Ahad, 1 Februari 2009

Presiden baru Somalia




Semasa pihak Union of Islamic Courts (Kesatuan Mahkamah Syariah), UIC memerintah Somalia, Sheikh Sharif Sheikh Ahmad merupakan salah seorang pemimpin kanan UIC.

Namun keamanan Somalia tidak lama kerana atas hasutan dan adu-domba pihak imperialis barat, yang sememangnya dipimpin oleh Amerika yang memberi bantuan kepada pihak ketua-ketua gerombolan militia (warlords), pada tahun 2006 Ethiopia menghantar tenteranya menceroboh Somalia. Pihak UIC terpaksa berundur dari bandar dan pekan Somalia, termasuk ibu negara itu, iaitu Mogadishu.

Akan tetapi pelbagai pihak yang berada di bawah payung UIC meneruskan perjuangan mereka secara gerila.

Hasilnya, pihak TFG yang berpangkalan di Baidoa tidak dapat bertahan menghadapi asakan pihak gerila UIC, mereka akhirnya bersetuju memberikan ruang kepada pihak UIC di bawah pimpinan Sheikh Sharif menyertai parlimen TFG. Parlimen TFG menambah ahli parlimen kepada 550 orang, iaitu dengan memasukkan 200 orang ahli dari kalangan pemimpin UIC, manakala 75 ahli lagi akan kumpulan pembangkang dan pertubuhan awam Somalia.

Sabtu lalu Sheikh Sharif terpilih sebagai Presiden Somalia yang baru, jawatan yang dahulunya disandang oleh Abdullahi Yusuf Ahmed. Sheikh Sharif menewaskan pencabar terdekatnya, Maslah Mohamed Siad, anak bekas president Mohamed Siad Barre (yang digulingkan pada tahun 1991), dengan mendapat 293 undi sedangkan Maslah mendapat hanya 126 undi.

Walau pun Sheikh Sharif dilihat oleh banyak pihak sebagai orang yang berupaya menyatukan pelbagai pihak Somalia dan membawa keamanan dalam negara Horn of Africa itu, landskap politik negara itu sudah banyak berubah.

Puak yang dipimpin oleh Sheikh Sharif sekarang dikenali sebagai Pakatan Pembebasan Semula Somalia (ARS) dan suatu pihak yang dulunya bernaung di bawah UIC sudah keluar dari kesatuan UIC yang menggelarkan diri mereka Al-Shabab (ertinya Pemuda) telah menawan Baidoa, bandar yang menjadi pangkalan TFG. Akibatnya, pihak TFG membuat majlis pemilihan presiden di negara jiran, iaitu Djibouti.

Sheikh Sharif telah pun menghulurkan tangan persahabatan kepada Al-Shabab untuk berganding bahu membangunkan Somalia.

Berjayakah presiden baru Somalia membawa keamanan di negara itu dan seterusnya membanteras kegiatan lanun di perairan Somalia dan Teluk Aden?

Sama-samalah kita mendoakan kesejahteraan untuk warga Somalia yang sudah begitu lama dahagakan keamanan dan kesejahteraan.

0 ulasan: