Selasa, 10 Jun 2008

Rumah Api One Fathom Bank





Rumah api biasanya dibina untuk digunakan sebagai panduan kepada kapal-kapal yang belayar di lautan supaya mengelakkan kapal itu daripada terkandas di kawasan air cetek atau batu karang.

Tidak terkecuali, Rumah Api Permatang Sedepa, atau lebih dikenali sebagai One Fathom Bank, yang terletak lebih kurang 10 batu nautika dari luar pantai Pelabuhan Kelang, dibina untuk panduan kepada kapal-kapal yang belayar di Selat Melaka.

Perjalanan dari jeti Pelabuhan Kelang memakan masa selama satu jam dengan bot laju atau lebih 3 jam dengan bot nelayan.

One Fathom Bank ini dikawal oleh anggota Jabatan Laut Malaysia mengikut giliran syif selama 10 hari setiap satu syif.

Biasanya rumah api terletak di atas bukit, atau di hujung tanjung atau di tepi pantai, tetapi One Fathom Bank dibina di atas benteng pasir di tengah-tengah perairan Selat Melaka. Benteng pasir itu dikatakan akan timbul apabila air surut.

Selain menjadi panduan kapal di Selat Melaka, One Fathom Bank juga terkenal di kalangan pemancing tegar sekitar Pelabuhan Kelang dan Kuala Lumpur, kerana dikatakan hasil tangkapan ikan dari situ sentiasa tidak mengecewakan para pengail.

0 ulasan: