Jumaat, 27 April 2007
Menjaga Taman
Setiap hujung minggu, jika saya di rumah saya selalu meluangkan masa untuk membersih serta menyusun semula pasu-pasu bunga di 'taman mini' di dalam pagar rumah.
Alangkah bahagia rasa hati seorang yang meminati penanaman tumbuh-tumbuhan sebagai mengisi masa lapang. Memang baik aktiviti 'berbudi kepada tanah'.
Saya membeli beberapa pasu orkid dari nursery orkid di sekitar Lembah Kelang. Isteri saya juga memang meminati orkid.
Di dalam gambar ini kelihatan saya menanam semula tunas-tunas baru orkid liar sambil ditemani 'kucing kesayangan anak saya. Anak kecil saya yang bernama Ahmad Naim ini memberikan kucing itu nama 'Lego'.
Sebenarnya saya pun sukakan kucing. Jadi bila anak kecil saya sukakan kucing dan sayangkan 'Lego' secara tidak langsung, saya juga sayang kepada 'Lego'.
Rabu, 25 April 2007
Semasa memandu dari pejabat untuk pulang ke rumah petang semalam, saya menghampiri satu simpang berhampiran rumah saya.
Secara tiba-tiba kedengaran bunyi 'berdentum' dan saya dapati cermin depan kereta saya 'retak seribu'.
Mujurlah ketika itu saya sudah hampir sampai ke rumah.
Andaikata cermin itu pecah semasa saya memandu di lebuhraya, tentulah masalah saya menjadi lebih rumit.
Demikianlah secebis kisah yang tidak dapat saya lupakan dan menjadi satu peristiwa 'bersejarah' di dalam perjalanan sebagai seorang pemandu.
Secebis Kisah Poligami
"Mak Limah tahukah Pak Mat bernikah satu lagi?" tanya saya.
"Pada mulanya tidak tahu. Tetapi kemudian dia tahu," jawab Pak Mat, sambil tersenyum simpul.
"Macam mana rahsia terbongkar?" tanya saya.
"Saya yang beritahu Mak Limah," jawab Pak Mat ringkas.
"Bagaimana Pak Mat beritahu? Bawa bersemuka atau tunjuk gambar?" tanya saya, ingin tahu teknik-teknik beliau.
"Mak Limah memang akan periksa poket-poket saya sebelum membasuh pakaian. Saya fotostat surat nikah saya dan isteri kedua dan 'buat pura-pura tertinggal' salinan surat nikah itu," jawab Pak Mat. "Beliau periksa poket baju saya dan terjumpa salinan surat nikah itu."
"Bila Mak Limah jumpa salinan surat nikah itu, tidakkah meletus perang dunia, Pak Mat?"
"Tidak. Tiada perang, malah angin 'kus-kus' pun tidak ada," jawab Pak Mat.
( ii )
"Tidak bertengkar? Hairan juga saya. Apa reaksi Mak Limah?" tanya saya.
"Beliau bergegas ke bilik air. Ambil wudhu dan terus solat," jawab Pak Mat.
"Mak Limah tidak menangis?" tanya saya.
"Beliau solat lepas itu datang bersalam dengan saya. Lepas cium tangan dia berkata tenang: "Selamat pengantin baru, bang." Saya pun terdiam dengan reaksi dan tindakan beliau," kata Pak Mat, masih lagi tersenyum simpul.
"Subhanallah! Beruntung Pak Mat dapat isteri seperti Mak Limah. Tidak marah. Tidak menangis. Tidak baling pinggan mangkuk atau periuk belanga. Apa perasaan Pak Mat ketika itu?" tanya saya.
"Bercampur-campur sebenarnya perasaan saya ketika itu," jawab Pak Mat.
"Maksud Pak Mat?"
"Terkejut campur gembira. Menyesal pun ada. Kasihan juga," jawab Pak Mat.
"Kenapa begitu, Pak Mat?"
"Terkejut kerana tidak sangka reaksi dia begitu. Menyesal sebab walau pun perasaan dia terluka tetapi dia masih tenang dan sempat mengucapkan 'selamat pengantin baru' kepada saya. Saya menyesal saya kahwin satu lagi, tetapi tak kan lah saya nak ceraikan isteri muda. Kasihan kepada beliau kerana walau pun di dalam keadaan sedih, dia sanggup menelan kepahitan dan menahan perasaannya. Bukan senang hendak hadapi semua itu," terang Pak Mat.
( iii )
"Boleh saya tahu rahsia hati Pak Mat?" tanya saya.
"Rahsia apa?"
"Antara dua isteri Pak Mat, siapa yang Pak Mat lebih sayang?" tanya saya.
"Pandai kamu mencungkil rahsia saya, ya?"
"Hati manusia, Pak Mat."
"Isteri kedua cantik dan muda. Kerja sebagai guru sekolah menengah. Saya sayang beliau," terang Pak Mat.
"Pak Mat lebih sayangkan dia daripada Mak Limah?" desak saya.
"Mak Limah sudah berumur. Tetapi ketika dia muda dulu, dia cantik rupawan juga. Kami sudah lalui masa susah semasa saya baru mula bertapak. Dia sabar dan tabah menempuhnya dan setia bersama saya," jawab Pak Mat.
"Mak Limah lebih dekat di hati Pak Mat daripada isteri kedua Pak Mat?" tanya saya.
"Ya, benar sekali. Mak Limah wanita pertama di hati saya. Dia masih setia dan menerima hakikat saya bernikah lagi. Itu yang membuat hati saya sayang lebih sedikit daripada isteri muda saya," terang Pak Mat.
Saya dan Pak Mat terus berbual-bual sambil makan mee ladna di warung tom yam seafood itu.
Ahad, 22 April 2007
Kisah Kak Rosnani
Seorang jiran saya bernama Rosnani ialah seorang wanita melebihi umur setengah abad yang sudah menghampiri menopaus, tapi masih nampak bergetah kerana kulit cerah, kuning langsat, bentuk badan masih mengancam jantan miang dan mungkin juga lelaki beriman, dan kecil molek orangnya. Oleh kerana tingginya hanya 5 kaki maka tidak sangat kelihatan tua.
