di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan berbagai jenis
kenderaan); sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera dan bahtera
itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan
angin yang baik dan mereka pun bersukacita dengannya; tiba-tiba
datanglah kepadanya angin ribut yang kencang dan mereka pula didatangi
ombak menimpa dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka
diliputi oleh bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah
dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata (sambil
merayu dengan berkata): Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah)
selamatkan kami dari bahaya ini, kami tetap menjadi orang-orang yang
bersyukur."

Topik poligami jadi hangat

Setelah topik poligami dibincangkan di sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, lebih fokus diberi kepada MP Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, mungkin kerana beliau merupakan seorang tokoh politik yang kontroversi, sebagaimana kontroversinya topik poligami.

Puan Ainon pun membuat entri terbaru dalam blog beliau. [DI SINI].

MSO pun tidak ketinggalan membuat komen yang panjang lebar di blog beliau. [DI SINI].

Secara peribadi saya berharap agar topik ini dibincangkan lagi secara lebih meluas oleh semua pihak. Semoga ia menjadi lebih kontroversi dan semakin ramai yang memberi komen, sama ada pro atau kontra.

Adalah diharapkan fkus kepada topik ini akan menhangatkan lagi jualan buku-buku yang berjudul yang berkaitan!

Ahad, 25 Mei 2008

Kenangan Terusan Panama





"Apa persamaan di antara Terusan Suez dan Terusan Panama, kapten?" saya bertanya seorang rakan bekas pelaut.

"Kedua-duanya terusan itu digali oleh manusia dan menyingkatkan perjalanan kapal," jawab beliau.

"Apa kenangan yang kapten paling tidak dapat lupakan semasa melalui Terusan Panama?"

"Ada dua perkara yang sesiapa pun tidak akan dapat lupakan mengenai terusan itu. Yang pertama sekali setiap kapal perlu melalui beberapa kunci air."

"Kenapa perlu ada kunci air, kapten?"

"Encik Imran tentu tahu paras air di Lautan Atlantik berbeza daripada Lautan Pasifik?"

"Oh, begitu. Habis bagaimana mereka selesaikan masalah dengan pergerakan kapal?"

"Jadi setiap kapal perlu ditarik dengan keretapi apabila melalui kunci air tersebut."

"Apa perkara yang kedua, kapten?"

"Air tawar terpaksa dipam dari Tasik Gatun untuk mengisi air yang kering setiap kali kunci air dibuka."

24 Mei 2008 (2)





24 Mei 2008







Jumaat, 23 Mei 2008

Apa pelaut buat di masa lapang?

"Apa pelaut buat di waktu lapang, Chief?" tanya saya. Chief ialah gelaran yang lazimnya diberi kepada pegawai kapal dagang yang berjawatan Chief Engineer atau Chief Officer.

"Tenguk keadaan," jawab beliau.

"Menulis surat kepada keluarga, ya Chief?"

Beliau tersenyum, dan menjawab, "Ada juga yang menulis puisi. Ramai pelaut menjadi kreatif apabila ada masa lapang. Tambahan pula suasana di lautan, terutama di waktu malam bulan terang, dan ketika langit terang kelihatan bintang berkerdipan. Bersama simfoni desiran ombak dan bayu berhembus..."

"Wah, Chief pun ada gaya pemuisi!"

Beliau tersengih sambil menyambung, "Itulah saya kata, pelaut ramai yang kreatif. Ada yang bermain dart di dewan rekreasi. Ada juga yang berada di bridge, menikmati keindahan laut dan pemandangan dari atas dek. Ada pula yang menonton movie. Tidak kurang juga yang berihat di kabin."

"Apabila kapal berlabuh, ramai yang bersiar-siar di darat, ya Chief?"

"Itu sudah menjadi suatu kepastian. Bila lagi hendak melihat-lihat negeri orang."

Khamis, 22 Mei 2008

Pengalaman melintasi Terusan Suez




"Berapa meter lebar Terusan Suez, kapten?" pernah saya bertanya kepada
seorang rakan bekas pelaut.

"Sekadar dapat kapal besar lalu, tetapi tidaklah lebar sangat," jawab
beliau. "Dari Suez di sebelah selatan hingga ke Port Said di utara,
lebih kurang 163 kilometer. Paling sempit sekadar 300 meter sahaja
lebarnya."

"Berapa lama kapal melintasinya?"

"Paling lama sampai 16 jam," jawab beliau. "Paling cepat 11 jam."

"Berapa draft (dalam) maksima kapal?"

"Sekarang masih masih lagi 16 meter."

"Ertinya kapal supertanker yang membawa muatan minyak (draft 25 meter)
mesti melalui Tanjung Pengharapan (Cape of Good Hope, Afrika
Selatan)?"

"Sebenarnya ada cara untuk membolehkan supertanker lalu Terusan Suez juga."

"Oh, bagaimana caranya, kapten?"

"Sebahagian daripada kargo minyak itu dimuatkan ke dalam kapal lain,
sehingga draft supertanker jadi 16 meter."

"Lepas itu apabila melepasi terusan, kargo itu dimuat semula, ya kapten?"

"Ya, begitulah caranya."

Rabu, 21 Mei 2008

Detik pilu seorang pelaut

"Kapten, bilakah saat paling sedih bagi seorang pelaut?" tanya saya kepada seorang rakan bekas pelaut.

Beliau termenung sejenak sebelum menjawab. Saya perhatikan air mukanya berubah sedikit, mungkin seribu kenangan sedang diulang tayang dalam fikirannya ketika itu.

"Ada beberapa waktu yang tidak dapat dilupakan, Encik Imran."

"Ketika menyambut hari raya semasa belayar, ya kapten?"

"Ya, itu pun detik pilu juga. Akan tetapi ada lagi waktu yang menyentuh perasaan. Kalau bagi yang bujang di saat menerima surat putus cinta dari kekasih."

"Ketika berihat semasa kapal sedang belayar dan terkenang anak isteri pun merupakan saat yang agak emosional. Bukan begitu, kapten?"

"Memang benar, Encik Imran. Saat-saat begitu memang sering dilalui. Bagi saya sendiri ada satu detik yang paling saya tidak tahan melaluinya. Walau pun setelah 15 tahun saya belayar (istilah bagi bertugas sebagai pelaut), masih juga saya merasa sayu apabila melalui saat itu."

"Bilakah saat pilu itu, kapten?"

"Saya merasa sayu sangat apabila saya mahu keluar rumah untuk naik kapal. Waktu nak sign-on. Itulah saat yang menyayat hati bagi saya, kerana saya tahu saya tidak akan dapat bertemu anak isteri dalam masa enam atau sembilan bulan."

Ketika itu saya dapatlah saya memahami kenapa air muka beliau berubah ketika saya mula bertanya soalan tadi!

Selasa, 20 Mei 2008

Pelaut ada peluang menyimpan wang

Warga kerjaya yang bertugas di pejabat biasanya tidak dapat lari dari menanggung kos seharian, seperti belanja pengangkutan (petrol, tol atau tambang bas), sarapan dan makan tengah hari, dan mungkin bayaran tempat letak kereta.

Namun pelaut yang bertugas di kapal dagang, kos ini tidak perlu ditanggung.

Seorang pelaut pernah bercerita, "Kami ada peluang keemasan untuk berjimat."

"Maksud kapten pelaut tidak perlu bayar cukai pendapatan?"

"Itu pun salah satu sebab."

"Saving apa lagi, kapten?"

"Encik Imran, kami tidak bayar tambang bas atau keretapi dan tol atau tempat letak kereta. Kami pun tidak perlu bayar sewa rumah. Semua ditanggung beres."

"Perbelanjaan makanan pun sudah ditanggung syarikat, ya kapten?"

"Benar begitu, Encik Imran. Kami dapat gaji bersih." (Yang beliau maksudkan ini kos itu semua tidak perlu dia bayar semasa dia bertugas di kapal sahaja)

"Tapi peluang berseronok dan membeli-belah apabila kapal berlabuh di pelabuhan asing pun ada juga, ya kapten?"

"Ha, ha, ha, itulah istimewanya kerjaya pelaut! Peluang melaburkan wang terbuka luas. Akan tetapi peluang meleburkan wang pun tidak kurang luas juga."

Laut yang tenang



"Adakah laut sentiasa bergelombang?" tanya saya kepada seorang bekas pelaut. Mungkin soalan ini begitu mudah yang hanya ditanya oleh pelajar sekolah rendah.

Akan tetapi bekas pelaut ini seorang yang mesra dan bersopan santun, maka dia meraikan soalan mudah saya itu, "Laut yang sentiasa bergelombang itu stereotype sebenarnya. Lazimya laut sentiasa berombak, maka tidak timbul laut sentiasa bergelombang. Namun begitu ada waktu tertentu laut itu tenang."

"Cumanya tidak mungkin setenang air tasik. Begitu, kapten?"

"Jangan terperanjat, Encik Imran. Ada waktunya air laut lebih tenang daripada air tasik. Malah ketika melihat air laut yang tenang itu kita tidak menyangka ia boleh menjadi gelombang yang menggunung."

Hakikat ini tentunya tidak asing lagi bagi para nelayan, pemancing, pekerja pelantar minyak dan para pelaut.