Sabtu, 8 November 2008

Strategi Tujuh Bahagian: Sukar tetapi berkesan



"Mak Long mesti tolong saya," kata Saadiah dengan nada sayu. "Saya sudah tidak tahu apa nak buat lagi."

Mak Long Fatimah memandang tepat ke muka anak saudaranya itu. Dia berkata, "Abang Leman kau nak beristeri lagi, kan? Apa masalahnya? Lelaki boleh beristeri sehingga empat orang."

"Mak Long sokong Abang Leman juga! Tidakkah Mak Long kasihan pada saya dan anak-anak?"

Mak Long Fatimah menarik nafas panjang. Dia berkata,"Mak Long pun sudah lalui apa yang kau sedang lalui. Sebenarnya tiada apa yang hendak dibimbangkan, kalau kau sudah bersedia untuk melaluinya."

Air mata Saadiah mengalir deras membasahi pipinya yang dulunya gebu dan halus. Tetapi pipi itu sudah mula berkedut. Dia berkata, "Nak bersedia macam mana lagi, Mak Long? Dia dah memang nak teruskan juga niat dia. Saya buntu, Mak Long. Buntu!"

Mak Long Fatimah menjawab, "Kalau kita tidak faham siasah rumah tangga memang kita jadi buntu, Saadiah." Suara Mak Long Fatimah tenang dan seperti menusuk ke minda Saadiah.

Saadiah terdiam sebentar seolah-olah cuba memahami kata-kata emak saudaranya yang sudah berumur enam puluh lima tahun itu.

"Mak Long pun tahu usia saya dah separuh abad. Abang Leman itu pula semakin tua semakin menjadi. Siasah apa lagi kalau wanita yang dia nak kahwini itu baru umur tiga puluh? Saya sudah tua, sedangkan wanita itu muda. Cantik pula tu.."

"Adakah kau berminat hendak tahu beberapa tip dari orang tua ini?" tanya Mak Long Fatimah. Wow! Boleh tahan juga orang tua ini. Dia guna perkataan 'tip' bukan 'petua'.

Saadiah terdiam sebentar. Dia berkata,"Adakah tip Mak Long tu berkesan? Abang Leman itu segak dan handsome. Banyak duit pula tu. Bakal isteri keduanya pula muda dan cantik. Mana mungkin saya dapat menghalang kehendaknya itu?"

"Saadiah, orang lelaki memang mahu beristeri lebih dari satu," kata Mak Long. "Tidak sempurna lelaki itu jika tiada niat dalam hatinya hendak menambah isteri. Hakikat itu kita kena terima."

"Kena terima hakikat?" tanya Saadiah sambil menyapu air mata yang masih mengalir di pipinya. "Habis tip apa yang Mak Long maksudkan itu?"

"Tip yang Mak Long boleh beritahu ini sukar sedikit..." jawab Mak Long Fatimah.

"Mak Long, saya memang sukar nak terima hakikat dimadukan. Mak Long nak berikan tip yang sukar dilakukan pula...!" kata Saadiah dengan nada yang kesal.

"Saadiah, tip ini sukar tetapi berkesan," kata Mak Long Fatimah. "Itu pun kalau kau sanggup nak dengar. Dengar dulu. Lepas itu baru kau buat penilaian."

Kata-kata bekas ustazah Fardu Ain kampung itu seolah-olah mempengaruhi Saadiah. Dia menjawab, "Mak Long cakaplah. Beritahu saya tip itu. Biar saya dengar."

"Saadiah, cara Mak Long ini nampak macam kau mengalah pada peringkat awal. Tetapi insya Allah, pada jangka panjang kau boleh menang. Malah menang dengan gemilang!" kata Mak Long Saadiah dengan penuh semangat.

Terbeliak mata Saadiah mendengar kata-kata Mak Long Saadiah itu. Terpegun sebentar. Dia berkata, "Mak Long, tolonglah ceritakan kepada saya."

"Saadiah, kita sebagai isteri harus bersedia menerima hakikat bahawa suami kita memang ada potensi untuk bernikah lagi. Itu resam dunia. Allah telah jadikan orang lelaki begitu. Masa tak ada duit, masa hidup sukar memanglah isteri seorang sahaja. Tapi bila sudah mewah sedikit, sudah ada wang, mata dia mula memandang keliling. Nampak wanita di luar itu lebih cantik. Isteri di rumah nampak selekeh. Dia tidak sedar kalau wanita di luar yang dia pandang cantik itu, bila sudah jadi isteri dia, akan nampak selekeh juga!" Mak Long Fatimah tersenyum ketika berkata.

"Abang Leman memang dah banyak wang sekarang, Mak Long," kata Saadiah.

Mak Long Fatimah menyambung, "Jadi kita kena atur strategi untuk menang dalam perang ini. Jangan sangka perang ini macam perang Amerika di Iraq dan Afghanistan itu. Tetapi perang ini ialah untuk memenangi hati. Hati suami, hati anak-anak, hati adik-beradik dan hati ipar duai..."

"Mana mungkin saya lakukan semua itu, Mak Long?" tanya Saadiah. "Saya seorang dan mereka ramai."

"Sebab itulah kita kena susun strategi dengan rapi, Saadiah," jawab Mak Long Fatimah. "Masa bertarung mungkin memakan masa yang panjang. Tetapi Mak Long percaya kau boleh menang."

"Macam mana Mak Long buat ramalan? Mana Mak Long tahu saya boleh menang?" tanya Saadiah.

"Saadiah, watak kau seperti watak Mak Long. Situasi yang kau hadapi serupa dengan apa yang Mak Long lalui dulu. Abang Leman ini pun Mak Long perhati,... tidak jauh beza dengan Pak Long kau," jawab Mak Long Fatimah.

"Tapi, Mak Long," kata Saadiah. "Walau pun Mak Long menang, belum tentu lagi saya juga boleh menang."

"Insya Allah, Saadiah," jawab Mak Long Fatimah. "Kita cuma boleh berikhtiar. Hasilnya Allah jua yang tentukan."

"Apa yang harus saya buat, Mak Long?"

"Ada tujuh bahagian dalam strategi ini. Kalau kau sanggup ikut dia punya game plan, insya Allah kau akan sentiasa pegang trump card. Di hujung permainan kau akan dapat buat full strike macam kau jatuhkan semua pin masa main bowling itu!"

Waduh! Boleh tahan juga orang tua ini. Istilah yang dia guna benar-benar memukau Saadiah: strategi, game plan, trump card, full strike! Not bad. Not bad at all! Dan lagi sampai tujuh bahagian strategi dia. Mesti lengkap punya!

"Wah, Mak Long. Sampai tujuh bahagian?"

"Ya, Saadiah. Tujuh bahagian," jawab Mak Long Fatimah. "Bahagian pertama melibatkan diri kau sendiri. Kedua, suami. Ketiga, anak-anak kau. Keempat, melibatkan ahli-ahli keluarga kita. Kelima, mertua, ipar-duai. Keenam melibatkan kawan-kawan, jiran-jiran dan rakan-rakan kau. Dan ketujuh melibatkan bakal isteri kedua Abang Leman kau serta keluarganya."

"Mereka semua seolah-olah menyalahkan saya dalam hal ini, kecuali mungkin anak-anak saya. Macam mana saya boleh menang, Mak Long?"

"Sekilas pandang memang nampak macam mustahil kau boleh menang, Saadiah. Tetapi kalau kau gunakan strategi tujuh bahagian ini, insya Allah Abang Leman akan kembali ke pangkuan kau. Seperti juga Pak Long kau kembali ke pangkuan Mak Long."

"Bahagian pertama strategi Mak Long ini, apa yang harus saya buat?"

"Pertama ialah memantapkan diri kau sendiri, Saadiah. Sentiasa tunaikan ibadat wajib. Solat jangan ditinggal. Bila sudah mantap cuba lakukan solat sunat. Kalau masa mengizinkan cubalah bangun malam dan solat tahajud. Itu bab ibadat. Selain itu bab hati pula. Kita sebagai isteri kena jaga keikhlasan hati kita. Hindarkan rasa benci dan dengki kepada semua orang.
Lebih-lebih lagi terhadap bakal isteri kedua Abang Leman kau. Malah, kau kasihanilah wanita itu. Dia baru nak jadi isteri Abang Leman kau, jadi dia belum kenal lagi watak sebenar Abang Leman kau. Bila dia dah jadi isterinya, baru dia tahu. Jadi
kau hendaklah merasa kasihan kepadanya. Hindarkan dari berkawan dengan orang-orang yang suka mengumpat dan mengata-ngatai orang lain....," kata Mak Long Fatimah dengan panjang lebar.

"Maksud Mak Long ini langkah memantapkan rohani saya, begitu?"

"Pandai pun kau," jawab Mak Long Fatimah. "Selain itu kau mesti jaga kesihatan kau. Mantapkan kesihatan kau."

"Saya dah gemuk dan tua dan tak cantik lagi. Apa perlu saya mesti jaga badan lagi?"

"Kita tidak mungkin mengubah hukum alam, Saadiah. Setiap yang muda akan dimamah usia akhirnya. Masa muda memang kita semua cantik, tetapi tidak semestinya kita kelihatan hodoh. Apabila kita jaga kesihatan kita seadanya, insya Allah kita akan kelihatan ceria dan dengan itu akan terpancar kecantikan dalaman."

"Tapi tentu tidak dapat menghalang Abang Leman beristeri lagi, kan Mak Long?"

"Kau masih belum menerima hakikat bahawa kita tidak mungkin menghalang suami kita beristeri lagi."

"Mak Long dulu, macam mana? Boleh terima hakikat Pak Long beristeri lagi?"

"Macam kau juga. Memang susah nak terima hakikat itu. Bukan senang. Tetapi setelah melaluinya, Mak Long rasa seperti membuang masa dan tenaga sahaja buat macam-macam perkara nak halang Pak Long, tetapi dia teruskan juga niat dia."

"Mak Long rasa Abang Leman akan teruskan juga niat dia?"

"Kalau pengalaman Mak Long boleh dijadikan panduan, ya...,memang dia akan teruskan. Tetapi ingat kita strategi tujuh bahagian kita."

"Bahagian kedua macam mana pula, Mak Long?" tanya Saadiah.

"Saadiah, bahagian kedua ini yang paling penting dan yang paling susah nak dilaksanakan. Hanya dengan azam dan semangat yang kuat sahaja, seseorang isteri itu dapat menjayakan bahagian kedua ini," Mak Long Fatimah memberi amaran kepada anak saudaranya itu.

"Aduhai, Mak Long," keluh Saadiah. "Baru bahagian kedua, sudah kata paling susah. Sudahlah tadi Mak Long kata strategi ini sukar. Sekarang Mak Long kata bahagian kedua yang paling susah. Risau saya, Mak Long!"

"Kau nak Mak Long teruskan atau kita berhenti di sini sahaja, Saadiah?" tanya Mak Long Fatimah, seolah-olah menggertak Saadiah. "Kalau kau nak minta cerai dengan Abang Leman, Mak Long ada tip yang lain. Kalau nak tahu kesemua bahagian strategi tujuh bahagian ini pun kita boleh teruskan."

"Mak Long, saya nak tahu apa bahagian kedua itu. Cakaplah, Mak Long," rayu Saadiah.

"Bahagian kedua ini melibatkan suami kau, Abang Leman," sambung Mak Long Fatimah. "Kau teruskan tunaikan tanggung-jawab kau sebagai seorang isteri. Maksud Mak Long, makan-minum dia, pakaian dia, kau sediakan. Lebih-lebih lagi di tempat tidur..."

"Mak Long, dia asyik ingat kepada bakal isteri keduanya. Mana lagi dia nak bermesra dengan saya?!" Saadiah berkata dengan nada separuh sayu, separuh kesal.

"Saadiah," kata Mak Long Fatimah dengan tenang dan lembut. "Sabar, nak. Kan Mak Long kata bahagian ini yang paling susah.
jadi Saadiah perlu kuatkan semangat. Maksud Mak Long, kalau dia tidak mahu, biarkan saja. Tetapi Saadiah teruskan tanggung-jawab sebagai isteri. Jangan sekali-kali menunjukkan muka yang masam. Sentiasa senyum kepadanya dan terus layan dia seperti biasa. Kalau mahu, Saadiah anggaplah dia sedang melalui suatu fasa hidupnya yang sukar. Jadi jangan menyukarkan lagi proses itu. Bantulah dia memaluinya dengan tenang. Mak Long tahu memang sukar untuk melakukannya, tetapi dengan semangat yang kental dan daya juang yang jitu Saadiah mampu melakukannya. Buat seketika, lupakan dulu niat kau meminta cerai itu. Dari pengalaman kawan-kawan Mak Long, ramai yang menghadapi hidup yang lebih sukar apabila diceriakan suami."

"Pahit sungguh, Mak Long," kata Saadiah dengan sayu.

"Memang begitu hakikatnya, Saadiah," jawab Mak Long Fatimah. "Bahagian ketiga melibatkan anak-anak kau. Jangan sekali-kali hasut mereka membenci ayah mereka."

"Tapi, Mak Long," kata Saadiah. "Ayu dan Zubir memang marah betul dengan ayah mereka. Lina dan Mimi langsung tak nak tegur ayah mereka. Susah juga saya nak larang mereka, Mak Long."

"Memanglah anak-anak akan menyebelahi emak dalam situasi begini. Tetapi kita harus memujuk mereka supaya terus menghormati ayah. Jangan jadi seperti kawan Mak Long tu, dia hasut anak-anaknya membenci ayah mereka. Masa itu suaminya berkata akan berkahwin lagi. Sampai satu tahap anak-anak mereka memunggah pakaian ayah mereka dalam beg besar dan mereka campak beg itu dari tingkat atas rumah mereka. Mereka halau ayah mereka dari rumah."

"Sampai begitu sekali?"

"Begitulah ceritanya, Saadiah. Tetapi cuba bayangkan betapa besarnya dosa anak-anak yang berkelakuan begitu kepada ayah mereka. Jangan Saadiah sampai menghasut anak-anak menderhakai ayah mereka. Mungkin dalam masa terdekat, emaknya merasa gembira kerana berjaya menghasut anak-anak membenci ayah mereka. Nampak seperti beliau berjaya mengalahkan suaminya dengan bantuan anaknya. Dalam masa jangka panjang kelak anaknya akan tahu rupa-rupanya emak mempunyai akhlak yang buruk begitu."

"Saya tak sampailah sampai ke tahap itu, Mak Long," kata Saadiah.

"Bagus, Saadiah. Apabila kita sentiasa menyuruh anak-anak menghormati ayah mereka, dalam masa jangka panjang semoga mereka juga akan menghormati emak mereka dan menyanjung Saadiah sebagai isteri yang menghormati suami."

Saadiah terdiam seketika, seolah-olah meneliti kata-kata emak saudaranya. Akhirnya dia bersuara, "Bahagian keempat, Mak Long?"

Mak Long Fatimah tersenyum, "Bahagian keempat melibatkan keluarga kita. Memang ramai akan menyalahkan kau. Macam-macam tuduhan yang akan dilemparkan. Tak tahu jaga suami, tak pandai hias diri, terlalu ikutkan kata suami. Berbagai-bagai lagi cercaan. Dalam hal ini, kita perlu tabah dan cekal, Saadiah. Kalau ada yang kata begitu, kau senyum sahaja dan katakan kepada mereka 'Abang Leman berhak beristeri lagi. Doa-doakan lah kami bahagia. Tak kan awak nak lihat kami bercerai-berai. Tak baik runtuhkan rumah tangga orang lain. Berdosa tu.' Tentu sahaja orang yang menghina itu akan berasa malu mendengar jawapan Saadiah begitu."

"Bahagian kelima, Mak Long?" kali ini Saadiah seperti pulih sedikit nada suaranya. Mungkin dia sudah pasrah dan berazam menerima strategi saranan emak saudaranya yang sangat berpengalaman itu.

Mak Long Fatimah meneruskan katanya, "Bahagian kelima ini juga suatu bahagian yang amat penting. Sekali pandang macam ipar-duai ini tidak penting dalam hal ini. Tetapi sebenarnya mereka merupakan sistem sokongan emosi kau yang paling penting. Jadi Saadiah hendaklah berlaku baik dan melayan mesra mertua dan ipar-duai Saadiah. Apabila mereka dilayan dengan baik dan mesra maka tiada sebab untuk mereka membenci Saadiah. Malah mungkin sahaja mereka akan menyebelahi Saadiah apabila Abang Leman beristeri lagi. Tidak mustahil ada yang akan berkata, 'Sudah tidak betul Leman tu, isteri dia baik macam ini pun dia masih nak mencari wanita lain. Memang dia teruk!' Apabila berlaku begini, insya Allah, Saadiah akan mendapat sokongan padu dari mertua dan ipar-duai Saadiah."

"Bolehkah berhasil semacam itu, Mak Long?" tanya Saadiah. "Ipar-duai pun sampai menyokong saya? Macam tak yakin saja."

"Belum cuba belum tahu, Saadiah," jawab Mak Long Fatimah.

"Bahagian keenam pula, Mak Long. Rakan-rakan dan jiran-jiran ada sahaja yang sokong dan ada juga yang kutuk saya."

"Saadiah," kata Mak Long Fatimah. "Jangan pedulikan yang menghina itu. Berkawan dan rapatkan hubungan dengan kawan dan jiran yang menyokong kita. Bagi yang menghina dan menyalahkan kau, layanlah mereka seperti biasa dan jangan dimarahi mereka. Insya
Allah, lama-kelamaan mereka semua akan bersimpati dan menyokong Saadiah, apabila mereka melihat Saadiah sabar menempuh hidup."

"Mak Long, bagi bahagian yang ketujuh tu, macam mana saya boleh melayan wanita itu dengan kebaikan? Dia bakal merampas suami saya!"

Mak Long Fatimah diam seketika sebelum menjawab, "Saadiah, dialah orang lebih memerlukan simpati. Dia sebenarnya baru memasuki alam dan dunia baru. Kalau Saadiah meminta cerai dari suami sedangkan wanita ikhlas menjadi isteri yang baik dan akan menjadi madu yang bertolak ansur, maka tidakkah Saadiah akan rugi. Dahlah bercerai dengan suami, akan mengalami kemerosotan dari segi ekonomi pula setelah bercerai."

"Tapi, Mak Long," kata Saadiah. "Mungkin wanita itu jenis pisau cukur. Dia nak kan abang Leman sebab nak bolot duitnya!"

"Itu lagi malang bagi Saadiah dan Abang Leman. Kalau wanita itu nak jadi isteri kedua Abang Leman semata-mata kerana nak bolot duitnya, sedangkan Saadiah pula bercerai dengan Abang Leman, itu bererti Saadiah sudah membiarkan wanita itu menang dengan mudah dan terus mencukur Abang Leman. Tidakkah Saadiah kasihan pada Abang Leman. Sudahlah Saadiah akan merosot dari segi ekonomi apabila diceraikan, Abang Leman pula habis wangnya di'cukur' oleh wanita itu. Bayangkan apa nasib anak-anak Saadiah. Nasib Abang Leman tentu menyesal apabila menyedari isteri keduanya hanya mahukan hartanya. Saadiah rugi, Abang Leman rugi, dan lebih-lebih lagi anak-anak Saadiah akan mengalami masa depan yang tidak terjamin."

Lama Saadiah terpegun sambil mencuba memproses dan menilai kata-kata Mak Long Fatimah.

2 ulasan:

Puan Ainon Mohd. berkata...

Dari sudut teorinya, cuba menghalang suami daripada meneruskan hasratnya mahu kahwin lagi, apabila calon isteri kedua sudah ada dan sudah sanggup, memang susah.

Jadi, macam sia-sia sahaja kalau mahu meghalang pihak suami.

Yang lebih mudah cuba dilakukan adalah menghalang calon madu itu daripada meneruskan hasratnya mahu bermadu dengan kita.

Ha! Macam-macam kita dapat lakukan supaya bakal madu kita itu kecut perut.

Bukan kecut perut dengan idea mahu berkahwin dengan suami kita, tetapi kecut perut mahu bermadu dengan kita.

Hehehe.... Ini teori sahaja.

Imran Yusof berkata...

Puan,

Tentunya teori yang setanding dengan logik non-linear dan pemikiran lateral...!?