Sejak minggu lepas, hujan turun dengan lebatnya di pantai timur dan di utara semenanjung, mengakibatkan banjir sehingga lebih 2,000 orang di pantai timur dan lebih 1,000 orang di utara yang terpaksa dipindahkan apabila rumah-ruamh mereka dinaiki air.
Saya masih ingat lagi ketika saya berumur 7 tahun hingga 12 tahun, di kampung saya yang terletak 30 batu dari Kota Bharu, Kelantan sentiasa di landa banjir bila tiba musim tengkujuh. Ketika itu sekolah pun cuti, maka apabila berlaku banjir dan jalan raya Kuala Krai-Kota Bharu dinaiki air, ianya merupakan satu keseronokan bagi kami.
Saya dan beberapa orang kawan sekampung akan berpayung dan berkumpul di tepi jalan yang dinaiki air itu. Bila kereta datang 'mengharungi' air banjir itu, kami seronok sekali melihatnya. Selalunya kereta-kereta itu akan berjaya melepasi air itu.
Namun ada juga yang terkandas, enjin mati di tengah jalan. Maka kami budak-budak kampung akan menolong menolak kereta-kereta yang terkandas itu. Ada pemandu yang memberi upah sedikit wang kepada kami, dan ada yang mengangkat tangan mengucapkan terima kasih. Kami terima saja sama ada wang sedikit atau lumayan, atau tak diberi pun kami tak kisah. Asalkan dapat "berpesta bermain air banjir" di situ.
Ini boleh dikira sebagai suatu pesta atau suatu keseronokan dan kepuasan hidup di kampung ketika itu. Rumah kami pun tak ada tv ketika itu. Yang ada tv pun cuma di kedai kopi kira-kira 2 km dari kampung kami. Kami pergi ke kedai kopi itu pun pada malam Jumaat bila ditayangkan filem cerita Melayu.
Tetapi apabila lama sangat kami di "tapak pesta air" itu, ibu bapa kami akan datang ke sana untuk menyuruh kami pulang. Mungkin ibubapa kami bimbangkan keselamatan kami, mungkin mati lemas di dalam air banjir. Mungkin juga kami akan demam kerana terdedah kepada cuaca sejuk musim hujan begitu. Atau mungkin juga kerana risau kami terlupa nak balik makan kerana terlalu seronok dan asyik berpesta air banjir itu.
Saya rasa hingga kini pun, budak-budak memang suka menyertai 'pesta air banjir' apabila jalan raya dinaiki air. (alang bidara - 19/12/2005).
Advair Inhaler: Comprehensive Guide and Usage
2 hari yang lalu
0 ulasan:
Catat Ulasan