Sabtu, 21 Jun 2008

Penulis sci-fi terkenal Arthur Clarke meninggal dunia



Arthur C. Clarke, penulis novel fiksyen sains (sci-fi), peramal masa depan dan jaguh penyair tidak rasmi zaman angkasalepas, telah meninggal dunia pada 18 Mac, 2008 di rumahnya di Colombo Sri Lanka. Beliau berumur 90 tahun.

Clarke pernah menulis skrip filem 2001: A Space Odyssey (2001: Pengembaraan Angkasalepas) bersama Stanley Kubrick. Ramai orang menganggap filem ini di antara filem sci-fi yang paling penting yang pernah dibuat. Clarke merupakan penulis yang produktif yang berjaya menghasilkan lebih 100 buah buku, dan disanjung kerana beliau mampu meramal inovasi manusia dan menerangkan konsep itu kepada pembaca bukan saintifik. Pada tahun 1945 beliau mencadangkan idea satelit komunikasi yang berpangkalan di orbit geostationary, iaitu satelit yang berada di lokasi relatif yang tetap atas permukaan bumi.

Ada orang yang mengejeknya, tetapi idea itu terbukti berguna apabila terciptanya Early Bird, iaitu satelit komersil yang terawal menawarkan rangkaian komunikasi global bagi telefon, tv dan komunikasi digital pantas. Orbit itu kini dikenali sebagai Orbit Clarke oleh pihak International Astronomical Union (Kesatuan Astronomi Antarabangsa).

“Beliau mempengaruhi dunia dengan cara yang paling baik,” kata penulis Ray Bradbury dalam bukunya yang berjudul Arthur C. Clarke: The Authorized Biography yang diterbitkan pada tahun 1992 oleh Neil McAleer. “Buah fikiran Arthur C. Clarke berjaya menghasilkan jentera angkasalepas yang tidak bersuara tetapi mampu bercakap berbagai bahasa. Satelit komunikasi yang menakjubkan itu terlebih dahulu berlegar-legar dalam fikiran beliau, sebelum meluncur di alam nyata merentasi pergunungan dan padang di atas permukaan bumi.”

Selain daripada buku, beliau telah menulis lebih daripada 1,000 buah cerpen dan esei. Antara yang terkenal ialah cerpen yang berjudul Dial F for Frankenstein (1964), yang memberikan ispirasi kepada saintis komputer Inggeris, Tim Berners-Lee, mencipta rangkaian web World Wide Web pada tahun 1989. Clarke juga mempopularkan idea lif angkasalepas sebagai alternatif kepada roket. Idea itu mulanya dicetuskan oleh seorang jurutera Russia pada tahun 1960 dan direkacipta semula sebanyak empat kali dalam beberapa dekad berikutnya. Setelah Clarke mempopularkan idea itu dalam novel beliau yang diterbitkan pada tahun 1979 idea berjaya mencetuskan suatu bidang kajian baru. Semasa diwawancara oleh majalah New Scientist pada tahun 2007, beliau berkata alat itu hanya akan dibina “50 tahun selepas semua orang berhenti mentertawakannya.”

Apa pun, kerjasama beliau dengan Kubrik bagi menghasilkan filem pada tahun 1968 telah menjadikan beliau terkenal di seluruh dunia. Skrip filem 2001: A Space Odyssey (2001: Pengembaraan Angkasalepas) itu berdasarkan sebuah cerpen Clarke berjudul The Sentinel (Pengawal) yang diterbitkan pada tahun 1951. Pada masa itu juga Clarke telah menulis novel mengiringi filem itu dan diterbitkan tiga bulan selepas filem mula ditayangkan. Ramai yang menganggap novel itu ialah keterangan lanjut idea filem itu. Hasil penulisan Clarke mencetuskan inspirasi bagi nama kapal angkasa, asteroid dan satu spesis dinosaur. Beliau juga pernah menjadi juruacara pendaratan Apollo di bulan pada tahun 1960’an bersama wartawan Walter Cronkite. Melalui dua siri tv pada tahun 1980’an idea beliau tersebar keseluruh pelusuk dunia. Beliau menerima anugerah Ratu England pada tahun 1998, dan pernah dicalonkan bagi menerima Hadiah Nobel pada tahun 1994. Beliau juga menerima anugerah pingat emas Franklin Institute, anugerah Pendidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan anugerah Pertubuhan Saitifik dan Kebudayaan-Kalinga.

Clarke tinggal di Sri Lanka sejak tahun 1956 lagi dan bekerja bersama Jacques Cousteau dan rakan-rakannya bagi memperelok peralatan penyelam (diving). Beliau berhijrah semasa negara itu masih dikenali sebagai Ceylon, serta membuka kedai menjual alat penyelam sambil menjelajah dasar laut. Beliau mengalami cacat anggota akibat diserang sakit polio pada tahun 1959. Beliau pernah berkata dengan menyelam di dasar laut sahajalah beliau dapat mengalami rasa ‘tiada graviti’ seperti yang dirasai oleh sesiapa sahaja ketika berada di angkasalepas. “Saya memang dapat bergerak bebas sepenuhnya ketika berada di bawah permukaan air,” kata beliau. Kedai menjual peralatan penyelam itu musnah ketika dilanda tsunami pada tahun 2004.

Clarke dilahirkan pada 17 Disember 1917 di Minehead, Somerset, England. Bapanya bekerja sebagai jurutera perkhidmatan pos yang menjadi peladang dan juru telegraf pejabat pos. Clarke menggemari fiksyen sains ketika berumur 11 tahun lagi. Beliau mengaggotai Tentera Udara DiRaja Britain pada tahun 1941 dan menjadi jurulatih radar dan membangunkan sistem pendaratan kapal terbang dengan kawalan dari bumi pada jarak penglihatan sifar (zero-visibility).

Bicara Buku: Meredah Samudera



Bermula di sebuah kampung persisiran pantai di Melaka, seorang remaja bertekad menjadi pelaut. Dibesarkan dalam keluarga nelayan pantai, Yaakob sangat mencintai laut, walau pun dia dan ayahnya nyaris maut dilanggar sebuah kapal dagang semasa memancing di perairan Selat Melaka.

Ikuti jejak langkah Yaakob setapak demi setapak, meredah samudera sehingga ke puncak jaya.

Bicara Buku: Tip-Tip Poligami



"...maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari wanita-wanita (lain) yang kamu senangi; dua, tiga ataupun empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang sahaja..."

Benarkah poligami itu sunnah? Sejauh mana poligami dapat membela nasib wanita?

Buku ini mendedahkan kebenaran menurut perspektif Islam dan realiti masyarakat semasa.

Ditulis dengan gaya bahasa yang santai dan mudah difahami. Buku ini merungkai kekeliruan yang dihadapi oleh masyarakat khusus buat pasangan suami isteri dan peminat poligami.

Jumaat, 20 Jun 2008

NVOCC tidak punya kapal tetapi menjalankan operasi perkapalan

Apabila kita bercakap tentang operasi kapal dagang, mungkin ramai yang
berpendapat, sesebuah syarikat itu perlu memiliki kapal dagang untuk
menyediakan khidmat kapal dagang.

Akan tetapi sebenarnya sesebuah syarikat, malah individu tidak
semestinya memiliki kapal untuk menjalankan bisnes kapal dagang.

Syarikat yang beroperasi secara Non-Vessel Owning Common Carrrier
atau NVOCC boleh menjalankan khidmat pengangkutan perkapalan dengan
menyewa ruang di kapal-kapal dagang kepunyaan orang atau syarikat
lain. Syarikat NVOCC ini adalah satu bentuk freight forwarder maritim.

Lazimnya syarikat yang kecil dan sederhana menggunakan khidmat NVOCC
kerana mereka NVOCC ada menyediakan khidmat pengangkutan barang atau
kargo yang sedikit jumlahnya. Sesebuah syarikat NVOCC akan mengumpul
barangan yang sedkit dari beberapa banyak pelanggan sehingga penuhlah
satu kontena yang digelar Less Container Load (LCL).

Hari ini antara syarikat NVOCC yang terbesar ialah IAL, VHF dan DHL Global Forwarding. Pos Malaysia juga boleh dianggap sebagai sebuah syarikat bertaraf NVOCC.

Sesungguhnya khidmat LCL yang disedikan oleh pihak NVOCC amat
bermanfaat serta berguna kepada para usahawan bertaraf industri kecil
dan sederhana (SMI).

Rabu, 18 Jun 2008

Sudan Hari Ini VS Malaysia 40 tahun lalu




Walaupun Sudan sebuah negara yang baru hendak membangun seperti Sudan dan kehidupan yang di dalam keadaan yang amat sederhana dari segi keselesaan dunia moden, namun kanak-kanak Sudan tetap riang dan gembira semasa bermain bersama-sama mereka.

Semasa melihat kanak-kanak Sudan bermain-main teringat saya ketika saya masih kecil di kampung tahun enam puluhan dulu.

Keadaan negara kita di sekitar 40 tahun yang lalu pun boleh dikatakan lebih baik jika dibandingkan dengan apa yang saya lihat di Sudan.

Sebelas Konvensyen Keselamatan Maritim

Dalam membicarakan keselamatan maritim (maritime safety) untuk kapal-kapal yang belayar di lautan, terdapat banyak peraturan dan undang antarabangsa yang telah digubal demi keselamatan anak kapal, pelaut, nelayan, kapal serta alam sekitar.

Jabatan Laut Malaysia mengiktiraf sekurang-kurangnya 11 daripada konvensyen tersebut:

1. SOLAS - International Convention on Safety of Life at Sea, 1974
2. LL - International Convention on Load Line, 1966
3. STP - Special Trade Passenger Ships Agreement, 1971
4. Protocol on Space Requirements for Special Trade Passenger Ships, 1973
5. COLREG - Convention on the International Regulations for Prenventing Collissions at Sea,1972
6. CSC - International Convention for Safe Containers,1972
7. INMARSAT - Convention on the International Maritime Satellite Organization,1976
8. SFV - The Torremolinos Internaitonal Convention for the Safety of fishing Vessels,1977
9. STCW - International Convention on Standards of Training, Certification & Watchkeeping for Seafares,1978
10. STCW-F - International Convention on Standards of Training, Certification and Watchkeeping for Fishing Vessel Personnel,1995
11. SAR - International Convention on Maritime Search and Rescue,1979

Insya Allah, setiap konvensyen ini akan dikupas secara ringkas, satu persatu nanti.

Secara ringkasnya, kita ingin menyebut bahawa terdapat begitu banyak konvensyen yang mesti dipelajari dan diamalkan oleh para pemilik kapal, pelaut serta pihak berkuasa yang terlibat dengan industri maritim, demi keselamatan dan kesejahteraan dilaut.

Kesimpulannya, terdapat begitu banyak peluang kerjaya dalam bidang maritim, bagi menjayakan penguatkuasaan, amalan serta pemantauan yang berkaitan dengan konvensyen industri maritim.

Isnin, 16 Jun 2008

Lebuhraya Khartoum-Obeid - lori lebih muatan?






Semasa dalam perjalanan dari Khartoum ke Obaied atau sebaliknya, kami berkali-kali melihat keadaan yang mencemaskan apabila kenderaan yang dimuat secara belebihan, nyaris-nyaris kemalangan.

Apa tidaknya dengan muatan yang begitu banyak, saat-saat cemas itu selalu saja dialami oleh sesiapa sahaja yang berdepan dengan situasi begini.

Ahad, 15 Jun 2008

Sungai Nil dan Sudan




Oleh kerana Sudan sebuah negera padang pasir, Sungai Nil merupakan sumber air yang terpenting bagi Sudan.

Khartoum di bahagian yang terletak tepi Sungai Nil menjadi menjadi subur menghijau bila air di gunakan secara bijak.

Malah ada pepatah orang tua-tua Sudan mengatakan: "Sekali anda meminum air Sungai Nil, nescaya suatu hari nanti akan kembali ke Sudan juga..."

Sudan - sebutir permata benua Afrika



Sudan adalah negara yang terbesar di benua Afrika dari segi keluasan mukabumi.

Ia juga kaya dengan hasil bumi yang dianugerahkan oleh Allah. Sumber terpenting ketika ini ialah petroleum. Simpanan emas hitam itu dipercayai berpotensi mengatasi simpanan Arab Saudi di dalam masa yang terdekat.

Sumber petroleum dikatakan banyak terkumpul di Selatan Sudan dan di Barat Sudan, yang lebih dikenali sebagai Darfur.

Pemberontakan puak-puak selatan Sudan (majoritinya kristian dan berfahaman animisme) hampir berakhir apabila berlaku perjanjian gencatan senjata dan pengkongisan hasil petroleum.

Namun masalah pemberontakan puak-puak kaum Afrika di Darfur masih belum berakhir, walaupun beberapa puak-puak ini telah menandatangani gencatan senjata dengan kerajaan Sudan. Sayugia dingati pemberontak di Darfur adalah terdiri dari kalangan puak yang beragama Islam.

Kita berbangga Khartoum menjadi tempat persidangan perbincangan damai antara pihak Union of Islamic Courts (UIC) Somalia dan kerajaan sementara TFG Somalia yang berpusat di Baidoa. Sesuatu yang baik kerana ia melibatkan inisiatif dua pihak yang bertelingkah di Somalia.

Namun kenapa pihak Khartoum masih belum berjaya mengajak puak-puak pemberontak Darfur ke meja rundingan?

Memanglah pihak barat yang diterajui oleh Amerika, melalui proksi-proksinya seperti UN dan AU akan sentiasa mencari ruang untuk masuk ke Darfur, kerana ingin menguasai sumber-sumber kekayaan di barat Sudan itu.

Memanglah susah untuk mencari formula damai yang boleh diterima oleh semua pihak, kerana sudah tentu ia akan melibatkan kompromi di kedua-dua pihak.

Namun usaha damai hampir mustahil dicapai di dalam keadaan peperangan yang berterusan. Pihak kerajaan Sudan harus memberhentikan serangan terhadap kaum Darfur, serta puak militia Janjaweed harus dikekang dari melakukan serangan terhadap orang awam di Darfur.

Selagi belum dijumpai formula damai yang berkekalan dan boleh diterima semua pihak, selagi itulah pihak barat akan senang memasukan jarum mereka dan politik adu-domba mereka akan terus dipergunakan untuk menguasai sumber kekayaan bumi bertuah Sudan ini.

Rindu semalam rentung di Sudan



Semalam merdu sekali
gemersik irama padang pasir
sayup-sayup memanggil ku
menggamit aku kembali
betapa indah

Begitu ku rindu kehangatanmu
aduhai Sudan bumi bertuah
permata bernilai benua Afrika
ribut pasirmu menyesakkan dada
namun warna senja Sahara mu
indah menawan

Sungguh aku akan kembali
nantikanlah kehadiranku
ingin ku teguk kembali
air Sungai Nil

Sungguh akan ku ziarahi
maqam Al-Mahdi
wahai Khartoum dan Omdurman
untuk semarakkan semangat Islam
demi menilai pengorbanan
dan harga darah para syuhadaa.