Sabtu, 30 Jun 2007

Cinta Wanita Sudan

Sudah sebegitu lama
cintanya membara
membahang umpama pasir
di Gurun Sahara

Namun demi menjaga
adab susila budaya
ianya terpendam
walaupun cair
umpama lilin
di panas api

Masih setia
sedia menunggu
biarpun ia menjadi
penyedih abadi…

Cinta Lelaki Sudan

Biar mereka tidak pernah bertemu
namun cinta mereka tetap teguh
kasih mereka benar-benar kukuh
kerna derita yang sama mereka tempuh
dan hati mereka sentiasa ‘bertemu’.

Khamis, 28 Jun 2007

Drama Poligami Amerika Kembali

Drama 'Big Love' yang mengisahkan seorang lelaki yang menjalankan perniagaan rangkaian kedai hardware beristeri tiga, kembali menemui penonton di Rangkaian TV HBO.

Diberitakan siri lelaki beristeri tiga ini mempunyai ramai peminat setia.

Bila lagi TV RTM, TV3, TV9 dan Astro akan menyiarkan siri seumpama itu?

Jika ingin membaca cerita selanjutnya mengenai 'Big Love' silalah ke URL ini:


www.polygamy.com

Aku, Dia dan Ayam Goreng

Semalam senyumku rentung
di gerai ayam goreng
ayam goreng berempah
atau ayam goreng halia
memang aku suka
tapi kalau ayam goreng bermadu
lagi aku gemar

Aduhai
Aku senyum jua
biarpun sidia
tidak menggetarkan jiwa
aku sendiri pun tertanya-tanya
bilakah akan bermula
kisah indah
aku, dia dan ayam goreng?


~Penggemar Ayam Goreng Bermadu~
14 Jun 2007 Jam 0149

Selasa, 26 Jun 2007

Curahan Hati

Curahlah cintamu pada yang sudi
menerima seadanya padamu sendiri
ikhlas mendamba sekeping hati
untuk sentiasa kau taati

Bila kau merajuk dia memujuk
bila buntu dialah tempat kau rujuk
bila kau marah dia tidak merajuk
sentiasa tenang tidak olok-olok

Cintai seorang lelaki bernama suami
semoga dapat kau jadi isteri
kalian saling rindu-merindui
semoga bahagia dan Allah Redhai

Usah Biar Pedihmu Mendidih

Aduhai jiwa yang sedih
usah biarkan ia mendidih
kelak kau terus pilu dan sedih
nafasmu mencungap airmata meleleh

Teguhkanlah hatimu
dengan zikir dan munajat
semoga lukamu segera terubat
matamu bersinar penuh makrifat.

Usah Biar Rindumu Berlalu

Pendamlah rindumu itu
kerna rasanya yang indah
bila bercampur kepahitan
ia semakin terkesan

Lalui lah rindumu itu
dengan tenang
heningkan fikirmu
agar rindumu
tidak hilang layu
di angin lalu

Cinta Rentung Di Persimpangan Dilema

Telah hilang kabus dinihari
Namun aku masih di sini
Menjadi seorang penyedih
Abadi bersendiri

Aduhai kekasih
Semalam cintaku rentung
Di persimpangan dilema
Namun aku sekadar mampu
Merakamnya dengan tinta...

Minda Rentung Di Persimpangan Bahasa

Aduhai sayang
semalam mindaku rentung
di persimpangan bahasa
BMTkah atau BITkah?
aku terpinga sebegitu lama

Kalau BMT+BIT mungkin jadi dalca
jika BIT + BMT caca marba pula
akibatnya semua tempang
yang itu sumbang
yang ini kelentang

Namun kini terjawab jua
aku mesti berjiwa remaja
punya semangat waja
demi memandaikan bangsa
berjuang penuh perkasa.

Pengawal Yang Kasar!


Pada tahun 1975 saya telah menceburkan diri ke dalam bidang separa tentera, apabila saya diterima belajar di Maktab Tentera DiRaja, di Kem Sg Besi, Kuala Lumpur.

Kini sudah 30 tahun ia berlalu, namun saya masih menjalin hubungan yang rapat dengan rakan-rakan satu batch sehingga hari ini.

Kami mengadakan pertemuan beramai-ramai setiap sebulan atau dua bulan, mengikut kelapangan masing-masing.

Sehingga hari ini, saya dapat merasakan, apabila saya tidur dengan lena dan aman damai di waktu malam, saya sedar sesungguhnya ini adalah kerana masih ada orang 'kasar dan ganas' yang sanggup bertindak tegas bagi pihak saya bagi menjaga keamanan.