Selasa, 8 Disember 2009

Novel Sejarah: Cheng Ho



Tujuh puluh tahun sebelum "penemuan" benua Amerika oleh Christopherus Columbus, pelayar warga Genoa yang ditaja oleh kerajaan Sepanyol itu, seorang pelayar dari Asia yang membawa perintah Maharaja Zhu Di untuk "belayar ke lautan sebelah walau pun sehingga ke hujung dunia sekali pun" telah menjelajah seluruh dunia.

Pelayar tersebut ialah Zheng He atau Cheng Ho.

Walau pun nenek moyang beliau berasal dari Asia tengah, namun dia belayar bersama lebih tiga ratus buah kapal dengan membawa bendera Dinasti Ming di bawah perintah Maharaja China, Zhu Di.

Bagaimana seorang budak yang ditawan di sebuah kampung di pedalaman wilayah Yunnan dan dijadikan hamba abdi yang telah dibuang 'alat kelakian' berjaya menjadi komander tertinggi armada laut kepada sebuah kerajaan yang dahulunya membunuh ayahnya dan kemudian menawannya dan memperhambakannya?

Bagaimana beliau berjaya mengerah para arkitek naval serta pakar maritim membina armada yang begitu besar serta mengajak beribu-ribu anggota pelayaran yang terdiri dari pelayar, diplomat, saintis, astronomer, pedagang, ahli geografi dan kaji bumi menyertai armada merentas lautan yang ganas dan bergelora itu?

Adakah beliau berjaya membawa armada itu mengelilingi dunia 70 tahun sebelum para pelayar barat tiba di benua Amerika? Ada yang mengatakan begitu, namun tidak kurang pula yang menyanggah teori itu.

Biar pun dari satu sudut saya merasa bertuah kerana diamanahkan untuk menjayakan projek ini, namun dari sudut yang yang lain pula, saya merasa kerdil dalam usaha mengutip fakta dan maklumat yang bertaburan umpama batu dan pepasir, sebagaimana bertebarannya tinggalan kapal karam armada Zheng He di merata ceruk dunia, kemudian menyulamkannya dalam sebuah novel sejarah mengenai seorang tokoh sejarah di zaman keagungan Nusantara dan Dinasti Ming untuk dihidangkan kepada para pembaca.

Walau pun mungkin halangan yang bakal mencabar penulisan buku ini setinggi ombak dan seganas badai yang telah melanda armada Zheng He, buku ini dirancang siap pada awal tahun 2010.

Ya Allah, ya Tuhan ku, permudahkanlah urusan ke arah itu.

Rabu, 2 Disember 2009

Membeli buku

Hari ini hari terakhir pesta jualan buku di Amcorp Mall. Semalam Tuan Zamri telah mengiringi Puan Sifu dan warga kerja PTS untuk membeli buku-buku yang mereka perlukan untuk merancang projek yang akan datang.

Hari ini saya pula mengambil kesempatan untuk ke sana. Saya memandu ke sana sebaik sahaja selesai waktu pejabat dan terus letak kereta di tingkat bawah kerana saya mengambil langkah berjaga-jaga, maklumlah sekarang musim hujan. Saya ingin mengelakkan buku-buku yang dibeli ditimpa hujan semasa keluar bangunan menuju ke kereta.

Oleh kerana hari terakhir, buku-buku yang pada mulanya dijual dengan harga lebih RM5.00, hari ini semuanya dijual dengan harga RM5.00, malah yang dijual dengan harga RM15.00 atau RM10.00 atau RM8.00 pun semuanya berharga RM5.00 hari ini.

Walau pun pada mulanya saya serba salah untuk memilih buku mana yang hendak dimasukkan dalam koleksi buku saya, akhirnya saya akhirnya berjaya membuat pilihan.

Inilah hasilnya:

Apabila disusun dua longgok, beginilah rupanya.



Saya susun pula selonggok sahaja supaya kelihatan begini. Semunya ini 23 buah dengan harga RM109.00 sahaja!



Sukar untuk dipercayai? Inilah resitnya.


Nota kaki: Terima kasih kepada Tuan Haeqal Zulqarnain yang membantu mengambilkan sebuah kotak untuk saya. Dengan adanya kotak itu, proses menyisih, mengumpul dan memilih menjadi lebih mudah dan teratur.

Selasa, 17 November 2009

Ukur baju di badan sendiri



Khairul Nizam bertanya, "Ustaz sering memberikan pandangan pro-poligami sehingga ada orang yang memberi gelaran 'Duta Poligami Malaysia' kepada ustaz. Akan tetapi kenapa ustaz sendiri tidak berminat untuk berpoligami?"

Ustaz Redhuan tersenyum seraya menjawab, "Apabila seseorang itu menyukai sesuatu perkara, maka dia akan sering bercakap tentang perkara itu. Jadi bagaimana tuan membuat kesimpulan saya tidak berminat berpoligami?"

Khairul Nizam terkebil-kebil memandang Ustaz Redhuan. Setelah terdiam beberapa ketika dia berkata, "Ustaz juga sering mempromosi sunnah Nabi Muhammad (S.A.W.), tetapi isteri ustaz sendiri masih seorang sahaja sedangkan poligami itu sunnah Nabi."

Ustaz Redhuan berkata, "Tuan Khairul Nizam, saya tidak berpoligami kerana belum ada kelayakan."

Khairul Nizam berkata, "Tentunya ramai calon yang layak, dan saya percaya tidak kurang wanita yang sedia menjadi isteri ustaz yang kedua, ketiga malah yang keempat. Ustaz buka mulut sahaja nescaya ramailah yang ingin menjadi calon."

"Bukan tiada calon yang layak, tetapi lebih kepada saya sendiri tidak layak."

"Maksud ustaz?" Suara Khairul Nizam seperti dia tidak percaya apa yang dia dengar.

"Pandai berceramah di surau dan masjid belum tentu layak berpoligami. Begitulah juga walau kaya raya pun belum tentu berkelayakan. Kebahagian itu tidak terletak pada harta benda atau ilmu pengetahuan."

Khairul Nizam seperti tidak berpuas hati dengan jawapan Ustaz Redhuan yang segak dengan ketayap putihnya dan janggutnya yang sejemput itu.

Ustaz Redhuan menyambung, "Saya mengenali ramai orang yang berpoligami. Ada rumahtangga poligami yang bahagia, tidak kurang pula yang sengsara. Apabila saya bandingkan diri saya dengan para suami yang bahagia berpoligami itu, saya dapati diri saya masih belum setanding dengan mereka. Saya perhatikan mereka mempunyai tahap kesabaran yang tinggi dan sangat bijak mengendalikan politik rumah tangga, sedangkan ciri-ciri itu tidak ada pada diri saya.

"Formula rumah tangga bahagia sedikit berbeza bagi suami yang beristeri seorang daripada yang berbilang isteri. Umpama kapal yang belayar di lautan. Apabila nakhoda berjaya, bahagialah bahtera rumahtangga itu. Sebaliknya bagi nakhoda yang tidak sabar dalam mengemudikannya, kapal bisa terkandas di terumbu karang, terlanggar air batu apung atau benteng pasir, malah boleh sahaja karam."

Hari itu Khairul Nizam mempelajari sesuatu yang menarik tentang pendirian ustaz muda yang kacak yang selama ini digelar 'duta poligami' tetapi masih lagi beristeri satu.

Jumaat, 6 November 2009

Harian Metro menyiarkan ulasan buku Bagaikan Khadijah Di Hati Rasulullah



Setelah novel Sherlock Holmes A Study in Scarlet (Kajian Merah Berdarah)edisi Bahasa Melayu diterbitkan, saya menumpukan pula usaha saya untuk menyiapkan sebuah lagi novel penyiasatan detektif perunding yang paling terkenal di dunia itu.

Novel kedua yang saya terjemahkan ialah kisah siasatan beliau di sebuah bungalow mewah di pinggir bandaraya London. Pelbagai adegan yang berlaku dari kota Agra, India hingga ke London, penyiasatan itu akhirnya selesai dalam satu episod kejar mengejar dengan bot laju di Sungai Thames, London.

Setelah selesai novel itu, saya menyelesaikan pula buku tentang kemahiran berunding yang akan diterbitkan sebelum perayaan Maulid Rasul (S.A.W.). Itu pun sudah khatam.

Kini saya mesti menyiapkan buku tulisan bersama saya dan rakan penulis, Saudara Zamri Mohamad. Buku ini harus disiapkan manuskripnya pada bulan Disember ini.

Sebelum ini pada tahun ini, buku karya kami mendapat sambutan yang begitu hangat di pasaran. Khabarnya, cetakan kedua sudah berada di pasaran.

Oleh yang demikian, editor Tuan Ikram telah bersetuju kami mengarang buku susulan bagi buku kami yang pertama itu.

Malam ini, setelah sebegitu lama menumpukan perhatian kepada penulisan dan tidak berpeluang melayari internet dan melawat blog rakan-rakan penulis, saya terjah blog Saudara Zamri.

Rupa-rupanya akhbar Harian Metro telah pun menyiarkan ulasan buku kami pada bulan Oktober yang baru lalu.

Untuk mengetahui buku apakah itu, sila baca DI SINI.

Kelantan vs Negri Sembilan



Walau pun saya bukanlah peminat tegar bola sepak tanah air (Piala Dunia FIFA pun tenguk perlawanan akhir sahaja...), tetapi apabila perlawanan akhir akan diadakan di Stadium Bukit Jalil, iaitu tidak sampai pun 10 kilometer dari rumah saya, maka saya teringin juga untuk menontonnya.

Tambahan pula perlawanan itu akan menemukan Negeri Cik Siti Wan Kembang dan Negeri Adat Perpateh, dua negeri Malaysia yang mempunyai identiti dan keunikannya sendiri, tentunya akan melakar sejarah yang tersendiri dalam arena bola sepak tanah air.

Sudah semestinya saya mengharapkan Kelantan akan menang.

Namun kita berharap semoga pemain kedua-dua pasukan akan bermain dengan semangat kesukanan.

Majulah sukan untuk semua!

Ahad, 1 November 2009

Blog Akademi Laut

Sudah begitu lama saya tidak mengemas-kini blog MEREDAH SAMUDERA ini.

Selepas bercuti sebulan lebih selepas Hari Raya Idilfitri, saya mengalami peristiwa yang menyedihkan, iaitu kamera digital saya diserang oleh sejenis virus yang diberi nama Nadia Saphira. Indah nama virus itu, tetapi kesan terhadap SD kad kemera digital tidaklah seindah namanya!

Walau bagaimana pun demi memulakan semula budaya mengemas-kini blog secara berkala dan lebih kerap, maka saya pun log masuk ke ruangan blogger dan membuat carian dalam enjin google.

Saya seronok apabila terjumpa blog baru yang boleh saya link di sisipan kanan blog ini.

Memang sesuai benar blog itu dengan tema blog MEREDAH SAMUDERA ini.

Syabas pemilik dan administrator blog AKADEMI LAUT MALAYSIA.

Selamat maju jaya.

Khamis, 15 Oktober 2009

Kajian Merah Berdarah



Alhamdulillah, novel Sherlock Holmes yang saya terjemahkan telah terbit juga akhirnya.

Syabas kepada PTS One dan terima kasih kepada team PTS One yang telah bertungkus lumus sehingga terbitnya buku ini, terutama kepada Tuan Alif Firdaus dan Cik Puan Rafiza.

Rabu, 23 September 2009

SMS yang membuat hati sayu...

"...Naim tak nak makan, takut kena tinggal bas. Tadi dia sedih sebab tinggalkan abang cik dan ayah. 'Naim tak pernah tinggalkan dua orang itu sekali gus,' katanya..."

Begitulah SMS yang diterima melalui telefon bimbit saya pada petang tadi.

Itulah akibat dua kenduri diadakan pada tarikh yang sama, sedangkan jarak antara kedua-dua tempat diadakan kenduri tersebut agak jauh juga.

Satu kenduri diadakan di:


Kenduri yang satu lagi pula diadakan di:


Oleh kerana kedua-dua kenduri perlu dihadiri oleh kami, maka demi memenuhi kedua-dua jemputan itu maka kami berpecah dua, saya ke Pantai Barat manakala isteri saya ke Pantai Timur.

Saya memandu ke utara bersama anak saya, Hafiz (abang cik), manakala isteri saya pula menaiki bas ekspres ke Darul Iman bersama Ahmad Naim. Oleh yang demikian berpisahlah Naim dengan ayah DAN abang cik...

Selama ini kalau saya bekerja di luar daerah atau sekali sekala ke luar negeri, abang cik masih ada di rumah. Ketika abang cik keluar daerah demi memenuhi kegiatan sekolah, saya ada di rumah. Maknanya belum pernah kedua-dua (ayah dan abang cik) keluar daerah pada masa yang sama (sekali gus)!

Hari ini adalah 'Hari ini dalam sejarah' bagi Ahmad Naim, kerana dia berpisah dengan ayah dan abang cik 'sekali gus.'

Kasihan Ahmad Naim!

Namun saya percaya hati Ahmad Naim yang sayu itu akan segera terubat sebaik sahaja dia sampai di rumah Along di Permaisuri, seperti kata abang cik: "Sekejap sahaja dia sedih tu.. sampai di rumah Along bila dia menonton kartun di Astro, lupalah sedih dia..."

Saya bersetuju dengan kata-kata abang cik itu... !

[Entri dibuat dari bilik penginapan sederhana berdekatan dengan hentian bas Sahab Perdana Alor Setar -- ya, Wi-Fi percuma disediakan di penginapan sederhana ini..]

Sabtu, 19 September 2009

Selamat Hari Raya

Saya ingin mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan:

SELAMAT HARI RAYA IDIL-FITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN
serta
BRHATI-HATI DI JALAN RAYA

kepada semua pembaca dan pengunjung blog ini.

Selamat Hari Raya

Saya ingin mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan:

SELAMAT HARI RAYA IDIL-FITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN
serta
BRHATI-HATI DI JALAN RAYA

kepada semua pembaca dan pengunjung blog ini.

Selamat Hari Raya

Saya ingin mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan:

SELAMAT HARI RAYA IDIL-FITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN
serta
BRHATI-HATI DI JALAN RAYA

kepada semua pembaca dan pengunjung blog ini.

Selamat Hari Raya

Saya ingin mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan:

SELAMAT HARI RAYA IDIL-FITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN
serta
BRHATI-HATI DI JALAN RAYA

kepada semua pembaca dan pengunjung blog ini.

Ahad, 13 September 2009

Tembikai susu manis rasanya



Tembikai susu atau honeydew melon memang manis dan lazat rasanya.

Kalau ditanam sendiri tentu akan memuaskan hati.

Akan saya cuba menanam tembikai susu.

Sabtu, 12 September 2009

"Menyerang kapal dagang"



Kapten Dolah mengeluarkan pistol automatik dari sarung di pinggangnya, sambil berkata kepada para pengikutnya, “Semua bersedia?”

Semua lanun memegang kemas senapang automatik masing-masing, seraya menjawab “Siap, kapten!”

Kapten Dolah mencuit bahu Jurumudi Ali dan berkata, “Jurumudi, kita gerak sekarang!”

Jurumudi Ali serta-merta menjawab, “Ai, ai, kapten!” Dia menekan butang starter bot laju mereka dan enjin mengaum sebaik sahaja dihidupkan.

Kapten Dolah menudingkan jarinya ke arah Hassan dan membentak, “Hassan, kamu akan tunggu dalam bot! Bantu jurumudi. Faham!”

Hassan terdiam. Tidak menjawab.

Kapten Dolah segera membentak, “Hassan! Kenapa diam? Kamu takut?”

Hassan menelan air liur dan menjawab, “Saya bimbang, tuan.”

“Hassan, awak jangan takut,” kata Jurumudi Ali, sambil memegang bahu Hassan. “Awak tunggu dalam bot dengan saya.”

Hassan mengangguk-anggukkan kepalanya dan menjawab, “Baik, tuan.”

Kapten Dolah tersenyum sambil mengangkat tangannya yang memegang pistol itu seraya berkata, “Ali! Gerak sekarang!”

“Baik, kapten!” jawab Jurumudi Ali sambil terus menggerakkan bot laju itu ke arah kapal dagang yang menghampiri hujung tanjung itu.

-------------------

Tiada seorang pun yang bercakap semasa bot itu meluncur laju membelah laut menuju ke arah kapal dagang. Semburan air laut terpercik ke muka Hassan. Dia memegang kemas railing di tepi bot itu.

Mentari rendah di ufuk barat. Suasana petang yang tenang dan nyaman itu seolah-olah tidak mempedulikan suatu peristiwa yang bakal berlaku di hujung tanjung itu.

Kapal dagang bergerak perlahan ketika menghampiri laluan sempit itu. Ketika itu juga bot lanun sampai dan menghampiri kapal dagang itu. Suasana damai petang yang damai itu juga seolah-olah membawa ketenangan juga di kalangan anak kapal itu.

Sebaik sahaja bot itu menghampiri kapal dagang, setiap orang lanun, termasuk Kapten Dolah menyarungkan topeng jenis pemain ski (skier mask). Deruman enjin kapal dagang itu menenggelamkan bunyi enjin bot laju lanun itu.

Kapten Dolah berkata, “Ingat! Kita ada masa sekitar lapan minit sahaja!”

“Baik, kapten!”

Kapten Dolah memberikan isyarat supaya tali dicampak ke bahagian tepi kapal. Sebuah sauh kecil yang terpasang di hujung tali yang panjang ditembak dengan sepucuk senapang harpoon. Dengan sekali tembak sahaja sauh yang terikat tali itu tersangkut di railing di bahagian starboard dan lanun yang pertama memanjat naik ke kapal dengan menggunakan tali itu. Sungguh handal, ibarat seekor monyet sahaja layaknya. Senjata automatik yang tersandang di belakang tidak menghalang ketangkasan dia memanjat tepi kapal sehingga naik ke atas.

Seorang lagi lanun memanjat, dan seorang lagi. Dan seorang lagi. Yang terakhir naik ialah Kapten Dolah. Kapten Dolah terus memanjat tangga menuju ke bridge (pusat kawalan kapal) dengan di iringi sembilan orang lanun.

Kapten Dolah memerintah kepada tiga orang anak buahnya, “Kamu, kamu dan kamu berkas pegawai di bridge, jangan biarkan mereka menggunakan sistem komunikasi! Lekas!”

Tiga orang lanun yang diarahkan terus menyerbu ke bridge. Kapten Dolah dan enam orang lagi menyerbu kabin kediaman nakhoda kapal.

Kapten mengarahkan tiga orang menyerbu ke kabin ketua steward (chief steward). Dia berkata, “Dalam kapal dagang chief steward dan master (nakhoda) yang simpan duit dalam peti besi.”

“Baik, tuan!” ketiga-tiga anak buahnya sambil menyerbu kabin chief steward.
Kapten Dolah menyergah nakhoda kapal, “Cepat! Buka peti besi!”

Sebaik sahaja terpandang ke arah Kapten Dolah dan tiga orang lanun yang memakai skier mask dan lengkap bersenjata itu, dengan muka yang pucat lesi dan tangan menggigil, nakhoda memutarkan kombinasi kunci peti besi sehingga terbuka.

Kapten Dolah mengeluarkan beg kain berwarna hitam dan menyerahkannya kepada salah seorang orangnya. Dia menuding jari ke arah peti besi yang sudah terbuka itu. Perompak itu dan dua orang lagi mengambil wang tunai dari peti besi. Dalam masa tidak sampai satu minit kesemua wang tunai dari peti besi nakhoda licin di sapu dan diisi ke dalam beg hitam itu.

Ketiga-tiga orang lanun yang merampas wang tunai dari kabin chief steward sudah selesai dengan tugas mereka lalu bergegas ke arah tali yang tersangkut sauh kecil itu. Mereka mula turun menggunakan tali itu.

Kapten Dolah dan tiga lagi lanun bergegas meninggalkan kabin nakhoda dan berlari ke arah tepi kapal untuk turun ke bot yang sedai menanti di bawah.

Tiga orang lagi lanun yang mengawal di bridge pun segera memutuskan kabel radio komunikasi kapal serta telefon satellite yang ada di bridge. Mereka juga bergegas meninggalkan bridge untuk turun ke bot laju yang dijaga oleh Jurumudi Ali dan Hassan.

Seorang lanun sudah turun ke dalam bot.

Tiba-tiba hon kapal berbunyi dengan nyaring. Apabila bunyi hon itu terhenti, kedengaran dari pembesar suara kapal, “Kami polis marin! Awak semua sudah dikepung! Baik awak menyerah!”

Belum sempat Kapten Dolah sampai ke tali di tepi kapal satu suara mengherdiknya supaya menyerah. Apabila dia menoleh dia nampak beberapa orang berpakaian komando PASKAL (Pasukan Khas Laut) dan bertopeng skier mask.

Kapten Dolah tidak menjawab, tetapi terus meniarap dan menembak pistol automatiknya ke arah anggota PAKSAL. Bang! Bang! Bang!

Seorang anggota PASKAL jatuh terbaring berlumuran darah.

Anak buah Kapten Dolah yang lain pun meniarap dan melepaskan tembakan ke arah anggota PASKAL. Bang! Bang! Bang!

Kesemua anggota PASKAL meniarap dan membalas tembakan. Tiga orang lanun yang menjadi korban di awal pertarungan terbujur kaku. Darah merah mengalir membasahi tepi dek kapal itu.

Anggota lanun yang sempat turun ke bot yang dijaga oleh Jurumudi Ali dan Hassan berkata, “Cepat kita lari dari sini! Jika tidak, kita pun kena.”

Sebelum Jurumudi Ali menggerakkan bot itu, dua buat bot kecil merapati bot mereka dan beberapa orang anggota PASKAL tangkas melompat ke atas bot mereka dengan senjata tempur jarak dekat automatik. Lanun itu mengacukan senjata automatiknya ke arah salah seorang anggota PASKAL, tetapi belum pun sempat dia memetik trigger salah seorang anggota PASKAL menembak tangannya. Senjata lanun itu terjatuh dari tangannya.

Ketua anggota PASKAL menjerit kepada Jurumudi Ali dan Hassan, “Angkat tangan! Atau kami tembak!”

Jurumudi Ali mengangkat kedua tangan dan berkata kepada Hassan, “Angkat tangan, Hassan. Jangan takut.”

Hassan mengangkat tangannya yang pucat dan mengigil itu.

“Jangan tembak dia, tuan,” Jurumudi Ali merayu kepada ketua anggota PASKAL. “Dia masih budak-budak.”

Ketua anggota PASKAL mengherdik mereka, “Diam! Semua jangan bercakap!”

Anggota PASKAL memberkas dan menggari Jurumudi Ali, Hassan dan lanun yang cedera di tangan itu.

Ketua anggota PASKAL itu memandang ke arah Hassan. Dia berkata, “Hairan betul saya. Umur awak ini muda lagi. Macam mana awak boleh terlibat dengan kumpulan lanun ini?”

Hassan diam tidak menjawab.

Di atas kapal dagang pasukan PASKAL dan pihak lanun berbalas tembakan beberapa minit. Bunyi tembakan yang bertubi-tubi dari senjata automatik memecah ketenangan di petang yang nyaman itu. Jeritan burung-burung camar laut di hujung tanjung dan unggas lain yang terbang bertempiaran dari hutan berhampiran seolah-olah meraikan suatu pesta penyembelihan yang menghasilkan darah yang berwarna merah, pekat yang mengalir membasahi atas dek kapal dagang itu.

Tiba-tiba bunyi tembakan senjata automatik terhenti. Yang masih kedengaran hanyalah desiran ombak yang memukul pantai di hujung tanjung itu serta nyanyian camar laut dan unggas yang kini menyambut ketibaan senjakala.

Sementara itu di atas bot lanun, walkie-talkie ketua anggota PASKAL yang memberkas Jurumudi Ali, Hassan dan anggota lanun yang cedera itu berbunyi, “Semua sudah selesai, tuan. Over.”

Ketua anggota PASKAL mencapai walkie-talkie dan menjawab, “Bagus, berapa orang anggota kita cedera? Over.”

“Seorang cedera teruk di tangan, tuan. Over.”

“Pihak musuh? Over.”

“Tiada yang selamat, tuan. Over.”

“Baiklah. Serahkah tugas segera.Over.”

“Baik, tuan. Over and out.”

Sebuah bot kuasa tinggi berlogo Agensi Penguakuasaan Maritim Malaysia (APM) menghampiri bot lanun. Ketua anggota PASKAL mengangkat tabik hormat ke arah salah seorang pegawai APM .

Ketua anggota PASKAL berkata, “Tugas kami sudah selesai, tuan.”

Pegawai APM menjawab, “Tahniah, tuan. Tidak sia-sia kerja kita berbulan-bulan.”

“Boleh kita mulakan serahan tugas, tuan?”

“Silakan.”

Proses serahan tugas singkat sahaja. Tidak lama lepas itu, sebuah bot laju tiba dan mengangkut bot-bot kecil PASKAL dan membawa kesemua anggota PASKAL meninggalkan tempat kejadian.

Salah seorang anggota APM bertanya pegawainya, “Kita tak dapat tenguk pun muka mereka. Mereka pun tidak tunggu lama, tuan?”

“Begitulah tugas pasukan PASKAL, Halim. Cekap, tangkas dan pantas. Kalau lanun biasa kita pun boleh selesaikan. Tetapi ini kumpulan hard-core. Ganas. Tidak takut mati. Sebab itulah kita minta bantuan PASKAL.”

Mentari sudah hampir tenggelam di ufuk barat. Bot laju pasukan PASKAL sudah lama hilang dari pandangan. Anggota pasukan APM mengangkat kesemua mayat lanun dan dimasukkan ke dalam plastik hitam yang tebal dan dikumpulkan untuk di bawa ke darat. Jurumudi Ali, Hassan dan lanun yang cedera di tangan itu di kurung di dalam lokap kapal APM.

Dalam kegelapan malam itu bot kuasa tinggi APM meluncur laju menuju ke pantai. Apabila bot menghampiri jeti APM , hujan turun dengan lebatnya.

Hassan teringat pesanan gurunya, Ustaz Solihin, waktu hujan turun adalah antara masa doa seseorang hambanya dimakbulkan. Hassan duduk di bangku dingin lokap dalam bot APM itu dan dalam hatinya dia berdoa, memohon perlindungan Allah.

[Petikan novel "Hujan Semalam" yang belum terbit]

Khamis, 20 Ogos 2009

Tragedi di Selat Melaka

Pada entri yang dibuat pada tahun lepas DI SINI, telah diceritakan bagaimana berlakunya tragedi yang disebabkan oleh serangan lanun.

Kini suatu tragedi lagi yang mengakibatkan kehilangan sembilan anak kapal warga China apabila kapal jenis tanker milik Taiwan dengan muatan kargo naphtha berlanggar dengan sebuah kapal kargo di luar pantai Port Dickson pada pukul 10.00 malam Selasa lalu.

Sumber berita AlJazeera memetik ucapan Direktor-General Jabatan Laut, Tuan Kapten Ahmed Othman, usaha mencari pelaut yang hilang itu masih diteruskan. Menurut beliau lagi, kedua-dua orang nakhoda dari kedua buah kapal sedang disoalsiasat bagi menentukan punca kemalangan itu.

Walau pun kebakaran di atas kapal milik Taiwan itu telah berjaya dipadamkan dan tiada kemungkinan pencemaran tumpahan minyak, namun tragedi itu sedikit sebanyak mengganggu perjalanan kapal lain kerana kejadian itu berlaku di laluan kapal di selat yang tersibuk di dunia itu.

Berita lanjut boleh didapati DI SINI.

Isnin, 17 Ogos 2009

Cheng Ho pelayar termasyhur




Sekiranya kita mengkaji sejarah meritim sejak dari abad ke 15 sehingga sekarang, tidak dapat tidak kita akan bertemu dengan seorang pelaut yang paling terkenal. Nama beliau ialah Cheng Ho atau Zheng He atau Ma He atau pun Ma San Bao.

Pada awal kurun ke-15 Masehi negara China di bawah pemerintahan Dinasti Ming, Cheng Ho membuat tujuh pelayaran yang bermula dari muara Sungai Yangtze sehingga ke benua Afrika.

Malah hasil kajian seorang ahli The Royal Geographic Society yang bernama Gavin Menzies, armada Cheng Ho belayar sehingga ke benua Amerika. Ini bererti armada China telah sampai ke benua itu 70 tahun sebelum daripada 'penemuan' dunia baru oleh pelayar Genoa, Christophorus Colombus.

Di antara pelabuhan penting yang menjadi tumpuan Laksamana Cheng Ho ialah Melaka. Melaka dijadikan sebagai salah satu daripada pos perdagangan yang penting, juga sebagai tempat simpanan bekalan untuk armada yang besar itu. Daripada tujuh pelayaran beliau singgah enam kali di Melaka.

Pada hari Sabtu yang baru lalu saya berkesempatan melawat muzium Cheng Ho di Melaka. Ternyata lawatan sambil belajar itu saya mendapat banyak maklumat mengenai sejarah Melaka, Dinasti Ming dan sejarah hidup Cheng Ho.

Selasa, 11 Ogos 2009

Bot tunda Itali dibebaskan setelah USD4 juta wang tebusan dibayar

Bot tunda milik Microperi, sebuah syarikat Itali, dibebaskan setelah wang tebusan sebanyak USD4 juta dibayar kepada gerombolan lanun.

Dengan itu berakhirlah penahanan 16 orang anak kapal serta bot tunda Buccaneer yang ditahan sejak 11 April lalu, semasa dalam pelayaran di Teluk Aden.

Selepas dibebaskan, bot tunda itu belayar ke Djibouti dengan diiringi oleh kapal tentera laut Itali.

Kisah lanjut boleh dibaca DI SINI.

Isnin, 10 Ogos 2009

Kegiatan lanun sejak zaman berzaman



Tidak syak lagi kegiatan merompak di lautan telah berleluasa sejak zaman berzaman.

Sekiranya zaman moden ini kita sering mendengar berita kapal-kapal yang dirampas lanun di perairan Somalia dan Teluk Aden, maka sebelum daripada itu kita dihidangkan dengan kegiatan lanun di Selat Melaka.

Zaman sebelum itu kita membaca kisah lanun di Kepulauan Carribeans.

Bermula dari tahun 1405, Dinasti Ming mengutuskan armada lautnya yang dipimpin oleh Laksamana Zheng He yang membuat tujuh pelayaran dari perairan China sehingga ke negara di Afrika.

Dalam pelayaran pertama Zheng He semasa perjalanan pulang ke China, Zheng He telah memerangi satu gerombolan lanun di kawasan perairan Melaka dan Sumatra. Gerombolan lanun itu berjaya ditumpaskan dan ketuanya dibawa pulang ke China untuk dihukum bunuh.

Pendek kata kegiatan lanun memang telah wujud sejak wujudnya kapal-kapal yang belayar di laut.

Apa yang penting ialah bagi pemilik kapal menyediakan prosedur serta teknik yang berkesan bagi melindungi kapal-kapal milik mereka.

Pertemuan murid lama Sekolah Menengah Kamil



Pada hari Sabtu yang baru lalu saya berkesempatan menghadiri pertemuan murid lama Sekolah Menengah Kamil, Pasir Puteh, Kelantan.

Setelah sebegitu lama kami tidak bertemu, akhirnya kami bertemu di sebuah restoran di Sooka Sentral, Kuala Lumpur.

Restoran Kelantan Delight itu ialah milik bersama salah seorang rakan sekolah kami juga.

Suatu pertemuan yang sungguh menyeronokkan dan menggembirakan.

Kacang bendi buat ulam




Sering kali kacang bendi dimasak bersama kari kepala ikan.

Tetapi pernah dengar ulam kacang bendi? Hah, kacang bendi bila dibuat ulam, memang sedap! Sama ada dicicah dengan sambal tempoyak, cincalok, sambal belacan atau pun budu, memang sedap.

Kacang yang berlendir itu memanglah ulam kegemaran saya!

Novel sulung mentee saya



Akhirnya siap juga novel sulung karya dua orang mentee saya.

Semoga dengan terbitnya novel ini mereka akan merasa lebih bersemangat untuk menghasilkan karya yang kedua.

Selepas itu karya yang ketiga, dan kemudian karya keempat dan seterusnya, dan seterusnya.

Dengan rasminya senarai penulis PTS bertambah dua baris...!!!

Alhamdulillah!

Ahad, 2 Ogos 2009

Pucuk paku sayur kampung




Pucuk paku ialah antara sayur kampung yang popular dan yang telah menjadi kegemaran warga pekan dan bandar yang telah berhijrah dari kampung.

Masak apa saja, sama ada gulai lemak atau goreng belacan atau pun kerabu, pucuk paku tetap menjadi pujaan.

Namun adakah orang yang sudah mencuba projek bercucuk tanam pucuk paku seperi bertanam sayur?

Rabu, 22 Julai 2009

Pandan dan Kaya














Apa kaitan kaya dengan blog pertanian?

Kerana pandan adalah bahan penting dalam membuat kaya.

Nak tahu resipi kaya? Ini dia resipinya:

Bahan-Bahan:
1 liter santan pekat
250 gm gula
10 butir telur kuning
2 helai daun pandan

Cara membuatnya:
Masak santan dan gula sehingga mendidih.
Masukkan telur dan daun pandan, kacau perlahan-lahan sehingga pekat.
Selepas diangkat, sejukkan sebelum dihidang.

Selasa, 21 Julai 2009

Perginya seorang patriot



Kapt Muhammad Yusof bin Hj Ahmad telah kembali kerahmatullah pada hari Ahad, 19 Julai 2009.

Beliau merupakan seorang pelaut yang pernah bertugas sebagai pilot superintendent di Lembaga Pelabuhan Kelang.

Antara jawatan penting yang beliau pegang ialah sebagai pengurus besar West Port yang pertama.

Selepas bersara dari dari West Port beliau bekerja sendiri sebagai perunding pelabuhan dan marin, dan penimbangtara maritim.

Lima hari sebelum beliau meninggal dunia, ibunya terlebih dahulu menyahut pangillan Ilahi.

Walau pun saya tidak mengenali atau bertemu dengan beliau, tetapi kami mempunyai pendapat yang sama dalam aspek keadilan sosial dan masyarakat.

Ucapah takziah kepada isteri, anak-anak serta ahli keluarga beliau, semoga mereka bersabar dan tabah menghadapi saat pilu ini.

Semoga Allah mencuri rahmat ke atas ruh beliau dan ibu beliau. Dari Allah kita datang, kepada Allah kita akan kembali.

Blog beliau masih boleh dibaca DI SINI.

Ahad, 19 Julai 2009

Pisang sungguh berkhasiat




Ramai yang suka makan pisang. Ada juga yang suka makan pisang yang siap digoreng. Tidak kurang juga yang suka makan pisang percuma di masjid dan surau setiap hari Jumaat.

Namun ada juga yang memandang rendah kepada pisang.

Sekiranya mereka tahu khasiat pisang mungkin mereka akan memandang tinggi terhadap pisang.

Hendak tahu khasiat pisang?

Sila baca DI SINI.

Jumaat, 17 Julai 2009

Tembikai buah yang lazat





Anda suka makan tembikai? Minum air tembikai?

Air tembikai lazat diminum dan buah tembikai sedap dimakan.

Lebih-lebih lagi pada hari yang panas...

Petai ulam yang baik




Siapa yang tidak kenal petai? Saya percaya setiap warga Malaysia mulai dari yang mumayyiz sehingga yang bertaraf nenek moyang mengenali petai.

Ramai juga yang gemar memakan petai. Walau pun dari aspek bau petai membawa implikasi negatif, tetapi petai memang berkhasiat.

Untuk mengetahui khasiat petai, mari terjah beberapa blog.

FORUM INI.

BLOG INI.

Forum Mesra.net.

PETUA DI SINI.

Khamis, 16 Julai 2009

Kangkong sayur yang sedap




Kalau ditanya tentang kangkong goreng belacan, tentu ramai yang mengakui keenakan masakan ini dan ramai yang terliur megenangkan sepinggan kangkong belacan itu.

Tidak dinafikan ada juga kangkong yang tumbuh subur (sangat subur) di tepi-tepi longkang dan dalam longkang besar. Jadi tidak hairanlah jika ada pembeli sayur yang teragak-agak membeli sayur segar-bugar yang dijual di pasar malam!

Apa pun, kangkong memang sedap dan memang mudah tumbuh.

Anda suka kangkong?

Rabu, 15 Julai 2009

Saya suka bercucuk tanam


Saya dilahirkan di kampung. Datuk saya sebelah ibu mencari rezeki dengan menoreh getah dan bertanam padi.

Hasil jualan dari kebun getah untuk membeli keperluan, manakala hasil dari sawah untuk makanan asasi.

Selepas menamatkan pelajaran dan memasuki alam kerjaya, saya tinggal di sebuah rumah teres di kawasan perumahan di pinggir bandar.

Hobi bercucuk tanam saya masih diteruskan. Saya bertanam cili dan beberapa sayuran lain. Ada juga orkid yang dibeli, keratan orkid ditanam dan dijaga.

Saya berhasrat untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian sebagai persediaan menghadapi tarikh persaraan yang semakin hampir.

Pada peringkat permulaan saya akan bertanam beberapa jenis sayur dan isteri saya akan membela ayam kampung.

Selain dapat mengisi masa lapang, aktiviti ini juga diharapkan menjana pendapatan bagi menampung wang persaraan saya.

Ahad, 12 Julai 2009

Rambutan kuning dan kucing





Selain dapat melihat kucing, kawan isteri saya itu juga meraikan kedatangan kami dengan rambutan kuning.

Secara kebetulan sekarang musim rambutan.

Rambutan kuning memang manis dan enak.

Hati-hati jangan sampai sakit tekak kerana makan rambutan...

Naim dan kucing





Ahmad Naim memang sukakan kucing.

Dalam gambar ini dia sempat bergambar dengan beberapa ekor kucing kepunyaan kawan isteri saya semasa kami menziarahi beliau di Kampung Tanjung Agas.

Jumaat, 10 Julai 2009

Tahniah kepada Top 30 dan juga yang lain!



Blog Puan Sifu melaporkan 30 orang pengarang PTS yang paling banyak menerima royalti bagi jualan tahun 2008 ialah:

1. Dr. Danial Zainal Abidin
2. Ain Maisarah
3. Ainon Mohd.
4. Farihah Iskandar
5. Abdul Latip Talip
6. Prof. Dr. Muhd. Kamil Ibrahim
7. Ezee Rahmani
8. Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad
9. Sophia Qistina
10. Ann Wan Seng
11. Ahmad Fadzli Yusof
12. Zaid Akhtar
13. Kusyi Hirdan
14. Dato' Dr. Haron Din
15. Mohammad Rozani Pawan Chek
16. Ainin Naufal
17. Umi Kauthar Abdul Razak
18. Dato' Dr. Fadzilah Kamsah
19. Shamsuddin Abdul Kadir
20. Dato' Abd. Hadi Awang
21. Aizam Aiman
22. Salina Ibrahim
23. Natasya Effyzal
24. Razzi Armansur
25. Fred Suriya
26. Meor Shariman
27. Ahmad Naim Jaafar
28. Sunthara Segar
29. Mardzelah Makhsin
30. Umi Kalthum Ngah

Tahniah kepada para penulis yang berjaya menduduki 30 anak tangga teratas. Semoga maklumat ini akan memberi motivasi kepada para penulis yang lain untuk berusaha dengan lebih pintar lagi.

Selamat berkarya!

Khamis, 9 Julai 2009

'Kalau tidak bayar kami akan seksa anak kapal!'

"Sekiranya wang tebusan tidak dibayar, kami akan memukul dan menyiksa anak kapal!"

Begitulah ugutan dari salah seorang ahli gerombolan lanun Somalia.

Dalam berkembangan terbaru yang dilaporkan oleh sumber Lloyd's List, ugutan tersebut adalah tektik rundingan terbaru yang digunakan oleh gerombolan lanun bagi menekan pihak syarikat kapal supaya membayar wang tebusan mengikut jumlah yang mereka tuntut.

Pihak Pertubuhan Maritim Antarabangsa(IMO), melalui ketua keselamatan maritim pertubuhan itu, apabila ditanya mengenai perkembangan terbaru ini berkata, "Amatlah tidak sesuai bagi pihak sekretariat IMO memberi komen berdasarkan cakap-cakap penjenayah. Apa yang penting ialah kerjasama pihak pemerintah Somalia (TFG) dengan para pemimpin puak bagi mengurangkan pengaruh gerombolan lanun dalam masyarakat Somalia bagi menghalang para pemuda Somalia menyertai gerombolan lanun."

Baca kisah ini di Llloyds List DI SINI.

Rabu, 8 Julai 2009

Pelatih Akademi Laut disahkan positif Influenza A ((H1N1)



Sekurang-kurangnya 50 pelatih Akademi Laut Malaysia (ALAM) di Melaka disyaki mengidap Influenza A ((H1N1).

Sumber BERNAMA itu menyebut sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia terdapat tanda-tanda Influenza A ((H1N1) pada 50 pelatih akademi laut tersebut.

Sejak pihak WHO mengisytiharkan wabak itu mencapai Fasa 6 (tahap wabak besar atau pandemik), jumlah kematian setakat ini ialah 96,624 kes dengan 433 kes kematian.

Sumber BERNAMA online boileh dibaca DI SINI.

Suatu hari di Arau




Saya ke utara Semenanjung Malaysia pada hujung minggu lalu dan berkesempatan berkunjung ke rumah sahabat lama.

Antara yang menyeronokkan ialah rumahnya terletak jauh ke dalam, iaitu lebih kurang dua kilometer dari jalan besar.

Suasana rumah beliau sungguh tenang dan menenangkan fikiran. Begitulah hakikat kehidupan di dalam kawasan perkampungan yang jauh dari hiruk pikuk pekan.

Ahad, 28 Jun 2009

Ini rumah impianmu? Siri 1

Mana istana tersergam indah yang kau impikan?
Mana rumah yang kau istilahkan sebagai Little House on the Prairie?
Mana teratak usang dan mana pondok buruk itu?

Mana dia?!
Ini baru kelihatan tanah dari bukit yang dicurah dari lori.

Ini?
Kenapa tanah liat berceceran? Gelong apa itu?

Apa ini?
Perigi?

Tumbuhan apa yang melata di tepi loggokan tanah bukit ini?
Tidak tahu?

Sudah ada buah?
Sudah jadi taman pertanian untuk projek agro tourism?

Mari tenguk dari dekat.... Ya, lagi dekat....
Wah! Mungkinkah kau akan menikmati rasa enak tembikai yang tumbuh di longgokan tanah bukit sebelum kau melihat rumahmu terbina??