Sabtu, 15 September 2007

Cara mengahwini isteri kedua

Tahun lepas, setelah beberapa bulan cuba mengamalkan cara hidup mengikut panduan Kitab Bible, saya membuat keputusan berpoligami.

Ketika itu barulah saya tahu rupa-rupanya poligami merupakan satu dari ajaran utama Kitab Old Testament (Kitab Perjanjian Lama).

Walau pun bukan menjadi topik yang biasa dibincangkan, poligami telah diterima secara total di zaman turunnya ajaran agama samawi. Malah dalam Kitab Old Testament ada diceritakan tentang kisah Nabi Yaakob, Nabi Daud dan Nabi Sulaiman mengamalkan poligami. Tetapi di zaman mutakhir, poligami tidak berapa disukai masyarakat.

Saya pernah terbaca kisah Warren Jeffs, ketua kumpulan mazhab Mormon yang dikatakan mempunyai tujuh puluh orang isteri. Beliau diseret ke mahkamah atas tuduhan “bersubahat mencabul wanita, kerana mengatur perkahwinan antara lelaki tua dengan wanita bawah umur.”

Walau pun saya tidak pernah bertemu dengan Encik Jeffs sepanjang tahun saya mengamalkan cara hidup mengikut panduan Kitab Bible itu, saya sempat mengkaji tentang proses dan amalan poligami zaman moden.

Saya terkejut apabila menjumpai sebuah gerakan Yahudi bergelar Askhenazi yang bersikap pro-poligami. Gerakan ini mengharamkan poligami secara resminya pada kurun Masehi kesebelas melalui fatwa Rabbi (ulama agama Yahudi) terkenal, Gershom ben Judah.

Masih wujud sebilangan kecil orang Yahudi ortodoks yang ingin menghidupkan semula amalan lama itu. Menurut mereka, pada masa itu amalan poligami diharamkan bukan atas alasan masalah moral, tetapi demi menjaga maslahat umum -- kerana orang Yahudi tidak mahu puak Kristian cemburu melihat kebahagiaan rumah tangga orang yang berpoligami.

Saya berpeluang bertemu seorang pengamal poligami beragama Kristian. Saya katakan kepadanya, beristeri ramai adalah suatu konsep menarik, tetapi bagaimana saya hendak meyakinkan isteri pertama saya, Julie, supaya membenarkan saya beristeri lagi?

Beliau mencadangkan saya guna teknik ‘pukulan pre-emptive.’ Beliau kata saya perlu mencari bakal isteri kedua dan bernikah dengannya. Selepas balik dari berbulan madu dengan isteri kedua barulah saya memberitahu Julie.

Wah, itu suatu tindakan bersifat a fait accompli! Bukankah perkahwinan saya dengan Julie lebih mudah diselamatkan andainya saya berlembut dan meminta kebenarannya terlebih dahulu. Hmmm. Cadangan ini sama baiknya ketika ayah menghadiahkan emak alat pengesan asap di hari ulangtahun perkahwinan mereka.

Saya kata, bukankah cara sedemikian itu adalah strategi pukul curi dan menyalahi peraturan Kitab Bible? Beliau menjawab “tentu lebih zalim jika awak buat Julie risau bertahun-tahun lamanya, semata-mata memikirkan awak akan beristeri lagi.”

Dia tanya saya, sudahkah saya mempunyai calon isteri kedua? Saya jawab, sudah ada, iaitu pengasuh anak saya yang cantik itu. (Julie sudah bersetuju saya mengadakan hubungan sulit dengan pengasuh kami itu. Itu pun sebab dia memang sudah tahu wanita itu memang tidak berminat langsung dengan saya!!).

Pengamal poligami itu berpendapat itu satu idea bagus. Malah katanya, saya sudah ada hujah baik untuk memberitahu Julie – kami tidak perlu membayar gaji pengasuh lagi.

Bukan sahaja saya tidak menghiraukan nasihat beliau, malah saya meminta kebenaran Julie untuk beristeri lagi. Seperti yang saya jangkakan, Julie menolak mentah-mentah permintaan saya itu.

Akhirnya ‘terpaksalah’ saya meneruskan kehidupan dengan seorang isteri!

Walau bagaimana pun, yang peliknya Julie mulai dapat menerima amalan poligami. Dia juga telah menjadi peminat setia siri drama TV HBO, Big Love, dan sudah dapat menerima amalan poligami itu sesuai bagi sesetengah keluarga kerana para isteri mendapat sokongan moral dari madu mereka. Mereka tidak perlu pengasuh anak, kerana para isteri dapat bekerjasama menjaga anak-anak mereka sesama mereka.

Kata Julie, “Watak Chloe dalam siri Big Love itu baik dan beliau juga pandai membaiki berbagai peralatan. Jika suami kita jenis pemalas atau tidak tahu membaiki apa-apa peralatan rumah (kata-kata ini seperti memperli saya), maka madu kita seperti Chloe inilah yang dapat menolong kita!”

Julie juga berpendapat undang-undang patut digubal bagi membenarkan amalan poligami, dengan syarat semua pihak yang terlibat bersetuju.

Walau bagaimana pun, beliau masih belum dapat menerima poligami dalam perkahwinannya sendiri.

Oleh: A. J. Jacobs
Sumber: The Huntingdon Post 14 Sep 2007
Terjemahan bebas oleh: Imran Yusuf
Buku A.J Jacobs berjudul “The Year of Living Biblically” akan diterbitkan pada bulan Oktober 2007.

0 ulasan: