Ahad, 8 Julai 2007

Poligami Menghantui Kerajaan Indonesia

Kerajaan Indonesia kini mendapat tentangan pemimpin politik dan ulama yang mengamalkan poligami.

Muhammad Insa, seorang usahawan dari Jakarta, telah memfailkan petisyen di Mahkamah Perlembagaan. Beliau sangat marah kerana permohonan beliau untuk berpoligami ditolak oleh Pendaftar Perkahwinan, sedangkan ada yang dibenarkan mempunyai sehingga empat orang isteri.

Undang-Undang Indonesia mengenakan syarat ketat kepada mereka yang ingin berpoligami, seperti memerlukan kebenaran para isteri yang sedia ada, alasan isteri mandul atau mengidap sakit tenat, atau isteri tidak mampu memenuhi keperluan batin suami.

Walau bagaimanpun, beberapa tokoh terkenal tidak mempedulikan sekatan tersebut. Antaranya ialah Timbalan Speaker Parlimen merangkap pemimpin Parti Bintang Pembaharuan Islam, Zaenal Ma’arif, dan ulama berkarisma Abdullah Gymnastiar.

Pengamal poligami berpendapat Al-Qur’an mengharuskan lelaki beristeri sehingga empat orang demi menjauhkan dosa zina. Aa Gym mencetuskan perbahasan hangat apabila beliau menikahi isteri kedua yang juga seorang bekas model.

Aa Gym ialah seorang pendakwah TV dan juga penasihat keluarga Presiden. Sehingga kini mereka telah dihujani rungutan berbagai kumpulan dan pertubuhan wanita.

Ini mendorong Presiden Susilo Bambang Yudhoyono melarang pegawai kerajaan berpoligami, tetapi setakat ini tiada tindakan konkrit diambil terhadap yang terlibat, walaupun mereka terdiri daripada ahli kabinet beliau sendiri.

Bapak Insa tidak berputus asa, beliau telah membawa kes itu ke Mahkamah Perlembagaan dengan bantuan sekumpulan pengamal poligami. Beliau menuntut sekatan poligami dihapuskan kerana ia bercanggah dengan hak beragama.

“Akta Perkahwinan berdasarkan monogami,” kata beliau. “Di Indonesia ada berbagai agama. Undang-undang ini mungkin sesuai bagi agama lain, tetapi tidak sesuai untuk Islam.”


(Terjemahan bebas daripada sumber berita 30 Jun 2007)

0 ulasan: