Ahad, 30 November 2008

"Di Bawah Payung Aishah" dalam "Renjis 2"



Setelah menunggu dan menghabiskan sedikit masa mencari dalam youtube, akhirnya saya menemui episod 'Renjis' musim kedua yang menyelitkan adegan judul buku ini disebut oleh salah seorang watak dalam drama bersiri ini.

Saksikanlah...

Ahad, 23 November 2008

Perkembangan terkini di Teluk Aden: cabaran, kebimbangan dan harapan



Selepas peristiwa Tentera Laut India menembak dan menenggelamkan sebuah kapal yang dipercayai menjadi kapal induk lanun, Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) sebulat suara meluluskan usul mengenakan sekatan terhadap lanun, penyeludup senjata dan pihak yang menyebabkan keadaan tidak stabil di negara Horn of Africa, Somalia.

Antara sekatan yang dikenakan ialah sekatan perjalanan (kembara keluar negera) dan pembekuan aset individu serta pihak yang terlibat. [Nota Imran Yusuf: Kita berpendapat, pihak barat khususnya Amerika Syarikat ialah antara mereka yang bertanggung jawab yang menyebabkan keadaan politik yang tidak stabil apabila mereka menggerakkan proksi mereka, Ethiopia, supaya masuk ke Somalia dan menyerang pihak kerajaan yang didirikan oleh Union of Islamic Courts (UIC). Jadi kenapa pihak UNSC mengenakan sekatan kepada pihak di Somalia sahaja?]

Sebelum peristiwa kapal induk lanun ditembak dan diteggelamkan itu, pihak komando Tentera Laut Di Raja Inggeris dari kapal perang HMS Cumberland mengejar sebuah bot nelayan milik Yemen di luar pantai Yemen dan menembak mati dua orang warga Somalia dan mencederakan seorang warga Yemen (yang kemudiannya mati). Bot nelayan itu dipercayai terlibat dalam percubaan merampas kapal kargo milik Denmark, MV Powerful.

Pihak Kesatuan Eropah (EU) telah melancarkan khidmat kapal pengiring bagi mengiringi kapal-kapal yang melalui perairan Somalia dan Teluk Aden. Khidmat itu akan dimulakan dengan khidmat Tentera Laut Perancis.

Selepas lanun merampas kapal pengangkut minyak gergasi(supertanker) Sirius Star milik Arab Saudi, pihak pejuang Somalia yang dikenali sebagai Al-Shabaab, yang diketuai oleh salah seorang pemimpin mereka, Mukhtar Robow atau Abu Mansour telah memasuki Haradheere dan Hoboyo, Jumaat lepas. Kedua-dua bandar itu dikenali sebagai bandar persinggahan gerombolan lanun. Pihak pejuang diarahkan menyerang gerombolan lanun di kedua-dua bandar tersebut.

Senada dengan tindakan pejuang Al-Shabaab itu, pemangku ketua pegawai eksekutif Frontline Limited, sebuah syarikat perunding keselamatan maritim yang beribu pejabat di Oslo, Norway bersetuju dengan tindakan Al-Shabaab itu.

Walau pun gerombolan lanun itu tidak mempunyai kekuatan setanding dengan kekuatan tentera laut negara-negara maju, kita hairan dan tertanya-tanya mengapa pihak berkuasa negara-negara pimilik kapal dagang dan pihak tentera laut mereka seolah-olah tidak berdaya melawan puak lanun itu?

Pelbagai alasan diberikan seperti keluasan pantai Somalia melebihi 3,000 kilometer, lanun mempunyai bot laju, nyawa tebusan dalam bahaya, dan pelbagai lagi alasan.

Jika kita renungkan dan meneliti fakta bahawa pantai Amerika lebih berlipat-kali ganda lebih panjang dari pantai Somalia, mengapakah pihak pengawal pantai Amerika berjaya menjaga keselamatan pantainya dari ancaman lanun? Pantai negara-negara Eropah juga berkali ganda lebih panjang daripada pantai Somalia, tetapi mengapa mereka mampu mengawal pantai mereka dari ancaman lanun?

Mengapa tidak pantai Somalia? Kenapa begitu? Kerana Somalia tidak stabil politiknya? Tetapi lihatlah, apabila pihak UIC baru berkuasa selama enam bulan di Somalia, pihak barat sudah mampu menggerakkan Ethiopia, proksi mereka menyerang Somalia supaya menjatuhkan kerajaan UIC?

Apabila kita halusi hakikat ini, kita tentu merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Kalau kita pinjam ungkapan Inggeris "something just does not add up here" atau "something fishy" bolehlah digunakan untuk menyelami situasi ini.

Pihak blog 'Meredah Samudera' berpendapat situasi 'ancaman lanun' ini sebenarnya menguntungkan pihak atau negara yang mempunyai angkatan laut yang kuat serta pihak yang mempunyai pasukan laut yang bersenjata yang mempunyai kekuatan tentera. Dengan adanya ancaman lanun ini, dengan sendirinya kerajaan dan syarikat yang memberikan khidmat 'keselamatan' seperti kapal pengiring untuk kapal dagang, khidmat perunding keselamatan maritim, dan seumpamanya akan beroleh peluang perniagaan yang sangat lumayan pendapatannya.

Ya! Semuanya ada kepentingan bisnes. Tidak syak lagi. Sudah terang lagi bersuluh. Benarlah seperti maksud sebuah hadis Nabi (S.A.W) yang menyebutkan bahawa di akhir zaman nanti, "Semua urusan adalah dinar dan dirham" iaitu semua urusan ialah bermatlamat kepada wang, duit dan keuntungan kebendaan.

Tidak syak lagi semasa waktu singkat Somalia diperintah oleh kerajaan pimpinan UIC, mereka berjaya mengurangkan serangan lanun kerana sebenarnya puak Somalia yang paling banyak terlibat dengan kegiatan melanun ialah gerombolan warlord dan militia yang mendapat sokongan moral dan kebendaan dari pihak barat, khusunya Amerika.

Akibat campur tangan pihak barat khususnya Amerika juga maka negara Somalia mengalami kemusnahan dan kehancuran dari segi infrastruktur, sosial dan ekonomi.

Mungkin pihak barat, khususnya Amerika tidak menyedari bahawa mereka mempunyai peluang dan kekuatan untuk mengatasi ancaman lanun di perairan Somalia dan Teluk Aden itu.

Pihak barat khususnya Amerika perlu mengkaji semula sokongan mereka terhadap Ethiopia dan pihak warlord dan militia Somalia. Gerombolan lanun dan pengkhianat ini sebenarnya yang menjadi ancaman kepada kegiatan kapal dagang dunia. Merekalah petualang yang mesti dihapuskan.

Manakala pihak UIC, Al-Shabaab dan lain-lain pihak yang bersekutu menentang kerajaan TFG sebenarnya yang akan menjadi benteng pertahanan dan menjadi pembantu kepada memajukan aktiviti kapal dagang dunia. Merekalah pembantu utama kepada masyarakat antarabangsa bagi menjadikan koridor laluan perairan Somalia, Teluk Aden dan Horn of Africa sebagai laluan strategik dunia yang aman, bebas dan berkecuali.

Pihak barat, Amerika, EU, NAM, OIC dan UN sepatutya berani bertindak dan berani mengenepikan sikap dengki khianat dan sikap sombong bongkak dan membantu rakyat Somalia bagi mengatasi masalah lanun di Perairan Somalia dan Teluk Aden.

Semoga dengan perubahan suasana dan kepimpinan politik yang berlaku di Amerika Syarikat dan dengan terpilihnya Tuan Barack Obama menjadi pemimpin tertinggi negara itu, dunia akan mengalami perubahan ke arah persaudaraan umat manusia dan pengurangan semangat persengketaan di dunia.

Sabtu, 22 November 2008

Besan saya menunaikan haji



Setelah melepasi beberapa halangan dan cabaran, akhirnya berjaya juga besan saya dari Permaisuri, Trengganu menunaikan ibadat haji.

Saya sempat bertemu beliau untuk mengucapkan selamat berangkat dan semoga mendapat haji yang mabrur.

Seruan haji beliau sudah sampai.

Giliran saya sedang menanti.

Labbaikallahummalabaik.....

Mee udang masak di rumah sendiri




Setelah mencuba mee udang di Kuala Sepetang yang terkenal itu, isteri saya mengatakan beliau ingin mencuba memasak mee udang.

Kami membeli udang kertas dan udang harimau di pasar borong.

Kebetulan anak saya yang tinggal di Trengganu itu pun balik ke Serdang untuk menghantar bapa mertuanya ke Kompleks Haji di Kelana Jaya untuk berlepas ke tanah suci menunaikan fardhu haji.

Bukanlah untuk meraikan keberangkatan besan saya itu atau pun menyambut kepulangan anak saya, tetapi lebih kepada mencuba mee udang masakan di rumah sendiri.

Apa pun, hasilnya memang membanggakan dan apa yang penting ialah mee udang itu sedap juga.

Emmm...

Khamis, 20 November 2008

Tentera Laut India tenggelamkan kapal lanun



Pihak tentera laut India telah berjaya menenggelamkan sebuah kapal yang dipercayai menjadi kapal induk kepada bot-bot lanun yang melakukan serangan terhadap kapal-kapal dagang perairan di luar pantai Somalia.

Kejadian kejar-mengejar dan tembak-menembak itu berlaku di perairan Teluk Aden, apabila kapal perang India, INS Tabar, yang beroperasi dari luar pantai Oman menyekat sebuah kapal yang menyerupai kapal yang disyaki menjadi kapal induk lanun.

Sebaik sahaja pegawai dari INS Tabar mengarahkan kapal tersebut berhenti untuk digeledah, puak lanun telah melepaskan tembakan ke arah INS Tabar.

Anggota tentera laut India itu telah membalas tembakan ke arah kapal lanun itu dan akibatnya beberapa letupan telah berlaku di atas kapal lanun itu, yang dipercayai simpanan peluru kapal lanun itu meletup apabila terkena tembakan, sehingga menenggelamkan kapal lanun itu.

Inilah julung kali pihak berkuasa berjaya menewaskan lanun dalam pertempuran.

Serangan lanun bertambah nekad sejak kebelakangan ini kerana hasilnya lumayan dan pihak lanun sering berjaya mendapat wang tebusan yang dibayar oleh pihak syarikat kapal dagang yang kapalnya ditawan lanun. Mereka sering terlepas dan tiada tindak balas dari pihak berkuasa antarabangsa.

Sebelum kejadian ini gerombolan lanun telah merampas sebuah kapal supertanker MT Sirius Star milik syarikat syarikat Saudi, Aramco. Tidak sampai 48 jam selepas itu, tiga buah kapal lagi dirampas lanun.

Masyarakat antarabangsa kelihatan seolah-olah tidak berdaya dalam menghadapi cabaran dari puak dan gerombolan lanun ini.

Sumber: Yahoo News

Rabu, 19 November 2008

"Di Bawah Payung Aishah" dalam "Renjis 2"




Hari ini saya menerima pesanan SMS dari anak saya, Noraini (along), yang tinggal di Terengganu yang menyatakan dia menonton siri drama "Renjis 2" di Astro Ria.

"Hari ini di Astro (Ria) ada ditanyangkan lagi buku ayah. Pelakon itu sebut 'Di Bawah Payung Aishah...' (Kemudian) Fokus ada buku ayah, tapi kali ini dia tampal kulit depan dengan kertas lain. Tidak tunjuk secara terang. Tetapi nampaklah perkataan 'Di Bawah Payung Aishah.' "

Saya pun mencari episod 5 drama 'Renjis 2' untuk mendapatkan adegan pelakon yang membaca buku itu. Akan tetapi tidak menjumpainya.

Menarik juga. Nampaknya saya perlu bayar harga iklan supaya kulit buku saya tidak ditutup dengan kertas.

Selasa, 18 November 2008

Industri maritim dunia kekurangan 34,000 orang pelaut




Industri perkapalan dagang dunia masih kekurangan seramai 34,000 orang pelaut bagi menampung jumlah keseluruhan 498,000 ribu orang yang diperlukan oleh industri itu, demikian yang dilaporkan oleh penganalisis industri maritim, Drewry Shipping Consultants.

Berdasarkan unjuran kadar pertambahan jumlah tonnage kapal sedunia, Drewry meramalkan menjelang tahun 2012, angka itu akan meningkat kepada 83,900 orang.

Setiausaha Agung IMO, Tuan Efthimios E. Mitropoulos menyatakan, “Seperti yang telah dimaklumi oleh semua pihak dalam industri maritim, kekurangan pelaut di seluruh dunia sudah sampai ke tahap yang amat membimbangkan.”

Sehubungan dengan itu, pihak International Maritime Organisation (Pertubuhan Maritim Antarabangsa) telah melancarkan kempen “Jom turun ke laut!” ("Go to sea!" ) bagi menarik lebih ramai pemuda untuk menjadi pelaut, terutama sekali bagi jawatan pegawai. Beberapa lagi badan dan pertubuhan industri maritim terlibat bagi menjayakan kempen iaitu International Labour Organization (ILO), BIMCO, ICS/ISF, INTERCARGO and INTERTANKO1 dan International Transport Workers' Federation(ITWF).

Antara langkah yang tercatat dalam dokumen kempen tersebut ialah industri maritim perlu mengambil inisiatif membuat promosi dalam media cetak dan elektronik bagi meningkat kesedaran dan kecenderungan para pelajar mengenai peluang kerjaya yang ditawarkan dalam industri perkapalan dagang. Kempen itu juga merayu pihak kerajaan bagi memainkan peranan yang lebih menonjol bagi menyokong industri maritim.

Pihak blog Meredah Samudera menyokong kempen ini dan berharap pelbagai pihak di negara ini, terutama pihak media dan kerajaan di peringkat federal dan negeri, pertubuhan belia, persatuan pelajar sekolah, ibu-bapa dan guru-guru supaya mengambil langkah positif bagi menjadikan negara ini antara penyumbang utama bagi menampung permintaan pelaut itu.

Tentunya pihak syarikat perkapalan seperti MISC Berhad, Akademi Laut Malaysia, dan lain-lain syarikat, serta persatuan pelaut dan pelbagai pihak lagi yang terlibat dengan industri maritim negara ini, akan bangkit dan mendepani cabaran ini.

Sumber: www.imo.org (17 Nov’08)
[Kempen jom ke laut oleh IMO untuk tarik lebih ramai pelaut]

Memancing dari Kapal Bunga Melati Mas Enam di perairan Dubai



Semasa kapal berlabuh di kawasan anchorage di Dubai, anak kapal milik MISC Berhad sempat meluangkan masa untuk bersantai setelah penat bekerja, untuk memancing.

Inilah salah seekor ikan yang berjaya ditawan oleh mereka.

Masih belum disahkan umpan yang mereka gunakan. Mungkin umpan ikan atau udang hidup, atau mungkin juga sotong beku yang mereka 'pinjam' dari freezer di galley (dapur kapal)

Memancing dari Kapal Bunga Melati Mas Enam di perairan Dubai



Semasa kapal berlabuh di kawasan anchorage di Dubai, anak kapal milik MISC Berhad sempat meluangkan masa untuk bersantai setelah penat bekerja, untuk memancing.

Inilah salah seekor ikan yang berjaya ditawan oleh mereka.

Masih belum disahkan umpan yang mereka gunakan. Mungkin umpan ikan atau udang hidup, atau mungkin juga sotong beku yang mereka 'pinjam' dari freezer di galley (dapur kapal)

Isnin, 17 November 2008

Kapal milik Saudi dirampas lanun




Kapal tanker, MT Sirius Star, milik syarikat minyak Arab Saudi, Aramco dirampas lanun di perairan luar pantai Kenya pada hari Sabtu 15 November 2008. Kapal itu didaftarkan di Liberia.

Kapal seberat 318,000 DWT yang dibina pada tahun 2008 di limbungan kapal DSME Seoul, Korea Selatan yang dikelaskan dalam kategori supertanker ini merupakan kapal yang terbesar yang pernah dirampas lanun.

Dikatakan kapal ini hampir sama besar dengan tiga buah kapal pengangkut kapal terbang.

Nasib 25 orang anak kapal MT Sirius Star masih belum diketahui.

Siakap Alias dan rakan-rakan di Kolam Batu 30 Ulu Yam



Assalamu'alaikum rakan-rakan pengail,

Pada hari Sabtu lepas, macam biasa saya telah pergi ke Kolam Memancing Batu 30, Ulu Yam bersama rakan-rakan untuk memburu ikan siakap.

Sesi kami bermula 08:45 pagi hingga 12:00 tengah hari.

Alhamdulliah kami mendapat lima(5) ekor ekor ikan siakap. Akan tetapi sepatutnya boleh dapat enam (6) ekor tapi dah rezeki Allah cuma nak beri lima(5) ekor. Ini ialah kerana ikan saya terlepas satu (1) ekor! He he he..

Minggu macam mana minggu depan, adakah sesiapa yang berani untuk menyahut cabaran ini?

Siakap Alias dan rakan-rakan di Kolam Batu 30 Ulu Yam



Assalamu'alaikum rakan-rakan pengail,

Pada hari Sabtu lepas, macam biasa saya telah pergi ke Kolam Memancing Batu 30, Ulu Yam bersama rakan-rakan untuk memburu ikan siakap.

Sesi kami bermula 08:45 pagi hingga 12:00 tengah hari.

Alhamdulliah kami mendapat lima(5) ekor ekor ikan siakap. Akan tetapi sepatutnya boleh dapat enam (6) ekor tapi dah rezeki Allah cuma nak beri lima(5) ekor. Ini ialah kerana ikan saya terlepas satu (1) ekor! He he he..

Minggu macam mana minggu depan, adakah sesiapa yang berani untuk menyahut cabaran ini?

Ahad, 16 November 2008

Suatu petang di Kuala Sepetang



Saya pernah terbaca posting di blog Tuan Mohamad Kholid Hamzah (Nota Dari Laut - PTS) dan beberapa posting lagi di blog orang lain mengenai mee udang Kuala Sepetang.

Apa yang bagus dengan mee udang Kuala Sepetang?

Ada apa dengan mee udang Kuala Sepetang?

Secara kebetulan semasa ke utara tanah air untuk mengambil anak saya pulang dari sebuah IPTA, saya teringat tentang Kuala Sepetang.

Baiklah, saya fikir. Ini peluang baik untuk saya alami sendiri suasana Kuala Sepetang, yang mana nama lamanya ialah Port Weld, dan merasai sendiri mee udang Kuala Sepetang.

Beginilah beberapa pemandangan yang sempat dirakamkan oleh LensaCabe4 di sekitar Kuala Sepetang, Daerah Kerian, Perak. (16.11.2008).















Khamis, 13 November 2008

Kapal Turki dirampas lanun




Kali ini kapal tangki milik syarikat dari Turki, YDC Maritime Co. yang diberi nama Karagöl berserta 14 orang anak kapal dirampas di perairan 16 batu nautika di luar pantai Yaman pada hari Rabu 12 November 2008.

Sehari sebelumnya kapal tangki kimia milik Filipina juga dirampas lanun.

Bulan lepas sebuah kapal milik Turki juga dirampas lanun berserta 23 anak kapal turut dirampas lanun.Setakat ini anak kapal yang terdiri dari 23 orang warga pelbagai negara diberitakan berada dalam keadaan selamat. Rundingan bagi membebaskan mereka berserta kapal sedang giat dijalankan.

Setiap kali berita rampasan kapal tersiar setiap kali kita tertanya-tanya: "Berepa lama lagi masalah ini akan berlarutan?"

Kapal cruise mewah QE-2 dijadikan hotel terapung mewah di Dubai




Kapal cruise milik syarikat Inggeris, Cunard, Queen Elizabeth 2, yang telah dilancarkan pada tahun 1969, telah dibeli oleh syarikat milik kerajaan UAE, Dubai World dengan harga 100 juta Dolar Amerika, dan akan dijadikan sebuah hotel terapung mewah dan pusat seni di Palm Jumeirah, Dubai.

QE-2 boleh dianggap kapal pelancungan yang paling terkenal di dunia dan telah dijadikan latarbelakang bagi pelbagai filem cerita dan dokumentari yang terkenal.

Rekod menunjukkan kapal ini telah dibawa belayar mengelilingi dunia sebanyak 25 kali dan telah dinaiki oleh lebih daripada 2.5 juta penumpang; ada yang terdiri dari kalangan para pemimpin negara dan personaliti terkenal seluruh dunia.

Cerita dan gambar menarik mengenai pusat pelancungan yang akan menjadikan QE-2 sebagai tarikan utama pengunjung ke Palm Jumeirah, Dubai, UAE ini boleh dibaca di blog Tuan Fudzail DI SINI.

Isnin, 10 November 2008

Bertemu seorang sahabat lama



Boleh dikatakan perjalanan hidup saya dari alam sekolah ke alam kerjaya lurus dan saya seolah-olah telah disediakan lorong khas.

Setelah selesai sekolah kebangsaan saya dan beliau adalah di antara ramai murid yang dipilih memasuki sekolah menengah yang agak terkenal di Kelantan pada waktu itu. Kami bertukar bahasa pengantar dari Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris. Bermula dari situlah persahabat kami terjalin.

Selepas mendapat keputusan peperiksaan tingkatan tiga (pada waktu itu dipanggil Lower Certificate of Education, LCE atau SRP sekarang) kami terpisah. Saya belajar di Sekolah Menengah Sains untuk beberapa bulan sebelum ditawarkan belajar di Maktab Tentera Di Raja (RMC), Kuala Lumpur.

Seterusnya dari RMC saya melanjutkan pelajaran ke United Kingdom melalui pengajian 'A' Level dan seterusnya ke peringkat sarjana B.Sc.(Hons) yang memakan masa lima tahun lamanya.

Sekembalinya saya dari UK saya bertugas. Diringkaskan waktu, pada bulan Ramadhan yang baru lalu saya mendapat emel dari beliau bertanya khabar. Entah berapa lama agaknya beliau mencari-cari punca untuk menghubungi saya.

Kemi bercadang untuk bertemu beberapa hari selepas Hari Raya Idilfitri yang baru lalu semasa saya menghantar anak saya Hanisah ke asrama UiTM di Permatang Pauh. Akan tetapi rancangan itu tidak terlaksana.

Malam tadi kami bertemu di Kuala Lumpur. Beliau dan keluarga datang dari Perlis untuk menghantar anak beliau ke asrama matrikulasi UIA.

Kesempatan pertemuan kali ini sungguh-sungguh telah mengembalikan nostalgia kami semasa tinggal di asrama Sekolah Menengah Kamil, Pasir Puteh.

Pelbagai peristiwa diingat kembali yang membuat kami ketawa. Namun tidak kurang juga yang menyedarkan kami betapa cepatnya masa berlalu, terutama apabila mengenang beberapa orang kawan seangkatan yang telah kembali menyambut panggilan Allah.

Apabila saya menyebut tentang PTS, Puan Ainon Mohd SifuPTS dan Prof Abdullah Hassan, rupa-rupanya sahabat saya ini merupakan salah seorang pelajar Prof Abdullah Hassan. Antara yang beliau paling ingat ialah beliau belajar mengenai politik melalui pembacaan buku-buku Prof Abdullah Hassan.

Perjalanan hidup kawan saya ini lebih menarik daripada yang telah saya lalui. Beliau tidak mendapat tawaran ke sekolah asrama penuh atau mana-mana sekolah yang ternama. Beliau mendapat tawaran kerja sebagai kakitangan kerajaan di Jabatan Kastam dan Eksais Di Raja.

Akan tetapi beliau seorang yang mempunyai visi dan kemahuan untuk memajukan diri. Maka dengan semangat yang kental beliau telah berusaha gigih untuk mencapai tahap pembangunan diri yang lebih tinggi.

Beliau belajar selepas waktu pejabat mengikuti kursus diploma sehingga berjaya. Kemudian beliau mendapat tawaran mengikuti skim 'Pensyarah Muda' anjuran UiTM sehingga ke peringkat ijazah dan master.

Saya berpeluang belajar di UK selama 5 tahun, manakala beliau pula belajar 5 tahun di Amerika Syarikat.

Saya tertarik apabila beliau menceritakan bagaimana kawan-kawan sekerja yang menyindir beliau semasa beliau melintasi padang bola di mana mereka bermain bola selepas waktu pejabat. Beliau menggalas beg untuk pergi ke kelas kursus diploma sedangkan rakan-rakan bermain bola.

Mereka berteriak dan memanggil beliau, "Tuan Profesor,...!!"

Mendengar kisah itu saya berkata, "Awak sepatutnya mengucapkan terima kasih kepada mereka, kerana doa mereka ("masin mulut mereka") telah termakbul sekarang ini."

Ya! Selain nama beliau juga sama dengan nama saya, satu perkara lagi yang menarik tentang beliau ialah, setelah tujuh tahun bertungkus lumus berusaha, beliau kini dikenali sebagai "Prof Madya Dr."

Sesungguhnya doa rakan-rakan sekerja dahulu itu telah dimakbulkan. Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kebaikan kepada hamba-hambaNya!

Ahad, 9 November 2008

Lanun menyerang lagi



Lanun menyerang lagi pada hari Sabtu 8 November 2008 di perairan Somalia!

Kali ini yang menjadi sasaran ialah sebuah kapal kargo milik syarikat CEC Clipper, Denmark yang mengibarkan bendera Bahamas, yang dalam pelayaran dari Timur Tengah ke Asia.

Kapal itu dikendalikan oleh 13 orang anak kapal yang terdiri daripada warga Ukrain dan Russia.

Setakat ini bagi tahun 2008 telah berlaku 83 kali serangan lanun di perairan tersebut yang menyaksikan 32 buah kapal dirampas dan lebih 200 orang anak kapal menjadi tebusan.

Dua kes yang mendapat perhatian antarabangsa ialah yang melibatkan kapal Bunga Melati Dua dan Bunga Melati 5, yang berjaya diselesaikan oleh syarikat pemilik Malaysia bagi kedua-dua kapal tersebut, iaitu MISC Berhad.

Sesungguhnya masyarakat antarabangsa mesti mencari formula jangka panjang untuk menyelesaikan masalah lanun ini pada kadar segera.

Sabtu, 8 November 2008

Strategi Tujuh Bahagian: Sukar tetapi berkesan



"Mak Long mesti tolong saya," kata Saadiah dengan nada sayu. "Saya sudah tidak tahu apa nak buat lagi."

Mak Long Fatimah memandang tepat ke muka anak saudaranya itu. Dia berkata, "Abang Leman kau nak beristeri lagi, kan? Apa masalahnya? Lelaki boleh beristeri sehingga empat orang."

"Mak Long sokong Abang Leman juga! Tidakkah Mak Long kasihan pada saya dan anak-anak?"

Mak Long Fatimah menarik nafas panjang. Dia berkata,"Mak Long pun sudah lalui apa yang kau sedang lalui. Sebenarnya tiada apa yang hendak dibimbangkan, kalau kau sudah bersedia untuk melaluinya."

Air mata Saadiah mengalir deras membasahi pipinya yang dulunya gebu dan halus. Tetapi pipi itu sudah mula berkedut. Dia berkata, "Nak bersedia macam mana lagi, Mak Long? Dia dah memang nak teruskan juga niat dia. Saya buntu, Mak Long. Buntu!"

Mak Long Fatimah menjawab, "Kalau kita tidak faham siasah rumah tangga memang kita jadi buntu, Saadiah." Suara Mak Long Fatimah tenang dan seperti menusuk ke minda Saadiah.

Saadiah terdiam sebentar seolah-olah cuba memahami kata-kata emak saudaranya yang sudah berumur enam puluh lima tahun itu.

"Mak Long pun tahu usia saya dah separuh abad. Abang Leman itu pula semakin tua semakin menjadi. Siasah apa lagi kalau wanita yang dia nak kahwini itu baru umur tiga puluh? Saya sudah tua, sedangkan wanita itu muda. Cantik pula tu.."

"Adakah kau berminat hendak tahu beberapa tip dari orang tua ini?" tanya Mak Long Fatimah. Wow! Boleh tahan juga orang tua ini. Dia guna perkataan 'tip' bukan 'petua'.

Saadiah terdiam sebentar. Dia berkata,"Adakah tip Mak Long tu berkesan? Abang Leman itu segak dan handsome. Banyak duit pula tu. Bakal isteri keduanya pula muda dan cantik. Mana mungkin saya dapat menghalang kehendaknya itu?"

"Saadiah, orang lelaki memang mahu beristeri lebih dari satu," kata Mak Long. "Tidak sempurna lelaki itu jika tiada niat dalam hatinya hendak menambah isteri. Hakikat itu kita kena terima."

"Kena terima hakikat?" tanya Saadiah sambil menyapu air mata yang masih mengalir di pipinya. "Habis tip apa yang Mak Long maksudkan itu?"

"Tip yang Mak Long boleh beritahu ini sukar sedikit..." jawab Mak Long Fatimah.

"Mak Long, saya memang sukar nak terima hakikat dimadukan. Mak Long nak berikan tip yang sukar dilakukan pula...!" kata Saadiah dengan nada yang kesal.

"Saadiah, tip ini sukar tetapi berkesan," kata Mak Long Fatimah. "Itu pun kalau kau sanggup nak dengar. Dengar dulu. Lepas itu baru kau buat penilaian."

Kata-kata bekas ustazah Fardu Ain kampung itu seolah-olah mempengaruhi Saadiah. Dia menjawab, "Mak Long cakaplah. Beritahu saya tip itu. Biar saya dengar."

"Saadiah, cara Mak Long ini nampak macam kau mengalah pada peringkat awal. Tetapi insya Allah, pada jangka panjang kau boleh menang. Malah menang dengan gemilang!" kata Mak Long Saadiah dengan penuh semangat.

Terbeliak mata Saadiah mendengar kata-kata Mak Long Saadiah itu. Terpegun sebentar. Dia berkata, "Mak Long, tolonglah ceritakan kepada saya."

"Saadiah, kita sebagai isteri harus bersedia menerima hakikat bahawa suami kita memang ada potensi untuk bernikah lagi. Itu resam dunia. Allah telah jadikan orang lelaki begitu. Masa tak ada duit, masa hidup sukar memanglah isteri seorang sahaja. Tapi bila sudah mewah sedikit, sudah ada wang, mata dia mula memandang keliling. Nampak wanita di luar itu lebih cantik. Isteri di rumah nampak selekeh. Dia tidak sedar kalau wanita di luar yang dia pandang cantik itu, bila sudah jadi isteri dia, akan nampak selekeh juga!" Mak Long Fatimah tersenyum ketika berkata.

"Abang Leman memang dah banyak wang sekarang, Mak Long," kata Saadiah.

Mak Long Fatimah menyambung, "Jadi kita kena atur strategi untuk menang dalam perang ini. Jangan sangka perang ini macam perang Amerika di Iraq dan Afghanistan itu. Tetapi perang ini ialah untuk memenangi hati. Hati suami, hati anak-anak, hati adik-beradik dan hati ipar duai..."

"Mana mungkin saya lakukan semua itu, Mak Long?" tanya Saadiah. "Saya seorang dan mereka ramai."

"Sebab itulah kita kena susun strategi dengan rapi, Saadiah," jawab Mak Long Fatimah. "Masa bertarung mungkin memakan masa yang panjang. Tetapi Mak Long percaya kau boleh menang."

"Macam mana Mak Long buat ramalan? Mana Mak Long tahu saya boleh menang?" tanya Saadiah.

"Saadiah, watak kau seperti watak Mak Long. Situasi yang kau hadapi serupa dengan apa yang Mak Long lalui dulu. Abang Leman ini pun Mak Long perhati,... tidak jauh beza dengan Pak Long kau," jawab Mak Long Fatimah.

"Tapi, Mak Long," kata Saadiah. "Walau pun Mak Long menang, belum tentu lagi saya juga boleh menang."

"Insya Allah, Saadiah," jawab Mak Long Fatimah. "Kita cuma boleh berikhtiar. Hasilnya Allah jua yang tentukan."

"Apa yang harus saya buat, Mak Long?"

"Ada tujuh bahagian dalam strategi ini. Kalau kau sanggup ikut dia punya game plan, insya Allah kau akan sentiasa pegang trump card. Di hujung permainan kau akan dapat buat full strike macam kau jatuhkan semua pin masa main bowling itu!"

Waduh! Boleh tahan juga orang tua ini. Istilah yang dia guna benar-benar memukau Saadiah: strategi, game plan, trump card, full strike! Not bad. Not bad at all! Dan lagi sampai tujuh bahagian strategi dia. Mesti lengkap punya!

"Wah, Mak Long. Sampai tujuh bahagian?"

"Ya, Saadiah. Tujuh bahagian," jawab Mak Long Fatimah. "Bahagian pertama melibatkan diri kau sendiri. Kedua, suami. Ketiga, anak-anak kau. Keempat, melibatkan ahli-ahli keluarga kita. Kelima, mertua, ipar-duai. Keenam melibatkan kawan-kawan, jiran-jiran dan rakan-rakan kau. Dan ketujuh melibatkan bakal isteri kedua Abang Leman kau serta keluarganya."

"Mereka semua seolah-olah menyalahkan saya dalam hal ini, kecuali mungkin anak-anak saya. Macam mana saya boleh menang, Mak Long?"

"Sekilas pandang memang nampak macam mustahil kau boleh menang, Saadiah. Tetapi kalau kau gunakan strategi tujuh bahagian ini, insya Allah Abang Leman akan kembali ke pangkuan kau. Seperti juga Pak Long kau kembali ke pangkuan Mak Long."

"Bahagian pertama strategi Mak Long ini, apa yang harus saya buat?"

"Pertama ialah memantapkan diri kau sendiri, Saadiah. Sentiasa tunaikan ibadat wajib. Solat jangan ditinggal. Bila sudah mantap cuba lakukan solat sunat. Kalau masa mengizinkan cubalah bangun malam dan solat tahajud. Itu bab ibadat. Selain itu bab hati pula. Kita sebagai isteri kena jaga keikhlasan hati kita. Hindarkan rasa benci dan dengki kepada semua orang.
Lebih-lebih lagi terhadap bakal isteri kedua Abang Leman kau. Malah, kau kasihanilah wanita itu. Dia baru nak jadi isteri Abang Leman kau, jadi dia belum kenal lagi watak sebenar Abang Leman kau. Bila dia dah jadi isterinya, baru dia tahu. Jadi
kau hendaklah merasa kasihan kepadanya. Hindarkan dari berkawan dengan orang-orang yang suka mengumpat dan mengata-ngatai orang lain....," kata Mak Long Fatimah dengan panjang lebar.

"Maksud Mak Long ini langkah memantapkan rohani saya, begitu?"

"Pandai pun kau," jawab Mak Long Fatimah. "Selain itu kau mesti jaga kesihatan kau. Mantapkan kesihatan kau."

"Saya dah gemuk dan tua dan tak cantik lagi. Apa perlu saya mesti jaga badan lagi?"

"Kita tidak mungkin mengubah hukum alam, Saadiah. Setiap yang muda akan dimamah usia akhirnya. Masa muda memang kita semua cantik, tetapi tidak semestinya kita kelihatan hodoh. Apabila kita jaga kesihatan kita seadanya, insya Allah kita akan kelihatan ceria dan dengan itu akan terpancar kecantikan dalaman."

"Tapi tentu tidak dapat menghalang Abang Leman beristeri lagi, kan Mak Long?"

"Kau masih belum menerima hakikat bahawa kita tidak mungkin menghalang suami kita beristeri lagi."

"Mak Long dulu, macam mana? Boleh terima hakikat Pak Long beristeri lagi?"

"Macam kau juga. Memang susah nak terima hakikat itu. Bukan senang. Tetapi setelah melaluinya, Mak Long rasa seperti membuang masa dan tenaga sahaja buat macam-macam perkara nak halang Pak Long, tetapi dia teruskan juga niat dia."

"Mak Long rasa Abang Leman akan teruskan juga niat dia?"

"Kalau pengalaman Mak Long boleh dijadikan panduan, ya...,memang dia akan teruskan. Tetapi ingat kita strategi tujuh bahagian kita."

"Bahagian kedua macam mana pula, Mak Long?" tanya Saadiah.

"Saadiah, bahagian kedua ini yang paling penting dan yang paling susah nak dilaksanakan. Hanya dengan azam dan semangat yang kuat sahaja, seseorang isteri itu dapat menjayakan bahagian kedua ini," Mak Long Fatimah memberi amaran kepada anak saudaranya itu.

"Aduhai, Mak Long," keluh Saadiah. "Baru bahagian kedua, sudah kata paling susah. Sudahlah tadi Mak Long kata strategi ini sukar. Sekarang Mak Long kata bahagian kedua yang paling susah. Risau saya, Mak Long!"

"Kau nak Mak Long teruskan atau kita berhenti di sini sahaja, Saadiah?" tanya Mak Long Fatimah, seolah-olah menggertak Saadiah. "Kalau kau nak minta cerai dengan Abang Leman, Mak Long ada tip yang lain. Kalau nak tahu kesemua bahagian strategi tujuh bahagian ini pun kita boleh teruskan."

"Mak Long, saya nak tahu apa bahagian kedua itu. Cakaplah, Mak Long," rayu Saadiah.

"Bahagian kedua ini melibatkan suami kau, Abang Leman," sambung Mak Long Fatimah. "Kau teruskan tunaikan tanggung-jawab kau sebagai seorang isteri. Maksud Mak Long, makan-minum dia, pakaian dia, kau sediakan. Lebih-lebih lagi di tempat tidur..."

"Mak Long, dia asyik ingat kepada bakal isteri keduanya. Mana lagi dia nak bermesra dengan saya?!" Saadiah berkata dengan nada separuh sayu, separuh kesal.

"Saadiah," kata Mak Long Fatimah dengan tenang dan lembut. "Sabar, nak. Kan Mak Long kata bahagian ini yang paling susah.
jadi Saadiah perlu kuatkan semangat. Maksud Mak Long, kalau dia tidak mahu, biarkan saja. Tetapi Saadiah teruskan tanggung-jawab sebagai isteri. Jangan sekali-kali menunjukkan muka yang masam. Sentiasa senyum kepadanya dan terus layan dia seperti biasa. Kalau mahu, Saadiah anggaplah dia sedang melalui suatu fasa hidupnya yang sukar. Jadi jangan menyukarkan lagi proses itu. Bantulah dia memaluinya dengan tenang. Mak Long tahu memang sukar untuk melakukannya, tetapi dengan semangat yang kental dan daya juang yang jitu Saadiah mampu melakukannya. Buat seketika, lupakan dulu niat kau meminta cerai itu. Dari pengalaman kawan-kawan Mak Long, ramai yang menghadapi hidup yang lebih sukar apabila diceriakan suami."

"Pahit sungguh, Mak Long," kata Saadiah dengan sayu.

"Memang begitu hakikatnya, Saadiah," jawab Mak Long Fatimah. "Bahagian ketiga melibatkan anak-anak kau. Jangan sekali-kali hasut mereka membenci ayah mereka."

"Tapi, Mak Long," kata Saadiah. "Ayu dan Zubir memang marah betul dengan ayah mereka. Lina dan Mimi langsung tak nak tegur ayah mereka. Susah juga saya nak larang mereka, Mak Long."

"Memanglah anak-anak akan menyebelahi emak dalam situasi begini. Tetapi kita harus memujuk mereka supaya terus menghormati ayah. Jangan jadi seperti kawan Mak Long tu, dia hasut anak-anaknya membenci ayah mereka. Masa itu suaminya berkata akan berkahwin lagi. Sampai satu tahap anak-anak mereka memunggah pakaian ayah mereka dalam beg besar dan mereka campak beg itu dari tingkat atas rumah mereka. Mereka halau ayah mereka dari rumah."

