Khairul Nizam bertanya, "Ustaz sering memberikan pandangan pro-poligami sehingga ada orang yang memberi gelaran 'Duta Poligami Malaysia' kepada ustaz. Akan tetapi kenapa ustaz sendiri tidak berminat untuk berpoligami?"
Ustaz Redhuan tersenyum seraya menjawab, "Apabila seseorang itu menyukai sesuatu perkara, maka dia akan sering bercakap tentang perkara itu. Jadi bagaimana tuan membuat kesimpulan saya tidak berminat berpoligami?"
Khairul Nizam terkebil-kebil memandang Ustaz Redhuan. Setelah terdiam beberapa ketika dia berkata, "Ustaz juga sering mempromosi sunnah Nabi Muhammad (S.A.W.), tetapi isteri ustaz sendiri masih seorang sahaja sedangkan poligami itu sunnah Nabi."
Ustaz Redhuan berkata, "Tuan Khairul Nizam, saya tidak berpoligami kerana belum ada kelayakan."
Khairul Nizam berkata, "Tentunya ramai calon yang layak, dan saya percaya tidak kurang wanita yang sedia menjadi isteri ustaz yang kedua, ketiga malah yang keempat. Ustaz buka mulut sahaja nescaya ramailah yang ingin menjadi calon."
"Bukan tiada calon yang layak, tetapi lebih kepada saya sendiri tidak layak."
"Maksud ustaz?" Suara Khairul Nizam seperti dia tidak percaya apa yang dia dengar.
"Pandai berceramah di surau dan masjid belum tentu layak berpoligami. Begitulah juga walau kaya raya pun belum tentu berkelayakan. Kebahagian itu tidak terletak pada harta benda atau ilmu pengetahuan."
Khairul Nizam seperti tidak berpuas hati dengan jawapan Ustaz Redhuan yang segak dengan ketayap putihnya dan janggutnya yang sejemput itu.
Ustaz Redhuan menyambung, "Saya mengenali ramai orang yang berpoligami. Ada rumahtangga poligami yang bahagia, tidak kurang pula yang sengsara. Apabila saya bandingkan diri saya dengan para suami yang bahagia berpoligami itu, saya dapati diri saya masih belum setanding dengan mereka. Saya perhatikan mereka mempunyai tahap kesabaran yang tinggi dan sangat bijak mengendalikan politik rumah tangga, sedangkan ciri-ciri itu tidak ada pada diri saya.
"Formula rumah tangga bahagia sedikit berbeza bagi suami yang beristeri seorang daripada yang berbilang isteri. Umpama kapal yang belayar di lautan. Apabila nakhoda berjaya, bahagialah bahtera rumahtangga itu. Sebaliknya bagi nakhoda yang tidak sabar dalam mengemudikannya, kapal bisa terkandas di terumbu karang, terlanggar air batu apung atau benteng pasir, malah boleh sahaja karam."
Hari itu Khairul Nizam mempelajari sesuatu yang menarik tentang pendirian ustaz muda yang kacak yang selama ini digelar 'duta poligami' tetapi masih lagi beristeri satu.
3 ulasan:
Faktor jodoh di tangan Allah pun iya juga, tuan....
ustaz tu ada keinginan...tapi mungkin belum mampu..tengoklah nanti kawin lg tu
hahah!! klaka la jugak!
follow nie.. www.temetemerity.blogspot.com
sya dah follow dah
Catat Ulasan