Jumaat, 30 Mei 2008

Ayat-ayat Al-Qur'an mengenai ilmu maritim

Apabila diteliti terjemahan Al-Qur'an, kita akan menemui beberapa ayat
mengenai ilmu kelautan dan maritim yang digezetkan dengan terang dan
jelas.

Tiga di antara ayat-ayat itu ialah:

(1) Surah AnNahl 14: "Dan Dialah yang memudahkan laut, supaya kamu
dapat makan daripadanya daging yang lembut hidup-hidup dan dapat pula
mengeluarkan daripadanya benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya
dan (selain itu) engkau melihat pula kapal-kapal belayar padanya dan
lagi supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya dan supaya
kamu bersyukur."

(2) Surah Al-Isra' Ayat 70: "Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan
anak-anak Adam dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai
kenderaan di darat dan di laut dan Kami telah memberikan rezeki kepada
mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan
mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah
Kami ciptakan."

(3) Surah Yunus, Ayat 22: "Dialah yang menjalankan kamu di darat dan
di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan berbagai jenis
kenderaan); sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera dan bahtera
itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan
angin yang baik dan mereka pun bersukacita dengannya; tiba-tiba
datanglah kepadanya angin ribut yang kencang dan mereka pula didatangi
ombak menimpa dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka
diliputi oleh bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah
dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata (sambil
merayu dengan berkata): Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah)
selamatkan kami dari bahaya ini, kami tetap menjadi orang-orang yang
bersyukur."

Topik poligami jadi hangat

Setelah topik poligami dibincangkan di sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, lebih fokus diberi kepada MP Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, mungkin kerana beliau merupakan seorang tokoh politik yang kontroversi, sebagaimana kontroversinya topik poligami.

Puan Ainon pun membuat entri terbaru dalam blog beliau. [DI SINI].

MSO pun tidak ketinggalan membuat komen yang panjang lebar di blog beliau. [DI SINI].

Secara peribadi saya berharap agar topik ini dibincangkan lagi secara lebih meluas oleh semua pihak. Semoga ia menjadi lebih kontroversi dan semakin ramai yang memberi komen, sama ada pro atau kontra.

Adalah diharapkan fkus kepada topik ini akan menhangatkan lagi jualan buku-buku yang berjudul yang berkaitan!

Ahad, 25 Mei 2008

Kenangan Terusan Panama





"Apa persamaan di antara Terusan Suez dan Terusan Panama, kapten?" saya bertanya seorang rakan bekas pelaut.

"Kedua-duanya terusan itu digali oleh manusia dan menyingkatkan perjalanan kapal," jawab beliau.

"Apa kenangan yang kapten paling tidak dapat lupakan semasa melalui Terusan Panama?"

"Ada dua perkara yang sesiapa pun tidak akan dapat lupakan mengenai terusan itu. Yang pertama sekali setiap kapal perlu melalui beberapa kunci air."

"Kenapa perlu ada kunci air, kapten?"

"Encik Imran tentu tahu paras air di Lautan Atlantik berbeza daripada Lautan Pasifik?"

"Oh, begitu. Habis bagaimana mereka selesaikan masalah dengan pergerakan kapal?"

"Jadi setiap kapal perlu ditarik dengan keretapi apabila melalui kunci air tersebut."

"Apa perkara yang kedua, kapten?"

"Air tawar terpaksa dipam dari Tasik Gatun untuk mengisi air yang kering setiap kali kunci air dibuka."

24 Mei 2008 (2)





24 Mei 2008







Jumaat, 23 Mei 2008

Apa pelaut buat di masa lapang?

"Apa pelaut buat di waktu lapang, Chief?" tanya saya. Chief ialah gelaran yang lazimnya diberi kepada pegawai kapal dagang yang berjawatan Chief Engineer atau Chief Officer.

"Tenguk keadaan," jawab beliau.

"Menulis surat kepada keluarga, ya Chief?"

Beliau tersenyum, dan menjawab, "Ada juga yang menulis puisi. Ramai pelaut menjadi kreatif apabila ada masa lapang. Tambahan pula suasana di lautan, terutama di waktu malam bulan terang, dan ketika langit terang kelihatan bintang berkerdipan. Bersama simfoni desiran ombak dan bayu berhembus..."

"Wah, Chief pun ada gaya pemuisi!"

Beliau tersengih sambil menyambung, "Itulah saya kata, pelaut ramai yang kreatif. Ada yang bermain dart di dewan rekreasi. Ada juga yang berada di bridge, menikmati keindahan laut dan pemandangan dari atas dek. Ada pula yang menonton movie. Tidak kurang juga yang berihat di kabin."

"Apabila kapal berlabuh, ramai yang bersiar-siar di darat, ya Chief?"

"Itu sudah menjadi suatu kepastian. Bila lagi hendak melihat-lihat negeri orang."

Khamis, 22 Mei 2008

Pengalaman melintasi Terusan Suez




"Berapa meter lebar Terusan Suez, kapten?" pernah saya bertanya kepada
seorang rakan bekas pelaut.

"Sekadar dapat kapal besar lalu, tetapi tidaklah lebar sangat," jawab
beliau. "Dari Suez di sebelah selatan hingga ke Port Said di utara,
lebih kurang 163 kilometer. Paling sempit sekadar 300 meter sahaja
lebarnya."

"Berapa lama kapal melintasinya?"

"Paling lama sampai 16 jam," jawab beliau. "Paling cepat 11 jam."

"Berapa draft (dalam) maksima kapal?"

"Sekarang masih masih lagi 16 meter."

"Ertinya kapal supertanker yang membawa muatan minyak (draft 25 meter)
mesti melalui Tanjung Pengharapan (Cape of Good Hope, Afrika
Selatan)?"

"Sebenarnya ada cara untuk membolehkan supertanker lalu Terusan Suez juga."

"Oh, bagaimana caranya, kapten?"

"Sebahagian daripada kargo minyak itu dimuatkan ke dalam kapal lain,
sehingga draft supertanker jadi 16 meter."

"Lepas itu apabila melepasi terusan, kargo itu dimuat semula, ya kapten?"

"Ya, begitulah caranya."

Rabu, 21 Mei 2008

Detik pilu seorang pelaut

"Kapten, bilakah saat paling sedih bagi seorang pelaut?" tanya saya kepada seorang rakan bekas pelaut.

Beliau termenung sejenak sebelum menjawab. Saya perhatikan air mukanya berubah sedikit, mungkin seribu kenangan sedang diulang tayang dalam fikirannya ketika itu.

"Ada beberapa waktu yang tidak dapat dilupakan, Encik Imran."

"Ketika menyambut hari raya semasa belayar, ya kapten?"

"Ya, itu pun detik pilu juga. Akan tetapi ada lagi waktu yang menyentuh perasaan. Kalau bagi yang bujang di saat menerima surat putus cinta dari kekasih."

"Ketika berihat semasa kapal sedang belayar dan terkenang anak isteri pun merupakan saat yang agak emosional. Bukan begitu, kapten?"

"Memang benar, Encik Imran. Saat-saat begitu memang sering dilalui. Bagi saya sendiri ada satu detik yang paling saya tidak tahan melaluinya. Walau pun setelah 15 tahun saya belayar (istilah bagi bertugas sebagai pelaut), masih juga saya merasa sayu apabila melalui saat itu."

"Bilakah saat pilu itu, kapten?"

"Saya merasa sayu sangat apabila saya mahu keluar rumah untuk naik kapal. Waktu nak sign-on. Itulah saat yang menyayat hati bagi saya, kerana saya tahu saya tidak akan dapat bertemu anak isteri dalam masa enam atau sembilan bulan."

Ketika itu saya dapatlah saya memahami kenapa air muka beliau berubah ketika saya mula bertanya soalan tadi!

Selasa, 20 Mei 2008

Pelaut ada peluang menyimpan wang

Warga kerjaya yang bertugas di pejabat biasanya tidak dapat lari dari menanggung kos seharian, seperti belanja pengangkutan (petrol, tol atau tambang bas), sarapan dan makan tengah hari, dan mungkin bayaran tempat letak kereta.

Namun pelaut yang bertugas di kapal dagang, kos ini tidak perlu ditanggung.

Seorang pelaut pernah bercerita, "Kami ada peluang keemasan untuk berjimat."

"Maksud kapten pelaut tidak perlu bayar cukai pendapatan?"

"Itu pun salah satu sebab."

"Saving apa lagi, kapten?"

"Encik Imran, kami tidak bayar tambang bas atau keretapi dan tol atau tempat letak kereta. Kami pun tidak perlu bayar sewa rumah. Semua ditanggung beres."

"Perbelanjaan makanan pun sudah ditanggung syarikat, ya kapten?"

"Benar begitu, Encik Imran. Kami dapat gaji bersih." (Yang beliau maksudkan ini kos itu semua tidak perlu dia bayar semasa dia bertugas di kapal sahaja)

"Tapi peluang berseronok dan membeli-belah apabila kapal berlabuh di pelabuhan asing pun ada juga, ya kapten?"

"Ha, ha, ha, itulah istimewanya kerjaya pelaut! Peluang melaburkan wang terbuka luas. Akan tetapi peluang meleburkan wang pun tidak kurang luas juga."

Laut yang tenang



"Adakah laut sentiasa bergelombang?" tanya saya kepada seorang bekas pelaut. Mungkin soalan ini begitu mudah yang hanya ditanya oleh pelajar sekolah rendah.

Akan tetapi bekas pelaut ini seorang yang mesra dan bersopan santun, maka dia meraikan soalan mudah saya itu, "Laut yang sentiasa bergelombang itu stereotype sebenarnya. Lazimya laut sentiasa berombak, maka tidak timbul laut sentiasa bergelombang. Namun begitu ada waktu tertentu laut itu tenang."

"Cumanya tidak mungkin setenang air tasik. Begitu, kapten?"

"Jangan terperanjat, Encik Imran. Ada waktunya air laut lebih tenang daripada air tasik. Malah ketika melihat air laut yang tenang itu kita tidak menyangka ia boleh menjadi gelombang yang menggunung."

Hakikat ini tentunya tidak asing lagi bagi para nelayan, pemancing, pekerja pelantar minyak dan para pelaut.

Isnin, 19 Mei 2008

Berita Gempar di Hari Cuti - Tun Mahathir Keluar UMNO!

Ramai warga negara sedang berihat di rumah atau balik ke kampung untuk menghabiskan cuti hujung minggu ini yang bersekali cuti umum hari Wesak.

Tetapi ternyata ketenangan itu dikejutkan dengan berita gempar Tun Dr Mahathir keluar UMNO.

Sejarah merakamkan beberapa orang bekas PM Malaysia yang keluar UMNO dan tidak masuk semula sehingga ke akhir hayat mereka.

Adakah sejarah bakal berulang?

Mungkinkah ini sekadar salah satu strategi Tun M yang memang terkenal licik dengan langkah politik yang kadang-kadang sukar ditafsir?

Apa pun, ternyata tindakan beliau bakal menghangatkan lagi suasana politik tanah air yang masih belum reda selepas kejutan keputuan PRU ke-13 pada 8 Mac lalu.

Sebahagian Gaji Pelaut untuk Keluarga

Mungkin kita tertanya-tanya bagaimana seorang pelaut mengirimkan wang kepada anak isteri serta emak dan ayah semasa mereka bertugas di atas kapal yang sering belayar di laut.

Adakah mereka mengirimkan wang menggunakan Western Union atau Moneygram apabila kapal berlabuh di pelabuhan? Mungkinkah mereka membuat arahan tetap atau standing instruction (SI) kepada bank supaya setiap bulan wang dikreditkan ke akaun emak, ayah dan anak isteri?

Sebenarnya Western Union, Moneygram atau SI memang boleh digunakan. Akan tetapi ada satu cara lagi yang lebih kerap digunakan, iaitu dengan kemudahan yang disediakan oleh beberapa syarikat perkapalan yang menjadi majikan kepada pelaut. Kemudahan itu dikenali sebagai Home Allotment (HA).

Degan kemudahan ini pihak syarikat akan mengkreditkan sebahagian daripada gaji pelaut ke akaun isteri atau ahli keluarga terdekat. Dengan demikian setiap bulan keluarga pelaut akan mendapat mendapat bekalan belanja tanpa masalah. Lazimnya jumlah yang dikreditkan ke akaun keluarga pelaut ialah sepertiga daripada gaji bulanan pelaut.

Ahad, 18 Mei 2008

Pilot di pelabuhan

Pernah saya bertanya seorang pelaut yang berjawatan Master Mariner mengenai pilot di pelabuhan, "Kapten, bagaimana saya hendak saya terangkan dengan bahasa mudah mengenai pilot di pelabuhan?"

Beliau tersenyum mendengar soalan saya.

"Senang sahaja Encik Imran," jawabnya. "Semua kapal, sama ada yang besar atau yang kecil perlu dikendali dengan teliti apabila mendekati jeti. Bagi sampan, pendayung sampan harus pandai mendekatkan sampan ke tepi jeti. Bagi bot nelayan pula, jurumudi mesti cekap mengendalikan bot mendekati jeti."

"Bagi kapal besar seperti kepal dagang, kerja itu lebih rumit, ya kapten?"

"Benar kata Encik Imran. Malah jika sampan atau bot nelayan terlanggar jeti, kerosakannya tidak sampai menyebabkan kos yang tinggi. Berbeza sekali dengan kapal dagang yang besar. Ada dua masalah utama bagi kita mengendalikan kapal dagang. Pertama kita mesti elak kapal daripada terkandas di perairan cetek di kawasan pelabuhan. Kedua kita tidak mahu kapal berlanggar dengan kapal-kapal, bot-bot kecil, sampan, boya, rumah api yang begitu banyak di dalam kawasan pelabuhan, termasuklah dermaga. Maka sebab itulah khidmat pilot diperlukan bagi membawa kapal ke kawasan pelabuhan sehingga kapal berjaya dirapatkan ke dermaga dengan selamat."

"Apa pra-syarat untuk menjadi pilot pelabuhan, kapten?"

"Lazimnya seseorang pilot pelabuhan bekas kapten kapal."

"Wah, kalau begitu senanglah nakhoda kapal berkomunikasi dengan pilot. Sama-sama pelaut."

"Begitulah keadaaannya. Nakhoda ialah pelaut yang masih berkhidmat di laut, manakala pilot pula bekas pelaut yang berkhidmat dari darat."

Dari penerangan rakan saya itu, saya sudah nampak peluang nakhoda kapal yang mahu 'bersara dari menjadi pelaut' tetapi masih mahu kekal berkhidmat dalam sektor maritim, terbuka luas.

Bukan senang bagi para pelaut meninggalkan dan melupakan profesion yang mendarah daging serta telah sebati dengan jiwa mereka itu.

Baltic Exchange pasaran urusniaga perkapalan global

Nama Baltic Exchange memang sudah tidak asing lagi di kalangan pengamal urusniaga perkapalan di seluruh dunia sejak 250 tahun yang lalu.

Baltic Exchange adalah sebuah syarikat Inggeris yang menjalankan operasi urusniaga perkapalan dunia. Ia mula menjalankan operasi sejak tahun 1744 lagi, tetapi hanya ditubuhkan sebagai sebuah syarikat pada tahun 1900.

Baltic Exchange menjadi pasaran bagi para broker kapal, pemilik kapal dan charterer (penyewa kapal) menjalankan urusniaga. Syarikat ini menerbitkan maklumat harga pasaran bagi tambang kapal dan index harga perkapalan dan futur tambang kapal (freight futures).

Selain itu Baltic Exchange juga menyediakan maklumat mengenai semua pelabuhan di dunia serta menjadi sebuah pasaran perkapalan seluruh dunia, dan juga menjadi tempat bagi menyelesaikan masalah pihak yang bertelingkah dalam perkara urusniaga perkapalan.

Hari ini Baltic Exchange dimiliki oleh syarikat-syarikat yang menjadi ahli Baltic Exchange, yang terdiri daripada pelbagai syarikat yang terlibat dalam urusniaga kapal dagang.

Untuk melayari lama web rasmi Baltic Exchange, sila klik DI SINI.

Sabtu, 17 Mei 2008

Flag of Convenience

Mengikut undang-undang maritim antarabangsa, setiap kapal dagang yang beroperasi di laut mesti didaftarkan, dan akan memasang bendera negara mana kapal itu didaftarkan, yakni membawa bendera negara itu.

Pada peringkat awal era kapal dagang, lazimnya kapal dagang akan didaftarkan di negara tuan punya kapal itu. Namun, pada sekitar tahun 1920'an, pemilik kapal dagang mula mendaftarkan kapal-kapal dagang mereka di negara ketiga. Maka kapal-kapal dagang ini dikatakan membawa bendera negara ketiga atau Flag of Convenience (FOC).

Objektif utama langkah ini diambil ialah untuk mengurangkan kos operasi dan mengelakkan dari peraturan yang dikenakan oleh negara tuan punya kapal.

Setakat tahun 2000, majalah The Economist terbitan bulan Mei mendedahkan 50 peratus daripada kesemua kapal dagang seluruh dunia adalah pembawa Flag of Convenience. Pemilik kapal pembawa FOC dilaporkan dapat mengurangkan pembayaran cukai yang tinggi yang dikenakan oleh negara asal kapal itu sekiranya didaftarkan di negara asal. Di samping itu pemilik kapal pembawa FOC juga dapat mengambil pekerja kapal dari negara yang ditawarkan gaji yang lebih rendah.

Bagaimana pun, ada pihak yang menentang pendaftaran kapal dagang Flag of Convenience kerana langkah ini akan mengurangkan pendapatan negara pendaftar kapal yang mengenakan peraturan perkapalan dagang yang lebih ketat; dan akan menurunkan tahap keselamatan dan kebajikan pekerja kapal dagang yang membawa Flag of Convenience.

Hari ini, dua negara yang mendaftarkan paling banyak kapal dagang melalui skim Flag of Convenience ialah Panama dengan lebih daripada 4,900 buah kapal dan Liberia dengan lebih daripada 1,900 buah kapal.

Jumaat, 16 Mei 2008

Tanggung 3 orang isteri dengan RM1,500 sebulan

Seorang suami yang berpendapatan RM1,500.00 sebulan diberitakan menanggung 3 orang isteri dan 18 orang anak.

Difahamkan juga beliau akan menambah seorang isteri lagi menjadikan isterinya empat orang -- cukup kuota (!).

Saya percaya sekiranya beliau menulis buku panduan poligami, buku itu akan menjadi best-seller!

Kisah menarik ini boleh dibaca DI SINI.

Meneropong minda pelaut

Antara perkara yang menarik dalam kerjaya seorang pelaut ialah cuti yang lama.

Menjadi suatu kebiasaan, pelaut belayar selama enam bulan apabila bertugas di kapal tanker atau sembilan bulan di kapal laluan tetap (liner), kemudian dia sign-off dan cuti atau off-duty selama dua atau tiga bulan.

Saya pernah bertanya kepada seorang pelaut berpangkat Master Mariner, "Kapten buat apa semasa cuti lama?"

"Wah, banyak kerja yang boleh dibereskan. Lepas itu bawa anak isteri bawa keluarga bercuti."

Seorang pelaut berpangkat Chief Officer menjawab, "Saya berkebun, tanam anak-anak pokok kelapa sawit. Bersihkan lalang dan rumput dan mini-belukar yang tidak terjaga selama enam hingga sebulan sebelumya."

Seorang pelaut lain yang berpangkat Chief Engineer menjawab, "Saya bersihkan dusun durian saya. Kalau cuti berkebetulan dengan waktu saya sign-off, dapat saya pungut durian dan bahagi-bahagikan kepada saudara-mara dan jiran-jiran."

Seorang pelaut berpangkat biasa menjawab, "Saya menolong ayah saya menoreh getah dan pungut kelapa. Insya Allah bila duit dah cukup saya nak beli tanah untuk diusahakan."

Begitulah para pelaut yang sentiasa memikirkan kemajuan diri dan keluarga. Saya percaya mereka mempunyai kesedaran serta motivasi yang tinggi melalui pengalaman kerjaya maritim yang mendapat peluang melihat negara orang.

Oleh yang demikian mereka fikiran mereka terbuka dan dapat melihat peluang dan merebutnya.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)




APMM dilancarkan dengan rasminya pada 21 Mac 2006, melalui penguatkuasaan Akta APMM (Akta 633), dengan cogankata "Mengawal, Melindung, Menyelamat."

Sebelum APMM ditubuhkan tugas penguatkuasaan maritim negara ini dijalankan oleh lapan (8) agensi iaitu Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM), Polis Marin, Jabatan Kastam dan Eksais DiRaja (KDRM), Jabatan Laut, Jabatan Perikanan, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Imigresen.

Kajian yang dijalankan oleh pihak kerajaan menunjukkan tugas penguatkuasaan maritim oleh lapan agensi ini boleh diperkemaskan dan diperbaiki lagi sekiranya tugas itu dijalankan oleh satu entiti. Maka tertubuhlah APMM.

Pihak APMM bertugas 24 jam sehari mengawal perairan negara, terutama sekali di sekitar 12 batu nautika dari pesisir pantai negara.

Model operasi APMM hampir sama dengan Pengawal Pantai Amerika Syarikat (US Coast Guard).

Laman APMM boleh dilihat DI SINI.

Khamis, 15 Mei 2008

Istimewanya bidang maritim!

Sekitar tahun 2002-2003, sebuah syarikat perkapalan di Malaysia
menawarkan para pekerja eksekutif dan pengurus syarikat itu untuk
berhenti kerja di bawah "skim pemberhentian sukarela" (VSS).

Objektif VSS itu diberikan ialah kerana syarikat sudah diambil alih
oleh sebuah syarikat lain. Maka pihak syarikat di bawah pengurusan
yang baru berpendapat untuk menyerapkan budaya kerja yang baru maka
majoriti para pekerja yang sedia ada perlu ditukar ganti dengan
muka-muka baru. Sebab lain pula mungkin pekerja dari syarikat yang
mengambil-alih itu hendak diserapkan ke dalam syarikat perkapalan itu.

Saya bertanya kepada beberapa orang rakan sekerja yang telah menerima
tawaran VSS itu untuk mengetahui apa yang mereka akan buat selepas
'bersara.'

"Kapten, apa nak ke mana selepas ini?"

"Saya nak rehat dulu. Bagi saya, kalau saya nak dapatkan kerja di
mana-mana syarikat perkapalan, emm…, tak jadi masalah besar."

"Saudara nak buat apa lepas ini?"

"Saya akan ke RTM."

"RTM? Saudara akan bertugas di Angkasapuri?" Saya agak kehairanan
kerana memikirkan apa pula kena-mengena bidang maritim dengan
penyiaran.

"Relaks, Tidur, Makan.!" Dia menjawab sambil tersenyum. Saya tergelak.

Akhirnya, lebih separuh daripada para eksekutif dan pengurus yang
menerima tawaran VSS.

Tidak berapa lama selepas itu, saya bertemu beberapa orang daripada
mereka. Saya dimaklumkan, mereka semua telah bekerja, kecuali seorang
dua saja terus bersara dari alam pekerjaan.

Komen mereka apabila saya katakan, "Senangnya dapat kerja baru..,"
ialah, "Itulah istimewanya bidang maritim!"

Selasa, 13 Mei 2008

Kenapa guna kontena?



Tidak berapa lama dahulu barangan diangkut dengan kapal di dalam berbagai bentuk bekas seperti guni, kotak, kotak kayu, tong dram, ikatan dan sebagainya.

Lazimnya, kesemua barangan ini dimuat dari dermaga ke kapal dan dipunggah dari kapal ke dermaga dengan pengangkut yang berbentuk jaring. 'Jaring' itu dicangkuk dengan kren dan barangan pun dapat dimuat dan dipunggah. Cara ini telah menimbulkan banyak masalah seperti barangan mudah rosak, pecah atau hilang (baca dicuri!).

Cara begitu masih terus lagi digunakan sehingga sekarang, tetapi kini, lebih daripada 90% produk bukan-pukal yang diangkut dengan kapal diisi dalam kontena.

Sesungguhnya mengangkut barangan atau kargo dengan kontena ini ternyata lebih selamat dari ancaman pecah, rosak atau hilang dalam transit, dengan syarat barangan mesti melalui proses packing mengikut spesikasi, dan kontena tidak jatuh ke dalam laut atau pecah ketika kapal dilambung gelombang laut di waktu ribut.

Ukuran panjang kontena yang popular ialah 20 kaki (twenty equivalent unit, TEU) dan 40 kaki (forty equivalent unit, FEU).

Sistem nombor kontena biasanya berbentuk XXXU 123456-N, yang mana "XXX" ialah ringkasan syarikat perkapalan atau syarikat leasing, "U" bermaksud unit. "123456" pula ialah nombor nombor siri enam angka yang digunakan mengikut sistem kod syarikat yang membawa erti jenis kontena, ukuran panjang, lebar dan dalam kontena tersebut, manakala "N" adalah satu angka yang diistilahkan sebagai check digit, iaitu nombor yang didapati setelah dijalankan proses 'modulus 9' atau 'modulus 11' kepada enam angka nombor siri itu tadi.

Sebagai contoh, apabila melihat kontena yang bernombor CGMU 480475-2, seorang pakar kontena sudah dapat mengagak kontena itu kepunyaan kumpulan syarikat perkapalan Perancis, iaitu CMA-CGM, dan kontena itu berukuran 40 kaki panjang (satu unit FEU), 8 kaki lebar dan 8.5 kaki tinggi, dari jenis refrigerated (beku).

Oleh kerana kompleknya perbincangan mengenai kontena hari ini, ia sudah menjadi satu bidang kajian yang tersendiri!

IKMAL jadi jambatan pelaut

IKMAL ialah nama ringkas bagi Institut Kelautan Malaysia, iaitu sebuah organisasi profesional maritim yang ditubuhkan pada tahun 1985 bagi mengumpulkan mereka yang terlibat dalam industri maritim di negara ini. Objektif IKMAL ialah untuk mengembangkan pembangunan sains dan amalan profesion maritim dan menggalakkan kecemerlangan semua bidang berkaitan industri maritim.

Buat masa ini sebahagian besar aktiviti IKMAL ialah menganjurkan persidangan, seminar dan forum berkaitan dengan maritim, selain menerbitkan majalah Journal of Maritime Malaysia, serta memberikan khidmat nasihat yang berkaitan dengan hal-ehwal maritim kepada ahli-ahlinya dan industri maritim tanah air. IKMAL juga menjadi jambatan kepada para profesional maritim untuk membina rangkaian serta hubungan dengan berbagai agensi kerajaan dan organisasi maritim dalam dan luar negara.

Keahlian IKMAL terbuka kepada semua yang terlibat dengan industri maritim termasuk master mariner, pegawai dek, jurutera marin, radio officer, pilot marin, pensyarah marin, surveyor marin, eksekutif pelabuhan dan perkapalan, eksekutif marin, peguam maritim, dan lain-lain ahli profesional maritim.

Manakala keahlian korporat IKMAL pula terdiri daripada syarikat perkapalan, pihak berkuasa pelabuhan, operator pelabuhan dan terminal, syarikat forwarding dan logistik, jurutera dan perkhidmatan marin, institusi latihan maritim, syarikat perkhidmatan maritim, syarikat perkhidmatan dan perunding maritim, dan lain-lain syarikat maritim.

Laman web IKMAL boleh dilihat DI SINI.

Selain itu link industri maritim IKMAL pula boleh dilihat DI SINI.

Isnin, 12 Mei 2008

Parti AKP Turki akan ditutup!

Pendakwaraya Turki sudah membawa kes ke Mahkamah Perlembagaan, menuntut Parti AKP ditutup atas tuduhan menjalankan kegiatan mengancam sekularisme.

Yang pelik bin ajaib ialah parti yang diheret ke mahkamah ialah parti kerajaan yang memerintah Turki! Begitulah cengkaman puak sekular di Turki!