Baru-baru ini, saya dengar berita suaminya berkahwin satu lagi. Siap bersanding lagi dengan pelamin vogue. Peliknya majlis itu dibuat di rumah mereka sendiri; bahkan lebih pelik lagi, Kak Nani bertindak sebagai penyambut tetamu di hari bahagia suaminya. Yang menghairankan lagi, Kak Nani sambut dengan senyuman manis dan ikhlas di pintu gerbang rumah. Apakah rahsia suami Kak Nani itu yang bekerja hanya sebagai anggota penolong penguat kuasa itu?
Setahun, sudah dapat orang baru, tak pasti lelaki ke perempuan. Apabila hampir dua tahun, cik abang tu berkahwin lagi satu tanpa menceraikan kedua-duanya. Diringkaskan cerita apa yang berlaku ketika perkahwinan dengan isteri kedua berulang, bahkan isteri menyambut tetamu secara berjemaah, senyum, bangga dan tanpa sedih barang sedikit pun !
Kak Nani pun kelihatan semakin montel, berisi dan bersusun gelang di tangan. Kagum saya akan suami Kak Nani! Saya bertekad bertanya kepada suami Kak Nani petua atau ilmu dimilikinya sehingga dapat beristeri tiga dengan restu dan senyum isteri-isteri lain? Seminggu kemudian dengan beradabnya saya menemui Kak Nani sebagai isteri tua sebagai minta izin untuk berjumpa suami beliau.
Apabila saya nyatakan hajat mohon ilmu makrifat suami hebat, Kak Nani dengan yakinnya berkata, "Tidak perlulah jumpa suami akak, sebab akak boleh nyatakan rahsianya." Saya agak kesal kerana sangsi dengan jawapan beliau.
"Adakah betul apa yang kak katakan ini?" kata saya . Jawab kak Nani, "Akak mahu semua madu rasa apa yang suami beri .., kalau dulu selalu akak kena penampar dan sepak terajang, kini mereka pun dapat, lewat layan seks kena tumbuk maka
mereka pun rasa, makanan kurang panas kena baling dengan pinggan mereka pun alami, kejut suruh bangun subuh kena hentak di bucu katil mereka dapat juga, tanya kenapa balik lewat dibedal dengan buckle tali pinggang mereka pun rasa. Pokoknya apa yang Kak Nani rasa , mereka dapat dan rasa tanpa kecuali. Maka DAH KURANG apa yang akak dapat kerana pengagihan ADIL itu sesama kami"
Saya terkulat-kulat memikirnya. Dengan senyum simpulnya Kak Nani menyambung, "Dan sekarang akak boleh tidur lena, makan selera, badan tak lebam, sihat montel dan kini suami akak tak lagi minta duit gaji akak (bini lain gaji mahal), maka dapat beli gelang-gelang emas 916 ini", sambil dia menggoyang-goyangkan lengan yang penuh gelang seperti gaya Rita Rudaini dalam filem Mami Jarum tu.
Saya batalkan hajat nak jumpa suami beliau itu, kerana sudah dapat mengetahui kisah sebenarnya.
Sabtu, 21 April 2007
Akibat Kesesakan Lalulintas
"Subhanallah, Tuan begitu rapi menjaganya. Bagaimana boleh terbongkar?" tanya saya sambil minum Kopi Radix, kopi pilihan saya.
"Saya berada di dalam kereta BMW isteri kedua saya. Berhenti di 'traffic light' dekat Masjid Kg Baru," ujar beliau sambil tersengih.
"Jalan sesak ketika itu?"
"Bila petang Jumaat, faham-faham sajalah. Jalan 'jem' teruk. Dengan tidak semena-mena isteri pertama saya melintas jalan di depan kereta kami. Dia pandang tepat ke muka saya!" kata Abdullah sambil ketawa.
"Apa jadi lepas itu? Bergaduhkah mereka?" tanya saya.
"Tidak sempat bertengkar. Saya baru cakap kata "Ini Intan, bukan orang lain. Saudara ayang juga" isteri pertama saya sudah ketuk windscreen BMW dengan tukul. Pecah windscreen!" kata Abdullah dengan selamba sahaja air mukanya.
"Mana datangnya tukul itu?" tanya saya.
"Itulah yang kita katakan 'kebetulan'," kata Abdullah. "Dia baru balik dari kedai hardware di situ."
"Dia buat apa dengan tukul itu?"
"Isteri pertama saya memang suka bertukang. Kerja paku-memaku di rumah dia buat sendiri," jawab Abdullah.
"Cuma hari itu dia 'memaku' windscreen kereta BMW isteri kedua tuan, ha ha ha!"
"Sudah takdir sudah sampai masa rahsia terbongkar," kata Abdullah.
Kami terus berbual-bual seketika lagi sambil Abdullah menanti ketibaan isteri keduanya. Saya pula menanti isteri pertama saya.
Pilihanraya Presiden Turki
Di Amerika atau di beberapa negara yang mengamalkan amalan demokrasi berparlimen, presiden dipilih melalui pilihanraya. Di Turki presiden dipilih oleh ahli-ahli parlimen, maka mana-mana parti yang menguasai majoriti parlimen sudah hampir pasti akan dapat menentukan presiden Turki dari parti itu.
Presiden yang berkhidmat sekarang akan menamatkan penggalnya pada 16 Mei 2007. Presiden baru akan dipilih menggantikan beliau untuk tempuh perkhidmatan selamat tujuh tahun akan datang.
Parti AKP mempunyai majoriti di Parlimen Turki dan berkemungkinan besar Tuan Racep Tayyip Erdogan yang menjadi Perdana Menteri sekarang akan menjadi calon presiden baru, dan seterusnya dipilih menjadi Presiden Turki yang baru.
Oleh kerana golongan berfahaman sekular masih berpenguruh (walaupun pengaruh sekularisma tajaan Attarturk itu semakin luntur), ramai rakyat Turki berdemonstrasi bagi menentang rancangan Tuan Erdogan melangkah ke Cankaya (istana presiden) baru-baru ini.
Golongan pegawai tinggi tentera juga telah secara tersirat menyatakan rasa tidak senang hati dengan ura-ura Tuan Erdogan menjadi presiden.
Kita merasa suatu kelucuan di sini, kerana di negara lain seperti di Amerika dan Filipina umpamanya, perbincangan dan polemik berkisar pada topik "Siapa yang patut jadi presiden?"; tetapi di Turki ia berkisar pada topik "Siapa yang tidak patut jadi presiden?"...!!!
Sabtu, 14 April 2007
Peperangan dan Poligami
Seorang pegawai kanan Chechnya, sebuah republik di pergunungan Caucasus mencadangkan poligami diamalkan oleh lelaki-lelaki negara itu sebagai langkah membela janda dan anak-anak yatim.
Republik yang dijajah Russia itu telah melalui perang menuntut kemerdekaan sejak dari tahun 1994 itu telah mengalami kekurangan kaum lelaki akibat terkorban di dalam peperangan. Justeru, ramai para janda dan anak yatim memerlukan pembelaan.
Selepas Perang Dunia Kedua yang berlaku dari tahun 1939 hingga 1945, keadaan yang sama berlaku apabila ramai kaum lelaki Eropah dan Amerika terkorban di dalam perang tersebut.
Di dalam kedua-kedua situasi, poligami boleh dimanafaatkan bagi penyelesaian pembelaan bagi kaum wanita dan anak yatim.
Adakah para pembaca yang budiman bersetuju dengan pandangan ini?
Lagi Cerita Buku
Alhamdulillah.
Buku kedua yang saya tulis akan menjadi buku saya yang pertama diterbitkan.
Sedangkan buku pertama yang saya siapkan manuskripnya masih lagi di dalam penilaian. Namun saya tidak merasa sedih malah bergembira dan bersyukur kerana akhirnya saya berjaya mendapat melepasi langkah pertama setiap orang penulis baru.
Apakah tahap pertama itu? Tahap pertama itu ialah buku yang pertama terbit.
Kenapa tahap pertama ini penting? Tahap ini penting kerana ia merupakan kejayaan pertama bagi setiap penulis dan ia akan mencorak masa depan beliau sebagai penulis.
Nantikanlah tarikh terbitnya buku itu...
Buku Pertama Saya Tentang Poligami
Manuskrip buku pertama saya mengenai poligami sudah siap ditulis dan dihantar kepada penerbit.
Bila buku itu terbit, saya akan umumkan di blog ini.
Puisi suami yg minta izin poligami
jika engkau bumi, akulah matahari
aku menyinari kamu
kamu mengharapkan aku
ingatlah bahtera yg kita kayuh, begitu penuh riak gelombang
aku tetap menyinari bumi, hingga kadang bumi pun silau
lantas aku ingat satu hal
bahwa Tuhan mencipta bukan hanya bumi, ada planet lain yg juga mengharap
aku sinari
Jadi..
relakanlah aku menyinari planet lain, menebar sinarku
menyampaikan faedah adanya aku, karna sudah kodrati
dan Tuhan pun tak marah...
Balasan Puisi sang istri ...
Suamiku,bila kau memang mentari, sang surya penebar cahaya
aku rela kau berikan sinarmu kepada segala planet yg pernah TUHAN
ciptakan karna mereka juga seperti aku butuh penyinaran dan akupun juga
tak akan merasa kurang dengan pencahayaanmu
TAPIIIIIIII..
bila kau hanya sejengkal lilin yg berkekuatan 5 watt, jangan bermimpi
menyinari planet lain!!!
karna kamar kita yg kecil pun belum sanggup kau terangi
bercerminlah pd kaca di sudut kamar kita, di tengah remang-remang
pencahayaanmu yg telah aku mengerti utk tetap menguak mata
coba lihat siapa dirimu... MENTARI atau lilin ?
Suami poligami kena bijak jaga perasaan madu
? BAGAIMANA mengubat hati apabila suami menceritakan kebaikan madu dan hubungan intim mereka. Saya berasa berkecil hati tapi saya pendamkan saja. Bolehkah berikan sedikit nasihat dan tips memujuk hati sendiri dan melancarkan kembali keintiman hubungan dengan suami?
Isteri terkilan
Lumut, Perak
SOALAN yang ditanya bukan untuk suami mengamalkan poligami tetapi bagaimana berhadapan dengan kerenah suami berpoligami yang menceritakan kebaikan madu dan hubungan intim mereka.
Saya jangkakan hati puan memang sudah terluka kali pertamanya apabila suami berkahwin lain. Hati yang luka tadi tambah dilukai apabila suami tergamak menceritakan mengenai madu puan.
Ada yang perlu puan lakukan dan ada pula yang suami perlu lakukan.
Pada pihak puan, bersabar dan meredai suami berkahwin lain adalah jalan yang terbaik.
Anggaplah ia telah ditakdirkan dan pasti ada hikmah yang besar jika tidak sekarang, dan di kemudian hari.
Mengubat hati yang dikecewakan dengan memperbanyakkan sabar dan mengerjakan solat adalah formula terbaik untuk mencari ketenangan hidup dan kesejahteraan hati.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Amat menghairankan seorang Muslim itu, apabila diberi nikmat dia syukur, apabila ditimpa musibah dia sabar. Maka kedua-dua keadaan berkenaan memberi kebaikan kepadanya.”
Di pihak suami puan pula, beliau harus mempelajari hukum, adab dan akhlak orang yang berpoligami.
Mengikut hukum, beliau wajib bersikap adil dari segi agihan masa, sara hidup dan keperluan (bergantung kepada saiz keluarga).
Dari segi kasih sayang dan kecenderungan, tidak ada hukum syarak yang mewajibkan seorang suami cenderung sama rata terhadap isteri dari segi perasaan.
Namun dari segi tindakan dia tidak wajar melebihkan seorang daripada yang lain, apatah lagi memberi perhatian yang berlebihan. Inilah yang dikatakan adil terhadap isteri-isteri bagi suami yang berpoligami.
Berkaitan adab pula, suami tidak harus menceritakan kelebihan isterinya di hadapan isteri yang lain kerana ini akan menyebabkan timbulnya perasaan kecil hati.
Ini terutama sekali jika kelebihan itu adalah anugerah Allah SWT seperti kecantikan paras rupa dan kelebihan fizikal yang tertentu.
Namun jika si suami menceritakan sesuatu yang positif seperti isterinya kuat beribadat, rajin menuntut ilmu dan ringan tulang membantu jiran, maka anggaplah ini sebagai dorongan untuk berlumba-lumba ke arah kebajikan.
Sabda Nabi Muhammad SAW, “Tidak diharuskan iri hati sesama Muslim kecuali dalam dua perkara, seorang Muslim yang diberi harta lalu dia berbelanja pada jalan Allah dan kedua seorang Muslim yang diberi ilmu lalu dia memanfaatkan untuk ummah.”
Jika suami puan menceritakan perkara positif seperti ini, katakanlah puan amat setuju dan berdoa serta berusaha untuk mencontohi beliau.
Tetapi jika pujiannya adalah terhadap aspek fizikal seperti paras rupa, puan wajar menasihatinya supaya menghentikannya.
Sebagaimana puan menghormati dan menjaga perasaan isterinya yang satu lagi, puan juga harus menuntut suami supaya menjaga dan menghormati perasaan puan.
Suami perlu ingat tidak wajar menceritakan hubungan intim dengan isteri meskipun terhadap isterinya yang lain.
Terdapat amaran tegas dari Rasulullah SAW dalam hal ini melalui firman Baginda yang bermaksud: “Seburuk-buruk lelaki ialah dia menggauli isterinya kemudian menceritakan kepada orang lain.”
Ini bermakna urusan dalaman rumah tangga adalah rahsia yang tidak boleh didedahkan kepada orang lain termasuklah isteri jika dia beristeri lebih dari seorang.
Hukum adat telah sama-sama kita maklumi. Pepatah Melayu mengatakan 'sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi'.
Suami puan telah mendapat isteri yang baru. Maklumlah orang baru, lebih cantik dan lebih segar pada pandangan mata. Namun kecantikan bukanlah ukuran sebenar yang membahagiakan seorang suami.
Nasihat saya kepada diri dan kepada semua marilah kita memberi tumpuan kepada usaha mendandan hati kita supaya sentiasa cantik dan berseri. Hati yang bersih akan menyerlah pada wajah.
Tanyakan pada orang yang berpengalaman, di manakah letaknya kecantikan, percayalah mereka akan mengatakan kecantikan itu datangnya dari hati yang sejahtera.
Dalam pada itu, puan juga harus melihat apa sebenarnya yang tersirat di sebalik kata-kata suami puan itu?
Mungkinkah dia ingin puan lebih 'intim' dengannya? Mungkin selama ini saranan secara tidak langsung diutarakan kepada puan mengenai perlunya meningkatkan hubungan intim tidak diterima atau disedari puan.
Saya tidaklah menyalahkan puan, tetapi apa salahnya puan membaca buku yang memberi panduan bagaimana menyemarakkan hubungan suami isteri.
# Jawapan disediakan Dr Hafidzi Mohd Noor, pensyarah Universiti PutraMalaysia dan boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my
INTI PATI:
# Mengubat hati yang dikecewakan dengan memperbanyakkan sabar dan mengerjakan solat adalah formula terbaik untuk mencari ketenangan hidup dan kesejahteraan hati.
# Seorang Muslim apabila diberi nikmat dia syukur, apabila ditimpa musibah dia sabar. Maka kedua-dua keadaan itu memberi kebaikan kepadanya.
# Dari segi kasih sayang dan kecenderungan, tidak ada hukum syarak yang mewajibkan seorang suami cenderung sama rata terhadap isteri dari segi perasaan.
# Suami perlu ingat tidak wajar menceritakan hubungan intim dengan isteri meskipun terhadap isterinya yang lain.
# Usaha mendandan hati perlu dilakukan supaya sentiasa cantik dan berseri. Hati yang bersih akan menyerlah pada wajah.
# Harus melihat apa sebenarnya yang tersirat di sebalik kata-kata suami.
# Perlu membaca buku yang memberi panduan bagaimana menyemarakkan hubungan suami isteri.
posted by Wanita JIM Mekar Ceria
BILA AKAL MENGATASI WAHYU
Sesiapa yang masih belum lupa dan belum mudah untuk lupa, tentu akan mengingati bagaimana isu poligami cuba dipolemikkan dengan hebat oleh media massa apabila Dewan Undangan Negeri Terengganu dihujani dengan satu soalan oleh wakil pembangkang (UMNO-BN) tentang poligami. Sebagaimana biasa, setiap soalan yang diutarakan pasti memerlukan jawapan. DUN Terengganu tentunya tidak sama dengan Parlimen yang kebanyakan menteri-menteri yang bertanggungjawab untuk menjawab soalan ponteng dari sidang dan menyerahkan tanggungjawab kepada orang bawahan. Namun sebagaimana biasa, media massa terus memanipulasikan isu ini sehingga seolah-olah gambaran yang ingin diberikan ialah DUN Terenganu hanya tahu membicarakan soal poligami sahaja dengan mengenepikan agenda-agenda pembangunan yang dianggap lebih penting. Inilah lumrah media massa. Malah seandainya media massa dilihat berlaku adil dengan pembangkang, cuba-cubalah lihat ke atas, manalah tahu kalau-kalau matahari sudah terbalik!
Selang beberapa lama kemudian, sekali lagi isu ini tercetus dan dibahaskan namun pertempuran kali ini ialah di antara UMNO vs UMNO. Kali ini perlawanan nampaknya lebih rancak dan sengit apabila kedua-dua pihak mempunyai bala tenteranya masing-masing. Satu pihak bersenjatakan barisan NGO dan pembela-pembela wanita manakala satu pihak lagi berperisaikan mufti dan enakmen. Sayangnya, di dalam pertempuran yang tidak seharusnya berlaku ini, kita mendengar suara-suara sumbang yang kadang kala boleh ditafsirkan sebagai melanggar tatasusila seorang muslim. Keadilan Islam bagaikan dipertikaikan dengan hebatnya apabila Islam tidak meletakkan syarat bahawa berpoligami memerlukan keizinan isteri pertama.
Untuk melihat persoalan ini dari konteks seorang yang belum pernah lagi berkahwin tentunya agak sukar. Bak kata pepatah, bagaikan jauhari yang mengenal manikam. Hanya yang pernah menjadi suami sahaja yang tentunya dapat merasai bagaimana berhajatnya hati untuk berpoligami. Begitu juga hanya seorang isteri sahaja yang mempu merasai peritnya hati seandainya kasih dibahagi. Namun saya cuba untuk membawa persoalan dari sudut akhlak seorang muslim. Adalah menjadi satu perkara yang amat menyedihkan apabila seorang yang bernama muslim atau muslimah cuba mempertikaikan keadilan Allah SWT. Islam bukanlah diukur keadilannya dengan menggunakan akal manusia. Bahkan kalaulah keadilan Islam mengikut logik akal manusia, maka Islam pasti tidak akan sampai kepada kita. Seorang muslim yang sebenar semestinya beriman bahawa setiap ketentuan yang terdapat di dalam Islam pastinya mempunyai pelbagai hikmah dan pengajarannya yang tersendiri.
Sejarah pernah menyaksikan bagaimana perjanjian Hudaibiah yang ditandatangani di antara Rasulullah SAW dan kaum kafir Quraisy adalah satu perjanjian yang berat sebelah yang terlalu tidak adil kepada Islam jika dilihat dari kaca mata zahir. Bahkan kebanyakan sahabat Rasulullah SAW seolah-olah tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka tidak dibenarkan untuk memasuki kota Makkah bahkan terpaksa menerima satu perjanjian yang nampaknya terlalu menyebelahi kaum kuffar Quraisy. Namun, sebagaimana yang dipaparkan oleh sejarah, perjanjian Hudaibiah memberika keuntungan yang ketara kepada umat Islam di zaman itu. Keamanan yang tercipta hasil perjanjian tersebut memberikan peluang kepada Rasulullah SAW untuk menumpukan perhatian kepada penyebaran dakwah ke luar dari Semenanjung Tanah Arab.
Itu hanyalah beberapa rentetan dari permata-permata sejarah yang menjadi bukti kepada kita umat yang terkebelakang bahawa setiap apa yang diperintahkan oleh Allah SWT mempunyai hikmah-hikmahnya yang tersendiri. Begitu juga dalam isu poligami, sepatutnya tidak ada sesiapa yang memperseoalkan keadilan Islam kerana mempertikaikan keadilan Islam secara terbuka seperti ini menampakkan kedangkalan seseorang. Apatah lagi, tokoh-tokoh yang kononnya merupakan pembela wanita seperti ini tidakpun menutup penuh rambut mereka sebagaimana yang diperintahkan Islam!! Dalam hal ini, apakah komen orang-orang seperti Astora Jabat?
Walau bagaimanapun, kita menyedari bahawa kadangkala komentar yang datang daripada kaum wanita adalah disebabkan amalan poligami yang dilakukan oleh kebanyakan para suami tidak bertepatan dengan kehendak Islam. Terlalu ramai yang beristeri lebih daripada satu namun tidak dapat berlaku adil sebagaimana yang diperintahkan Islam. Di sinilah kesilapan kaum lelaki yang pada zahirnya seolah-olah ingin mengikuti amalan sunnah namun sebenarnya lebih menuju untuk menjadi punah!
Walau apapun, isu poligami dianggap hampir selesai dengan persetujuan untuk menyeragamkan sistem mahkamah syariah di seluruh negara. Namun, kepada pihak-pihak yang telah mengeluarkan kenyataan yang melampaui batas, mereka haruslah bertaubat. Dan kepada lelaki-lelaki khususnya yang ingin berpoligami nanti, cuba-cubalah tilik sendiri, bolehkah anda berlaku adil…? Kalau tidak, janganlah cuba-cuba untuk mengambil risiko kalau anda tidak bersedia untuk tidur di tangga!!
Dipetik dari Blog:
Annuarbakri's Weblog.
Konsep dan Pegertian Poligami
Islam mengharuskan seorang lelaki berkahwin lebih daripada seorang untuk menambahkan zuriat dan mengelakkan daripadanya berlaku perbuatan maksiat
Had untuk seorang suami menambahkan bilangan isteri hanya empat orang saja.
Firman Allah S.W.T di dalam Al-Qur’an Surah An-Nisa’ Ayat 3 yang bermaksud: “….Maka kahwinlah mana-mana perempuan yang kamu berkenan, dua, tiga atau empat orang.Jika kamu takut tidak berlaku adil, maka kahwinilah seorang saja….
Kebenaran berpoligami bukanlah satu peluang yang baik kepada kaum lelaki tetapi merupakan satu tanggungjawab yang besar sekiranya diamalkan.
Seseorang yang hendak berpoligami hendaklah mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh syarak supaya perkara-perkara yang tidak diingini tidak berlaku.
Poligami yang diamalkan dengan baik dan mengikut syariat Allah akan mendapat berkat dan bahagia di dunia dan di akhirat. Poligami yang mengikut hawa nafsu akan dilaknat dan dimurkai oleh Allah....
(dipetik dari laman Cybermosque MPSJ)
Adakah kerana saya menarik?
Sering kita dengar wanita yang berumur 20’an terpikat dengan lelaki yang sudah beristeri dan sanggup menjadi teman wanita atau ‘sidekick’ atau ‘wanita simpanan’. Tidak kurang juga yang sanggup menjadi isteri kedua.
Maka ramai lelaki yang berkenaan menyangka wanita tertarik kepadanya kerana lelaki sudah beristeri menarik kerana pengalaman melayan wanita.
Namun di dalam banyak kes, mungkinkah wanita itu sebenarnya mencari kesenangan ‘segera’, iaitu beranggapan kalau ambil ‘suami orang’ pendapatannya sudah stabil jadi tidak perlu melalui kesusahan awal yang dilalui pasangan muda baru berkahwin?
Jika ada wanita yang beranggapan demikian, ia perlu menilai semula anggapan itu, kerana wanita yang telah berkahwin mempunyai tanggung-jawab yang banyak. Mungkin pendapatan sudah lumayan namun tanggungannya juga banyak: perlu bayar sewa rumah atau bayaran pinjaman perumahan, hutang kereta, anak-anak bersekolah perlukan wang buat belanja buku teks, belanja lain-lain.
Ada juga yang berangapan “kalau isteri pertama dia minta cerai untunglah aku, dapat kesenangan segera, tidak perlu tunggu lama-lama macam kahwin dengan teruna yang baru bekerja. Kalau ambil suami orang, isteri dia minta cerai, senanglah aku..”
Jadi puan-puan yang suami puan bakal ‘diambil orang’, hati-hati. Jangan lekas melenting dan ikutkan emosi, minta cerai, ugut itu dan ini. Jika suami betul-betul ceraikan, bukankah senang sahaja bakal ‘mak muda’ itu ‘ambil suami puan’?
Apa kata semua pihak menilai semula?
Poligami tanpa pengetahuan isteri, keluarga
KAWAN saya baru berkahwin dua di Thailand, tanpa meminta persetujuan dari keluarga isteri kedua, malah tidak diketahui isteri pertama.
Perkahwinan itu belum didaftarkan di negara ini, tetapi apabila isteri pertama mengetahui perkara itu, dia memberitahu keluarga isteri kedua.
Keluarga isteri kedua yang marah dengan perkara itu mengarahkan si suami menghantarkan isteri keduanya ke rumah ibu bapa dan tidak membenarkan isterinya itu pulang kepada suami, malah dihalang terus daripada berjumpa atau berhubung melalui telefon.
Si suami bertemu ibu bapa mertuanya dan meminta maaf atas kesalahan itu kerana tidak meminta izin. Dia juga meminta secara baik supaya membenarkan isteri keduanya itu pulang kepadanya tetapi mereka berkeras. Apakah suami itu harus lakukan?
JAWAPAN
PERTAMA, perkahwinan di luar negara hendaklah didaftarkan semula di Malaysia dengan mengemukakan surat perakuan nikah atau apa-apa keterangan. Tempohnya ialah enam bulan selepas tarikh perkahwinan itu.
Dengan berbuat demikian perkahwinan itu dikira berdaftar di Malaysia. Dengan berbuat demikian keluarga pihak isteri mungkin berpuas hati.
Kedua, perkahwinan poligami biasanya mendapat tentangan daripada isteri pertama dan keluarga isteri kedua. Sahabat anda harus menunjukkan bukti kemampuan untuk berlaku adil dan memberi nafkah.
Memandangkan negara kita ada peruntukan mengenai poligami, adalah lebih baik berkahwin secara sah di Malaysia dengan memenuhi syarat yang ada. Semua dibuat untuk kebaikan bersama suami isteri.
Memandangkan sahabat anda sudah mencuba untuk memujuk dan sebagainya, dia hendaklah bersabar seketika. Mungkin masa akan merubah keadaan. Selain itu jangan diabaikan keluarga dan isteri pertama. (Jawapan diberi oleh Penolong Profesor Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Abdul Salam Muhammad Shukri - dari sumber Harian Metro, 11 Oktober, 2006)
Poligami: Halangan Ketiga?
Halangan ketiga di dalam mengamalkan poligami datang dari isteri pertama.
Isteri pertama mana yang ingin dimadukan? Jika bakal isteri kedua itu pun, kalau dia berada di tempat isteri pertama, maka dia juga tidak mahu suaminya kahwin lagi. Ada yang lebih rela diceraikan daripada dimadu.
Mengapa isteri pertama yang paling kuat menghalangnya? Sebab yang paling utama ialah sifat cemburu yang ada pada wanita itu sendiri.
“Ini aku punya” merupakan perasaan semulajadi yang ada pada manusia amnya dan pada semua wanita khasnya.
Semasa saya belajar di luar negeri, saya tinggal serumah dengan pelajar-pelajar lain. Kami memasak secara bergilir-gilir untuk menjimatkan belanja dan supaya sentiasa mendapat makanan masakan Malaysia dan tidak mahu makan makanan orang tempatan yang memang tidak sesuai dengan selera kita orang Melayu.
Tetapi bila kami berkunjung ke rumah pelajar perempuan semasa majlis jamuan, kami terperanjat melihat ada lima buah stove memasak di dapur mereka. Ada lima orang pelajar wanita yang tinggal di rumah itu.
Ertinya orang wanita cukup sensitif di dalam hal “perkongsian’ ini. Sedangkan dapur memasak pun mereka mahu yang mereka sendiri, maka apatah lagi di dalam hal bersuami. Mana boleh kongsi?! Ini aku punya, mungkin itulah anggapannya.
Sebab kedua mungkin merasa akan kehilangan sesuatu kemewahan. Kalau dulu apa jua pendapatan suami, akan dibelanjakan kepada seorang isteri, tetapi bila suami beristeri seorang lagi maka sumber pendapatan akan dibahagi kepada “dua rumah”.
Seseorang lelaki yang berjaya melepasi halangan ini, maka boleh dikatakan dia telah memenangi lebih 50% daripada perjuangannya (More than half of the battle is won) mendirikan “masjid kedua” atau “membuka cawangan baru”!
Kita akan membincangkan halangan keempat di posting yang akan datang.
Dewan Rakyat Hangat Bahas Dasar Kependudukan Negara
Kuala Lumpur, Isnin 9 Okt.- Dewan Rakyat menjadi hangat petang semalam apabila usul dari wakil pembangkang, Salehudin Ayub (PAS-Kubang Kerian) diterima hampir sebulat suara oleh ahli-ahli Dewan.
Terdahulu daripada itu Menteri Pembangunan Keluarga dan Pembangunan Sosial Datuk Shahrizat Jalil mencadangkan Malaysia menggubal dasar kependudukan bagi mencapai sasaran menambah penduduk Malaysia kepada 70 juta orang pada tahun 2020. Ini penting bagi menjana pertumbuhan ekonomi negara yang begitu malap akibat kemerosotan ekonomi global.
“Sekiranya ekspot kita menurun maka kita perlu mencari pasaran baru. Dan mana yang lebih baik daripada pasaran di dalam negeri,” kata beliau ketika berucap di Parlimen.
Selepas itu Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timor) selaku Ketua Pembangkang bangun mencadangkan kerajaan menurunkan harga petrol dan disel mengikut harga minyak di pasaran dunia.
“Tidak mengapa kalau keuntungan Petronas berkurangan sedikit asalkan majority rakyat menikmati keselesaan membeli-belah menjelang perayaan Hari Raya dan Deepavali tidak lama lagi,” jelas beliau.
Ketika itu bangun Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Velu mencadangkan sesuatu yang mendapat tepukan gemuruh ahli-ahli dewan yang mewakili BN.
“Kita berjanji tida akan menaikkan tol menjelang Hari Raya dan Deepavalli ini,” beliau berucap dengan bangganya.
Ketika itu bangun Datin Seri Dr Wan Azizah (PKR-Permatang Pauh) menggesa kerajaan membebaskan semua tahanan ISA menjelang hari perayaan.
“Kita menggesa kerajaan sama ada membebaskan mereka atau membicarakan mereka di mahkamah terbuka,” ucap beliau ketika mengakhiri ucapan.
Salehudin (PAS-Kubang Kerian) mencadangkan kerajaan mempromosikan dan menggubal dasar yang menggalakkan poligami di kalangan orang-orang lelaki yang bersikap adil dan berkemampuan.
“Sekiranya kaum wanita melebihi kaum lelaki dengan nisbah 5:1 maka kita perlu mengubah dasar dan peraturan supaya senang kaum lelaki menikah lebih dari satu,” kata beliau ketika membahaskan ucapan.
Dewan menjadi tegang seketika apabila ramai ahli-ahli dewan di kalangan wanita bangun membantah. Walau bagaimana pun dewan bertukar menjadi gamat kerana ahli-ahli dewan rakyat dari kalangan lelaki telah memberikan tepukan gemuruh kepada ucapan Salehudin, termasuk dari kalangan bukan Islam (lelaki) dari Sabah dan Sarawak.
Speaker Dewan mengambil masa hampir 15 minit untuk mententeramkan suasana dewan. Ketika menerima usul itu untuk diundi dibahaskan hampir semua ahli dewan rakyat di kalangan lelaki termasuk dari kalangan bukan Islam (lelaki) dari Sabah dan Sarawak menyokong, manakala hampir kesemua ahli dewan dari kalangan wanita tidak menyokong.
Kajian rambang yang dijalankan pemberita di sekitar Jalan Masjid India dan Masjid Kg Baru selepas solat zohor tengah hari tadi mendapati maklum balas orang ramai adalah bercampur-campur. Namun apa yang jelas ialah kesemua kaum lelaki menyokong sementara sebahagian besar kaum wanita menolaknya.
(sumber: Imaginasi Penulis Blog ini 2006)Halangan Berpoligami
Perbincangan tentang poligami dan isu-isu berkaitan dengannya memerlukan ruang yang luas dan masa yang panjang.
Tetapi disebabkan masa yang terhad dan peluang yang sentiasa dihambat bermacam-macam keperluan hidup seharian saya akan menyentuh satu aspek sahaja di setiap entri yang saya post di blog ini.
Kali ini saya menyentuh tentang beberapa halangan berpoligami.
Untuk berpoligami halangan yang pertama ialah diri orang lelaki itu sendiri. Dia mungkin berkemampuan, sihat tubuh badan dan dikurniakan rezeki yang banyak. Dari segi didikan Islam juga, mampu mengajak isteri dan keluarga ke arah hidup beragama.
Tetapi jika dia tidak beringinan, maka tidak akan berlaku poligami. Mungkin ibunya di kampong menyarankan dia mengambil seorang lagi isteri, tetapi dia tidak mahu.
Jika ia tidak berkemahuan maka poligami tidak akan terjadi.
Halangan kedua ialah calon isteri kedua. Seseorang lelaki mungkin berkeinginan dan mungkin telah ada calon dia sukai. Tetapi belum tentu wanita yang dia sukai itu tidak sudi menjadi isteri kedua.
Ramainya bilangan wanita melebihi lelaki agak ketara mutakhir ini. Lihat sahaja di mana-mana, sama ada di pejabat kerajaan, swasta atau di IPTA/IPTS, kita tidak dapat tidak akan perasan akan fenomena ini.
Ketika anak saya mendaftar masuk ke sebuah IPTA, dia memberitahu saya dari sepluk blok asrama pelajar di IPTA itu, 3 blok sahaja pelajar lelaki sedangkan 7 blok lagi pelajar wanita. Ertinya bagi setiap 10 orang pelajar yang mendaftar, 7 orang ialah pelajar wanita.
Tidak hairanlah jika ada siswi yang rela memilih lelaki yang sudah beristeri sebagai teman lelaki, langsung bakal isteri kedua.
Tetapi sebagaimana saya sebut tadi, belum tentu wanita itu sanggup menjadi isteri kedua. Jika wanita itu sanggup pun belum tentu ibubapanya setuju menerima pinangan lelaki yang sudah beristeri.
Umum mengetahui kes seorang wanita terkenal tanah air yang berkahwin seorang lelaki yang telah beristeri dan punya beberapa orang anak. Ada orang menyangka wanita berkenaan akan jadi isteri muda lelaki berkenaan, tetapi akhirnya lelaki itu menceraikan isteri pertama beliau, sebelum berkahwin dengan wanita berkenaan.
