Selasa, 17 November 2009

Ukur baju di badan sendiri



Khairul Nizam bertanya, "Ustaz sering memberikan pandangan pro-poligami sehingga ada orang yang memberi gelaran 'Duta Poligami Malaysia' kepada ustaz. Akan tetapi kenapa ustaz sendiri tidak berminat untuk berpoligami?"

Ustaz Redhuan tersenyum seraya menjawab, "Apabila seseorang itu menyukai sesuatu perkara, maka dia akan sering bercakap tentang perkara itu. Jadi bagaimana tuan membuat kesimpulan saya tidak berminat berpoligami?"

Khairul Nizam terkebil-kebil memandang Ustaz Redhuan. Setelah terdiam beberapa ketika dia berkata, "Ustaz juga sering mempromosi sunnah Nabi Muhammad (S.A.W.), tetapi isteri ustaz sendiri masih seorang sahaja sedangkan poligami itu sunnah Nabi."

Ustaz Redhuan berkata, "Tuan Khairul Nizam, saya tidak berpoligami kerana belum ada kelayakan."

Khairul Nizam berkata, "Tentunya ramai calon yang layak, dan saya percaya tidak kurang wanita yang sedia menjadi isteri ustaz yang kedua, ketiga malah yang keempat. Ustaz buka mulut sahaja nescaya ramailah yang ingin menjadi calon."

"Bukan tiada calon yang layak, tetapi lebih kepada saya sendiri tidak layak."

"Maksud ustaz?" Suara Khairul Nizam seperti dia tidak percaya apa yang dia dengar.

"Pandai berceramah di surau dan masjid belum tentu layak berpoligami. Begitulah juga walau kaya raya pun belum tentu berkelayakan. Kebahagian itu tidak terletak pada harta benda atau ilmu pengetahuan."

Khairul Nizam seperti tidak berpuas hati dengan jawapan Ustaz Redhuan yang segak dengan ketayap putihnya dan janggutnya yang sejemput itu.

Ustaz Redhuan menyambung, "Saya mengenali ramai orang yang berpoligami. Ada rumahtangga poligami yang bahagia, tidak kurang pula yang sengsara. Apabila saya bandingkan diri saya dengan para suami yang bahagia berpoligami itu, saya dapati diri saya masih belum setanding dengan mereka. Saya perhatikan mereka mempunyai tahap kesabaran yang tinggi dan sangat bijak mengendalikan politik rumah tangga, sedangkan ciri-ciri itu tidak ada pada diri saya.

"Formula rumah tangga bahagia sedikit berbeza bagi suami yang beristeri seorang daripada yang berbilang isteri. Umpama kapal yang belayar di lautan. Apabila nakhoda berjaya, bahagialah bahtera rumahtangga itu. Sebaliknya bagi nakhoda yang tidak sabar dalam mengemudikannya, kapal bisa terkandas di terumbu karang, terlanggar air batu apung atau benteng pasir, malah boleh sahaja karam."

Hari itu Khairul Nizam mempelajari sesuatu yang menarik tentang pendirian ustaz muda yang kacak yang selama ini digelar 'duta poligami' tetapi masih lagi beristeri satu.

Jumaat, 6 November 2009

Harian Metro menyiarkan ulasan buku Bagaikan Khadijah Di Hati Rasulullah



Setelah novel Sherlock Holmes A Study in Scarlet (Kajian Merah Berdarah)edisi Bahasa Melayu diterbitkan, saya menumpukan pula usaha saya untuk menyiapkan sebuah lagi novel penyiasatan detektif perunding yang paling terkenal di dunia itu.

Novel kedua yang saya terjemahkan ialah kisah siasatan beliau di sebuah bungalow mewah di pinggir bandaraya London. Pelbagai adegan yang berlaku dari kota Agra, India hingga ke London, penyiasatan itu akhirnya selesai dalam satu episod kejar mengejar dengan bot laju di Sungai Thames, London.

Setelah selesai novel itu, saya menyelesaikan pula buku tentang kemahiran berunding yang akan diterbitkan sebelum perayaan Maulid Rasul (S.A.W.). Itu pun sudah khatam.

Kini saya mesti menyiapkan buku tulisan bersama saya dan rakan penulis, Saudara Zamri Mohamad. Buku ini harus disiapkan manuskripnya pada bulan Disember ini.

Sebelum ini pada tahun ini, buku karya kami mendapat sambutan yang begitu hangat di pasaran. Khabarnya, cetakan kedua sudah berada di pasaran.

Oleh yang demikian, editor Tuan Ikram telah bersetuju kami mengarang buku susulan bagi buku kami yang pertama itu.

Malam ini, setelah sebegitu lama menumpukan perhatian kepada penulisan dan tidak berpeluang melayari internet dan melawat blog rakan-rakan penulis, saya terjah blog Saudara Zamri.

Rupa-rupanya akhbar Harian Metro telah pun menyiarkan ulasan buku kami pada bulan Oktober yang baru lalu.

Untuk mengetahui buku apakah itu, sila baca DI SINI.

Kelantan vs Negri Sembilan



Walau pun saya bukanlah peminat tegar bola sepak tanah air (Piala Dunia FIFA pun tenguk perlawanan akhir sahaja...), tetapi apabila perlawanan akhir akan diadakan di Stadium Bukit Jalil, iaitu tidak sampai pun 10 kilometer dari rumah saya, maka saya teringin juga untuk menontonnya.

Tambahan pula perlawanan itu akan menemukan Negeri Cik Siti Wan Kembang dan Negeri Adat Perpateh, dua negeri Malaysia yang mempunyai identiti dan keunikannya sendiri, tentunya akan melakar sejarah yang tersendiri dalam arena bola sepak tanah air.

Sudah semestinya saya mengharapkan Kelantan akan menang.

Namun kita berharap semoga pemain kedua-dua pasukan akan bermain dengan semangat kesukanan.

Majulah sukan untuk semua!

Ahad, 1 November 2009

Blog Akademi Laut

Sudah begitu lama saya tidak mengemas-kini blog MEREDAH SAMUDERA ini.

Selepas bercuti sebulan lebih selepas Hari Raya Idilfitri, saya mengalami peristiwa yang menyedihkan, iaitu kamera digital saya diserang oleh sejenis virus yang diberi nama Nadia Saphira. Indah nama virus itu, tetapi kesan terhadap SD kad kemera digital tidaklah seindah namanya!

Walau bagaimana pun demi memulakan semula budaya mengemas-kini blog secara berkala dan lebih kerap, maka saya pun log masuk ke ruangan blogger dan membuat carian dalam enjin google.

Saya seronok apabila terjumpa blog baru yang boleh saya link di sisipan kanan blog ini.

Memang sesuai benar blog itu dengan tema blog MEREDAH SAMUDERA ini.

Syabas pemilik dan administrator blog AKADEMI LAUT MALAYSIA.

Selamat maju jaya.