Pihak AKP dikatakan sudah bersedia menyediakan hujah mempertahankan diri dari sudut legal, tetapi ramai pemerhati politik dari dalam dan luar Turki berpendapat, peluang AKP diharamkan oleh Mahkamah Perlembagaan itu bukan setakat 95% tetapi 100%.

Selain daripada menyediakan hujah balas dari segi perundangan, pihak AKP di bawah pimpinan Perdana Menteri Recep Tayyib Erdogan, dikatakan sudah menyediakan perancangan rapi bagi menghadapi kemungkinan diharamkan dan ditutup.

Antara lain desas-desus ialah termasuk membawa suatu referandum pindaan perlembagaan yang menjadikan rumit untuk pihak mahkamah mengharamkan mana-mana parti politik Turki. Sekiranya parti-parti lain di parlimen enggan menyokong pindan itu, kerajaan Turki pimpinan AKP akan membawa cadangan itu bersama pilihanraya majlis tempatan dan pilihanraya umum sekali lagi.

Para pemerhati politik menjangkakan sekiranya diadakan pilihanraya parti AKP akan menambah sokongan sehingga melebihi 50 peratus!

Apakah yang akan berlaku selepas ini? Sama-samalah kita lihat.

Kad Jemputan Majlis Walimah

"Encik Hassan masih tinggal lagi di Serdang?"

"Dia sudah pindah. Mereka sudah tinggal di rumah baru mereka di Taman Seri Putera."

"Dia bawa Rokiah saja, ya?"

"Eh, taklah. Semua ikut pindah!"

"Fizah dan Noni pun pindah sama?"

"Yalah. Rokiah, Fizah dan Noni bersama-sama Encik Hassan dan anak-anak mereka semua sudah jadi warga Taman Seri Putera sekarang."

"Kad jemputan walimah anak kita sudah hantar kepada mereka?"

"Sudah, bang. Saya tak dapat jumpa Encik Hassan di pejabat mereka. Saya cuma jumpa Rokiah. Jadi saya berikan kad itu kepadanya."

"Satu kad untuk semua, ya?"

"Ya, bang. Tak apa. Kalau beri 3 atau 4 kad pun mereka akan datang satu MPV juga."

Pernah terfikir hendak jadi penulis sepenuh masa?

Pernahkah anda terfikir menjadi penulis sepenuh masa?

Saya pernah. Tetapi hasrat saya itu diberi komen menarik oleh isteri saya.

"Buku abang belum mencapai sejuta pembaca lagi. Penulis best seller Inggeris dan Amerika mendapat royalti berjuta pound dan berjuta dolar. Apabila royalti abang mencecah sejuta ringgit, memang abang tak pandang dah duit gaji kerja abang tu.."

Saya renungi pendapat itu dan saya merasa setuju dengan pandangan beliau.

Saya pernah membayangkan diri saya sebagai penulis best seller yang mendapat royalti yang lumayan. Selalu sahaja saya menjelajah seluruh negara, malah seluruh dunia. Sebaik sahaja check-in ke hotel, saya masuk ke bilik dan membuka komputer lap-top saya dan idea menulis pun datang mencurah-curah. Saya menulis sehingga larut malam. Dalam sehari sudah boleh siap 100 ms lebih. Dalam masa seminggu di hotel itu saya sudah siapkan sebuah novel dan saya singgah di pejabat pos untuk menghantar manuskrip kepada penerbit melalui pos laju!

Sesudah itu saya pun meronda bandar itu bagi merihatkan minda dan pada masa yang sama saya sudah mendapat idea baru untuk novel yang seterusnya! Indah sungguh fantasi itu!

Saya tersentak sambil melihat senarai kerja penulisan yang menanti saya: travelog, jibunsyi, novel remaja, proposal buku pengurusan dan buku Menjadi Pujaan Suami -- semuanya menuntut disiapkan segera.

Aduhai! Sesungguhnya aku rentung di muara penulisan.

"Cepat! Siapkan!!!"

Ahad, 11 Mei 2008

Hari-hari yang berkabus

Setiap orang penulis pernah melalui hari-hari yang berkabus. Inilah istilah saya bagi menceritakan waktu-waktu hasil tulisan agak kurang.

Kalau ada pun hanyalah mengemaskini blog. Itu pun bukan setiap hari. Tambahan pula bagi mereka yang memiliki lebih daripada satu blog.

Ada kawan yang memberi komen saya sebagai seorang penulis blog seperti pengamal poligami. Saya setuju dengan pandangan beliau!

Walau bagaimana pun apabila mengerjakan blog terbaru saya, Meredah Samudera, saya dapati potensi blog ini untuk terus 'maju' adalah besar.

Pertama kerana buku tulisan saya sudah diterbitkan.

Kedua, kerana bidang maritim itu sendiri begitu luas dan informatif, serta skopnya luas. Jadi bahannya banyak dan tidak putus-putus.

Semoga blog 'Meredah Samudera' akan dikemaskini berterusan dengan bahan-bahan yang menarik.

Serangan lanun terhadap kapal dagang

Serangan lanun ke atas kapal-kapal dagang merupakan salah satu cabaran utama kepada operasi perkapalan dagang di seluruh dunia.

Mengikut perangkaan yang dikeluarkan oleh Biro Maritim Antarabangsa (International Maritime Bureau, IMB), bagi suku tahun 2008, terdapat 49 serangan lanun yang dilapurkan kepada Pusat Laporan Rompakan Lanun (Piracy Reporting Centre), berbanding 41 serangan pada suku tahun 2007. Pusat Laporan Rompakan Lanun yang terletak di Kuala Lumpur ini ditubuhkan pada tahun 1992 oleh pihak IMB bagi memantau kegiatan lanun untuk tujuan mengurangkan serangan lanun.

Sejumlah 36 buah kapal telah berjaya dinaiki oleh lanun, manakala sebuah kapal dirampas. Tujuh orang anak kapal dijadikan tebusan, enam diculik, tiga orang dibunuh dan seorang dilaporkan hilang - dianggap mati. Dalam kebanyakan kes tersebut, lanun itu dilaporkan lengkap dengan senjata api dan parang. Ini menunjukkan ancaman kekerasan terhadap anak kapal masih ditahap yang tinggi.

Lakaran peta lokasi serangan lanun boleh dilihat DI SINI.

Cabaran ini mesti ditangani secara bersama oleh para pelaut dan pihak berkuasa dengan mengambil langkah berwaspada dan tindakan pro-aktif. Ini termasuklah membuat giliran mengawas keadaan sekeliling laluan kapal serta bersedia mengambil tindakan bagi mengelakkan peluang lanun menaiki kapal.

Sabtu, 10 Mei 2008

Kenali Pelabuhan: Port Kelang




(Pemandangan Pelabuhan Barat dilihat dari Tanjong Harapan, Pelabuhan Utara)

Pelabuhan Kelang dikatakan dibina pada tahun 1893, iaitu semasa Inggeris masih menjajah negara ini. Pada ketika itu pelabuhan itu dikenali sebagai Port Swettenham. Pelabuhan terletak di muara Sungai Kelang dalam negeri Selangor.

Pada tahun 1963, Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) ditubuhkan bagi mentadbir Pelabuhan Selatan, Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat. Sebelum daripad aitu, Pelabuhan Kelang hanyalah Pelabuhan Selatan dan ketika itu ditadbir oleh Keretapi Tanah Melayu (KTM).

Hari ini Pelabuhan Utara diuruskan oleh Northport (Malaysia) Berhad, iaitu gabungan dua syarikat, iaitu Kelang Container Terminal (KCT) dan Kelang Port Management (KPM). Pelabuhan Selatan kini diuruskan oleh Northport (Malaysia) Berhad. Pelabuhan Barat pula diuruskan oleh West Ports Berhad.

Bagi mereka yang ingin ke Pulau Ketam atau ke Indonesia (Sumatera), perkhidmatan feri disediakan di Pelabuhan Selatan. Di pelabuhan ini juga terdapat stesen KTM Komuter, Pelabuhan Kelang.

Peta di bawah ini menunjukkan lokasi ketiga-tiga pelabuhan tersebut:




Maklumbalas pelajar mengenai "Meredah Samudera"...!

Anak saya, Imah, belajar di tingkatan satu di sekolah menengah
kebangsaan berdekatan rumah saya. Setelah beliau habis membaca
"Meredah Samudera" dipinjamkannya novel itu kepada seorang rakan
sedarjah.

Beberapa hari kemudian rakannya itu memulangkan novel itu. Imah tanya,
"Seronok baca novel ayah saya?"

Rakannya itu menjawab, "Saya tak suka. Tak best!"

"Kenapa? Ceritanya menjemukan?"

"Saya tak fahamlah..."

Imah meminjamkan novel itu kepada seorang rakannya yang lain.

Beberapa hari kemudian dia mendapat maklum-balas, "Seronoklah! Saya suka!"

"Mengapa awak suka novel ini?"

"Apabila saya baca, saya rasa berminat dengan bidang maritim!"

Untuk makluman pembaca budiman, rakan yang pertama itu pelajar lelaki,
sedangkan rakan yang kedua pula pelajar perempuan!

[NOTA UNTUK PELAJAR PEREMPUAN:
Akademi Laut Malaysia (ALAM) ada menyediakan Program Pembiayaan Kadet
(Cadet Sponsorship Program) untuk pelajar perempuan lepasan SPM dan
SPVM. Sila dapatkan maklumat DI SINI.]

Kuasa maritim Inggeris

Ketika Inggeris menjadi penjajah nombor wahid, angkatan tentera lautnya menguasai lautan antarabangsa.

Mana-mana negara yang enggan tunduk kepada kemahuan Inggeris akan diugut dengan kekuatan tentera laut, dan dari situasi itulah terbitnya ungkapan 'gun-boat diplomacy' atau 'diplomasi kapal perang.'

Antara kapal kepunyaan syarikat Inggeris yang terkenal seluruh dunia ialah 'Titanic' yang dikatakan sebagai 'kapal yang tidak mungkin tenggelam.' Titanic tenggelam setelah melanggar air batu apung semasa pelayaran pertama dari Southampton ke Amerika. Tragedi yang menelan korban seramai 1,517 orang penumpang dan anak kapal itu berlaku pada malam 14 April, 1912.

Dari tahun 1700'an sehingga waktu sebelum Perang Dunia Kedua, angkatan laut Inggeris dikatakan menguasai lautan dunia.

Sejarah merakamkan Inggeris pernah kehilangan lebih 100,000 orang pelaut akibat kapal-kapal yang tenggelam kerana kemalangan, penyakit serta peperangan di lautan.

Walau bagaimanapun, selepas Perang Dunia Kedua, kuasa di lautan itu diambil alih oleh Amerika Syarikat, dengan menggunakan kapal perang yang moden dan canggih. Dikatakan kapal perang Amerika jenis pengangkut pesawat pejuang merupakan wilayah bergerak Amerika yang bertindak sebagai 'pangkalan hadapan' atau 'forward base' yang mengancam semua negara musuh di seluruh pelusuk dunia.

Khamis, 8 Mei 2008

Kapten kapal yang terkenal

Apabila saya cuba mengingat kembali nama-nama kapten kapal yang terkenal, sama ada dalam sejarah atau dari buku-buku yang telah saya baca, barulah saya sedar tidak berapa ramai nama kapten yang saya ingat.

Terasa malu pula apabila nama-nama yang terlintas dalam ingatan ialah nama-nama kapten yang berasal dari Eropah. Kita sudah terlalu lama dijajah fikiran oleh orang Eropah, sedangkan sejarah ditulis oleh orang Eropah. Benarlah kata-kata, "Sejarah ditulis oleh orang yang menang."

Walau bagaimana pun, setelah beberapa ketika cuba mengingat nama-nama kapten, ada beberapa nama yang masih tersisa dalam ingatan.

Dari kalangan orang Eropah nama yang ingat ialah Kapten James Cook yang menjadi kapten dalam Royal Navy Inggeris pada tahun 1768. Sejarah menyebut beliau mati terbunuh ketika cubaan mencolek raja di Kepulauan Hawaii.

Kapten Long John Silver ialah nama yang tidak asing lagi di kalangan peminat novel Robert Louis Stevenson yang berjudul "Treasure Island." Watak Silver ialah watak fiksyen dalam novel itu.

Satu nama lagi ialah dari watak fiksyen juga, tetapi lebih prolifik, iaitu Kapten James Kirk. Beliau ialah komander di kapal USS Enterprise dalam siri fiksyen sains Star Trek.

Jika boleh dipanggil kapten terkenal, yang terdekat ialah Tariq Ibn Ziyad. Tetapi beliau lebih merupakan komander tentera Islam yang menakluki Sepanyol. Setelah kesemua bala tentera Islam pimpinan beliau tiba di tebing tanah Sepanyol, beliau telah memerintahkan tenteranya melihat ke laut.

Apabila mereka menoleh ke belakang ke arah laut, mereka nampak kesemua kapal-kapal yang digunakan untuk mengangkut mereka sedang terbakar. Sedarlah mereka bahawa mereka tiada jalan kembali lagi.

Tariq telah berkata, "Wahai saudaraku pahlawan semua. Kita ada dua pilihan: untuk mati lemas atau mati syahid!"

Sejarah telah merekodkan tentera Islam di bawah pimpinan Tariq Ibn Ziyad mencapai kemenangan yang gemilang.

Rabu, 7 Mei 2008

Dipukul ribut

Di antara banyak pengalaman sebagai pelaut, peristiwa menempuh laut bergelora tentunya merupakan perkara yang tidak mungkin dapat dilupakan.

Malah kehidupan pelaut tidak lengkap jika tidak pernah mengalami huru-hara dan kelam-kabut perasaan apabila kapal yang dinaiki melalui kawasan lautan yang bergelora. Bagi seorang pelaut, perkara itu menjadi sebahagian daripada asam garam kerjayanya.

Bagi sesiapa yang belum mengalami saat-saat cemas ketika kapal kargo terumbang-ambing dipukul gelombang, atau belum pernah menghadapi tekanan perasaan ketika kapal dipukul ribut, agak sukar untuk diceritakan kengerian yang dihadapi oleh para pelaut. Sesungguhnya apabila kapal dilambung ombak besar, perasaan segembira mana pun boleh lenyap, dan diganti ketakutan. Kepala pun terasa pening, tekak mual dan perut rasa kecut!

Apabila kita sukar membezakan antara laut dan kaki langit, iaitu kelihatan seolah-olah laut dan langit bercantum, dan jarak pandangan menjadi sifar (zero visibility), buih-buih dari ombak yang memecah ke atas dek kapal, dan mendengar siulan dan deruan tiupan angin kencang, terasa seolah-olah semua kontena yang tersusun di atas dek akan terburai; maka akan fahamlah kita erti ketakutan. Akan fahamlah kita erti ketabahan dan erti kesabaran.

Pernah seorang rakan yang pernah bertugas sebagai pelaut menceritakan, "Walau pun sudah banyak kali saya menempuh laut bergelora, tetapi setiap kali kapal mengalaminya, perasaan takut itu tidak pernah hilang! Dan pada saat-saat itulah semua anak kapal teringat kepada Tuhan!"

Melalui tiga paparan di youtube, kita boleh saksikan dan alami sebahagian dari perasaan tersebut:

(1) Sudut pandangan dari luar:


(2) Dari sudut dalam kapal:


(3) Dan juga, lihatlah kesan akibat daripada pengalaman itu:
.

Selasa, 6 Mei 2008

Nyaris dilanggar feri !

Beberapa tahun yang lalu, saya dan rakan pengail karib saya, Talib, bersama beberapa orang rakan telah menyewa sebuah bot untuk memancing di sekitar kawasan Pelabuhan Kelang.

Hari sudah hampir senja semasa kami menaiki bot itu dari jeti Pelabuhan Selatan. Apabila bot itu berlepas meninggalkan jeti, barulah kami sedar bot itu tidak dapat bergerak laju dan tidak mempunyai lampu yang sesuai untuk memancing di waktu malam. Tetapi oleh kerana tidak mahu waktu hujung minggu yang sudah kami sediakan untuk aktiviti memancing terbuang begitu sahaja, maka kami teruskan juga mengikuti bot itu.

Bot itu dibawa oleh seorang jurumudi dari sebuah kampung berdekatan (Teluk Gong, jika tidak silap) dan seorang pembantu. Kawasan kami memancing ialah di sekitar Pelabuhan Selatan sehingga ke jambatan yang merentasi Selat Kelang dan menyambungkan tanah besar dengan Pulau Lumut (sekarang dipanggil Pulau Indah).

Setelah memancing selepas senja sehingga pukul 9.00 malam, kami mendapat ikan gelama, ikan duri dan ada juga beberapa ekor ikan pari. Seseorang mencadangkan kami bergerak ke arah tepi kerana air sudah pasang, kerana apabila air pasang kalau memancing di tepian pun boleh dapat ikan.

Semasa bot sedang bergerak ke tepian, kami melintasi suatu kawasan laluan feri yang mendarat dan berlepas di jeti Pelabuhan Selatan. Oleh kerana bot kami bergerak perlahan dan dalam kegelapan malam, sebuah feri laju hampir-hampir melanggar kami.

Kejadian itu berlaku terlalu pantas. Kami hanya tersedar apabila feri melintas pantas di depan bot kami dan bot kami terumbang-ambing dipukul ombak kesan kipas enjin feri tersebut.

“Astaghfirullah!” tercetus ucapan dari mulut Talib. “Bahaya sungguh laluan ini.”

Kami semua menarik nafas panjang setelah menyedari kami baru terlepas dari suatu mala petaka yang hampir-hampir menyusahkan kami.

Sesungguhnya malang tidak berbau.

Selepas peristiwa cemas itu saya dan Talib menjadi lebih ‘memilih’ apabila mahu mencari bot sewa untuk memancing.

Keselamatan diri perlu diutamakan walau pun di saat kita mahu berseronok memancing!

Isnin, 5 Mei 2008

Jadual air pasang surut (Admiralty Charts)

Semasa saya bertugas pada tahun 1983, apabila saya perlukan maklumat air pasang surut, saya merujuk kepada jadual air pasang surut dalam buku Carta Air Pasang Surut yang diterbitkan oleh Jabatan Laut.

Tetapi kini sudah ada jadual air pasang surut yang diterbitkan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPM).

Buku itu mengandungi jadual bagi hampir kesemua lokasi yang di Semananjung Malaysia dan di Malaysia Timur. Saya masih ingat lagi pada waktu itu buku itu masih diterbitkan dalam bahasa Inggeris.

Sekiranya buku itu diterbitkan di United Kingdom, buku itu disebut sebagai Admiralty Charts, atau Carta Tentera Laut. Oleh kerana United Kingdom pernah menjadi penjajah di seluruh pelusuk dunia suatu ketika dahulu, maka Admiralty Charts ini menunjukkan ramalan air pasang surut bagi hampir setiap lokasi penting di pesisiran pantai di seluruh dunia. Tentera Laut Inggeris pada ketika itu menguasai ilmu pelayaran.

Jadual air pasang surut sangat penting bagi merancang strategi dan operasi perkapalan. Tanpanya kapal boleh terkandas di persekirtaran air cetek, yang boleh mengakibatkan kerugian besar, malah di waktu perang boleh menyebabkan anggota tentera laut menjadi sasaran bedilan pihak musuh.

Selain pihak tentera laut, syarikat perkapalan, para nelayan dan pemancing juga sangat memerlukan jadual air pasang suru ini bagi merancang dan mengatur strategi menangkap ikan!

Jumaat, 2 Mei 2008

"Hutang darah dibayar dengan kapal!" (Bhg 4) - dari fail sejarah

Setelah syarikat perkapalan negara MISC ditubuhkan pada tahun 1968,
dengan nama asalnya "Malaysian International Shipping Corporation
Berhad (MISC)," kapal pertamanya diberi nama M.V. Bunga Raya,
mengambil sempena nama Bunga Kebangsaaan Malaysia. ("M. V." bermaksud
"Motor Vessel" atau "Kapal Berinjin"). Khabarnya nama kapal-kapal MISC
diberi nama awalan "Bunga" selepas itu hasil dari idea Perdana Menteri
kita yang pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Di antara kapal-kapal terawal kepunyaan MISC, dua buah daripadanya,
iaitu MV Bunga Orkid dan MV Bunga Tanjung mempunyai keistimewaan yang
tersendiri. Ini ialah kerana dua buah kapal inilah yang diberikan oleh
kerajaan Jepun kepada kerajaan Malaysia, sebagai 'membayar hutang
darah' (blood debt), ekoran daripada perang yang dipaksakan ke atas
negara ini oleh tentera Jepun dalam Perang Dunia Kedua.

Walau pun tidak mungkin setimpal harga dua buah kapal itu dengan nilai
entah berapa puluh, malah ratus ribu nyawa rakyat negara ini yang
terdiri dari berbilang kaum, Melayu, China dan India, yang terkorban
akibat dari peperangan itu; namun itulah sahaja yang Jepun berikan.
Berbaloi atau tidak, tertebus atau tidak kesesengsaraan warga negara
ini memang boleh dibahaskan.

Namun dua kapal sebagai 'bayaran darah' turut kekal dalam lipatan
sejarah maritim negara ini, sebagaimana juga Perang Dunia Kedua kekal
dalam lipatan sejarah dunia.

Mari belajar istilah maritim: Batu Nautika (Nautical Mile)

Satu batu nautika ialah ukuran jarak di antara dua tempat di lautan;
digunakan oleh navigator dalam industri maritim atau penerbangan
(aviation). 1 Batu Nautika bersamaan 1.852 kilometer

Dalam undang-undang dan perjanjian antarabangsa, had sempadan perairan
(territorial waters) biasanya ialah 12 batu nautika dari pesisir
pantai sesebuah negara.

Maklumat, ilmu maritim dan pelayaran dalam novel

Kisah pengembaraan yang paling terkenal ialah yang diceritakan oleh Ibnu Battuta dan Marco Polo.

Ibnu Battuta ialah warga Tangier, Morocco, dan travelog beliau meliputi pengamalannya hampir 30 tahun mengembara di Afrika dan Asia, bermula pada tahun 1325. Manakala Marco Polo pula ialah warga Itali yang mengembara di Eropah dan Asia, bermula pada tahun 1252.

Selain travelog Ibn Battuta dan Marco Polo, ada empat cerita yang begitu meninggalkan kesan dalam pengalaman saya sebagai penggemar buku.

Yang pertama ialah kisah karangan warga Perancis, Jules Verne yang berjudul “20,000 Leagues Under The Sea," yang diterbitkan pada tahun 1870, yang menceritakan pengalaman Professor Pierre Aronnax yang tertawan di atas sebuah kapal selam yang diberi nama Nautilus, yang diketuai oleh Kapten Nemo. Cerita berakhir dengan professor dapat melepaskan diri, tetapi tidak diberitahu apakah nasib Nemo dan Nautilus.

Kisah yang kedua ialah kisah pemberontakan beberapa orang pegawai dan anak kapal yang diketuai oleh Fletcher Christian terhadap Kapten William Bligh di atas kapal yang bernama Bounty yang berlaku pada 28 April, 1789. Mereka ditugaskan oleh kerajaan Inggeris menjalankan eksperimen penanaman pokok sukun (breadfruit) dengan mengutip benih pokok sukun di pulau Tahiti dan kemudian memindahkan anak pokok sukun tersebut ke kepulauan West Indies. Pemberotakan itu berlaku berhampiran Pulau Tonga semasa Bounty dalam pelayaran dari Tahiti ke West Indies. Kisah benar ini dijadikan plot dalam beberapa novel yang ditulis menjadikan ceritanya sungguh menarik. Dengan membaca novel mengenai pemberontakan anak kapal Bounty, pembaca akan mendapat gambaran mengenai keadaan kehidupan pelaut di waktu itu selain dapat memahami sedikit sebanyak tentang undang-undang maritim.

Cerita yang ketiga ialah mengenai tragedi kapal penumpang “Titanic” yang tenggelam dalam pelayaran yang pertama lagi, dari England menuju ke Amerika, pada tahun 1912. Daripada 2,203 penumpang dan anak kapal, hanya 706 orang yang terselamat. Dari pembacaan kisah ini kita akan dapat mendapat gambaran mengenai kemudahan yang disediakan dalam pelayaran sesebuah kapal penumpang, selain dapat mendapat maklumat tentang keselamatan yang perlu diwujudkan dalam pelayaran.

Cerita yang keempat mengisahkan bagaimana seorang lelaki Minangkabau, ditolak lamarannya oleh keluarga Hayati kerana dikatakan dia tidak setaraf dengan keluarga Hayati. Novel ini ditulis oleh Pak Hamka dan diterbitkan pada tahun 1973.

Para pembaca yang pernah membaca keempat-empat kisah ini, akan mendapat maklumat yang banyak mengenai perkapalan ilmu maritim sezaman dengan buku-buku itu diterbitkan.

Khamis, 1 Mei 2008

PROGRAM PEMBIAYAAN KADET

Akademi Laut Malaysia (ALAM) menawarkan kursus maritim untuk pelajar lepasan SPM/SPVM di bawah program pembiayaan kadet. Butiran mengenainya boleh didapati DI SINI.

Walau bagaimana pun, untuk ibu bapa yang kurang fasih berbahasa Inggeris, di bawah ini disediakan teks terjemahan bebas dalam Bahasa Melayu:

PROGRAM PEMBIAYAAN KADET
------------------------
Para pelajar lulusan SPM yang berkelayakan adalah ditawarkan biasiswa sepenuhnya untuk mengikuti pendidikan dalam bidan maritim di Akademi Laut Malaysia (ALAM) yang dianugerahkan oleh beberapa agensi kerajaan, operator pelabuhan, syarikat minyak dan gas, operator kapal sokongan marin pesisiran dan gas, dan syarikat perkapalan terkemuka dari dalam dan luar negara. Pada masa yang sama mereka akan menyertai sebahagian daripada skim pengambilan pekerja yang berpendapatan lumayan dalam pasukan syarikat pembiaya.

Peringkat Pegawai
• Diploma Pengajian Nautika (DNS)
• Diploma Kejuruteraan Marin (DME)

Syarat-syarat kelayakan:
• SPM/SPVM serta kepujian dalam matapelajaran B. Melayu, B. Inggeris, Matematik/Matematik Tambahan, Fizik/Sains Am
• Lelaki atau Wanita
• Bujang
• Berumur antara 17 hingga 21 tahun
• Tidak rabun warna
• Sihat dari segi fizikal dan mental
• Dapat melihat tanpa cermin mata atau kanta sesentuh (untuk DNS sahaja)

Peringkat Sokongan

Dek, Enjin & Rating Katering

Syarat-syarat kelayakan:
• Sekurang-kurangnya lulus PMR serta lulus dalam matapelajaran B.Melayu, B. Inggeris, Matematik dan Sains
• Lelaki
• Bujang
• Berumur antara 17 hingga 21 tahun
• Tidak rabun warna
• Sihat dari segi fizikal dan mental
• Dapat melihat tanpa cermin mata atau kanta sesentuh (untuk Dek sahaja)

Pembiayaan akan meliputi, antaranya:
• Yuran pengajian
• Saraan
• Penginapan
• Uniform
• Elaun Wang Saku
• Kursus Modular
• Paspot Antarabangsa
• Buku/Kad Pelaut


Untuk maklumat lanjut sila hubungi:

Pendaftar
Akademi Laut Malaysia
Penyerahan Tingkap 2051
Pejabat Pos Masjid Tanah
78300 Masjid Tanah
Melaka.

En. Hairul Nizam Harun Tel : 06-3883 372
En. Nasir Rahim Tel : 06-3883 377

[NOTA: LAZIMNYA TARIKH TUTUP PERMOHONAN IALAH PADA 31 MAC SETIAP TAHUN]