"Sampai begitu sekali?"

"Begitulah ceritanya, Saadiah. Tetapi cuba bayangkan betapa besarnya dosa anak-anak yang berkelakuan begitu kepada ayah mereka. Jangan Saadiah sampai menghasut anak-anak menderhakai ayah mereka. Mungkin dalam masa terdekat, emaknya merasa gembira kerana berjaya menghasut anak-anak membenci ayah mereka. Nampak seperti beliau berjaya mengalahkan suaminya dengan bantuan anaknya. Dalam masa jangka panjang kelak anaknya akan tahu rupa-rupanya emak mempunyai akhlak yang buruk begitu."

"Saya tak sampailah sampai ke tahap itu, Mak Long," kata Saadiah.

"Bagus, Saadiah. Apabila kita sentiasa menyuruh anak-anak menghormati ayah mereka, dalam masa jangka panjang semoga mereka juga akan menghormati emak mereka dan menyanjung Saadiah sebagai isteri yang menghormati suami."

Saadiah terdiam seketika, seolah-olah meneliti kata-kata emak saudaranya. Akhirnya dia bersuara, "Bahagian keempat, Mak Long?"

Mak Long Fatimah tersenyum, "Bahagian keempat melibatkan keluarga kita. Memang ramai akan menyalahkan kau. Macam-macam tuduhan yang akan dilemparkan. Tak tahu jaga suami, tak pandai hias diri, terlalu ikutkan kata suami. Berbagai-bagai lagi cercaan. Dalam hal ini, kita perlu tabah dan cekal, Saadiah. Kalau ada yang kata begitu, kau senyum sahaja dan katakan kepada mereka 'Abang Leman berhak beristeri lagi. Doa-doakan lah kami bahagia. Tak kan awak nak lihat kami bercerai-berai. Tak baik runtuhkan rumah tangga orang lain. Berdosa tu.' Tentu sahaja orang yang menghina itu akan berasa malu mendengar jawapan Saadiah begitu."

"Bahagian kelima, Mak Long?" kali ini Saadiah seperti pulih sedikit nada suaranya. Mungkin dia sudah pasrah dan berazam menerima strategi saranan emak saudaranya yang sangat berpengalaman itu.

Mak Long Fatimah meneruskan katanya, "Bahagian kelima ini juga suatu bahagian yang amat penting. Sekali pandang macam ipar-duai ini tidak penting dalam hal ini. Tetapi sebenarnya mereka merupakan sistem sokongan emosi kau yang paling penting. Jadi Saadiah hendaklah berlaku baik dan melayan mesra mertua dan ipar-duai Saadiah. Apabila mereka dilayan dengan baik dan mesra maka tiada sebab untuk mereka membenci Saadiah. Malah mungkin sahaja mereka akan menyebelahi Saadiah apabila Abang Leman beristeri lagi. Tidak mustahil ada yang akan berkata, 'Sudah tidak betul Leman tu, isteri dia baik macam ini pun dia masih nak mencari wanita lain. Memang dia teruk!' Apabila berlaku begini, insya Allah, Saadiah akan mendapat sokongan padu dari mertua dan ipar-duai Saadiah."

"Bolehkah berhasil semacam itu, Mak Long?" tanya Saadiah. "Ipar-duai pun sampai menyokong saya? Macam tak yakin saja."

"Belum cuba belum tahu, Saadiah," jawab Mak Long Fatimah.

"Bahagian keenam pula, Mak Long. Rakan-rakan dan jiran-jiran ada sahaja yang sokong dan ada juga yang kutuk saya."

"Saadiah," kata Mak Long Fatimah. "Jangan pedulikan yang menghina itu. Berkawan dan rapatkan hubungan dengan kawan dan jiran yang menyokong kita. Bagi yang menghina dan menyalahkan kau, layanlah mereka seperti biasa dan jangan dimarahi mereka. Insya
Allah, lama-kelamaan mereka semua akan bersimpati dan menyokong Saadiah, apabila mereka melihat Saadiah sabar menempuh hidup."

"Mak Long, bagi bahagian yang ketujuh tu, macam mana saya boleh melayan wanita itu dengan kebaikan? Dia bakal merampas suami saya!"

Mak Long Fatimah diam seketika sebelum menjawab, "Saadiah, dialah orang lebih memerlukan simpati. Dia sebenarnya baru memasuki alam dan dunia baru. Kalau Saadiah meminta cerai dari suami sedangkan wanita ikhlas menjadi isteri yang baik dan akan menjadi madu yang bertolak ansur, maka tidakkah Saadiah akan rugi. Dahlah bercerai dengan suami, akan mengalami kemerosotan dari segi ekonomi pula setelah bercerai."

"Tapi, Mak Long," kata Saadiah. "Mungkin wanita itu jenis pisau cukur. Dia nak kan abang Leman sebab nak bolot duitnya!"

"Itu lagi malang bagi Saadiah dan Abang Leman. Kalau wanita itu nak jadi isteri kedua Abang Leman semata-mata kerana nak bolot duitnya, sedangkan Saadiah pula bercerai dengan Abang Leman, itu bererti Saadiah sudah membiarkan wanita itu menang dengan mudah dan terus mencukur Abang Leman. Tidakkah Saadiah kasihan pada Abang Leman. Sudahlah Saadiah akan merosot dari segi ekonomi apabila diceraikan, Abang Leman pula habis wangnya di'cukur' oleh wanita itu. Bayangkan apa nasib anak-anak Saadiah. Nasib Abang Leman tentu menyesal apabila menyedari isteri keduanya hanya mahukan hartanya. Saadiah rugi, Abang Leman rugi, dan lebih-lebih lagi anak-anak Saadiah akan mengalami masa depan yang tidak terjamin."

Lama Saadiah terpegun sambil mencuba memproses dan menilai kata-kata Mak Long Fatimah.

Menyusuri Kerjaya Maritim



Setelah bergaul dengan pelaut dan bekas pelaut semasa bertugas, kegiatan masyarakat dan persahabatan pada tahap peribadi, saya mendapat gambaran yang luas dan mendalam mengenai tugas dan kehidupan mereka.

Saya mengetahui latihan akademik dan amali yang mereka lalui bagi mencapai tahap profesional; cabaran yang mereka lalui demi memenuhi harapan itu. Malah semasa sudah mencapai kelulusan sebagai Master Foreign Going atau Chief Engineer pun, iaitu tahap tertinggi di bahagian dek dan enjin dalam bidang angkatan laut perdagangan (merchant navy) cabaran dan dugaan semakin bertambah.

Cubalah bayangkan tanggung-jawab dan cabaran yang terpaksa dipikul oleh kapten serta para anak kapal Bunga Melati Dua dan Bunga Melati 5 ketika mereka menghadapi saat-saat cemas ditahan lanun di perairan Somalia baru-baru ini. Tidaka terbayang oleh kita bagaimana bimbangnya sanak saudara dan keluarga para pelaut itu semasa melaui hidup seharian semasa menunggu apakah nasib yang menanti mereka pada ketika itu.

Saya merasa sedih dan teramat bimbang apabila Hari Raya Idilfitri semakin hampir, sedangkan berita mengenai pembebasan mereka masih belum terdengar. Sungguh gembira saya rasakan apabila mendapat khabar mengenai pembebasan mereka. Walau pun saya mendapat berita tentang pembebasan mereka lebih awal, tetapi kerana sebab-sebab tertentu saya hanya boleh menulis mengenainya di blog ini setelah saya mendapat berita dari sumber media.

Idea menulis novel Meredah Samudera sudah tercetus beberapa hari setelah mengikuti bengkel untuk menulis novel kerjaya profesional yang telah disampaikan oleh SifuPTS, Puan Ainon Mohd.

Perjalanan hidup watak utama dalam novel itu bukan biografi saya, tetapi biografi yang saya ilhamkan dari pengalaman saya yang begitu lama bergaul dan berinteraksi dengan mereka secara dekat.

Novel Meredah Samudera ditujukan khas kepada sahabat, rakan dan kenalan saya dari kalangan para pelaut dan bekas pelaut.

Dalam mereka menjalankan tugas demi mencari rezeki halal membela nasib keluarga, mereka juga menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.

Selasa, 4 November 2008

John Buchan finds The 39 Steps



The two world wars has always been an intriguing background to many classic novels such as The 39 Steps by John Buchan.

Wanted by the police for the death of Scudder, and hunted by the country's enemy agents, Richard Hannay has become a fugitive in his own country.

Time is running out and Hannay has to find the thirty-nine steps fast to save his beloved country.

Love this thriller!

Dorongan untuk terus berkarya di blog




Apabila kita berkarya di blog kita sebenarnya mempromosi karya dan diri kita sendiri sebagai pengarang dan seseorang yang mempunyai wibawa dalam bidang yang kita tulis.

Ketika saya mula menulis di blog MEREDAH SAMUDERA ini tujuan utama saya ialah mempromosi novel MEREDAH SAMUDERA, sebuah novel kerjaya profesional di bidang angkatan laut perdagangan. Pembaca yang disasarkan ialah pelajar sekolah.

Hari ini apabila saya memantau pesanan, komen dan senarai pengunjung melalui ruangan Comment, Chatbox dan juga Feedjit saya mendapat dorongan dan motivasi untuk terus berkarya di blog. Memang ada pengunjung dan pembaca yang tidak saya bayangkan akan membaca dan memberikan komen.

Tinggilah harapan blogging akan terus menjadi aktiviti harian saya.

Azizi Hj Abdullah lakarkan reliti hidup







Tuan Azizi Hj Abdullah sudah tidak asing lagi dalam arena penulisan tanah air yang begitu banyak mengupas realiti hidup rakyat yang tertindas.

Penulis anak kelahiran Kuala Muda Kedah ini begitu terkenal di kalangan para penyokong gerakan Islam di utara semenanjung kerana beliau seorang yang gigih memperjuangkan dan membela rakyat.

Tuan Azizi Hj Abdullah boleh disantuni di blog beliau DI SINI.

Isnin, 3 November 2008

Haizat dapat lesen !



Alias ialah kawan yang memperkenalkan Haizat dan saya ke arena memancing di Kolam Memancing Batu 30, Ulu Yam. Sasarannya ialah siakap sangkar yang paling kecil pun 1 kilogram.

Umpan yang digunakan ialah udang. Udang yang tidak semestinya segar, kerana pernah saya lihat udang yang sudah lebih satu jam dipasang pun masih disambar siakap yang galak dan ganas itu.

Pertama kali saya memancing di sana ialah dengan menggunakan kekili jenis Abu Garcia. Memang kurang sesuai kerana lebih mudah dan berkesan menggunakan kekili jenis spinning.

Nah, lihat!

Haizat pun berjaya mendapatkan lesen beliau pada hari pertama dia memancing.

Insya Allah hari Ahad akan datang akan menyaksikan saya akan turun beraksi lagi dengan Alias dan Haizat. Kali ini nak guna joran Uglistick dan kekili Shakespeare yang baru dibeli tempoh hari.

Kekili spinning. Kekili Abu Garcia akan saya tinggalkan di rumah untuk memancing di laut sahaja.

Tunggu...!

Haizat dapat lesen !



Alias ialah kawan yang memperkenalkan Haizat dan saya ke arena memancing di Kolam Memancing Batu 30, Ulu Yam. Sasarannya ialah siakap sangkar yang paling kecil pun 1 kilogram.

Umpan yang digunakan ialah udang. Udang yang tidak semestinya segar, kerana pernah saya lihat udang yang sudah lebih satu jam dipasang pun masih disambar siakap yang galak dan ganas itu.

Pertama kali saya memancing di sana ialah dengan menggunakan kekili jenis Abu Garcia. Memang kurang sesuai kerana lebih mudah dan berkesan menggunakan kekili jenis spinning.

Nah, lihat!

Haizat pun berjaya mendapatkan lesen beliau pada hari pertama dia memancing.

Insya Allah hari Ahad akan datang akan menyaksikan saya akan turun beraksi lagi dengan Alias dan Haizat. Kali ini nak guna joran Uglistick dan kekili Shakespeare yang baru dibeli tempoh hari.

Kekili spinning. Kekili Abu Garcia akan saya tinggalkan di rumah untuk memancing di laut sahaja.

Tunggu...!

Sabtu, 1 November 2008

Kalau hasil sebanyak ini...





Jarang sekali kita pengail di Malaysia mendapat hasil tangkapan sebanyak ini.

Kalaulah boleh dapat tentunya kita dapat membuat ikan pekasam sebagai perniagaan kecil-kecilan.

Kalau hasil sebanyak ini...





Jarang sekali kita pengail di Malaysia mendapat hasil tangkapan sebanyak ini.

Kalaulah boleh dapat tentunya kita dapat membuat ikan pekasam sebagai perniagaan kecil-kecilan.

Pelbagai pendangan tentang poligami





Pelbagai buku yang ditulis oleh beberapa orang pengarang yang tentunya menggamit pelbagai hujah pro dan kontra.

Semestinya apabila poligami dibincangkan secara meluar, walau pun dalam bentuk kontroversi, maka sesungguhnya akan memberikan kesedaran kepada semua: kepada lelaki - supaya lebih adil dan bijak mengamalkannya; manakala kepada wanita - supaya lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan supaya lebih berhati-hati dengan 'ayat-ayat cinta' dari pelbagai lelaki yang mengajak mereka menjadi isteri kedua, ketiga atau keempat.