Sabtu, 30 Ogos 2008

Lanun masa kini

Lanun zaman moden sering menjadikan kapal dagang sebagi sasaran mereka. Lanun masa kini secara umumnya boleh dibahagikan kepada dua kategori.


Pertama, lanun yang menyerang kapal dan mengambil wang dari peti besi nakhoda kapal atau chief steward, kerana wang tunai sentiasa disimpan oleh dua orang ini bagi digunakan membeli keperluan makanan atau sebahagian daripada gaji anak kapal. Lanun kategori ini selalunya tidak mencederakan anak kapal dan apabila mereka telah merampas wang atau barang atau peralatan kapal, mereka akan segera melarikan dengan bot laju. Mereka selalunya menjalankan kegiatan dalam kumpulan yang kecil.


Kedua, lanun kategori ini lebih merbahaya dan lebih kejam kerana mereka merampas (hijack) dan menjadikan anak kapal sebagai tebusan. Banyak kes hijacking melibatkan kecederaan malah kematian anak kapal. Tidak kurang juga kapal yang dirampas itu dirosakkan, malah ada juga yang ditenggelamkan. Lanun kategori ini menjalankan kegiatan mereka dalam kumpulan yang besar. Malah dikatakan mereka melakukan serangan dengan menggunakan bot laju yang dilancarkan dari kapal induk. Ini bererti mereka beroperasi dalam pasukan yang ramai.


Kerugian yang ditanggung oleh pemilik kapal dagang akibat daripada kegiatan lanun masa kini dinggarkan mencecah sehingga 16 billion dolar Amerika setiap tahun. Antara kawasan yang mencatatkan serangan lanun yang tinggi di dunia ialah perairan di antara Lautan Pasifik dan lautan Hindi, luar pantai Somalia dan Selat Melaka serta Singapura. Perairan tersebut menjadi laluan lebih 50,000 buah kapal setiap tahun, jadi tidak hairanlah kegiatan melanun menjadi suatu sumber keuntungan yang besar.


Kapal dagang zaman kini memang mempunyai anak kapal yang sedikit, iaitu sekitar 20 hingga 40 orang sahaja. Ini menambahkan lagi kelemahan yang terdapat pada kapal dagang yang lazimnya tidak dilengkapi dengan senjata api. Gerombolan lanun masa kini pula menggunakan senjata seperti pistol, rifle automatik, dan lengkap dengan alat komunikasi yang canggih seperti walkie-talkie dan telefon satelit dan sistem GPS.


Apabila kapal dagang merentas laluan yang sempit, nakhoda akan memperlahankan kapal bagi mengelakkan kapal terkandas dan tersadai di perairan cetek atau terumbu karang. Ini membuka peluang bagi lanun melakukan serangan dengan menggunakan bot laju dan menaiki kapal dagang itu.


Ada prosedur keselamatan yang perlu diambil oleh pegawai dan kelasi kapal dagang apabila melalui kawasan yang dikenalpasti kawasan kegiatan lanun dan juga semasa kapal berlabuh di dermaga atau di kawasan anchorage di pelabuhan. Antaranya ialah mengadakan kawalan lanun (pirate watch) dan menutup semua pintu dan pot hole kapal. Ini adalah untuk mengalang anggota lanun masuk ke kawasan kabin anak kapal.


Di setiap penjuru kapal ditugas anak kapal berkawal supaya bot yang mendekati kapal akan segera dikesan dan dilaporkan kepada pegawai yang bertugas di bridge (bilik kawalan dan pengemudian kapal). Pegawai bertugas di bridge pula akan segera menghubungi pihak berkuasa meminta bantuan serta bertindak melajukan pergerakan kapal untuk mengelakkan anggota lanun menaiki kapal.


Anak kapal juga ditugaskan supaya menyembur air di atas dek bagi menjadikan kawasan dek licin dan menyusahkan pergerakan anggota lanun sekiranya mereka naik ke atas dek. Selain itu sekiranya lanun dikesan air dari hos paip pemadam api (fire extinguisher water hos) boleh dipancut bagi menembak anggota lanun sebelum mereka sempat memanjat ke atas dek kapal dari bot mereka dan menggunakan senjata api mereka.


Apa pun langkah keselamatan yang diambil, kadang kala tidak dapat mengalahkan tindakan lanun yang lebih pantas dan tangkas serta memiliki kemahiran perang yang tinggi serta lengkap bersenjata api automatik. Besar kemungkinan dalam kes serangan ke atas kapal Bunga Melati Dua termasuk dalam situasi ini.


Sebagai warga negara Malaysia dan sempena hari kemerdekaan negara kita yang ke-51, serta bulan Ramadhan yang mulia dan Hari Hari Raya Idilfitri yang akan menyusul kita berharap anak kapal Bunga Melati akan dapat kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat.


(Akan datang: Kes-kes serangan lanun yang menjadi tajuk berita utama sejak tahun 1990’an)

0 ulasan: