Khamis, 16 Oktober 2008

Penyelesaian masalah lanun Somalia







Kegiatan merompak dan melanun selalunya berlaku di darat atau di laut di kawasan yang tiada penguat kuasa undang-undang, atau pun di kawasan peguatkuasaan undang-undang tidak menyeluruh.

Jangan kata di laut luas zon antarabangsa, malah di lebuhraya negara kita pun ada serangan perompak yang dilaporkan di beberapa blog, seperti DI SINI dan DI SINI.

Apatah lagi di kawasan perairan sepanjang lebih 3,000 kilometer pantai Somalia. Somalia merupakan sebuah negara yang tidak mempunyai kerajaan. Kewujudan Somalia dikatakan atas dasar ad de jure sahaja, yakni secara di atas kertas sahaja, tetapi tidak pada realiti. Sejak pemerintah diktator, General Siad Barre, digulingkan tahun 1991 Somalia tiada kerajaan. Pada bulan Jun tahun 2006, Somalia mengalami suasana damai selama enam bulan apabila pihak Union of Islamic Corts (UIC) berjaya mengalahkan pihak militia bersenjata (atau dikenali sebagai warlords). Pihak UIC dikatakan hampir berjaya menumpaskan kegiatan lanun di perairan Somalia.

Walau bagaimana pun, diberitakan pihak barat yang diketuai oleh Amerika tidak senang dengan sebuah kerajaan yang diwujudkan atas dasar pemerintahan Islam, lebih-lebih lagi apabila pihak warlords yang mereka bantu mengalami kekalahan. Tidak lama selepas itu pihak Ethiopia dihasut oleh pihak barat khususnya Amerika dengan ancaman kononnya pihak UIC bercita-cita menakluk Ethiopia juga. Sengketa lama di antara Somalia dan Ethiopia diungkit kembali supaya api permusuhan antara Ethiopia dan Somalia bersemarak semula.

Akhirnya kerajaan dokongan pihak UIC yang baru mula bertapak terpaksa meninggalkan ibu negara Mogadishu bagi mengelakkan orang awam menjadi mangsa serangan tentera Ethiopia. Bukti yang menunjukkan pihak UIC tidak kalah ialah sekarang ini pun mereka semakin menguasai politik dan ketenteraan di Somalia dan Ethiopia sedang mengalami zaman kekalahannya.

Pada masa ini rakyat Somalia mengalami zaman ekonomi yang sangat meleset. Tiada pelabur asing yang mahu melabur di Somalia. Tiada kegiatan perladangan dan bercucuk tanam secara komersil kerana negara mengalami kemusanahan akibat perang yang berlarutan. Kebanyakan rakyat Somalia mengharapkan makanan yang diimpot dan bantuan dari agensi bantuan seperti WFP (UN World Food Product).

Apa kegiatan paling lumayan yang terbuka kepada rakyat Somalia? Bagi pihak yang bersenjata Somalia sudah tentulah memendam rasa dan menggigit jari melihat beratus-ratus kapal-kapal dagang melalui perairan negara itu tanpa singgah di pelabuhan mereka.

Sekiranya pada tahun-tahun di antara 1560 sehingga pertengahan tahun 1720’an menjadi "era keemasan" kegiatan lanun di Kepulauan Carribean maka pada tahun 2007 dan tahun 2008 mencatatkan aktiviti lanun yang meningkat.

Sumber Reuters menyebut bahawa hasil wang tebusan yang diperolehi dari kegiatan lanun adalah dianggarkan mencapai angka di antara 18 hingga 30 Dolar Amerika.

Wang tebusan yang bibayar oleh MISC Berhad bagi melepaskan tebusan kedua-dua syarikat itu, Bunga Melati Dua dan Bunga Melati 5 dikatakan mencapai 2 juta Dolar Amerika bagi setiap buah kapal.

Majoriti penduduk Somalia ialah terdiri dari mereka yang beragama Islam. Oleh yang demikian masalah yang dihadapi oleh umat Somalia menjadi sebahagian daripada umat Islam seluruh dunia. Sebagaimana juga masalah umat Islam Palestin menjadi masalah umat Islam sedunia. Tidak sempurna iman seorang muslim apabila dia tidak mempedulikan nasib saudara muslim yang lain.

