Sabtu, 14 Jun 2008

BMC, 'buka jalan' dan turunkan harga minyak?

Telah sebegitu lama penduduk Bandar Mahkota Cheras (BMC) merana kerana dipaksa membayar tol yang sepatutnya mereka tidak perlu bayar. Akibat karenah pihak syarikat konsesi lebuhraya Grand Saga menutup jalan alternatif yang membolehkan penduduk BMC mengelak daripada membayar tol, penduduk BMC terpaksa membayar tol yang sepatutnya boleh dielakkan.

Telah pelbagai cara penduduk BMC lakukan untuk mengatasi masalah ini. Mereka sudah buat tunjuk perasaan, dan telah membantah serta merayu kepada kerajaan supaya jalan yang ditutup itu dibuka semula, namun tidak dipedulikan oleh pihak konsesi lebuhraya. Pihak kerajaan juga tidak ambil endah.

Akhirnya rakyat Selangor tolak BN dalam Pilihan Raya Umum 2008 pada 8 Mac lalu. Para penduduk BMC pun lantas mengambil initiatif sendiri membuka jalan dengan meruntuhkan sendiri halangan konkrit yang dibina pihak GS yang selama ini memaksa penduduk BMC membayar tol. Namun pihak GS masih tidak berputus asa dan membina semula halangan itu. Sekali lagi penduduk BMC runtuhkan, tetapi kemudian GS bina halangan itu lagi. Dalam peristiwa itu ada penduduk BMC yang cedera akibat diserang oleh sekumpulan orang yang tidak dikenali. Yang peliknya, pihak berkuasa terutama pihak 'keselamatan' membiarkannya sahaja dengan berbagai alasan.

Tetapi apabila MB Selangor 'turun padang' sebagai tanda sokongan kepada rakyat dan penduduk BMC khasnya, pihak kerajaan pusat telah memerintahkan halangan itu tidak dibina semula. Begitulah berkesannya tindakan penduduk BMC.

Saya tidak pernah tinggal di BMC dan mungkin tidak akan tinggal di BMC di masa hadapan. Saya juga tidak punya saudara-mara, sahabat handai atau rakan taulan yang tinggal di BMC. Akan tetapi saya menyokong penuh tindakan penduduk BMC serta bersimpati terhadap nasib mereka dalam menghadapi kes 'tutup jalan/buka jalan' ini.

Kerana kegigihan mereka memperjuangkan nasib mereka sendiri, dan kerana mereka bertindak sedikit 'kurang-ajar' maka baharulah pihak berkuasa mengambil endah.

Jadi mungkinkah pendekatan yang telah diambil oleh penduduk BMC dalam kes 'batu penghalang' ini boleh ditiru oleh rakyat negara ini bagi memperjuangkan kes rakyat untuk menurunkan harga minyak?

Saya percaya jawapan kepada persoalan ini sangat menarik untuk dibincangkan!

0 ulasan: