Sabtu, 6 Oktober 2007

Boleh berpoligami dengan syarat maklumkan kepada isteri pertama

Setelah lama berdebat secara akademik dan banyak pendedahan sensasi, barulah mahkamah tertinggi Indonesia memutuskan untuk mempertahankan hak orang lelaki mempunyai berbilang isteri.

Walau bagaimana pun Mohamad Insa, peniaga dari Jakarta yang membawa kes itu ke mahkamah semalam menyatakan rasa tidak puas hati kerana mahkamah mensyaratkan suami perlu memaklumkan hasrat berpoligami kepada isteri pertama.

“Dalam Islam mana ada syarat isteri pertama mesti setuju, atau hanya apabila isteri pertama lumpuh,” kata Encik Insa ketika ditemui di luar Mahkamah Perlembagaan sebaik sahaja selesai pembicaraan. Dia marah kerana saksi utama beliau tidak dipanggil untuk memberikan keterangan. “Saya telah memanggil seorang pakar dan pengamal poligami untuk mempertahankan petisyen saya, tetapi beliau tidak dibenarkan memberi keterangan.”

Encik Insa, yang enggan mendedahkan butiran tentang amalan poligami beliau, berkata antara perkara yang menjadi tumpuan utama beliau ialah hak mewarisi harta pusaka para isteri kedua dan anak-anak mereka.

Walaupun poligami memang amalan yang meluas di negara yang mempunyai majoriti umat Islam itu, amalan itu tidak pernah gagal dari mencetuskan kontroversi.

Seorang pendakwa popular Abdullah “Aa Gym” Gymnastiar telah membangkitkan sentimen di peringkat nasional setahun lalu apabila beliau memperisterikan seorang janda bekas model beranak tiga.

Menjadi pandangan popular di Indonesia bahawa poligami ialah jalan keluar mudah bagi perkahwinan yang tidak bahagia, atau sebagai satu cara suami miang memuaskan nafsu tanpa menceraikan isteri pertama.

Pengkritik Aa Gym melemparkan tuduhan sebegitu terhadap beliau, kononnya beliau hanya tunduk kepada sentimen popular dan meminta simpati dari 95 peratus umat Islam Indonesia.

Aa Gym berhujah dengan membaca ayat-ayat Qur’an yag mengisytiharkan poligami sebagai amalan yang boleh diterima sebagai jalan keluar wajar.

Berita penangkapan mereka yang terlibat dengan poligami mendapat liputan yang meluas, bukan sahaja terhad di dada akhbar tabloid, malah dalam akhbar-akhbar arus perdana. Begitulah keghairahan masyarakat terhadap cerita sensasi berunsur sex di sebalik masyarakat yang begitu bersopan.

Zeni yang berumur 33 tahun berasal dari Sumatera menjadi tajuk utama berita apabila beliau dan Novita, 22 tahun dihukum penjara empat bulan selepas berkahwin, semata-mata kerana dia gagal memaklumkan perkahwinan itu kepada isteri pertama Zeni, Ratna, 29 tahun.

“Kami sudah tidak sefahaman lagi,” katanya mengenai perkahwinannya dengan isteri pertama yang kini mengandungkan anak mereka yang keempat. Ratna pula mendakwa dia tidak nampak apa-apa kecacatan dalam perkahwinan mereka.

Ratna Batara Munti dari Persatuan Keadilan Wanita Indonesia berkata beliau gembira dengan keputusan mahkamah itu kerana keputusan itu mengukuhkan had poligami, tetapi beliau menyeru supaya undang-undang mengenai poligami dihapuskan seluruhnya. “Jika wanita mempunya pilihan, kami tidak mahu langsung poligami; poligami hanya berlaku kerana kami lemah di sudut ekonomi, undang-undang dan hak asasi manusia,” katanya.

oleh
Stephen Fitzpatrick, Koresponden Jakarta - 4 Oktober, 2007
Terjemahan bebas oleh: Imran Yusuf

1 ulasan:

Anonymous berkata...

"Kami sudah tidak sefahaman." Tapi isterinya mengandung?