Pihak barat yang diketuai oleh Amerika dan Inggeris memang mencari alasan untuk berada di kawasan Horn of Africa, khususnya Somalia kerana itu adalah antara lokasi strategik bagi kawasan Timur Tengah/Asia Barat dan Afrika Timur.

Dengan adanya kegiatan lanun memberikan alasan kukuh bagi tentera laut Amerika dan sekutunya untuk terus berada di situ sedangkan kawasan itu patutnya dikuasai oleh umat Islam.

Kesimpulannya, masalah kegiatan lanun di perairan Somalia tidak akan selesai tanpa terlebih dahulu masalah negara Somalia diselesaikan. Menjadi tanggung jawab umat Islam, iaitu negara-negara umat Islam menghulurkan bantuan kepada umat Islam Somalia dan negara Somalia.

Pertama, negara-negara umat Islam, sama ada melalui organisasi OIC, NAM atau AU perlu menjadi orang tengah bagi merundingkan pelan damai bagi menyelesaikan masalah sengketa di Somalia. Selepas itu suatu pilihanraya bebas perlu diadakan sebagai penyelesaian politik jangka panjang Somalia.

Mungkin ada pihak yang mengatakan adalah mustahil puak-puak Somalia didamaikan kerana kononnya "sejak dahulu pun mereka asyik berperang sahaja." Sebenarnya Somalia 'sengaja dibiarkan bersengketa berterusan' oleh pihak penjajah Somalia, iaitu Inggeris dan Itali, bagi melangsungkan dasar 'pecah dan perintah' pihak barat ke atas negara umat Islam. Puak-puak di Somalia dilaga-lagakan supaya pihak barat dapat terus menguasai politik dan ekonomi Somalia.

Umat Islam Somalia ialah antara umat di Afrika yang kental semangat jihad mereka. Pihak barat tidak mahu melihat Somalia bangkit dan maju sebegai sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka. Jadi negara-negara umat Islam perlu mengusahakan perdamaian terlebih dahulu.

Kedua, bagi pihak pertubuhan NGO dan sukarelawan umat Islam hendaklah mengadakan hubungan persahabatan dengan pelbagai NGO umat Islam di Somalia. Bagi pihak umat Islam Malaysia, NGO seperti Yayasan Amal, Aman Malaysia, Mercy, Bulan Sabit Merah dan pelbagai oraganisasi lain perlu mengadakan lawatan sukarela bagi membantu umat Islam Somalia.

Adakan jalinan perhubungan dua hala semoga umat Islam Malaysia memyelami kesusahan dan keperitan umat Islam Somalia menjalani hidup mereka. Hubungan antara NGO dan pertubuhan telah dan sedang berjalan antara pihak pelbagai pertubuhan di Malaysia dan umat Islam di Kampuchea. Maka format dan cara yang sama tentunya boleh diusahakan dengan umat Islam Somalia.

Ketiga, negara umat Islam perlu mengadakan hubungan diplomatik (setelah selesai langkah pertama - pilihanraya umum Somalia) dengan kerajaan Somalia, supaya Somalia menjadi salah satu anggota masyarakat antarabangsa. Setelah wujud hubungan diplomatik dengan negara-negara umat Islam, maka sudah tentulah akan menyusul pula hubungan dagang di antara negara-negara umat Islam dan Somalia.

Kualiti hidup warga Somalia menjadi bertambah baik apabila ekonomi dapat dibangunkan. Pelaburan asing pun akan masuk ke Somalia dan kegiatan ekonomi tumbuh subur.

Kegiatan pertanian Somalia akan dapat dibangunkan bagi menjamin bekalan makanan untuk warga negara itu. Negara umat Islam dapat menyumbang membangunkan pertanian Somalia.

Semoga dengan penyelesaian masalah pemerintahan Somalia akan akhirnya membawa kepada penyelesaian jangka panjang kepada masalah kegiatan lanun di Somalia.

1 ulasan:

Shipping News berkata...

Like the action-packed film, acts of violence that was feared by Somali pirates in Gulf of Aden for the browser as the courage to not hesitate to kill if their demands were not met, eventually crushed by the people of Malaysia.Maritime Security Companies