Maka halangan kedua berpoligami ialah wanita yang bakal dijadikan isteri muda. [Di entri akan datang saya akan mengulas tentang halangan ketiga: isteri pertama]
Statistik Poligami Bagi Semua Negeri-Negeri Di Malaysia
Perangkaan ini dipetik dari sumber JAKIM. Pembaca yang berminat mengetahui perincian statistik tersebut boleh membaca di link laman wen JAKIM ini:
http://www.islam.gov.my/informasi/statistikpoligamiseluruhmalaysia.html
Adakah bermakna, wanita-wanita tidak gemar mengahwini lelaki dari Kelantan, kerana "risiko" dimadukan begitu tinggi jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain?Lelaki Beristeri Empat Memberi Tip Poligami Yang Berjaya
“Saya berpoligami bukan kerana seks semata-mata,” sanggah Abu Mahdi, seorang warga emas berumur enam puluh dua tahun bila ditanya mengenai tuduhan yang mengatakan amalan poligami adalah hanya untuk keseronokan seks. Warga Arab Saudi yang berasal dari Unaizah, Wilayah Qasim ini mempunyai empat orang isteri. Dia menambah, “Saya ingin menambah zuriat keturunan.”
Keluhan Seorang Isteri Kedua
"Saya isteri kedua yang taat pada suami dan taat pada hukum Allah. Saya sudah berumahtangga selama 5 tahun namun, Poligami ini hanya berasaskan kahwin 2, namun dari hari perkahwinan saya sehingga kini saya ditinggalkan seorang di KL, suami saya bersama isteri pertama & anak sorang di Ipoh.
"Alasan diberi kerana beliau kerja disana. Saya hanya dijenguk 2 kali dalam sebulan selainnya dihabiskan disana bersama isteri pertama. Bila suami ingin pulang kemari, saya akan dikunjungi sms tidak puas hati dari isteri pertama menyatakan minggu lepas suami sudah pulang ke KL, minggu ini pulang lagi, tapi hari hari biasanya 24 jam beliau dapat menghabiskan masa bersama suami tercinta. Setiap malam dapat bersamanya.
"Saya?? terus ditinggalkan tanpa memikirkan zahir & batin saya terseksa. Saya masih tidak punya rezeki untuk memperolehi anak. Saya bekerja sbg Executive di syarikat swasta disini,namun kesunyian saya alami telah membuat saya mengambil anak angkat yang baru lahir. Beliau berumur enam bulan sekarang,namun saya dan anak ini masih ditinggalkan.
"Saya fikir bila saya sudah ada anak, beliau akan selalu pulang menjenguk kami dan berlaku adil namun harapan saya hanya tinggal harapan.
"Bila diutarakan mengenai keadilan, saya dipukul olehnya. Entahlah, sebelum berkahwin dulu, beliau menyatakan beliau tidak bahagia dengan perkahwinan pertamanya itu.
"Namun sekarang, apa yang saya lihat masa 24jam dihabiskan disana dan langsung tidak menghiraukan kami membuat saya inginkan penceraian. Saya sudah putus asa ingin meneruskan perkahwinan saya ini."
Begitulah secebis kisah kehidupan yang menyayat hati. Apa pendapat anda tentang masalah ini?
Poligami: Perbincangan Yang Tidak Kunjung Habis
Marilah kita berbincang secara logik dan rasional di dalam suasana aman dan mesra. Tetapi kalau sesekali perkataan beremosi akan kita memahaminya.
Bagi membuka tirai, kita beri pendapat setuju atau tidak. Kemudian berikan hujjah menyokong pendirian kit aitu.
Setuju?
Jumaat, 13 April 2007
Pembersihan Kerajaan Bangladesh
Hasina Wajed, 61 tahun, pemimpin parti pembangkang Awami dan bekas perdana menteri, dikenakan tuduhan membunuh empat orang penyokong politik lawan di dalam kekacauan politik tahun lalu.
Sementara Khaleda Zia perdana menteri yang hampir tamat pemerintahannya pula, dikenakan tahanan di rumah di ibu negara Dhaka.
Bangladesh mempunyai rakyat berjumlah 144 juta orang merupakan negara majoriti umat Islam ketiga terbesar di dunia, telah mengalami pentadbiran buruk sejak dari tahun 1971 lagi.
Rakyat Bangladesh amat mengalu-alukan tindakan kerajaan sementara yang bertindak membanteras gejala politik yang tidak sihat itu.
"Bila sesuatu urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, tunggulah kemusnahannya."
Rabu, 11 April 2007
Janda Baik Lagi
Oleh kerana anak-anak saya teringin untuk berkelah dan mandi-manda di sungai yang agak terpencil dan jauh dari hiruk-pikuk taman rekreasi biasa, kami berkunjung ke Janda Baik lagi.
Lebuhraya Karak agak lengang di pagi Ahad 8 April yang lalu dan sekejap sahaja kami sudah sampai di tepi sungai itu.
Anak-anak saya gembira sekali mandi dan bersantai di sungai itu. Airnya dingin dan nyaman dan saya rasakan seolah-olah berada di dalam jacuzzi sahaja layaknya.
Kami hidupkan api dengan menggunakan dahan-dahan, ranting dan daun-daun kering yang terdapat di kawasan tersebut.
Selepas puas berendam dan berkelah kami menuju ke masjid di situ untuk bersolat Zohor.
Kami tidak berkunjung ke Semanggol kerana Puan SifuPTS sedang berada di Leiden, Belanda ketika ini.
Selepas menjamu selera makan tengah hari di sebuah gerai makan masakan Minang kami pun pulang ke Lembah Kelang.
Sabtu, 7 April 2007
Iran Membebaskan Anggota Marin Britain
Iran bertegas anggota marin itu memasuki perairan Iran, sementara Britain berkata mereka masih di perairan Iraq semasa ditahan tentera laut Iran.
Walau bagaimana pun ada pemerhati politik antarabangsa mengatakan anggota marin Britain itu dibebaskan setelah satu persetujuan dibuat supaya Amerika membebaskan beberapa anggota diplomatik Iran yang ditahan di Iraq dan di Turki.
Mungkin kita membaca berita yang diolah seperti tiada rundingan mengenai tahanan Iran itu, tetapi bagi pembaca yang memahami seni politik di persada antarabangsa akan dapat membaca segala sandiwara atau pun membezakan apa yang dipanggil 'cerita rasmi' daripada 'cerita sebenar'